Tetamu Malam di Koridor Asrama

Malam kian larut membungkus sepi,
Dingin mencengkam menusuk ke hati,
Bukan semua yang mengetuk itu berbudi,
Ada yang datang sekadar mencari saksi.

Assalamualaikum w.b.t kepada para pembaca Fiksyen Shasha sekalian. Terlebih dahulu, jutaan terima kasih saya tujukan kepada admin FS sekiranya nukilan pengalaman ini terpilih untuk disiarkan. Saya merupakan pembaca setia setiap perkongsian seram di sini, dan kali ini, giliran saya pula untuk berkongsi satu kejadian yang berlaku semasa zaman asrama saya beberapa tahun yang lalu.

Kisah ini bukanlah terjadi kepada saya secara langsung, namun saya terlibat secara tidak sengaja sebaik sahaja rakan saya menceritakan apa yang berlaku. Kejadian ini berlaku ketika kami berada di Tingkatan 3 di sebuah sekolah perempuan yang agak ternama.

Pada tahun itu, semua pelajar Tingkatan 3 ditempatkan di satu blok yang sama. Menjelang peperiksaan PMR, ramai antara kami yang rajin stay up untuk mengulangkaji pelajaran. Salah seorang daripadanya adalah sahabat saya, Cheqmie.

Dipendekkan cerita, pada suatu malam, Cheqmie dan beberapa rakan belajar di koridor luar dorm kerana lampu koridor lebih terang. Memandangkan kedudukan dorm kami di hujung aras dan berdekatan dengan sebatang pokok besar yang mempunyai ‘sejarahnya’ tersendiri, suasana memang agak suram.

Tepat jam 1 pagi, mereka bersurai. Sebelum masuk tidur, Cheqmie yang agak alim orangnya sempat membaca Ayat Kursi dan surah-surah pendek sebagai pendinding dorm, apatah lagi sekolah kami baru sahaja pulih dari serangan histeria yang teruk. Namun, sebaik sahaja dia membaringkan diri di katil bawah, pintu dorm diketuk bertalu-talu dengan sangat kuat!

“Siapa?” tanya Cheqmie berani. Tiada sahutan, hanya bunyi ketukan yang semakin menggila.

Apa yang peliknya, hanya Cheqmie yang mendengar bunyi itu sedangkan rakan dorm yang lain tidur dengan nyenyak seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dalam ketakutan, Cheqmie berselubung di bawah selimut. Tidak lama kemudian, dia mendengar pintu dorm terbuka luas dan satu suara garau menjerkah tepat di belakang telinganya

“Kenapa kau tak buka pintu?!”

Katil yang didudukinya terasa terhenyak, seolah-olah ada sesuatu yang berat sedang duduk di sisinya. Dalam keadaan menggigil, Cheqmie melompat turun dari katil dan berlari ke tengah dorm untuk tidur berhimpit dengan rakan-rakan lain. Namun, makhluk itu tidak berhenti di situ ia ketawa mengilai tepat di telinga Cheqmie.

Apa yang paling menyeramkan, suara ketawa itu sebiji menyerupai suara ketawa saya, cuma versinya lebih ngeri dan disertai dengan hilaian yang panjang.

Keesokan harinya, selepas Cheqmie menceritakan segalanya, kami semua meremang bulu roma. Saya sendiri terus insaf dan tidak berani lagi ketawa kuat-kuat. Kami percaya, mungkin ‘benda’ itu tidak dapat masuk secara terus kerana Cheqmie sudah membaca ayat pendinding pada mulanya, sebab itulah ia ‘meminta izin’ dengan mengetuk pintu dahulu.

Begitulah serba sedikit kisah “Tetamu Malam” yang ingin saya kongsikan. Benarlah, mereka juga makhluk Allah, namun dunia kita tetap berbeza. Sekian, terima kasih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.