“Encik Herman, bos nak jumpa awak sekejap.” Setiausaha syarikat itu, cik Elis berdiri di hadapan meja kerja Herman sambil menyampaikan arahan dari pengarah syarikat, tuan Azhan. Herman yang tekun dengan kerjanya, hanya memandang dan mengangguk sebelum berlalu menuju ke arah bilik tuan Azhan. Pintu bilik pejabat tuan Azhan diketuk. Dia diarahkan masuk. Tuan Azhan kemudiannya meminta dia duduk untuk berbincang sebentar. “Saya nak projek perumahan di kawasan Taman Indah tu awak yang uruskan.” Tegas tuan Azhan. Fail di atas mejanya diserahkan kepada Herman. “Tapi projek ni mungkin memakan masa yang agak panjang untuk menyiapkannya, bos? Saya rasa, saya tak mampu menguruskannya.” Herman seolah-olah cuba mengelak.
Sebetulnya dia tidak berminat untuk menguruskan projek perumahan tersebut. “Itu saya tahulah. Tapi kalau kita mulakan dari sekarang tentu cepat siapnya. Saya yakin awak mampu menguruskannya. Jadi saya harap awak tak akan menolak?” Tuan Azhan bagai mendesak. Herman tiada pilihan. Dia bekerja di bawah arahan tuan Azhan. Mahu tak mahu terpaksalah dia mengikut segala permintaan majikannya itu. “Baiklah. Saya akan uruskan.” Ujar Herman dengan nada terpaksa. Tuan Azhan pula terus tersenyum bila Herman bersetuju. “Petang ni awak boleh pergi meninjau ke site. Dan jangan lupa ajak Talha dengan Baim. Diaorang berdua akan sertai projek tu sekali.” Tuan Azhan sudah berbincang dengan Talha dan Baim terlebih dahulu. Mereka sudah pun bersetuju. Tetapi tuan Azhan mahu Herman yang mengetuai projek tersebut. Kerana kebolehan Herman yang menjayakan beberapa buah projek besar sebelum ini. Usai perbincangan di bilik pejabat tuan Azhan, Herman terus meminta diri.
*************Di sebuah restoran, kelihatan Herman, Baim dan Talha sedang rancak berbual. Namun perbualan mereka berubah serius. Seperti ada sesuatu yang sedang dibincangkan. “Aku rasa macam tak sedap hati nak buat kawasan perumahan dekat tempat tu.” Herman mengeluh berat. Matanya sedikit layu. Mungkin kerana dia kurang mendapat tidur yang secukupnya. Sejak akhir-akhir ini tuan Azhan sering memberi tugas yang lebih kepadanya kerana prestasi kerjanya yang sangat baik dan memuaskan hati. “Kau rasa tempat tu tak sesuai kerana tanahnya, ke?” Soal Baim selepas menghirup minumannya. “Bukan sebab tanah.
Sebenarnya, dah banyak aku dengar cerita tentang kawasan tu. Sampai sekarang ni pun, tak ada sesiapa yang berani nak menjadikan tapak projek dekat kawasan tu. Cuma tuan Azhan tu aje yang beria-ia sangat. Bagi dia semua cerita-cerita tu hanya mengarut.” Ujar Herman, mendatar. Kalau boleh dia malas hendak menguruskan tugas yang diberikan oleh tuan Azhan itu. Dia tidak mahu mengambil sebarang risiko. “Cerita apa yang kau dengar? Aduh! Tiba-tiba meremang pula bulu roma aku.” Talha menggosok-gosok lengannya. Rasa seram semacam bila dia mendengar kata-kata Herman. Jangan cakap tempat itu berpenunggu pula. Dia pun tidak mahu mengambil risiko bila diganggu oleh perkara-perkara pelik nanti. “Lain kalilah aku cerita. Kita pergi ke site sekejap. Hari pun dah nak petang. Aku malas nak balik sampai ke senja.” Herman tidak mahu berlengah lagi. Lagi cepat mereka ke sana, lagi cepat mereka balik. Sudahlah tempat itu agak keras. Kalau boleh janganlah sampai ke waktu senja mereka berada di sana. Nanti tak pasal-pasal ada pula yang mengikut mereka balik. Pergi bertiga, baliknya berempat. Itu yang dia risaukan.
