TRAGEDI DI PUNCAK MERAYU AKHIR

Kehidupan aku selepas malam di Puncak Merayu tidak pernah kembali kepada sedia kala. Walaupun fizikal aku sudah sembuh, jiwa aku seolah-olah tertinggal di celah-celah rumpun buluh banjaran itu.

Setiap kali hujan turun lebat pada waktu malam, aku akan mendengar bunyi geselan buluh yang sangat kuat di luar tingkap bilik, seolah-olah rimba itu memanggil aku pulang untuk menyelesaikan apa yang tertunda. Idham dan Lan juga tidak lagi aktif mendaki kami seolah-olah mempunyai perjanjian tidak bertulis untuk tidak lagi menyebut nama gunung itu dalam perbualan kami.

Dua tahun kemudian, aku menerima sebuah sampul surat coklat tanpa setem yang diletakkan di bawah pintu rumah. Di dalamnya terdapat sekeping gambar lama gambar kumpulan pendaki kami di kaki Puncak Merayu sebelum memulakan pendakian.

Apa yang mengejutkan, wajah seseorang di dalam gambar itu telah digores dengan benda tajam sehingga hancur. Orang itu bukanlah aku, Idham, mahupun Lan. Ia adalah wajah Shidot, rakan yang paling tenang sepanjang perjalanan kami. Di belakang gambar itu tertulis sebaris ayat ringkas yang membuatkan darahku tersirap: “Hutang darah harus dibayar dengan nyawa. Dia yang membawa ‘kami’ pulang.”

Aku segera menghubungi Idham. Kami bertemu di sebuah kedai kopi yang sunyi. Wajah Idham kelihatan cengkung. Dia kemudian membongkar satu rahsia yang selama ini disimpan kemas. Rupa-rupanya, Shidot bukanlah sekadar peserta biasa. Dia adalah anak kepada seorang pengamal ilmu hitam di sebuah kampung di kaki gunung tersebut yang telah dibuang daerah bertahun-tahun lamanya. Shidot menyertai trip kami dengan satu misi rahsia untuk membawa semula ‘penjaga’ keluarganya yang terperangkap di puncak gunung tersebut masuk ke dalam dunia manusia melalui perantaraan tubuh orang lain.

“Rara, kau ingat tak masa kau tiba-tiba nak makan megi kat Lolo?” tanya Idham dengan nada bergetar. Aku mengangguk. “Masa tu sebenarnya Shidot dah letakkan sesuatu dalam air yang dia jerang. Dia nak kau jadi ‘perumah’ untuk benda tu. Sebab tu aku berkeras ajak kau keluar cepat sebelum Maghrib. Aku nampak Shidot tersenyum sendiri masa kau tengah meracau nak makan tu. Matanya bukan lagi mata Shidot yang kita kenal.”

Patutlah sepanjang perjalanan turun, Idham memacu langkah dengan begitu menggila. Dia sebenarnya sedang melarikan aku daripada Shidot dan entiti yang sedang merayap di belakang kami. Shidot sendiri hilang secara misteri tiga bulan selepas trip tersebut. Ada yang kata dia sudah kembali ke hutan untuk menetap di sana, dan ada yang kata dia telah ‘ditelan’ oleh peliharaannya sendiri kerana gagal menyediakan mangsa yang dijanjikan.

Penghujung kisah ini sampai kepada aku melalui satu panggilan telefon daripada ibu Shidot sebulan selepas pertemuanku dengan Idham. Dengan suara yang serak, dia memberitahu bahawa Shidot telah ditemui mati di dalam biliknya dalam keadaan tubuhnya kering kontang seperti mayat yang sudah bertahun lama, padahal jiran-jiran baru sahaja melihatnya pulang ke rumah sehari sebelum itu. Di tangan Shidot, terdapat segenggam tanah hitam dan beberapa helai rambut panjang yang kasar rambut yang sama aku lihat pada kelibat di Puncak Merayu.

Sejak hari itu, gangguan yang aku alami mula menghilang. Bunyi geselan buluh tidak lagi kedengaran. Aku sedar, wanita tua berpakaian hitam yang menghalang jalan kami di pintu hutan dahulu sebenarnya bukanlah ingin menyakiti, tetapi cuba memberi amaran tentang ‘musuh dalam selimut’ yang berjalan bersama kami.

Kini, setiap kali aku melihat gunung dari jauh, aku hanya mampu mengirimkan doa. Hutan itu punya rahsia, dan manusia punya dendam; apabila keduanya bersatu, tiada jalan pulang yang benar-benar selamat. Kisah Puncak Merayu kini tamat buatku, namun parutnya tetap kekal sebagai peringatan bahawa syaitan yang paling berbahaya kadangkala adalah mereka yang duduk semeja dengan kita.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.