Intai Maghrib di Pangkalan
INTAI MAGHRIB
Rezeki pada tahun 2024 akhirnya membawaku ke Pulau Langkawi, Kedah. Aku ditempatkan sebagai Pembantu Tadbir Awam yang berkhidmat di bawah naungan tentera laut. Pejabat kami terletak di kawasan lereng bukit yang dikelilingi hutan tebal dan berdekatan dengan pantai. Bekerja di persekitaran tentera bermakna aku perlu membiasakan diri dengan waktu kerja yang tidak menentu. Apabila musim audit tiba, jadual kerja biasa bertukar menjadi syif lewat malam demi menyiapkan laporan.
Pada suatu petang, suasana di unitku mula sepi. Seorang demi seorang anggota tentera dan rakan sepejabat meminta diri untuk pulang. Aku mengambil keputusan untuk stay back bersendirian. Esok pagi laporan audit ini wajib diserahkan, dan aku tidak mahu kerja bertangguh kerana esok ada tugasan lain yang menanti.
Dalam keheningan pejabat, hanya kedengaran bunyi papan kekunci yang ditaip laju. Aku begitu fokus. Namun, keasyikan itu terganggu apabila hujung mataku menangkap sesuatu yang tidak kena. Di muka pintu pejabat yang terbuka, ada satu kelibat berdiri kaku, merenung tajam ke arahku.
Aku tersentak. Perlahan-lahan aku mengerling jam tangan.
7:00 petang.
“Sudah nak dekat Maghrib…” bisik hatiku. Jantungku mula berdegup aneh. Tangan yang tadi lincah menaip laporan audit terus menjadi kaku. Rasa seram dan remang sejuk mula menjalar dari tulang belakang hingga ke pangkal tengkuk. Aku cuba menarik nafas dalam-dalam, memaksa diri untuk bertenang. Mungkin itu cuma salah seorang anggota yang berpatah balik, fikirku.
Apabila aku memberanikan diri memandang tepat ke arah pintu, kelibat itu perlahan-lahan berundur, hilang di sebalik dinding koridor luar pejabat. Aku menarik nafas lega, menyangka ‘ia’ sudah pergi. Namun, sangkaanku meleset sama sekali. Remang di tengkukku langsung tidak hilang, malah menjadi semakin berat.
Tiba-tiba, dari arah atas dinding koridor yang mempunyai cermin telus (glass panel), aku tergamam. Makhluk itu rupanya tidak pergi jauh, tetapi merangkak tinggi atau terapung untuk mengintaiku dari atas cermin tersebut! Dua biji mata yang merah terbeliak merenung tepat ke arahku dari sebalik kaca.
Tanpa berfikir panjang, aku menyumbat komputer riba dan barang peribadi ke dalam beg dengan tangan yang menggigil. Aku terus berlari keluar. Laluan koridor yang kebiasaannya terasa dekat untuk ke pintu rintangan api di tepi bangunan, entah mengapa petang itu terasa begitu jauh dan panjang. Setiap langkahku diselubungi rasa takut yang amat sangat.
Pintu rintangan api aku rempuh. Aku berlari ke arah kawasan parkir, memboloskan diri ke dalam kereta, dan terus menghidupkan enjin. Walaupun pendingin hawa kereta dilaraskan kuat, deru nafasku tetap tidak lega. Peluh dingin membasahi dahi.
Debaran dadaku belum selesai kerana untuk keluar dari kawasan pangkalan, aku wajib memandu melalui jalan yang melintasi bangunan unit tempat kerjaku tadi. Sambil memandu laju membelah remang Maghrib, mataku tidak sengaja memandang ke arah hujung tangga luar bangunan.
Di situ, di atas tangga batu yang suram, berdiri satu susuk tubuh wanita berambut panjang mengurai hingga ke paras pinggang, memakai baju putih yang kumal, koyak dan kotor. Ia berdiri tegak, kepalanya senget memerhatikan keretaku berlalu pergi dengan pandangan yang penuh kebencian.
Malam itu, aku sedar… ‘benda’ yang menggangguku di kampus Perlis dahulu bukanlah satu-satunya makhluk yang berminat denganku. Di pulau legenda ini, aku nampaknya telah disambut oleh penghuni tegar lereng bukit pangkalan.