WANITA KEBAYA MERAH

(Dyla Ham)

Bidan Semah mencerlung tajam memandang Zarif. Dia kemudiannya tersenyum sinis sambil membelek-belek gambar seorang gadis. “Cantik… tak sia-sia kau datang padaku. Siapa namanya?” “Mastura,” jawab Zarif pendek. Bidan Semah membeliakkan matanya memandang Zarif. Dia tersenyum. “Kau jangan khuatir. Dia akan jadi milikmu. Tapi ingat pesanku. Kau kena hati-hati. Suaminya bukan sembarangan orang. Kita perlu cepat. Jangan sampai terlepas,” sambung Bidan Semah lagi.

Muka Bidan Semah mencuka. Dalam hatinya dia berkata-kata. “Sudah lama kau ku cari Embun. Baru sekarang aku berjumpa. Sampai hati kau menukar nama yang telahku berikan padamu. Memang kau anak yang tak mengenang budi. Kau satu-satunya pewaris tunggal yang bakal mewarisi segala ilmuku. Dengan ilmuku, kau boleh menundukkan sesiapa saja yang kau mau. Kau boleh dapat apa sahaja yang kau hajati. Bodoh. Sengaja menolak tuah,” Bidan Semah bermonolog sendiri.

******

Embun memandang ke luar jendela. Pandangannya ditebarkan ke arah awan mendung yang telah sarat mengandung air. Dia memanjatkan rasa syukur pada Sang Pencipta. Kalaulah Ustaz Zaman yang kini telah menjadi suami, tidak menyelamatkannya dahulu, tentu dia telah menjadi mangsa saka, Bidan Semah. Sekarang dia terpaksa bersembunyi dari ibunya sendiri. Embun tahu benar bahawa ibunya akan mencari Embun hingga ke lubang cacing. Dia merupakan satu-satunya waris tunggal yang diharapkan mewarisi ilmu hitam ibunya.

Malam ini, Embun tidak dapat tidur. Dirasakan tubuhnya panas membakar. Bajunya lencun dibasahi peluh. Dia baru selesai mandi tapi kepanasan tidak juga mau surut. Dia berbaring mengharapkan di akan terlelap namun usahanya sia-sia. Zaman pula ketika ini berada di luar bandar, menerima jemputan sebagai penceramah dalam satu sessi usrah.

Tiba-tiba bau busuk seperti bangkai, menusuk tajam menerjah ke dalam lubang hidung Embun. Semakin lama bau itu semakin kuat sehingga kepala Embun sakit menghadamnya. Tubuhnya menjadi kejang. Dia terhenjut-henjut seperti orang yang diserang sawan. Matanya terbelalak ke atas, meninggalkan hanya mata putihnya sahaja.

Bau yang tadinya busuk serta-merta bertukar menjadi wangi yang menyengat. Tubuh Embun berhenti berhenjut. Di tepi katilnya kelihatan seorang wanita cantik berkebaya merah memandangnya dengan senyuman yang meleret. “Jangan takut orang muda. Aku pelindungmu. Bakal menjadi pendampingmu. Tidak lama lagi kita akan bersatu. Bersatu menjadi satu. Kau tunggu saat itu,” katanya sambil mengukir senyuman yang masih tak lekang dari bibirnya.

Di rumah Bidan Semah, gambar Embun diasapkan. Bidan Semah tersenyum. “Tak lama lagi kau akan menggantiku mewarisi semua ilmu hitam Seri Dewi Malam. Kali ini kau tak boleh lari lagi. Suamimu pun takkan mampu menolong mu.” Senyumannya bersambung lagi.

******

Malam ini Ustaz Zaman keresahan. Seperti ada yang sedang memerhatikan gerak gerinya. Sejak dia pulang dari usrah di Kampung Persada Indah, dia dapat merasa ada sesuatu yang tak kena. Ada angin yang tiba-tiba terasa menepis di telinganya, diikuti dengan rasa meremang di tengkuk. “Sayang, buatkan abang secawan kopi,” laung Ustaz Zaman kepada Embun. “Baik bang.” Suara halus Embun kedengaran dari dapur.

Ustaz Zaman mencapai al-Ouran lalu dialunkannya dengan penuh khusyuk. Tiba-tiba kedengaran bunyi gelas pecah di dapur. Embun menjerit. Ustaz Zaman bergegas mendapatkan isterinya. “Ya Allah Mastura.” Segera Ustaz Zaman memangku Embun. Sejak dia membawa Embun lari dari Desa Makmur, nama Embun sudah tidak mereka gunakan lagi. Mereka menggantikannya dengan Mastura kerana bimbang Embun dapat dijejaki oleh Bidan Semah.

