Kisah Dorm
Assalammualaikum dan hai semua. Nama aku Sara. Aku nak share cerita seram waktu aku di asrama. Bismillahhirrahmanirahim.
Cerita ni terjadi waktu aku di asrama. Aku pernah bersekolah di satu sekolah kluster perempuan yang berada di Johor dan menetap di asrama dari Tingkatan 1 sampailah Tingkatan 5. Sebenarnya banyak je cerita seram yang jadi kat asrama, tapi aku terdetik nak share cerita ni sebab berlaku pada aku sendiri.
Benda ni jadi waktu aku tengah trial SPM. Biasalah, tiap kali ada peperiksaan besar, semua student akan pulun sehabis baik sebab nak dapat gred yang cantik termasuk aku.
Kisah ni jadi waktu minggu kedua trial SPM. Malam sebelum aku ambil paper Kimia, aku study macam biasa. Yang lain pun sama. Tapi yang tak bestnya, malam tu ada sedikit konflik asrama yang aku tak boleh nak bagitahu. Lepas konflik tu jadi, semua pelajar Tingkatan 5 jadi stress, termasuk aku. Untuk pengetahuan semua, blok asrama yang aku duduk ni khas hanya untuk Tingkatan 3 dan Tingkatan 5. Kami panggil blok tu ‘Blok Akademik’ sebab dua tingkatan ni ambil peperiksaan PT3 dan SPM. Blok Akademik ni ada 4 dorm. Dorm 1, 2, 3, dan 4. Aku duduk di dorm 3. Tapi malam sebelum ambil paper Kimia tu aku tidur di dorm 4 sebab nak ulangkaji dengan kawan aku.
Malam tu memang stress sampai kami tidur lambat memikirkan gred dan konflik yang terjadi di asrama. Waktu tengah ulangkaji tu, kawan aku cakap dia nak tidur dulu. Aku pun anggukkan sahaja. Lepas dia dah naik ke atas katil, tinggallah aku seorang yang masih berjaga. Yang lain semua dah tidur awal. Lepas dah siap ulangkaji, aku terus tutup lampu dan tidur atas lantai dengan bantal busuk aku. Untuk peringatan, aku tidur dalam keadaan yang sangat stress dan sedih, ya.
Waktu aku tengah cuba untuk tidur tu, banyak bunyi aku dengar. Bunyi locker terbuka sendiri, bunyi barang jatuh dan lain-lain. Tapi aku tak ambil endah sebab aku tengah sedih. Tak lama lepas tu, kawan aku yang dah naik katil tadi terus turun dari katil dia dan tidur di lantai dengan aku. Muka dia cuak sangat. Lepas aku tanya kenapa, dia cuma cerita yang dia terdengar bunyi pelik dari tingkap dan bunyi orang buka storage box di tepi dorm. Tapi lepas dia periksa, tiada orang pun.
Aku pujuk dan sedapkan hati dia, “Angin je tu.” Tapi dia tak percaya dan terus selubung dalam selimut sebelah aku di atas lantai. Aku geleng kepala je waktu tu. Lepas beberapa minit, dia terus terlelap dan tinggallah aku seorang diri lagi yang tak boleh tidur waktu tu.
Tak lama lepas aku cuba untuk tidur tu, aku terdengar bunyi locker di sebelah aku berbunyi macam ada orang nak cuba buka. Lepastu sunyi. Selang beberapa saat, bunyi locker makin agresif. Aku dah cuak waktu tu dan pejam je mata rapat-rapat. Bukan tu sahaja, aku dengar dan rasa sendiri ada benda melompat betul-betul atas bantal yang aku. Waktu tu dorm bergegar. DUM, DUM, DUM. Aku ada terhidu bau busuk macam bangkai juga.
Waktu tu, bacaan ayat suci langsung tak terlintas di fikiran ataupun bibir. Dalam hati, aku sumpah seranah benda yang tengah kacau aku sebab aku stress. Mental aku kacau sebab aku tak dapat tidur yang cukup waktu trial Kimia. Lama kelamaan, aku tak sedar yang aku dah tertidur.
Esoknya, aku bangun macam biasa dan malas nak ingat perkara yang terjadi malam semalam. Aku ambil baldi mandi dan terus masuk ke dalam tandas. Tapi, waktu aku sedang bersihkan diri, ada rasa ngilu yang mencucuk kat tangan aku. Waktu aku periksa, terus bulat dan segar mata lepas nampak ada satu cakaran panjang di lengan kiri aku. Ada tiga cakaran panjang yang selari dan masih segar dari pergelangan tangan sehinggalah ke siku. Aku terus tunjuk kesan cakaran tu kepada kawan-kawan aku dan mereka terkejut sangat.
Mustahil aku buat sendiri cakaran tu, sebab terlalu kemas dan selari. Lepas kejadian tu, aku terus trauma tidur lambat dan akan baca surah Al-Mulk sebelum tidur. Salah aku juga sebab sumpah seranah benda tu waktu dia tengah kacau. Hahaha.
Itu sahaja pengalaman dan cerita dari aku. Ada banyak lagi sebenarnya, tapi cukup sampai disini sahajalah.
Sekian, terima kasih.