Ada di samping Kita

Bismillahirahmanirrahim. Aku Budi Citra memohon keizinan sekali lagi berkongsi rasa-rasa dan peristiwa yang pernah menggugah naluri dan peribadi aku sebagai manusia di bumi Ilahi. Harap-harap terpalit juga keinsafan walau secalit dalam diri kalian. Kali ini aku ingin berbudi dengan cerita aku sewaktu aku dipertanggungjawabkan menjaga, menyayangi dan menyantuni golongan warga emas, iaitu di sebuah rumah jagaan warga emas bertaraf Premium/VIP.

Jom aku pimpin tangan kalian untuk ikut aku ke rumah itu. Ya kalian, itu dia! Di hadapan kalian sebuah rumah yang gah, cantik serba-serbi dekorasi dan landskapnya, aman damai, 2 tingkat, dan punya paling kurang 20 penghuni. Latar-belakang penghuni juga sangat dahsyat! Tapi untuk ceritera kali ini,aku nak singkap kisah atuk-atuk dan nenek yang diduga dengan masalah dementia/Alzheimer/nyanyuk dan lembam. Yang pasti semuanya daripada golongan atasan atau yang berkemampuan, atau mereka yang mempunyai ahli keluarga yang kaya raya, berharta 7 generasi. Rata-ratanya mempunyai pelbagai masalah kesihatan daripada seringan-ringan ‘mental retardation’ sehinggalah seberat berat diagnosis iaitu koma/’complete paralysis’.
Ini adalah kisah satu hari yang penuh gegak-gempita,suram,dan buat aku hampir bermandian dengan peluh.

“DIA DATANG, LOMPAT ATAS KAKI SAYA! KAKI SAYA, LUTUT SAYA, SEMUA BERAT. LAMA DIA DUDUK ATAS KAKI SAYA.”

Seperti biasa, rutin harian aku akan masuk kerja seawal jam 7.00 pagi dan pulang ke gagang pula paling awal jam 7.00 malam. Ya! Memang 7.00 malam yang paling awal, itu pun jika tidak ada atuk atau nenek yang merengek,menangis nak ikut aku balik. Itupun jika tak ada atuk yang sorokkan kunci pagar dalam poket kemeja mereka,lepastu pura-pura berwudhuk,bermunajat atas sejadah serupa orang tak bersalah dan itupun jika aku tidak perlu cari gigi palsu nenek yang dia sorokkan dalam lipatan kain dan marah dekat aku gara-gara dia ingat aku pakai gigi palsu dia hanya kerana aku senyum dan nampak GIGI aku. Eh Nek, itu gigi aku nek!

Setibanya aku pagi itu, semangat aku berkobar-kobar seperti biasa, seperti semangat aku mengundi kali ini. Kobaran aku terhenti sejenak bilamana ketika aku suapkan sarapan untuk Atuk Jat, aduan dia yang ini yang muncul.

“Dia datang, lompat atas kaki saya! Kaki saya, lutut saya, semua berat. Lama dia duduk atas kaki saya”.

Terus tertelan saki baki air liur basi aku kali ini. Atuk Jat ini sentiasa berdisiplin dan ikut protokol. Akan tetapi dia memang pakar dalam bab-bab mengadu ini. Biasanya dia hanya mengadu yang makanan lambat sampai, atau dia tak mandi lagi walhal yang pasti dia dah mandi dan makan. Biasanya jika dia mengadu, aku hanya mendengar dan biarkan ia hilang di angin lalu. Atuk Jat diduga dengan nyanyuk dan Parkinson. Hanya boleh berdiri jika dipimpin. Hanya mampu berjalan selangkah-selangkah jika dia rajin. Kembali bertatih barangkali.

Untuk aduan dia kali ini, aku kena ambil pusing. Sebab bila aku tanya pada Atuk Jat, siapa dan bagaimana rupanya ‘dia’ itu, Atuk Jat lekas-lekas menjawab, dengan gaya dia serupa orang teruja campur takut campur teruja balik.

“Dia tu perempuan, rambut panjang, baju dia macam koyak-koyak,pegang lutut saya”!

Eh! Biasa sangat hantu Atuk Jat ini. Typical Hantu. Aku fikir, mungkin ini sekadar imaginasi Atuk Jat sahaja atau terpengaruh dengan televisyen. Bila aku teliti, Atuk Jat hanya tonton cerita Animal Planet. Mana mungkin siamang itu berambut panjang. Mungkinkah?

Aku habiskan suapan untuk sarapan itu sambil berikan dia sedikit tazkirah supaya dia selalu berselawat,kalau tidur baca doa dulu, kalau dah makan, jangan cakap belum makan, nnti hantu datang dan kalau ustaz datang, jangan pura-pura sakit kepala. Begitulah sedikit bait-bait tazkirah aku, sambil aku redakan perasaan aku sendiri. Masih lama masa untuk aku nak tempuh hari ini. Sepantas halilintar aku keluar dari bilik Atuk Jat seusai aku siap menyuapkan sarapan.

“KENAPA BIAR DIA BERDIRI KAT SITU? TAK BAGI DIA MAKAN SEKALI KE? MARILAH,MARILAH!”

Menginjak ke tengah hari, tiba pula masa makan tengah hari. Dah separuh hari berlalu semenjak aduan Atuk Jat berlegar-legar dalam minda aku. Untuk tengah hari ini, aku pilih untuk suapkan 2 orang atuk di tingkat atas. Bilik yang dihuni oleh Atuk Man dan Atok Ali dan kedua-dua mereka di diagnosis mengalami Left-sided Hemiparesis/Lumpuh sebelah badan bahagian kiri dan dementia/nyanyuk. Bukan mereka berjanji tapi diuji. Meskipun aku punya tugas lain untuk dilakukan, aku suka untuk ambil masa makan sambil borak-borak santai bersama mereka. Dalam mereka terlupa dan diambil nikmat ingatan sedikit demi sedikit, mereka masih pegang pada adab. Kalau mereka makan, kita juga dijemput makan. Kiranya ‘satu untuk engkau,satu untuk aku’. Mereka berhak diteladani tapi untuk hari ini, aku tak tahu teladan yang mana yang perlu aku ikut. Aku di tegur kerana tidak menyantuni tetamu yang aku sendiri tak nampak. Mata batin mana yang atuk ini guna?

Sedang aku ralit menyuap Atuk Man, yang katilnya terletak ditepi tingkap, aku tertangkap cerita ‘indah’ yang keluar dari mulut dia. Cerita Atuk Man kali ini:

“Semalam aku tak boleh tidur, Aku cuba pejam mata tapi masa aku bukak mata balik, tiba-tiba ada perempuan kat atas syiling tu. Tegak je dia kat situ kenapa?” Lama kat situ. Aku panggil-panggil tak menyahut. Aku biar je dia. Panjang jugak rambut dia!”

Zuss!!Hampir aku tersuap makanan ke telinga Atuk Man gara-gara terkejut. Terkejut sambil meremang-remang. Aku balas cerita dia dengan suapan buah oren yang telah dilenyekkan ke mulutnya. Minta dia berhenti berbicara dengan cara paling sopan. Hah Berjaya! Kemasaman oren itu merencat cerita Atuk Man. Dia kini lebih fokus pada betapa aku insan paling durhaka kerana menyuapkan buah yang sedemikian masam rasanya. Bukan apa, aku tidak mahu cerita ini menjadi isu dalam kalangan staf-staf yang lain lebih-lebih lagi mereka yang akan bekerja pada syif malam.

Belum habis meremang, Atuk Ali yang berada di katil bersebelahan beriya-iya benar memanggil aku. Barangkali lapar. Oh Tidak!.

“Dik, dik! Kenapa biar dia berdiri kat pintu situ? Tak bagi dia makan sekali ke? Marilah… mari!”

Saat aku dengar Atuk Ali melambai dan menjemput itu, maka segeralah aku mengalih pandangan ke pintu. Sepantas kilat juga Atuk Ali berjaya mempelawa bulu tengkuk aku untuk meremang sekali lagi. Sepi di pintu!. Tiada apa di situ. Hanya pintu yang bergerak-gerak. Fuh!. Sekali lagi aku tugaskan buah oren untuk mematikan suasana sepi itu. Kali ini punah harapan. Tak berjaya. Bukan setakat tak berjaya, terus gagal bilamana dalam masa Atuk Ali mengunyah kemasaman buah itu pun, dia terus mempelawa dan akhirnya dia berkata:

“Hah macam tu la! Masuk pun. Duduk la belakang adik ni. Jom kita makan sekali!. Ape ke panjang sangat rambut kamu ni?

Sudah! Kebetulan katil belakang aku dan menghadap mereka ini memang kosong. Kosong kerana ada kematian beberapa hari yang lepas. Atuk ali sewenang-wenangnya menjemput ‘si rambut panjang’ saat itu. Combo ketakutan apakah saat ini? Memang aku rasa seperti ingin terbalikkan katil itu. Biar ‘si rambut panjang’ tak dapat duduk. Aku suap mereka sehabis pantas. Tapi mereka masih dengan gaya mengunyah lambat-lambat 44 kali kehancuran makanan. Aku dah berpeluh ketiak, dek hendak menyantuni atuk berdua ini dan tak terkecuali “si rambut panjang”. Selesai aku tamatkan suapan terakhir mereka, terus aku wudhukkan mereka. Aku ingatkan mereka kembali dengan bacaan Al-Fatihah. Paling mudah menggali memori mereka untuk surah itu berbanding dengan ayatul-kursi. Ayatul kursi pula meniti di bibir aku. Aku hembus sambil berjalan keluar dari bilik itu.

Sewaktu aku turun dari tangga ke ruang tamu pula, mata aku tertancap kepada Nek Jah yang leka berbual di ruang tamu. Sekejap kedut wajahnya terlihat, sekejap-sekejap dia ketawa. Nek Jah pula di uji dengan lembam sejak daripada kecil. Tapi duitnya banyak berkoyan-koyan kata orang. Nek Jah sering berbual sendirian, tetapi dia tidak pernah mendatangkan kecederaan pada sesiapa. Untuk hari itu, aku terdengar bunyi perbualan dia ketika merentasi ruang tamu menghantar dulang-dulang makanan ke dapur.

OHH!KENAPA DIA NAIK KAT ATAS?OHH! DIA NAK CARI TEMPAT DIA.

Sekali lagi rongga-rongga pernafasan aku hampir tersekat dek terkejut dengan kata-kata Nek Jah. Meskipun dia berbual seorang diri, sangat realistik persoalan dia kala ini. Kenapa aku kata realistik? Sebab dialog Nek Jah itu bersifat setempat dan kena dengan keadaan sekarang. Jarang-jarang Nek Jah punya perbualan berkaitan dengan keadaan yang berlaku. Biasanya dialog dia berkisar tentang nikah kawin, kejap dia jadi isteri,kejap dia jadi suami, atau kembali pada zaman komunis,kejap jadi bintang tiga, kejap jadi jepun. Tapi kali ini lain.

Terus aku duduk dan bertanya pada Nek Jah jika dia ada rasa-rasa yang luar biasa untuk hari ini. Dengan senyuman terukir, Nek Jah berkata:

‘’Nek nampak ada dua orang datang semalam. Pagi-pagi betul. Bising pulak tu. Diorang terus naik atas. Hitam je nenek nampak macam tak ada kaki pulak. Laju je naik ke atas”.

Aku pula rasa serupa tak ada kaki waktu ini bila dengar Nek Jah berkata-kata. Macam nak melayang. Nek Jah sambung bersuara:

“Kawan nenek cakap, diorang nak cari tempat diorang”.

Pada aku, jika Nek Jah sudah berkata seperti itu, harus ada yang tidak kena pada situasi sekarang. Segera aku memanjangkan informasi kepada pemilik rumah jagaan ini agar dia tahu dan juga supaya tidak lah aku seorang sahaja yang tahu dan merana. Nek Jah ini diberi keistimewaan untuk tahu benda-benda yang kita tidak tahu. Sebagai contoh, dia lebih tahu dengan tepat waktu kematian pesakit-pesakit di sini walaupun dia tidak pernah bersua muka dengan pesakit tersebut dan kami sendiri sebolehnya tidak mendedahkan kematian pesakit di sini kepada penghuni lain demi menjaga emosi mereka. Aku memang sudah lali dengan aduan dan gurauan daripada penghuni di sini. Akan tetapi, untuk 4 orang penghuni bercerita tentang entiti yang tidak dapat di kenal pasti, inilah julung-julung kalinya.

Tindakan segera pemilik Rumah Jagaan, En. Johar bermula malam itu. Paling segera yang boleh berlaku adalah jam 12.30 tengah malam. Makanya, aku selaku orang yang paling banyak mendengar cerita terpaksa menunggu di rumah itu sehingga jam tersebut.

12.30 TENGAH MALAM

Aku dah serupa pungguk rindukan bulan. Tapi bezanya aku dengan pungguk adalah aku rindukan katil dan tidur aku. En Johar juga telah tiba dan kami menunggu ketibaan Ustaz pada jam seperti yang di janji. “Hebat ustaz ini untuk berjanji pada jam 12.30 malam”. Aku hanya mampu berkata-kata dalam hati dan berbentak-bentak.

Tibalah saat yang dinanti. Kalau boleh aku nak bersorak seperti olimpik bila terlihat kelibat ustaz memasuki perkarangan rumah jagaan itu. Tapi apakan daya, aku hanya insan biasa yang mengantuk menahan lelap dan lelah seharian bekerja. Setelah kami bersapa-sapaan, aku terus menerangkan segalanya kepada ustaz. Kami duduk dan bercerita di luar rumah. Ya! Cerita aku nampak hebat kerana suasana malam, sejuk angin di luar dan cahaya malap-malap bulan. Ustaz ni! kalau ya pun tak sabar nak dengar cerita aku, marilah kita bercerita di dalam. Selamat sedikit aku rasakan. Tetapi tidak. Aku dan En Johar perlu menjadi saksi pertarungan ustaz dengan ‘mereka-mereka’ ini. Ini malapetaka namanya. Hanya kami bertiga iaitu aku, En Johar dan Ustaz berada di luar rumah.

Setelah aku selesai bercerita sehabis baik dan sehabis berani, ustaz tersebut terus meminta agar aku sediakan air zam-zam dan garam. Melangkah besar-besar aku ke dapur agar cepat sampai dan semua ini dapat berakhir dengan segera. Setelah aku serahkan segala yang di minta kepada ustaz, sesi pertarungan ustaz bermula. Aku lihat, ustaz tersebut tangkas bersilat di sekeliling pagar. Terus menabur garam dan menyembur air zam-zam tersebut.

Sekejap-sekejap ustaz berhenti dan senyum. Kata ustaz, ada benda yang terintai-intai nak keluar dari balik dinding,betul-betul belakang aku. Tetapi kata ustaz, mereka dah takut. Berderau darah dan terpercik-percik peluh aku.En. Johar seperti kaku, Kalah aku!. Ustaz yang bersilat aku yang berpeluh. Ustaz terus memagar di sekeliling rumah jagaan tersebut. Sekali lagi ustaz itu berhenti. Katanya, ‘mereka’ ingin masuk, akan tetapi tak lepas dek pagar yang ustaz baru bina tadi. Rasa Selamat!.Nyah kau dari sini!. Itu yang aku rasakan.

Detik penghujung perawatan telah tiba. Apa yang ustaz itu kongsi dengan aku adalah makhluk-makhluk itu sedang mencari tumpangan. Hal ini kerana warga-warga emas ini sangat lemah. Lemah fizikal, lemah emosi apatah lagi iman mereka. Apa yang memburukkan keadaan adalah kawasan pusat jagaan telah berlaku banyak kematian. Dalam setiap kematian itu, kita tidak tahu apa yang mereka tinggalkan. Ustaz bukan mahu memburukkan sesiapa, akan tetapi masing-masing punya sejarah yang kadangkala tidak mampu kita singkap. Maka kami sebagai insan yang mengelilingi warga emas ini haruslah memberi lebih banyak penekanan nilai keislaman, dan sentiasa ingatkan mereka di kala mereka lupa.

Aku terpaku,terdiam,terfikir,terpana! Terima kasih atuk,nenek kerana menyedarkan aku! Terima kasih ustaz! Pesan aku, jika kalian masih punya ibu bapa, atuk nenek, cubalah berkongsi sedikit rasa pada mereka. Sayangi mereka sesungguhnya. Bantu mereka jika mereka lupa. Lupa itu bukan mereka yang minta. Terkadang saat kita rasa apa yang mereka katakan itu adalah paling tidak rasional, carilah rasionalnya. Jangan kau mendabik dada kerana kau orang muda, suatu hari kau juga akan tua, ada di tempat mereka.

Salam dari Budi Citra.
p/s: jika yang memunculkan diri dalam ruangan komen sebagai ‘budi citra’, itu bukan aku. Entiti barangkali.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Budi Citra
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

60 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *