Kisah ini bukanlah tentang hantu yang melompat di balik pokok pisang, tetapi tentang bagaimana sebuah perjalanan menuju taubat boleh menjadi pintu masuk ke satu dunia yang melangkaui kewarasan akal. Segalanya bermula sekitar tahun 2017. Keluarga aku ditimpa musibah besar apabila kami diserang sihir pemisah dan penutup rezeki.
Puncanya klasik hasad dengki manusia yang melihat kebahagiaan kami sebagai satu ancaman. Selepas berbulan-bulan menderita dengan pelbagai gangguan fizikal dan mental, kami akhirnya bertemu dengan seorang pengamal perubatan Islam yang berjaya membersihkan rumah mak aku daripada segala ‘benda’ yang ditanam.
Namun, bagi aku, pembersihan itu hanyalah satu permulaan. Sebelum kejadian ini, aku akui aku seorang yang agak jahil. Solat aku penuh dengan lubang, dan Al-Quran di rumah hanyalah sekadar perhiasan yang berhabuk di atas almari. Kesakitan yang menimpa keluarga menyedarkan aku.
Aku mula berubah. Aku mula menutup segala lubang solat yang tertinggal dan mewajibkan diri untuk mengaji setiap malam selepas Isyak. Tetapi, sebaik sahaja aku mula mendekatkan diri kepada Tuhan, sesuatu yang aneh mula terjadi. Aku mula didatangi oleh sebuah suara.
Suara itu milik seorang lelaki. Garau, berwibawa, dan sangat tenang. Hampir setiap malam ketika aku sedang berada di antara fasa sedar dan tidur, suara itu akan berbisik di telinga aku. Kadangkala dia memberi salam, dan kadangkala dia memberi pesanan.
Pernah satu malam, tepat jam dua pagi, suara itu mengejutkan aku dengan nada yang tegas namun lembut, menyuruh aku bangun untuk bertahajud dan membaca surah Al-Mulk. Sebagai manusia biasa yang masih ada sifat malas, aku hanya mampu bangun melihat jam, mengangguk sendiri, kemudian menarik selimut dan sambung tidur. Mengantuk tu tak boleh bawa bincang, beb!
Kemuncak kejadian ini berlaku apabila aku bermimpi dibawa ke sebuah istana yang sangat indah. Baunya semerbak harum, seperti campuran kasturi dan air mawar. Di sana, aku dilayan seperti tetamu kehormat. Aku dijemput masuk ke sebuah taman yang mempunyai kolam air jernih yang bercahaya. Aku merasa sangat tenang sehingga aku merayu untuk tinggal di situ lebih lama.
Namun, dalam mimpi seterusnya, aku menjadi sedikit berani dan ingin tahu. Aku melangkah masuk ke dalam sebuah bilik besar yang mempunyai pintu berwarna emas sebuah bilik yang aku rasakan sangat ‘berat’ auranya. Sebaik sahaja aku menjejakkan kaki ke dalam, seluruh istana itu bergegar hebat seperti dilanda gempa bumi dan aku terjaga dalam keadaan tercungap-ungap.
Esoknya, ketika aku sedang memotong sayur di dapur, tiba-tiba aku rasa pedih yang amat sangat di bahagian betis kanan. Zapp! Rasanya seperti kulit aku disisip dengan pisau yang sangat tajam. Aku menjerit dan terduduk, mencari-cari jika ada kaca atau serangga berbisa, tapi tiada apa-apa. Selang beberapa minit, satu lagi ‘kelaran’ ghaib terasa di bahagian belakang bahu aku. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Walaupun tiada luka berdarah yang kelihatan, esoknya betis aku berubah menjadi lebam biru kehitaman yang sangat besar, persis kesan dipukul dengan besi.
Kerana tidak tahan dengan rasa sakit yang berlarutan selama sebulan, aku kembali bertemu dengan perawat yang merawat keluarga aku dahulu. Sebaik sahaja dia melihat lebam di betis aku, dia mengeluh panjang. Katanya, itu adalah ‘hukuman’ kerana aku telah menceroboh masuk ke kawasan larangan dalam dimensi mereka.
Lebih mengejutkan apabila perawat itu memberitahu bahawa suara lelaki yang sering mengejutkan aku itu adalah seorang ‘pembesar’ dari alam sebelah yang telah jatuh hati dan ingin menjaga aku sebagai ‘permaisurinya’ kerana cahaya ibadah yang mula terpancar pada wajah aku.
Aku ternganga. Rasa nak gelak pun ada, nak menangis pun ada. Aku ni bukanlah cantik mana, kulit pun biasa-biasa, berat badan pun boleh tahan ‘gedempolnya’. Raja mana yang selera nak buat aku jadi permaisuri? Adakah ini satu penghormatan atau satu musibah? Aku tidak pernah meminta pendamping, dan aku juga tidak mahu didampingi oleh makhluk yang tidak kelihatan.
Walaupun tujuannya nampak seperti mahu menjaga dan membimbing aku beribadah, namun hakikat bahawa mereka boleh mencederakan aku secara fizikal hanya kerana sebuah mimpi membuatkan aku rasa tidak selamat.
Sehingga ke hari ini, lebam itu sudah hilang tetapi rasa sakitnya sesekali masih berdenyut. Aku tidak tahu sama ada ‘dia’ masih ada di sisi atau sudah pergi. Apa yang aku lakukan sekarang hanyalah terus istiqamah dengan ibadah dan memohon pelindungan sepenuhnya daripada Allah. Aku sedar, sebaik-baik penjaga hanyalah Dia.
Pengalaman ini benar-benar membuatkan aku merenung kembali kesilapan masa lalu; bahawa syaitan dan jin akan sentiasa mencari ruang untuk masuk ke dalam hidup kita, sama ada melalui kejahilan kita ataupun melalui pintu ‘kebaikan’ yang tidak dipagari dengan ilmu yang betul. Biarlah Allah sahaja yang mendampingi hati ini, tanpa perlu ada ‘raja’ ghaib yang memerhati dari balik bayang-bayang. Tamat.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit