Tangisan Berdarah

Salam sejahtera buat semua pembaca setia. Kisah yang bakal aku rungkitkan ini merupakan himpunan memori hitam yang tersimpan kemas dalam sejarah keluarga kami. Kami dahulu menetap di sebuah perkampungan yang agak terpencil, di mana sempadan tanah rumah arwah datuk dan nenek hanyalah dipisahkan oleh sebaris pokok pisang dengan kawasan perkuburan lama. Keadaan rumah kampung yang serba daif dan reka bentuknya yang agak terasing sering kali mengundang pelbagai peristiwa yang sukar diterima dek akal fikiran.

Peristiwa pertama ini berlaku sewaktu ibuku masih remaja, sebuah kejadian yang diceritakan sendiri olehnya dan masih mampu membuatkan bulu romaku meremang setiap kali mendengarnya. Pada suatu petang yang redup, sebuah lori muatan berat telah terlibat dalam kemalangan ngeri di jalan utama kampung, mengorbankan seorang pemuda tempatan.

Keadaan mayatnya amat tragis dikatakan semasa proses pengebumian dijalankan pada waktu asar, kain kafan yang membaluti tubuh mangsa bertukar menjadi merah pekat kerana darah yang terus-menerus membuak keluar tanpa henti, seolah-olah enggan mengering.

Selepas urusan pengebumian selesai, suasana tanah kubur beransur sepi. Tiba-tiba, salah seorang ahli keluarga si mati yang turut membantu menurunkan jenazah telah datang ke rumah nenek dengan tergesa-gesa. Pakaiannya lencun dengan peluh dan tangan kanannya dipenuhi dengan sisa tanah serta tompokan darah kering milik mangsa.

Dengan nada yang cemas, dia meminta izin untuk menumpang membasuh tangannya di singki luar yang terletak bersebelahan dengan bilik mandi. Nenek yang sememangnya seorang yang pemurah tanpa berfikir panjang terus mengizinkannya. Selepas mengucapkan terima kasih, lelaki itu pun beredar pulang.

Misteri bermula apabila malam kian melabuhkan tirainya. Kira-kira jam 10:00 malam, ibu dan ibu saudaraku, Mak Long, berjalan menuju ke dapur untuk membancuh minuman. Sedang mereka leka berbual, telinga mereka menangkap satu bunyi yang amat menyayat hati dari arah bilik mandi di luar. Ia adalah suara seorang wanita yang sedang menangis teresak-esak, diselangi dengan bunyi air paip yang menitik perlahan. Didorong oleh rasa berani dan menyangka mungkin ada sepupu kami yang sedang bersedih, ibu memberanikan diri melangkah keluar dan memulas tombol pintu bilik mandi yang tidak berkunci itu.

Sebaik sahaja pintu terbuka, bau hanyir darah yang amat pekat terus menerpa ke rongga hidung mereka. Di bawah suluhan lampu kalimantang yang samar, berdiri tegak satu susuk tubuh yang dibaluti kain putih di sudut dinding. Namun, kain itu tidak lagi bersih; ia dipenuhi dengan simbahan darah segar yang masih basah dari atas kepala membawa ke bawah.

Makhluk itu melompat kecil menghadap ke arah paip air, seolah-olah cuba membasuh sesuatu yang tidak kelihatan sambil bahunya terhinggut-hinggut menahan tangis yang hiba. Ibu dan Mak Long yang tergamam tidak mampu mengeluarkan suara. Dalam keadaan lutut yang menggigil, mereka berpaling dan memecut lintang-pukang masuk ke dalam bilik, menyelubungi diri di dalam selimut sehingga ke subuh.

Keesokan paginya, cerita itu disampaikan kepada nenek. Dengan wajah yang serius, nenek segera memeriksa kawasan singki dan paip luar tersebut. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati sisa darah malam tadi masih melekat merah di keliling paip besi itu, malah air basuhan yang mengalir ke longkang belakang rumah turut meninggalkan kesan daki kemerahan yang pekat. Paip itu sebenarnya disambungkan terus ke tangki siraman tanaman nenek, menyebabkan alirannya terus ke tanah terbuka. Nenek yang menyedari ada sesuatu yang tidak kena segera mengambil sebaldi air yasin dan menyental bersih kawasan tersebut bagi mengelakkan gangguan berlarutan. Syukurlah, selepas kesan darah itu tiada, kelibat entiti berdarah itu tidak lagi kelihatan.

Kisah kedua pula dialami oleh Mak Long sendiri beberapa tahun selepas kejadian pertama. Pada suatu malam, ketika seluruh ahli keluarga sedang berkumpul di ruang makan untuk menikmati makan malam, bekalan elektrik tiba-tiba terputus secara mendadak.

Suasana menjadi gelap gelita. Adik-beradik ibu yang lain bertaburan lari ke ruang tamu dalam keadaan panik. Maklumlah, susun atur dapur rumah nenek itu agak menyeramkan; jika tingkap kayu di ruang memasak dibuka, pandangan mata akan terus tertancap pada jajaran batu nisan di luar.

Entah bagaimana, Mak Long tertinggal sendirian di dapur. Kerana perutnya yang teramat lapar, dia memilih untuk bertenang. Dia menyalakan sebatang lilin kecil, meletakkannya di atas meja makan, dan menyambung suapannya dalam kesamaran cahaya oren yang meliuk-liuk ditiup angin. Sedang dia asyik mengunyah, angin kencang tiba-tiba menolak daun tingkap kayu dapur sehingga terbuka luas secara kasar. Daun tingkap itu berdentam kuat pada dinding luar.

Mak Long menoleh ke arah tingkap. Apa yang disaksikan oleh matanya pada malam itu hampir merentap tangkai jantungnya. Di ruang kosong tingkap tersebut, muncul satu wajah makhluk yang teramat besar, menyamai saiz bingkai tingkap itu sendiri. Kulit wajahnya pucat pasi bagai mayat terendam, matanya yang merah menyala merenung tajam tepat ke arah Mak Long, dan sehelai lidah yang panjang serta hitam terjelir keluar sehingga melorot ke bendul tingkap.

Lebih mengerikan lagi, apabila Mak Long melihat ke bawah, pinggan makannya kini dipenuhi dengan cecair merah pekat, dan kedua-dua belah tangannya sendiri kelihatan seperti baru sahaja dilumuri darah segar. Mak Long menjerit histeria sebelum rebah tidak sedarkan diri. Nenek yang mempunyai sedikit ilmu perubatan Islam segera meluru ke dapur, memangku Mak Long sambil membacakan ayat-ayat suci Al-Quran lalu menghembus ke wajahnya. Selepas tersedar, Mak Long mengalami trauma yang amat mendalam dan tidak lagi berani jejak ke dapur seorang diri selepas maghrib.

Kisah ketiga merupakan pengalaman hitam yang berlaku ke atas diri aku sendiri sewaktu pulang bercuti di rumah nenek pada usia belasan tahun. Waktu itu jam sudah menunjukkan pukul 12:30 tengah malam. Perut aku tiba-tiba memulas dengan hebat, menandakan panggilan alam yang tidak boleh ditangguh lagi. Memandangkan bilik air dan tandas terletak di bahagian luar rumah dan berhampiran dengan kawasan kubur, aku yang diselubungi ketakutan terpaksa mengejutkan sepupuku, Khairul, untuk menemaniku.

Kami berdua berjalan perlahan menuruni anak tangga kayu rumah. Sebaik sahaja kaki kami mencecah tanah, sekonyong-konyong angin malam bertiup kencang dengan bunyi desiran yang menyeramkan, membuatkan dedaun pokok pisang melambai-lambai kasar. Suasana menjadi tersangat dingin. Aku meluru masuk ke dalam tandas dindang zink manakala Khairul menunggu di luar, rapat pada pintu. “Kau jangan senyap, Khairul. Cakap apa-apa jek dengan aku, aku takut ni,” laung aku dari dalam. Khairul akur, dia terus membebel tentang hal-hal sekolah semata-mata untuk memecah kesunyian malam yang mencengkam.

Selepas urusan selesai, aku keluar dengan segera. Kami berdua tidak membuang masa dan terus mengambil langkah seribu untuk kembali ke rumah utama. Namun, ketika kami sedang berlari anak menuju ke tangga, aku terpandang ke arah ruang bawah rumah yang bertiang tinggi. Di dalam kegelapan bawah struktur rumah itu, kelihatan susuk tubuh seorang wanita berbaju putih koyak-rabak dengan rambut hitam panjang mengurai yang menutup seluruh wajahnya. Makhluk itu sedang merangkak laju di atas tanah, cuba mengejar langkah kami dengan pergerakan yang tidak semula jadi.

“Khairul, lari cepat!” jerit aku dengan suara yang hampir pecah. Kami memecut sekuat hati. Dalam kekalutan itu, aku cuba melaungkan nama nenek dan membaca ayat Kursi, namun anehnya, suara kami seolah-olah diserap oleh kegelapan malam; tiada bunyi yang keluar dari mulut seolah-olah kami sedang menjerit dalam bisu.

Tiba-tiba, aku merasakan satu tekanan angin yang amat berat bertiup tepat di atas ubun-ubun kepala aku, berserta bau busuk bangkai yang amat meloyakan, menandakan benda itu sedang terbang rendah betul-betul di atas kami. Kami merempuh pintu rumah dengan rempuhan yang kuat, mencampakkan diri ke dalam ruang tamu yang selamat. Makhluk itu ghaib serta-merta. Tanpa membuang masa, kami membasuh kaki dengan air simpanan di pintu dan terus tidur dalam keadaan menggigil ketakutan di bawah satu selimut yang sama.

Rentetan peristiwa mistik ini ditutup dengan kisah keempat yang dialami oleh ibuku sebelum dia mendirikan rumah tangga. Pada waktu itu, ibu bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya mini di pekan, bermula dari jam 10:00 pagi sehinggalah tamat syif pada pukul 10:00 malam. Tugas menjemput dan menghantar ibu pulang diserahkan sepenuhnya kepada bapa saudaraku, Pak Su, yang setia menunggang motosikal menembus jalan kampung yang gelap gelita setiap malam.

Pada malam kejadian, ibu tiba di rumah dalam keadaan yang teramat letih. Selepas membersihkan diri secara ringkas, dia terus melangkah masuk ke dalam bilik tidur dan merebahkan badannya di atas katil bujangnya. Suasana bilik malam itu terasa agak bahang. Sedang ibu cuba melelapkan mata, tiba-tiba seluruh bulu roma di tubuhnya meremang tegak secara serentak. Ibu merasakan satu entiti yang sangat sejuk sedang berbaring rapat di sebelah kirinya, menghimpit ruang tilamnya yang sempit.

Ibu memberanikan diri menoleh ke sisi. Jantungnya seakan terhenti apabila mendapati sekujur tubuh yang terbungkus rapat dengan kain kafan lusuh sedang berbaring di sebelahnya. Apa yang membuatkan ibu trauma adalah bahagian mukanya ikatan di kepala makhluk itu sudah terbuka, mendedahkan rupa paras yang tidak lagi mempunyai daging hanya tengkorak putih yang kering dengan lubang mata yang hitam legam dan kosong, merenung tepat ke dalam anak mata ibu.

Ibu segera meloncat bangun dari katil, duduk bersila di sudut dinding sambil memejamkan mata rapat-rapat, meratibkan segala surah Al-Quran yang diingatinya dengan suara yang terketar-ketar. Selepas beberapa minit bertarung dengan ketakutan yang teramat sangat, bayangan ngeri itu akhirnya pudar dan hilang daripada pandangan. Keesokan harinya, ibu jatuh sakit dan mengalami demam panas selama tiga hari berturut-turut akibat kejutan emosi yang terlampau dasyat.

Itulah serba sedikit cebisan kisah misteri yang menyelubungi kehidupan keluarga kami di rumah yang terletak bersebelahan dengan tanah perkuburan. Pengalaman-pengalaman ini menjadi bukti bahawa garis pemisah antara dunia kita dan dunia mereka kadangkala tersangat nipis, terutamanya di tempat-tempat yang sunyi dan terasing.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.