Mata Embun terbeliak memandang ke atas. Mulutnya ternganga luas. Badannya keras kejung. Seperti yang pernah berlaku dahulu, badan Embun terhinjut-hinjut seperti sedang sawan. Jelas ternampak urat besar timbul di lehernya. Angin sejuk menerpa dengan bau busuk hanyir seperti bangkai memenuhi ruang rumah itu. Kempas kempis hidung Ustaz Zaman mencerna bau yang membuatkan dia terasa mahu keluar segala isi perutnya. Bau busuk ini diikuti pula oleh wangi yang menyengat. Bau wangi bunga tujuh rupa menerobos ke dalam rongga hidung Ustaz Zaman, membuatkan hidungnya terasa perit. Ustaz Zaman memegang umbun-umbun isterinya yang sedang mengelupur.

Dibacanya al Fatihah, tiga Qul dan surah As Saffat ayat 1-10. (Demi malaikat yang berbaris bersaf-saf. Demi yang mencegah bersungguh-sungguh. Demi yang membacakan peringatan. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Maha Esa. Tuhan langit dan bumi dan apa yang berada di keduanya dan Tuhan tempat terbitnya matahari. Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit dunia dengan hiasan bintang-bintang. Dan telah menjaganya dari setiap syaitan yang derhaka. Mereka tidak dapat mendengar para malaikat dan mereka direjam dari segala penjuru, untuk mengusir mereka dan mereka akan dapat azab yang kekal. Kecuali yang mencuri pembicaraan, maka dia dikejar oleh bintang yang menyala.)

Diulangnya bacaan ini beberapa kali. Badan Embun berhenti bergoyang. Mulutnya terkatup namun matanya masih terbelalak memandang ke atas. Ustaz Zaman menutup mata Embun dengan tangannya. Angin sejuk tiba-tiba menerpa wajah Ustaz Zaman. “Sial kau manusia. Dia hak ku. Selamanya dia hak ku. Itu perjanjian turun temurun. Tiada siapa boleh menyekatnya.”

Kelihatan seorang perempuan cantik berkebaya merah bergentayangan di udara menyerlung tajam ke arah Ustaz Zaman. “Alam kau dan alam kami berbeza. Kau dari api. Kami dari tanah. Tak mungkin boleh bergabung. Tak akan boleh bersatu. Pulang kau ke tempat yang selayaknya bagimu,” jerkah Ustaz Zaman.

Mata perempuan itu merah menyala. Rambutnya yang tadinya bersanggul rapi, mengerbang, kasar seperti penyapu. Wajahnya yang cantik bertukar menjadi tua berkeriput seribu. Dia menyeringai, menampakkan giginya yang kuning kehitaman. Dia membaca mantera yang tidak diketahui maksudnya dengan kuat. Mendepakan tangannya seolah-olah mengumpulkan tenaga dan melonjakkan tenaga itu ke arah Ustaz Zaman. Ustaz Zaman terpelanting ke dinding. Dia mengerang kesakitan.

Sementara itu di rumah Bidan Semah, Bidan Semah tersenyum sinis. Diambilnya sebuah patung kecil yang berbungkus dengan kain putih seakan-akan mayat dan dicucuk di bahagian kaki. “Allahuakbar” Ustaz Zaman menjerit menahan sakit di kakinya. Dicucuk pula bahagian perut patung itu. Sekali lagi Ustaz Zaman mengerang keperitaan. Perutnya terasa memulas, bagai dihiris-hiris dan terasa seperti dicucuk dengan benda tajam.

“Kau bukan tandinganku.” Perempuan tua berkebaya merah itu mengilai membuatkan bulu roma Ustaz Zaman meremang. Ustaz Zaman tidak mengalah. Dia memejamkan matanya. Fikirannya dikosongkan, berserah bulat hanya kepada Allah.

Dia membaca ayatul Kursi diikuti dengan Bismillah Sembilan. (Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dengan nama Allah sekelian alam. Dengan nama Allah yang mempunyai arasy yang agung. Dengan nama Allah yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Dengan nama Allah yang memiliki keagungan suci. Dengan nama Allah Tuhan Jibril. Dengan nama Allah Tuhan Mikail. Dengan nama Allah Tuhan Israfil. Dengan nama Allah Tuhan Izrail. Dan malaikat yang menghampiri kepada mereka. Dan Allah yang menguasai seluruh alam.) lalu dihembus ke tangannya, dibentuk seolah-olah bola api dan dilontarkan laju menyasarkan ke arah perempuan tua itu.

Balingannya tepat kepada sasaran. Mengelitik perempuan tua itu kepanasan. Dia meraung kesakitan yang teramat. Tubuhnya kini diselubungi asap. Diikuti dengan desiran angin yang kuat dari luar. Ustaz Zaman terus membaca. Dia tidak memperdulikan keadaan sekeliling. Dia terus menumpukan sepenuh perhatiannya hanya kepada Yang Satu.

Angin mula mengganas. Lolongan anjing semakin galak. Kepulan asap yang tadinya hanya berada di tubuh orang tua itu tersebak ke seluruh ruang rumah. Ustaz Zaman terbatuk-batuk. Pandangannya kabur. Kepalanya pening, terhidu bau asap yang kuat yang menyengat. Orang tua tadi tersenyum melihat Ustaz Zaman yang sedang mencari nafas. Dengan sekejapan dirinya bertukar semula menjadi wanita cantik berkebaya merah.

“Jangan kau cuba melawan. Jika kau izinkan Embun menjadi pendampingku, kau akan turut menjadi senang. Kau boleh jadi kaya raya. Apa sahaja kemahuanmu akan terkabul. Kau akan mendapat syurga dunia,” kata perempuan itu cuba meyakinkan Ustaz Zaman.

Ustaz Zaman ketawa sinis memperlekehkan syaitan laknatullah itu. “Aku tamak. Syurga dunia tak cukup bagiku. Aku mahukan syurga akhirat. Syurga selama-lamanya. Apa kau boleh beri kepadaku?” Ustaz Zaman memberi pandangan yang menyindir. Perempuan tadi menjadi berang. Dia cuba menyerang lagi. Tapi kali ini Ustaz Zaman tidak lagi memberi peluang. Dia terus membaca Ayatul Kursi dengan lantang berulang kali sehingga setiap serangan yang cuba dilakukan oleh perempuan itu semuanya terkandas.

Sementara itu di rumah Bidan Semah, perkara yang sama turut terjadi. Setiap sendi yang cuba dicucuk pada patung itu, tidak lagi mencederakan Ustaz Zaman sebaliknya sendi Bidan Semah yang merasa sakit. Dia mengerang kesakitan yang teramat. Badannya mengelupur di atas lantai dan keringat bercucuran memenuhi wajah tuanya.

Di rumah Ustaz Zaman, perempuan berkebaya merah tadi sudah mula mengalah. Dia sudah kepenatan. Saingannya bukan calang-calang orang. Dia tidak mampu untuk berlawan lagi. Dia tahu jika dia teruskan, dia pasti akan kalah.

Tidak semena-mena, angin yang tadinya mengganas tiba-tiba surut dan kepulan asap juga turut lenyap perlahan-lahan. Hanya kedengaran suara tangisan perempuan yang mendayu-dayu berlagu sendu. Tangisan itu semakin lama semakin halus dan akhirnya menghilang… Lesap dari pendengaran.

Embun terbangun dari pengsannya. Dia memeluk Ustaz Zaman. “Apa yang terjadi?” Tanyanya keliru apabila dia dapati dirinya terbaring di lantai dapur. “InsyaAllah semuanya dah selesai. Makhluk yang mengganggu sayang, telah tiada. Kita doa banyak-banyak agar tiada gangguan lagi selepas ni ya.” Embun menggangguk lesu.

Lima tahun sudah berlalu. Rumah Bidan Semah sudah ditumbuhi lalang tinggi. Rumahnya terbiar usang tanpa ada sesiapa pun yang sudi bertandang. Seperti kebiasaan, Bidan Semah berkeliaran tanpa arah tujuan. Dia sudah tidak terurus. Rambutnya kusut masai dan bajunya koyak rabak. Dia tidak lagi pulang ke rumah. Dia akan tidur di mana sahaja apabila badannya sudah letih.

Embun dan Zaman sudah beberapa kali memujuk Bidan Semah supaya pulang bersama mereka namun Bidan Semah tidak mahu. Dia memandang Embun dan Ustaz Zaman dengan pamdangan yang jijik. Dia sudah tidak mengenali anaknya lagi. Hanya yang keluar dari mulutnya “Dia… Warisku, Dia… Warisku.” Itu sahaja yang mampu diungkapkan. Semua yang memandang hanya menggelengkan kepala. Dia sudah menjadi seperti orang gila. Gila kerana gagal menurunkan ilmu hitamnya kepada satu-satunya waris tunggal yang dia ada.

******

Hari ini, merupakan hari yang paling menbahagiakan Embun dan Ustaz Zaman. Setelah bertahun-tahun mencuba, akhirnya mereka menerima berita tentang kehamilan Embun. Beberapa kali Ustaz Zaman mengucup perut isterinya. Dia menadah tangan mengucapkan kesyukuran yang tak terhingga ke hadrat Ilahi atas anugerahNya.

Dari kejauhanan kelihatan kelibat perempuan berkebaya merah. Dia memandang kegembiraan mereka dengan sebuah senyuman. “Kita akan bertemu lagi Zaman. Kali ini aku akan pastikan anak di dalam perut isterimu itu akan menjadi hakku selamanya… hak aku selamanya,” katanya sambil mengilai panjang.

Tamat

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 42 Average: 4.7]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.