***************Mereka tiba di kawasan Taman Indah bersama beberapa orang pekerja lain yang terlibat dalam projek tersebut. Baim memerhatikan gelagat Herman yang sedang meninjau-ninjau di kawasan sekeliling tempat itu. Ada keresahan di wajah Herman dilihatnya. Mungkin Herman masih memikirkan tentang cerita-cerita yang dia dengar mengenai tempat itu. Baim lalu berjalan menghampiri rakannya itu. “Luas juga kan, kawasan ni?” Ujar Baim.”Luas tu memang luas. Tapi tak berapa elok.””Apa maksud kau tak berapa elok? Aku tengok okey aje tempat ni.” Baim tidak nampak apa-apa yang pelik. Baginya tempat itu sesuai sangat untuk membina kawasan perumahan. Herman tidak menjawab. Pandangannya kini tertumpu ke arah sebatang pokok yang tegak merendang.
Pokok tersebut kelihatan aneh di matanya. Seperti ada daya tarikannya.”Aku nak ke sana sekejap. Kau dengan yang lain-lain tunggu sini dulu.” Tanpa sempat Baim bersuara, Herman terus sahaja berjalan ke arah pokok yang berada tidak jauh dari tapak projek.”Nak ke mana pula encik Herman tu?” Soal salah seorang pekerja syarikat yang berada di situ.”Entahlah? Dia saja-saja nak tengok kawasan dekat situ, kut?” Jawab Baim. Dahinya berkerut. Hairan? Mengapa Herman tidak membenarkan mereka turut serta ke tempat itu. Talha yang memandang ke arah Herman turut berasa pelik. Seperti ada sesuatu yang tidak kena dirasakan. Pokok itu juga kelihatan aneh dan misteri. Nampak agak menyeramkan.
Sepasang mata Herman merenung seketika pokok yang berada di hadapan matanya itu. Perasaannya terasa berdebar ketika menyentuhnya. Dia rapatkan lagi tubuhnya. Telinganya turut didekatkan pada batang pokok itu. Seolah-olah dia boleh mendengar sesuatu di dalamnya. Suara rintihan yang kedengaran sayup seperti tersiksa.~Tolong… Tolong… Tolong lepaskan kami… Tolong lepaskan kami… Tolongggg…~~~Herman terpaku. Matanya semakin tajam memandang ke arah batang pokok itu. Suara-suara itu tiba-tiba terhenti apabila Baim datang menghampiri. Bahu Herman ditepuk. Herman terus berpaling. “Apa yang menarik sangat tentang pokok ni? Aku tengok sampai tak berkelip mata kau memandangnya.” Dari tadi Baim memerhatikan Herman. Dia tertanya-tanya, mengapa Herman seperti berminat dengan pokok itu. “Kan aku dah cakap tadi? Tunggu sana. Buat kau datang sini? Dahlah! Aku nak balik. Aku letih!” Herman menolak tangan Baim. Dia berlalu dengan wajah yang agak tegang. Baim hanya menggaru-garu kepala. Tidak faham kenapa rakan serumahnya itu tiba-tiba sahaja naik angin.
***************Malam itu ketika sedang nyenyak tidur, Herman merasakan seperti dia masih berada di kawasan Taman Indah. Tetapi tiada sesiapa pun di situ. Dia keseorangan. Hanya kelihatan pokok misteri itu sahaja. Dia mula terdengar suara-suara rintihan misteri yang didengarinya petang tadi pada pokok tersebut. Terasa seram sejuk dalam suasana yang kelam dan dingin. ~Tolong… Tolong… Tolong lepaskan kami… Tolong lepaskan kami…~~~”Arghh…!! Pergilah bodoh!! Pergi! Kau syaitan!!” Jerit Herman. Suara dari pokok itu terus-terusan mengganggunya. Baim yang berada di ruang tamu bergegas menuju ke bilik Herman. Tubuh Herman digoyang-goyangkan. “Hei, Herman! Bangunlah! Kenapa dengan kau ni? Terjerit-jerit! Kau kena sampuk dengan hantu, ke?!” Baim cuba menyedarkan Herman.
Ini pertama kali dia melihat Herman mengigau. “Kau keluar dari bilik aku!” Tengking Herman dengan mata merah menyala. Wajahnya dibasahi peluh dingin. “Herman, kau ni sedar ke, tak sedar?” Melihat keadaan Herman, Baim berasa bimbang juga. Manalah tahu kalau-kalau rakannya itu dirasuk. Dia bukannya pandai pun hendak menghalau hantu jin ni semua. “Aku kata keluar, keluarlah!! Tak faham, ke?!” Jerkah Herman dengan lebih kuat. Matanya yang merah itu terjegil-jegil. Baim tidak berkata apa. Dia terus menapak keluar daripada bilik.
Setelah Baim beredar Herman kembali tenang seperti sediakala. Mulutnya mengucap berulang-ulang kali. Dia sendiri tidak sedar apa yang telah dia lakukan. Namun mimpi yang dialami terasa seperti benar-benar berlaku. Herman keluar daripada bilik. Dia tercari-cari Baim. Ke hulu ke hilir dia mencari. Mana pula Baim pergi tengah malam macam ini? Matanya terpandang ke arah Baim yang baru sahaja masuk ke dalam rumah melalui pintu utama itu. “Kau ke mana tadi, Baim?” Tanya Herman. Namun Baim hanya mendiamkan diri. “Hoi! Aku tanya ni? Kau dah jadi bisu ke, apa?” “Aku nak ke mana, itu bukan urusan kau. Buat apa sibuk nak tanya?” “Dah kau tu kawan aku, salah ke aku tanya?!” Bentak Herman.”Kawan?” Baim senyum sinis. “Kalau aku kawan kau apasal kau tengking-tengking aku tadi? Padahal aku cuma nak sedarkan kau aje.” Baim tunjuk muka tidak puas hatinya. Dia keluar sebentar tadi sekadar hendak mengambil angin. Untuk menyejukkan hatinya yang terasa panas bila dihalau Herman.
“Ya ke, aku tengking kau? Tapi, kenapa pula kau nak sedarkan aku?” Herman bertanya dengan riak kehairanan. Tidak faham. Duduknya dilabuhkan di atas sofa. “Sebab kau terpekik terlolong macam orang kena rasuk.” Terang Baim lagi. “Hah? Betul, ke?” “Betullah! Takkan aku nak tipu? Kau nampak lain. Macam bukan kau. Bengis semacam aje muka kau tu. Lepas tu kau asyik marah-marah aku…” “Yalah, yalah…Sorry! Sebenarnya, aku pun tak tahu macam mana boleh jadi macam tu. Kau tak payahlah nak marah sangat. Aku bukannya sedar pun. Aku rasa macam ada sesuatu yang mengganggu?” “Mana ada marah. Aku cuma tersinggung sikit. Tapi sekarang dah okeylah. Sebab kau dah jelaskan perkara sebenar, kan. Kau tak nak beritahu aku ke, kenapa tiba-tiba kau jadi macam tu? Dari site lagi, lepas kau pergi dekat pokok tu, kau terus naik angin. Apa yang dah berlaku sebenarnya?”
Baim merasakan perubahan sikap Herman pasti ada kaitan dengan pokok yang terletak berhampiran dengan tapak projek itu. Sambil duduk di atas sofa, Baim menanti apa yang ingin diceritakan oleh Herman.”Masa aku datang dekat pokok tu, aku terdengar macam suara orang merintih kesakitan. Suara orang meminta tolong. Suara tu pula bukannya seorang! Macam satu kelompok manusia beramai-ramai yang kemungkinannya terdiri dari kaum wanita. Mereka minta dilepaskan daripada pokok tu. Mungkin suara-suara tu masuk ke dalam tidur aku tadi. Sebab tu aku jadi macam tu.” Jelas Herman dengan bersungguh.”Eh, tak mungkinlah pokok tu bersuara? Kau berangan agaknya?” Sukar untuk Baim percaya cerita yang baru didengarinya itu. “Ya, Allah…Baim, sumpah! Aku tak berangan. Memang aku dengar suara dekat pokok tu. Kalau kau tak percaya, kau boleh dengar sendiri nanti.” Herman terus meyakinkan Baim. Dan dia juga yakin yang dia tidak berhalusinasi.
************Keesokan harinya mereka kembali semula ke kawasan Taman Indah. Hanya Baim, Herman dan Talha sahaja yang berada di situ. Talha juga sudah mendengar cerita dari Herman dan Baim. Herman mahu membuktikan kejadian suara rintihan pada pokok itu adalah benar. Namun mereka agak terkejut dan terkilan apabila mendapati pokok tersebut telah pun ditebang.”Macam mana ni? Pokok tu dah kena tebang.” Baim kelihatan kecewa. “Nampak gayanya, tak dapatlah kita dengar suara tu?” Talha turut berasa hampa. Mungkin mereka terlambat beberapa minit. Pokok tersebut kelihatannya seperti baru sahaja ditebang.”Siapa agaknya yang tebang pokok tu?” Herman tertanya-tanya. Bimbang juga seandainya keadaan menjadi tidak tenteram di kawasan Taman Indah setelah pokok itu ditebang.
Seketika kemudian, seorang penebang pokok lalu di hadapan mereka. Herman cuba menegurnya.”Pakcik, boleh kami tumpang tanya?” Soal Herman. Lelaki tua itu mengangguk.”Siapa yang tebang pokok besar tu?” “Pakcik lah yang menebangnya. Kenapa? Ada apa-apa masalah ke, yang pakcik boleh bantu?” Tanya lelaki tua itu dengan wajah berkerut-kerut. Pandangan mata Baim tiba-tiba sahaja terhala pada kapak yang dipegang oleh lelaki tua itu. Kelihatan kesan darah pada hujung kapak itu. Baim lantas mencuit lengan Herman. “Cuba kau tengok kapak yang dia pegang tu? Ada kesan darah! Entah-entah dia baru lepas bunuh orang.” Bisik Baim ke telinga Herman. “Jaga sikit mulut kau tu! Karang tak pasal-pasal dikapaknya pula kita.” Herman berbisik kembali ke arah Baim. Dia juga berasa tidak sedap hati melihat tingkah laku lelaki tua itu. “Kalau dah tak ada apa-apa, pakcik rasa…biarlah pakcik balik dulu.” Lelaki tua itu seolah-olah cuba hendak melarikan diri. Tidak mahu terus disoal oleh tiga orang pemuda itu.
“Nanti dulu, pakcik!” Herman segera menghalang. Wajah lelaki tua itu dilihatnya seperti sedang menahan marah. “Sebenarnya, semalam saya dengan kawan-kawan saya ada datang melawat dekat sini. Kami cuma nak meninjau kawasan ni. Sebab tak lama lagi tempat ni akan dijadikan kawasan perumahan. Eerr…saya cuma nak tahu, masa pakcik tebang pokok tu ada tak pakcik terdengar sesuatu yang aneh? Macam suara, orang minta tolong dilepaskan?” Herman sekadar bertanya. Manalah tahu jika pakcik itu juga mendengar suara yang didengarinya semalam. Lelaki tua itu terdiam beberapa saat. Mungkin sedang berfikir. Kemudian dia tersengih memandang. Menampakkan barisan giginya yang sudah rongak. “Kamu semua ni dah salah sangka. Suara yang kamu dengar tu, suara anak perempuan pakcik. Dia tu kurang siuman. Dan selalu menyorok dekat belakang pokok besar tu. Sebab tulah pakcik tebang. Supaya dia tak bermain dekat situ lagi.” Lelaki tua itu menjelaskan kepada mereka bertiga. Namun Herman masih tidak berpuas hati. Seperti masih ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh pakcik itu.
“Tapi kenapa pula dia minta tolong?” Soal Herman lagi. “Eh, takkanlah kamu tak tahu perangai orang gila macam mana? Kadang-kadang dia minta tolong. Kadang-kadang dia minta duit!” Tawanya dihamburkan. Reaksinya seperti sedang mengejek mereka bertiga. Panas pula hati Herman. Rasa macam hendak tumbuk sahaja muka pakcik itu. Biar hilang kesemua sekali giginya. “Masalahnya, pakcik… Suara tu bukannya seorang. Tapi macam beramai-ramai!” Tekan Herman. Giginya diketap geram. “Hishh, kamu ni! Malas pakcik nak layan kamu lagi. Pakcik ni banyak lagi kerja nak buat. Lepas ni kamu semua jangan sibuk-sibuk nak tanya lagi pasal pokok tu. Kalau tidak, kamu dapat masalah nanti.” Kata lelaki tua itu lagi sebelum berlalu dari situ. Herman mahu memanggil pakcik itu semula. Tetapi Baim dan Talha cepat-cepat menghalang. Mereka bimbang jika berlaku pertumpahan darah pula di situ nanti bila Herman tidak dapat mengawal perasaannya. Herman memang jenis yang panas baran sikit. Cepat melenting. Kata-kata pakcik itu pula bunyinya seperti satu ugutan. Macam lelaki psiko pun ada juga.
“Apasal korang halang aku?” “Habis tu, takkan kita orang nak biarkan kau belasah pakcik tu?” Tukas Baim. “Bila masa pula aku nak belasah? Aku cuma belum habis tanya dekat dia lagi.” Herman mengesyaki lelaki tua itu cuba hendak mengelak. Takut mungkin dengan pertanyaannya tadi. “Yalah, tu? Mula-mula memang gaya macam nak tanya. Tapi bila kau dah tak puas hati, mesti kau belasah orang tua tu, kan? Macamlah aku tak tahu perangai kau macam mana. Hari tu pun teruk juga kau belasah si Mazlan tu.” Baim sengaja mengungkit kembali kejadian minggu lepas. Bila lelaki bernama Mazlan itu dipukul teruk oleh Herman kerana mengganggu adik perempuan Herman, Mala. “Dia yang cari pasal dulu dengan aku, siapa suruh? Memang patut pun dia kena belasah. Dia tu kacau adik aku sebab dia nak balas dendam. Tuduh aku rampas awek dia. Padahal awek dia yang syok dekat aku.” Herman tidak akan memukul seseorang itu tanpa sebab. Jika perkara itu boleh mendatangkan kemarahannya, dia mungkin tidak boleh mengawal barannya.
“Eh, kejap? Apasal kita nak cakap pasal benda ni pula? Sekarang ni, kita tengah cakap pasal pakcik psiko tu, okey? Aku rasa dia tipu kita. Mungkin dia dah tahu niat kita untuk datang melihat pokok tu semula.” Tukas Herman. Yakin sangat dia yang pakcik itu sengaja menebang pokok tersebut. “Kalau betul sekalipun pokok tu berpenunggu atau berhantu, apa kena mengena dengan kita? Lagipun pokok tu kan dah ditebang. Mungkin hantu-hantu tu pun dah merayau-rayau ke tempat lain. Dahlah! Buat apa kita nak pening-pening kepala fikirkan semua ni? Lebih baik kita buat kerja kita.” Talha mencelah.Herman dan Baim diam. Mungkin betul apa yang dikatakan Talha. Namun Herman belum menceritakan lagi tentang kejadian seram yang pernah didengarinya di kawasan Taman Indah itu kepada dua rakannya itu. Rasanya dia terpaksa melupakan niatnya. Dia tidak mahu nanti rakan-rakannya berasa tidak selesa pula untuk melakukan tugas di situ.
Kisah yang pernah diceritakan oleh beberapa orang penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan Taman Indah. Tentang seorang penebang pokok tiba-tiba berubah menjadi seorang pembunuh yang kejam. Lelaki itu dikatakan seorang bekas penagih dadah. Selepas keluar daripada pusat pemulihan dia mula melakukan kegiatan penculikan. Beberapa orang gadis yang telah diculik akan diikat pada sebatang pokok. Lalu kepala gadis-gadis itu dikapak tanpa belas kasihan. Lelaki itu pernah diberkas oleh pihak polis. Tetapi berjaya melarikan diri. Sehingga kini pihak polis masih gagal mengesannya.Ada juga cerita dari versi yang berbeza didengarnya. Kononnya, pembunuh bersiri itu telah ditemui mati tanpa kepala oleh salah seorang penduduk. Herman sendiri tidak pasti cerita mana satukah yang betul.
Dia cuma terbayangkan lelaki tua misteri yang berkapak itu. Mungkin lelaki tua itu, pembunuh kejam yang dimaksudkan? Dan apa motif dia menebang pokok itu? Adakah untuk menutup bukti kejahatan yang pernah dilakukannya? Suara-suara pada pokok itu pula, adakah suara dari gadis-gadis yang dibunuh? Macam-macam perkara bermain di benaknya. Herman cuma terfikir, bagaimana jika suatu hari nanti akan terbina rumah di kawasan Taman Indah itu? Kemungkinan penghuni yang mendiami tempat itu akan diganggu oleh suara-suara rintihan yang menyeramkan. -TAMATThank you!\
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit