Est. 2015 Fiksyen Shasha Kisah Benar

Rahsia Laluan Lama Kampungku

Sampai sekarang, ada satu rahsia yang aku simpan sendirian, sejak dua tahun sebelum aku kahwin dengan Nur Ilyana. Bukan rahsia besar yang boleh memusnahkan rumah tangga, tetapi cukup untuk membuatkan aku berjaga separuh malam, tiap kali teringat detik itu. Aku, Fairuz, ketika itu berumur dua puluh empat tahun, bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang simpanan alat ganti kenderaan berat, hampir dua puluh kilometer dari kampungku, Kampung Paya Rusa.

Syif kerjaku tidak menentu. Ada kalanya pagi, ada kalanya tengah hari, dan yang paling aku benci, syif malam yang tamat jam sepuluh. Bukan sebab penat semata-mata. Sebab laluan pulang ke rumah, memerlukan aku melalui satu jajaran rumah lama, rumah kayu separuh simen yang sudah tidak berpenghuni sejak tiga tahun, sebelum sampai ke selekoh yang membawa terus ke rumahku. Jarak dari simpang utama ke rumah, mungkin 5 minit jalan kaki. Tetapi 5 minit itu, waktu malam, terasa seperti sejam.

Malam itu, 14 Mac 2018, aku ingat betul tarikhnya kerana esoknya cuti umum negeri, jadi aku sempat bercuti seharian selepas kejadian itu. Aku baru sahaja menghantar balik kunci stor kepada supervisor, memandu motosikal buruk yang sejak dahulu aku janji nak tukar tetapi tidak pernah kesampaian. Jam menunjukkan 10:05 malam ketika aku sampai di simpang utama kampung. Aku parking motosikal di rumah Pak Cik Rosli, yang menjaga motosikalku selalunya kerana laluan seterusnya hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki, disebabkan jambatan kecil yang sudah reput di tengah-tengah.

Malam itu sunyi. Bukan sunyi biasa. Malah bunyi cengkerik pun seakan berhenti sekejap-sekejap, macam sesuatu sedang mengintai dalam gelap. Bulan tidak menampakkan diri, hanya kelibat awan tebal menyelubungi langit. Aku pasang lampu suluh telefon, melangkah perlahan melepasi rumah pertama yang sudah usang, cat dinding terkopek, bumbung separuh runtuh dek dimamah usia. Rumah kedua, ketiga, semuanya sama nasib. Tidak berpenghuni, tetapi entah kenapa, bagi aku, rumah-rumah itu seakan-akan masih ‘bernafas’.

Ketika aku melepasi rumah keempat, itulah bermulanya sesuatu yang tidak dapat aku lupakan sampai sekarang.

Dari tepi perumahan lama itu, aku nampak sesuatu berlari. Kecil. Sangat kecil. Seakan-akan budak yang baru sahaja belajar berjalan, mungkin dalam lingkungan umur setahun. Berlari dengan pantas, terlalu pantas untuk seorang bayi yang sepatutnya baru pandai bertatih. Aku terhenti seketika, jantungku berdegup kencang. Siapa punya anak ini? Jam sudah lewat malam, tiada seorang pun keluarga yang tinggal berdekatan situ. Rumah-rumah itu semuanya kosong.

Aku menyuluh lampu telefon ke arah bayangan itu. Tiada apa-apa. Kelibat itu sudah menghilang, seakan-akan ditelan gelap malam itu sendiri.

Aku cuba menenangkan diri. Mungkin mata aku sahaja yang tertipu, penat bekerja seharian, ditambah suasana malam yang memang mencemaskan. Aku teruskan langkah, tetapi kaki aku semakin pantas, hampir berlari sendiri menuju ke selekoh terakhir. Sekali lagi, ekor mataku menangkap sesuatu. Kali ini lebih dekat, hanya kira-kira sepuluh langkah daripadaku. Budak kecil yang sama, berlari melintasi laluan, dari semak ke arah rumah kelima yang sudah roboh separuh.

Aku berhenti seketika, memberanikan diri melihat lebih jelas. Tiada muka yang aku dapat kesan. Hanya bentuk tubuh kecil, seakan memakai kain lampin putih, berlari dengan pergerakan yang tidak sepatutnya dimiliki oleh seorang bayi. Selepas beberapa saat, ia menghilang lagi. Kali ini, benar-benar hilang, seperti tidak pernah wujud.

Aku tidak menoleh lagi ke belakang. Aku berlari, benar-benar berlari, sepanjang baki laluan sehingga sampai ke pagar rumahku sendiri. Nafas aku tercungap-cungap, peluh membasahi seluruh baju kerja yang sepatutnya sudah kering sejak petang tadi. Aku ketuk pintu dengan kuat. Ibu aku yang membuka pintu, terkejut melihat keadaanku yang pucat lesi.

“Kenapa ni, Fairuz? Nampak macam nampak hantu je muka kau.”

Aku tidak menjawab. Aku hanya masuk terus ke bilik air, memandikan diri seolah-olah mahu membasuh sesuatu yang melekat pada tubuh, walaupun aku tahu, tiada apa yang melekat secara fizikal. Selesai mandi, aku terus mengambil telefon, membuka aplikasi bacaan Al-Quran, memasang surah Al-Baqarah dengan kuat, dibiarkan berkumandang sepanjang malam sehingga aku tertidur, masih dalam keadaan berjubah selepas mandi.

Esoknya, barulah aku ceritakan semuanya kepada keluarga. Ayah aku diam sahaja, mendengar dengan teliti, sebelum berkata perlahan, “Dulu, sebelum kau lahir, ada kejadian ngeri kat situ. Tapi biarlah, tak payah kita kaji sangat.” Ibu aku pula hanya mengingatkan supaya aku sentiasa berzikir setiap kali melalui laluan itu.

Aku tidak bertanya lebih lanjut. Aku juga tidak pernah lagi pulang lewat melalui laluan itu sejak malam itu, Dan sekarang ini pun jarang sangat aku melaluinya walaupun rumah-rumah yang lama itu telah di robohkan. Jika terpaksa syif malam, aku akan minta tumpang rakan sekerja yang tinggal berdekatan, walaupun perlu memusing jauh melalui jalan utama. Sampai sekarang, jika ditanya kenapa aku begitu berhati-hati soal waktu pulang, aku hanya senyum. Tidak semua orang perlu tahu apa yang aku nampak malam itu. Cukup aku sahaja yang menyimpannya, sebagai pengajaran diri sendiri, bahawa ada sesuatu di kampung ini yang sebaiknya tidak perlu dicari jawapannya.

Cerita Berkaitan
Ada kisah sendiri?

Kongsi pengalaman seram anda.

Hantar Kisah

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Nak cerita baru kami hantar terus ke Telegram anda? Jom Join 👻 Join Telegram