Teringat…
Masa menyewa di padang tengku dulu, aku pernah menyaksikan upacara halau hantu/ beri makan hantu lapar oleh masyarakat cina kat situ. Kalau tak silap bulan ogos atau september. Senang je nak tau bila upacara tu dibuat. Kalau ada banyak bendera segi tiga warna warni tepi jalan, itu tandanya semakin dekat dengan hari upacara. Hari itu, aku pergi kr tapak perayaan dengan housemates iaitu kak Pijan dan Yana . Siap bawak DSLR konon nak shot gambar- gambar menarik di sana nanti.
Masih terbayang di ingatan, suasana sangat meriah masa tu sebab upacara ni dilakukan di laluan utama pekan Padang Tengku. Jadi kalau nak keluar atau masuk, kena gunakan jalan alternatif. Khemah-khemah dipasang sepanjang jalan. Makanan sangat banyak pelbagai jenis disusun atas meja panjang. Tidak dilupakan kepala sajian – roasted pork and lamb. Seekor-seekor diletak atas meja tanpa dipotong. Semua makanan tersebut seolah2 dihidang kepada satu patung dewa yang sangat besar yang berada di atas replika kapal yang letaknya di hujung
khemah besar. Kalau tak silap aku inilah dewa yang dikatakan bertugas membimbing roh2 yang sesat dan berkeliaran di dunia untuk kembali ke tempat mereka.
Malam upacara tersebut dimulakan dengan hiburan konsert di pentas atas pentas sementara yang dibina beberapa hari sebelum hari besar. Hadirin yang datang berhibur menyaksikan persembahan nyanyian oleh gadis2 berpakaian seksi sambil ‘yam seng’ dan makan-makan. Kemudian, menjelang tengah malam, upacara ‘halau hantu’ dilakukan. Sami menabur replika duit, beras di sekeliling kawasan upacara. Kemudian semua hadirin yang berkumpul akan bertafakur. Ada auntie kat kedai bagi tau kami, masa ni kalau dengar nama kita dipanggil atau orang tepuk bahu jangan menoleh atau menyahut. Itu mungkin roh/ hantu. Katanya lagi orang yang ada ‘sixth sense’ akan dapat tengok macam2 jenis roh/ hantu masa ni dalam kalangan ramai manusia yang ada.
Kemudian semua hadirin di situ berarak sambil membawa patung dewa dan replika kapal diketuai oleh sami. Tepat jam 12 malam patung dan kapal tadi dibakar, di bawah pokok besar di tepi jalan. Pokok tu memang menyeramkan sejak azali. Sambil patung dibakar, semua orang akan membaling replika barang kecil dan duit kertas ke dalam api (simbol kepada hadiah barangan dan keperluan kepada si mati)
Kami bertiga setia berdiri di tepi jalan menyaksikan upacara dengan penuh asyik. Kebetulan rumah rakan guru iaitu Kak Rin betul2 berhadapan dengan pokok besar tu. Bahang api memang terasa panas mengigit kulit dan muka sebab patung dewa tu sangat besar dan tinggi. Cebisan kertas sembahyang yang terbakar berterbangan di udara. Agak seram sebenarnya. Tapi kami bertahan juga sampai habis, kerana teruja nak tengok kesudahannya. Masa ni bunyi loceng sami memang bingit dan tak henti-henti. Setelah beberapa ketika, patung dewa tu hampir habis terbakar. Strukturnya sudah goyah lantas terus tumbang menyembah bumi. Kaum cina percaya arah tumbangnya patung dewa itu membawa nasib baik dan kekayaan.
Selesai upacara kami bertiga pun terus balik. Sampai di rumah aku segera mandi dan menuukar pakaian. Pakaian yang aku pakai tadi aku rendam di bilik air. Berdoa agar benda2 tak diikut oleh benda2 tak elok. Selesai solat aku terus tidur. Aku bermimpi…..
Aku berada semula di tempat upacara halau hantu. Tapi kali ni agak pelik. Hanya aku , kak pijan dan yana sahaja di situ. Kami sedang mengadap patung dewa yang sedang terbakar. Hangat membahang ke badan kami. Bau kertas terbakar juga jelas. Tiba2 patung yang dibakar bertukar menjadi bola api yang sangat besar. Bola api itu mengejar kami bertiga. Kami lari ketakutan. Kami berpecah tapi ia terus mengejar aku.. akhirnya aku dah tak mampu berlari dan bola api itu melanggar aku.. boommm!!!
Aku terjaga. Baju dan katil basah dek peluh. Aku dapat rasakan badan berbahang api. Bau kertas terbakar sangat kuat walhal aku dah mandi sebelum tidur. Anjing menyalak sayup2. Betul2 ngeri perasaan aku ketika itu. Tubuh aku menggeletar ketakutan sehingga menjelang pagi. Itulah kali pertama dan terakhir aku jejakkan kaki di upacara sebegitu. Nampak macam karut. Tapi itu yang terjadi. Seminggu aku tak tenteram, tak boleh tidur malam, badan panas dan mimpi buruk. Sampai terpaksa pergi berubat barulah aku kembali seperti biasa. Walaupun kisah ini tidak terlalu seram pada orang lain yang mendengar atau membaca, tapi bagi aku yang mengalami, sukar nak dijelaskan betapa pengalaman ini memberi kesan kepada aku. Dan bila tiba musim perayaan hantu lapar saban tahun, aku pasti akan teringat-ingat apa yang telah dialami. Sekian..
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit