Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Hai semua! Aku kembali lagi dengan kisah seram yang kali ni aku nak kongsikan dari kampung sebelah ayah aku Kampung Tanjung Lama, sebuah kampung nelayan kecil di daerah Kuala Penyu, Sabah. Terima kasih FS kalau kisah ni dipublish.
Walaupun kampung ni terletak tak jauh dari jalan utama menuju ke Menumbok, suasana malam di sini tetap… lain. Bila senja, angin laut mula membawa bau masin dan dingin yang menyusup tulang. Sunyi, hanya bunyi ombak kecil dan sesekali unggas. Orang lama-lama di sini memang pantang anak-anak berkeliaran lepas pukul 6.30 petang. Semua pintu dan tingkap akan ditutup, dan mandi malam jadi wajib sebelum azan maghrib berkumandang.
Kebanyakan cerita seram ni aku dengar dari moyang dan mak aku sendiri. Jadi aku tulis semula untuk korang baca.
CERITA MOYANG
1. PEREMPUAN DI PANTAI
Lebih kurang 28 tahun lalu, ada seorang wanita cantik di kampung ni kita panggil dia Murni. Dia dah berkahwin dan punya 5 orang anak. Masa hamil anak keenam, tak ada pula tanda pelik. Tapi waktu bersalin, ajal dia sampai. Dia meninggal kerana pendarahan, dan anak yang dikandung pun tak sempat hidup.
Ketika jenazah Murni dan anaknya dibawa ke tanah perkuburan (masa tu belum ada jalan untuk van jenazah), orang kampung berjalan beramai-ramai. Tiba-tiba, kedengaran suara tangisan dari arah pantai, suara yang sangat mirip dengan suara Murni. Ramai yang ternampak dia berdiri di tepi pohon kelapa tua, memerhati rombongan jenazah. Walaupun seram, mereka tetap perlu melalui jalan itu.
Kata orang lama, itu kerja jin yang menyerupai. Tapi ramai percaya itu adalah Murni yang “menghantar” dirinya sendiri ke tempat persemadian.
2. TERIMA KASIH TOKCU
Selepas Murni meninggal, moyang aku yang dipanggil Tokcu mengambil alih menjaga anak-anak Murni kerana suaminya bekerja di laut pada waktu malam.
Satu malam, Tokcu terjaga dari tidur kerana terasa seperti rambut halus menyapu mukanya. Bila buka mata, di hujung kaki dia nampak kelibat Murni berdiri, wajahnya sayu. Murni memandang Tokcu dan berkata perlahan,
“Terima kasih… jaga anak-anak saya.”
Itu kali pertama dan terakhir Tokcu melihatnya. Selepas malam itu, tiada lagi gangguan. Seolah-olah itu hanyalah salam perpisahan.
CERITA MAK
Mak aku dulu mengaji dengan Pak Lang, abang ipar moyang. Rumah mereka dekat, cuma beberapa minit berjalan kaki. Tapi setiap kali mak balik mengaji waktu malam, Pak Lang selalu pesan:
“Jangan sesekali pandang belakang sampai masuk rumah.”
Mak aku jenis penakut tapi malam itu dia rasa ingin tahu. Sampai di tangga rumah, dia pun toleh ke belakang… dan di hujung lorong dia nampak seekor harimau putih besar, matanya tajam, memerhati. Perutnya meleret menyentuh tanah. Mak menjerit dan terus masuk rumah. Kata orang tua, itu bukan harimau biasa, tapi penunggu kampung yang menjaga anak-anak orang mengaji. Walaupun niatnya baik, rupanya tetap menggerunkan.
CERITA AKU DAN KAKAK
Masa ni moyang masih hidup, dan setiap hujung minggu kami balik ke Tanjung Lama. Petang tu, entah kenapa kami berdua merayap naik motor sampai hampir masuk waktu maghrib. Laluan kami melalui rumah Pak Mat, jiran moyang yang suka duduk di beranda sambil menghisap rokok daun.
Kami nampak Pak Mat duduk di kerusi malas, jadi kami tegur. Dia cuma senyum dan angkat tangan. Sampai di rumah, kami cerita pada moyang. Tapi moyang terus pandang kami dengan muka serius dan berkata:
“Kamu jangan main-main… Pak Mat dah seminggu meninggal.”
Masa tu terus meremang. Memang patut orang lama larang balik lewat senja.
Sekarang Kampung Tanjung Lama dah tak semeriah dulu. Ramai penduduknya pindah, rumah kosong bersusun, dan kawasan jadi sunyi. Hanya tinggal deru angin laut… membawa sekali kisah-kisah lama yang mungkin tak akan dilupakan.
Pukul 6 bukan dah masuk maghrib ke kat sana??