Rahsia Pak Imam Kampung Seri Ranting
Nama saya Ippan, umur saya baru menjangkak dua puluh tiga tahun ketika kisah ini saya dengar sendiri daripada mulut Pak Imam Rusman, imam kampung saya, Kampung Seri Ranting, sebuah kampung kecil yang dipagar bukit di sebelah barat dan hutan simpan di sebelah timurnya. Ceritanya berlaku pada penghujung tahun sembilan puluhan, ketika saya masih budak sekolah dan surau kampung kami masih beratapkan zink yang berkarat, belum lagi disalut simen dan jubin seperti sekarang. Pak Imam yang bercerita, dan saya yang menuliskannya di sini, sekadar menyampaikan seperti mana yang saya dengar, tanpa saya tokok tambah barang sedikit pun. Biar Pak Imam sendiri yang bertutur, dalam kata-katanya, seperti yang saya ingat sehingga ke hari ini.
Begini kisahnya, kata Pak Imam. Subuh itu aku bangun lebih awal dari kebiasaan, entah kenapa, mungkin kerana malam sebelumnya aku tertidur awal selepas Isyak. Kampung waktu itu masih gelap, hanya bulan sabit tinggal separuh menerangi denai yang aku lalui menuju surau. Sejuk masih menggigit, embun masih berat bergayut di hujung daun getah sepanjang jalan. Aku sampai di surau, tiada siapa lagi, hanya aku seorang. Aku pun mengambil wudhu, air paip yang sejuk terasa menusuk hingga ke tulang, tapi hati aku tenang, seperti biasa setiap kali aku berwudhu sebelum subuh. Selesai wudhu, aku masuk ke ruang solat, menghadap kiblat, dan mula menunaikan solat sunat sebelum subuh seperti amalan aku yang tak pernah putus sejak muda.
Dalam solat itulah ianya berlaku. Baru sahaja aku berdiri pada rakaat kedua, aku rasa seperti ada tangan menepuk bahu kiri aku, perlahan, tapi jelas, bukan igauan, bukan angin lalu. Aku tersentak dalam hati, tapi aku tak putuskan solat, aku teruskan, walaupun jantung mula berdegup lebih laju dari biasa. Aku fikir, siapa pula yang datang seawal ini, sedangkan azan subuh pun belum berkumandang, siapa gerangan yang nak ikut aku solat sunat sepagi buta ini. Aku cuba menenangkan hati, mungkin ianya sekadar perasaan aku sendiri, mungkin kain sejadah yang tersangkut di bahu, atau mungkin cicak jatuh dari atap. Aku pujuk diri sendiri begitu, walaupun jauh di sudut hati aku tahu, bukan itu jawapannya.
Selesai aku solat, aku duduk sebentar, berzikir, cuba menenangkan degupan yang masih berdenyar di dada. Bila hati dah sedikit tenang, aku bangun, dan langkah aku menuju ke luar, ke arah pagar surau, entah kenapa kaki aku sendiri yang menghala ke sana, seperti ada yang menariknya. Di belakang surau kami itu, kalau kamu tahu, adalah hutan, hutan tua yang jarang dijamah orang kampung melainkan mereka yang mencari rotan atau buruan. Dan di situlah aku nampak. Jelas, sangat jelas, walaupun cahaya masih kelabu, seorang sosok wanita, berdiri di celah pokok, rambutnya panjang hingga ke pinggang, terurai, tak diikat, dan baju yang dipakainya putih, tapi bukan putih yang bersih, putih yang lusuh, macam sudah lama tak dibasuh, macam kain kapan yang sudah lapuk dek hujan dan panas bertahun-tahun.
Aku cuba melihat mukanya. Sungguh, sampai sekarang aku sudah tua begini, sudah berapa kali aku diganggu makhluk berambut panjang begini sepanjang hayat aku jadi imam kampung ini, tapi setiap kali, muka dia tak pernah aku nampak. Entah kenapa. Kalau tubuh, kalau rambut, kalau baju, semua jelas terpahat dalam ingatan aku, tapi muka, seolah-olah Allah tak izinkan aku melihatnya, seperti ada tabir yang menutup wajah itu daripada mata aku. Aku berdiri kaku di situ, tak bergerak, tak berkata apa, hanya memandang, dan dia pun seakan memandang aku, walau tanpa muka yang jelas aku boleh rasakan pandangan itu, sejuk, menusuk, seperti ada yang memerhati dari balik kegelapan pokok-pokok tua.
Aku tak sempat berfikir panjang, kaki aku sendiri yang berpaling, dan aku terus masuk semula ke dalam surau, tanpa aku pandang lagi ke belakang. Aku duduk di atas sejadah, cuba menghela nafas, cuba menenangkan diri yang masih menggigil walaupun bukan kesejukan subuh yang menggigilkan aku ketika itu. Aku tak fikir sangat, aku sudah biasa, sudah lama aku jadi imam kampung ini, sudah banyak kali aku bertembung dengan perkara-perkara yang tak masuk akal di sekeliling surau ini, terutamanya di waktu-waktu sunyi begini.
Tak lama selepas itu, beberapa jemaah mula tiba, satu demi satu, membawa lampu suluh dan kain sejadah masing-masing, berbual perlahan sambil mengambil wudhu. Dan sebentar kemudian, baharulah azan subuh digemakan, suara bilal berkumandang memecah kesunyian pagi, seperti tak ada apa-apa yang berlaku sebelum itu. Aku duduk di saf hadapan, memimpin solat seperti biasa, tapi hati aku, sampai ke hari ini, masih tertanya-tanya, siapa sebenarnya yang menepuk bahu aku pagi itu, dan mengapa setiap kali aku bertembung dengannya, wajahnya tetap tersembunyi daripada mata aku, seolah-olah ada sesuatu yang tak mahu aku ketahui, sesuatu yang barangkali lebih baik kekal begitu, tak terjawab, sehingga ke bila-bila.