Aunty Som

Salam semua. Di sini saya ingin menceritakan pengalaman saya bekerja sebagai penjaga atau caregiver kepada seorang warga emas waktu PKPD tempoh hari…

Saya adalah seorang pelajar kolej yang terpaksa tangguhkan pengajian kerana kekurangan dana akibat COVID. Dengan keadaan ekonomi sekarang, agak payah untuk cari apa-apa pekerjaan. Nasib saya agak baik kerana pada masa itu, kawan di kolej perkenalkan saya pada pasangan suami isteri dari Johor. Mereka amat terdesak dan sedang mencari orang yang sesuai untuk menjaga ibu mereka di Lembah Klang. Tempat yang saya sewa juga sedaerah dengan rumah ibu mereka.

Mereka temubual saya online. Saya sudah beri CV sebelum tu. Pasangan ni, kita panggil mereka En Nasir dan Pn Syasya agak ramah dan saya agak selesa ketika ditemubual. Umur mereka saya agak dalam pertengahan 30-an. Mereka cakap yang ibu mereka, ibu pada En Nasir sebenarnya, sihat tetapi mempunyai banyak appointment di klinik kesihatan berdekatan. Jadi tugas utama saya hanya untuk mengambil dan menghantarnya untuk appointment dan vaksinasi dos kedua. Selain itu, saya juga perlu menyelia ubatan yang diambil dan sebagai peneman. Mereka takut ibu En. Nasir terjatuh atau mengalami kecederaan di rumah. Dia tinggal berseorangan.

Oleh kerana tidak boleh rentas negeri, mereka tak mampu untuk bersama dengan ibu En Nasir.

Fast forward beberapa hari selepas itu, atas persetujuan semua, saya pun pergi ke rumah ibu En Nasir dengan menaiki kereta myvi saya.

Rumahnya banglo besar dua tingkat di pinggir bandar. Terletak di lereng bukit dan dikelilingi hutan. Memang cantik pemandangan. Tak sangka dekat dengan bandar pun ada juga rumah sebegini terpencil.

Ibu En Nasir ada tunggu di halaman rumah, duduk di buai besi. Senyum lebar dia, sambil berjalan arah kereta. Saya rasa dia ni masa muda mesti cantik, dengan kaftan pastel, muka siap bersolek rapi. Dia minta saya panggil dia Aunty Som dan terus mengajak saya ke meja makan untuk makan petang. Dah tersedia pisang goreng dan teh atas meja. Ni saya jaga dia ke, dia jaga saya?

Perjanjiannya, saya akan berada di rumah, jaga Aunty Som selama sebulan. Masa ni, betul-betul sebelum PKPD. Bayaran yang diberi pun lumayan.

“Sebenarnya, Nasir tu bimbang sangat. Aunty okay je. Tapi bagus juga Lia ada kat sini. Sunyi juga,” kata Aunty Som.

Saya diberi bilik yang bertentangan biliknya. Tingkat atas. Besar juga, macam hotel. Ada aircond, ada tv. Bilik air juga sambung dengan bilik. Tingkap mengadap belakang rumah yang tidak kurang besar seperti halaman depan.

Aunty Som terangkan yang saya tidak perlu mengemas rumah. Masak pun hanya jika dia penat saja. Dia ada panggil orang datang kemas rumah seminggu sekali. Tukang kebun datang dua minggu sekali. Penghantaran barangan dapur secara online, juga dua minggu sekali.

Memang antara kerja yang paling mudah yang pernah saya lakukan. Cuma untuk menghiburkan Aunty Som saja dan bawak dia pegi klinik bila ada appointment.

Seminggu berlalu dengan begitu cepat. Seronok duduk di sini. Aunty Som pun rajin bersembang. Jadual sehariannya begini – pukul 6.30 siapkan sarapan yang ringan, roti bakar dengan butter. Buah-buahan. Teh o panas. Sediakan ubat-ubat untuk waktu pagi.

Pukul 7 pagi – Aunty Som ke halaman rumah, berkebun. Kuat orangnya walaupun umur dah mencecah 70an. Nampak je kecik kurus. Saya pun teman bercucuk tanam, weeding sikit-sikit sambil dia kenalkan pada ulam-ulaman yang tumbuh di sekitar halaman yang luas.

Pukul 10 pagi – masuk, mandi sekali lagi dan bersedia untuk masak makan tengahari. Kadang-kadang dia masak, saya sediakan bahan-bahan. Kebanyakan ulam dan sayuran kami makan adalah hasil dari kebunnya. Segar bugar.

Lepas makan tengahari, dia masuk bilik untuk tidur sekejap dan solat.

Pukul 3 pm – teman Aunty Som tengok Astro. Netflix pun ada, jangan main, tapi Aunty Som suka tengok rancangan channel Astro Wah Lai Toi. Ada rancangan dokumentari keindahan negara China. Tengok diaorang buat kicap kacang soya ke, tengok diaorang masak atas Tembok Besar Cina ke. Best juga.

Nanti petang sikit dia keluar siram pokok. Saya pula siapkan terus makan malam. Aunty Som suka makan malam cepat. Tepat pukul 6 petang setiap hari kerana pukul 8 ke 9 malam lepas makan ubat, terus tidur.

Saya pun lepas dia tidur, apa lagi tengok Netflix la, masuk online la sebab wifi free. Tengok cerita Money Heist sampai la larut malam.

Tapi duduk sini ada syaratnya. Perkara ini Aunty Som agak tegas sejak hari pertama lagi – jangan keluar bilik waktu malam. Sampai subuh esok. Kunci pintu bilik. Kalau dia panggil pun jangan menyahut. Haaa yang ini saya pelik. Sebab bukankah tugas saya untuk menjaga keselamatan dia?

“Kalau Aunty Som jatuh macamana? Takkan saya nak biar kot?” saya pernah tanya.

“Kalau Aunty nak mintak apa-apa, Aunty telefon Lia, guna handphone. Tapi kalau dengar Aunty panggil, please ye, jangan bukak.”

Saya meng’okay’kan saja. Sebab tanggungjawab yang diamanahkan En Nasir dan isterinya, walaupun nampak senang, tapi agak berat juga. Jaga ibu kesayangan.

Masuk minggu kedua, kami semua dikejutkan dengan berita PKPD. Tak apalah. Saya dan Aunty Som pun sihat dan selesa. Tak banyak yang kami boleh lakukan kecuali terima saja kekangan yang dikenakan.

Malam tu, selepas dah switch off tv dalam bilik, baru terdengar bunyi seperti orang berjalan di laluan antara bilik Aunty Som dan bilik saya. Mungkin Auntie Som nak ke dapur kot.

“Aunty, okay ke, Aunty?” saya memangil dari dalam bilik. Tak ada jawapan. Tak pe lah, saya pun tidur.

Malam-malam berikutnya bunyi tapak kaki orang lalu-lalang di laluan bilik menjadi bertambah kerap. Bila dipanggil tak menyahut. Kadang-kadang seperti orang berlari-lari. Setahu saya Auntie Som, walaupun sihat, dia ada arthritis di lutut. Memang tak boleh lari. Jalan pun perlahan saja.

Bila ditanya waktu sarapan, Aunty Som kata dia tidur. Tak de nak keluar bilik dah. Tapi sekali lagi saya diberi amaran.

“Jangan buka pintu bilik. Kalau dengar bunyi-bunyi tu, pasang la lagu ke apa ke. Rumah ni dah tua, plumbing dan paip rumah pun selalu buat hal. Tu yang bunyi pelik tu. Tak de apa lah!” Haaa… lagi la saya musykil!

Masuk minggu ketiga pula malam-malam, akan kedengaran bunyi orang cakap. Orang ketawa. Satu malam tu dengar bunyi macam Aunty Som panggil nama saya. Plumbing apa kejadah!

“Lia! LIA TOLONG!!”

Saya bergegas keluar bilik. Di hujung laluan depan yang selalu berlampu malap tu nampak seperti bayangan orang. Saya pun terus berlari ke arah bayangan, ingatkan Aunty Som terjatuh. Bila dah dekat, memang nampak dia tengah mencangkung. Bogel. Rambut yang selalu kemas sanggul menjadi kusut masai. Badannya banyak kesan merah macam digigit. Dia lompat bangun secara tiba-tiba, lepas tu terus lari nak kejar saya.

Masa tu saya masih tercegat di situ, macam otak tak boleh nak terima apa yang saya lihat. Bila dah sampai dekat, dia boleh lompat, macam atlet Olimpik lompat tinggi tu! Lompat melepasi tubuh saya yang pada masa itu. Saya pun terjatuh ke belakang atas p******g, tangan tutup kepala takut kena serang. Aunty Som sambung lari pecut, turun tangga sambil memanggil nama saya, “Lia, Lia, tolong!” dan kemudian gelak-gelak tersekat.

Ooiih! Cepat-cepat masuk bilik, kunci terus pintu dan telefon polis. Sambil tunggu polis, saya duduk berkelumbung atas katil.

Bila polis datang, saya berlari terus buka pintu depan. Saya ceritakan semuanya pada polis, ada dua orang datang. Mereka masuk rumah. Ketika itu juga Aunty Som keluar biliknya. Nampak dia keliru, terbangun tidur, tapi pakaian masih kemas cantik seperti biasa. Kulitnya yang kuning langsat sedikit berkedut tapi tiada kesan gigitan. Baju kelawar purple, tudung pun matching.

Saya dah menangis-nangis. Aunty Som pun serba salah. Dia bersumpah depan polis dia tidur dari pukul 8.30 malam tadi. Dipujuknya saya. Cakap mungkin saya takut tinggal rumah besar dengan dia. Polis tu macam bengang sebab dipanggil untuk kecemasan tapi tak ada kes apa pun. Macam pompuan gila pulak rasanya. Aunty Som pun kata, kalau saya nak balik rumah saya tak apa, dia faham.

Bukan tak nak balik, tapi bilik saya telah disewakan sementara pada seorang kawan. Memang kira tak berumahlah saya. Tambahan pula bila dah tenang sikit, saya rasa macam bodoh je. Mungkin saya bermimpi ke? Memang sebelum ni pun tak pernah saya ada pengalaman benda-benda pelik ni.

Keesokan hari, keadaan agak tegang. Pekerja-pekerja yang datang untuk kemas rumah dan kebun pun tak dapat datang sejak PKPD. Hanya saya dan Aunty Som. Bila Aunty Som cuba pujuk, saya menjauhkan diri. Saya masih jalankan tanggungjawab saya tapi hanya pada yang perlu saja. Saya rasa takut dan malam-malam pun tak boleh tidur. Amaran Aunty Som jangan keluar bilik tu saya tahu dah kenapa. Mungkin Aunty Som ni ada dimentia. Itu sebab dia berperangai pelik.

Malam terakhir saya di situ, saya ada video call En Nasir dan Pn Syasya. Saya kata yang saya tak dapat nak duduk lagi di situ kerana ada yang tak kena dengan Aunty Som. Minta mereka sendiri bawa Aunty Som jumpa doktor. Mereka kata, beri mereka sehari untuk dapatkan kebenaran polis.

Saya tak dapat tidur kerana bunyi di luar bilik saya agak kuat. Siap mencakar-cakar pintu. Ada bunyi pintu ditendang kuat. Nasib la pintu bilik tebal. Kuncinya pula berselak besar. Baru terfikir, bilik rumah biasa tak ada selak besar macam selak pintu utama. Macam tau-tau je ada yang nak sangat masuk bilik ni. Itu yang siap berkunci, berselak bagai. Ini mesti ada perkara sama terjadi sebelum saya dipilih bekerja di sini.

Saya menangis keseorangan dalam bilik. Ketika itu, dengar suara Aunty Som di luar rumah pula. Suara datang dari tingkap bilik yang mengadap belakang rumah. Kadang menyanyi, kadang menjerit-jerit “Lia, Lia, tolong!”. Lepas tu dengar seperti orang cangkul tanah. Lama juga mencangkul. Bila dah sejam macam tu, dah tiada bunyi.

Tak tau kenapa entah, sehingga sekarang rasa macam menyesal tak habis-habis dengan apa yang saya buat seterusnya. Saya pegi ke tingap bilik dan buka sikit kain langsir nak tengok belakang rumah. Ingat kalau tak ada orang di luar, memang saya nak lari keluar. Siap bawak handbag dah, tangkai di bahu.

Sekali tengok Aunty Som tercegat di tengah-tengah halaman belakang. Bogel juga kali ni, tengah perhatikan tingkap bilik saya. Nampak jelas kerana ada lampu spotlight menghala belakang rumah.

“Kau tengok ni,” dia jerit.
“Aku dah gali lubang kubur untuk kau. Suka tak?”

Ada lubang yang agak besar digali di tengah-tengah halaman. Oooo…itu rupanya yang dia dok buat dengan cangkul tu, gali kubur rupanya… saya masih lagi boleh berdialog dalam otak. Walaupun takut tak terkata tapi kadang otak kita masih lagi nak cakap benda merepek. Sebelum tutup langsir, saya nampak Aunty Som berlari macam binatang empat kaki ke arah tingkap bilik saya yang tingkat atas ni. Siap bunyi macam kuda lari laju tu. Kejap saja sampai ke dinding dan nampak dia terus panjat dinding. Tak de nak pause. Bukan macam Spiderman, tapi macam dia lari atas tanah juga, cuma kali ni atas dinding macam graviti tak wujud.

Ooooo… lepas tu saya buat dive ke katil. Masuk dalam selimut. Aunty Som dah ketuk-ketuk cermin tingkap pulak. Saya tak tau kenapa dia tak boleh masuk sebab kalau dah dapat superpower macam tu, tak kan tak boleh pecahkan tingkap kan? Tapi Alhamdullilah dia tak buat macam tu.

Dalam keadaan ketakutan, saya pun tak tau apa yang jadi pada diri saya sebenarnya. Tak boleh nak jelaskan kecuali mungkin saya telah pengsan sebab ketakutan. Nasib pengsan je, tak m**i.

Kerana bila terbangun, dah pagi, bilik dah terang. Saya terus capai handbag yang ada kunci kereta dalam tu dan kemudian lari keluar rumah, kaki ayam. Pakai baju tidur semalam, Hello Kitty ciplak. Tak tau kenapa seluarnya basah lembap macam tu. Start enjin kereta, terus blah.

Trauma saya tinggal di situ masih baru lagi. Saya dapat mesej dari Pn Syasya. Dia nak terangkan dengan saya pasal Aunty Som dan nak pulangkan barang saya yang tertinggal.  Eeeh tak nak la. Biar burn la kiranya barang tu. Tak nak dengar nama tu, tak nak tau apa yang jadi. Saya cuma beri no account bank yang diminta untuk dia transfer duit. Dia beri dua kali ganda yang dijanjikan. Tapi pada saya memang tak berbaloi langsung. Sampai bila-bila saya akan ingat.

Saya pun tak pasti apa binatang yang ganggu saya. Jelmaan Aunty Som ke, Aunty Som sendiri jadi psycho superman ke. Tak tau la. Selagi boleh, saya nak lupakan terus.

Saya tulis ni pun di bilik saya kongsi dengan kawan rumah sewa. Pujuk dia, ambik saya balik. Saya dah tak berani nak tidur sorang-sorang. Tidur pun buka lampu, tingkap ditutup, grill tingkap dikunci, langsir dipastikan tutup. Lepas tulis ni, saya akan periksa semula double selak dah masuk,  dan pintu tak boleh dibuka dari luar. Selamat malam.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 22 Average: 4.9]
Alia Myvi

14 thoughts on “Aunty Som”

  1. A very very good storyteller. Menarik ! Rasanya, pasangan suami isteri itu patut lebih bertanggungjawab..sekarang you are mentally effected. So sorry to hear this.
    Owh..and cute Hello Kitty seluar eh??:)))

    Reply
  2. seramnya cerita ni..tapi tuhlah awak Lia, aku kalau dalam situasi kau, memang aku faham dah why x boleh keluar malam2 kat rumah tu bila anty som dah warning awal2…

    Reply
  3. I LIKE YOUR STORY. ITS QUITE INTERESTING. I WISH THIS STORY TO CONTINUE BUT IT CAME WITH A UN EXCEPTABLE ENDING. BTW I LIKE IT

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.