Wanita itu menguap. Kopi di sisi masih tidak mampu mengatasi rasa kantuknya. Seboleh-bolehnya dia cuba menahan diri daripada tertidur. Proposal projek yang ditugaskan kepadanya perlu segera disiapkan. Sedikit sebanyak dia kesal kerana lewat menyiapkan proposal ini.
Amira rakannya sudah lama diulit mimpi. Biarkan, dia malas mahu mengganggu Amira, meskipun sahabatnya itu berjanji untuk menemaninya menaip tadi. Mujurlah Amira mahu mengikutnya staycation tadi walaupun perancangan dibuat betul-betul last minute. Justeru, Maisara perlukan ketenangan untuk menyiapkan pada waktu hujung minggu ini. Biasanya kalau dia sedang stres untuk menyiapkan kerja, dia suka menaip di kawasan hotel tepi pantai. Berangin gitu.
“Ish, kenapalah dia pergi buka langsir besar-besar macam ni,” gumam Maisara dengan perangai sahabatnya yang satu itu. Bukan dia tidak tahu, setiap kali dia dan Amira staycation di mana-mana hotel, pasti sahabatnya gemar membuka langsir tingkap seluas-luasnya. Kata Amira, nak feeling-feeling tidur di atas langit sambil ditemani bintang. Apooo!
Maisara bangun. Dia melangkah malas menuju ke tingkap. Langsir yang berada di hujung itu ditariknya rapat bagi menutup tingkap.
Tiba-tiba tangannya terhenti. Matanya terbuntang.
Dalam samar cahaya yang ditambah pula dengan kabus pagi, Maisara terlihat sesuatu. Tanpa berlengah, dia pantas melompat ke atas katil dan mengejutkan sahabatnya.
“Amira, Amira! Bangun, bangun!” Kejut Maisara kuat.
“Ada apa? Aku mengantuklah Maisara. Kerja kau dah siap ke?” Balas Amira malas.
“Aku…Aku nampak sesuatu,” jawab Maisara dengan nada yang penuh ketakutan.
“Nampak apa?” Soal Amira dalam keadaan mamai. Matanya digosok perlahan.
“A… ada yang terapung. Warna putih weh,” jawab Maisara laju.
“Apa? Kat mana kau nampak?” Amira membulatkan mata. Rasa mengantuknya mulai hilang.
“Kat tingkap tu. Tegak merenung aku. Entah berapa lama dia berdiri depan tingkap,” jawab Maisara.
“Entah-entah makcik jual karipap kot. Kau beli tak? Aku nak karipap sardin,” gurau Amira.
“Eee, kau ni sempat lagi buat lawak macam ni. Aku takut ni. Mata dia merah tau,” balas Maisara lalu mencubit perlahan betis sahabatnya itu.
“Sorry, sorry. Tapi, kau jangan macam-macam Maisara. Kita ni kat tingkat 15,” Amira mula seriau. Bulu tengkuknya dirasakan meremang.
“Ya, kau pergilah tengok. Tu kat tingkap tu,” tunjuk Maisara.
“Eee, takutlah aku. Tak nak!”
“Tahu pun kau takut. Kau lah ni, suka sangat buka langsir tingkap luas-luas,” marah Maisara yang masih meremang dengan apa yang dilihatnya tadi.
“Eh, salahkan aku pula. Dah tu, kita nak buat apa ni?” Soal Amira yang masih buntu untuk mencerna perihal yang berlaku. Dikerlingnya jam di telefon pintar. Sudah pukul tiga pagi.
“Kau pergilah tengok. Ada lagi tak benda tu,” pinta Maisara yang mula menarik tangan Amira. Dia kini berdiri di belakang sambil memeluk bahu Amira. Jujur, dia sangat takut.
Amira mula menarik nafas sambil menyelak perlahan langsir di hadapannya. Ditariknya sedikit demi sedikit.
“Ish kau ni, Mana ada apa-apa. Biasan lampu lah. Kan ada lampu putih kat atas tu,” dakwa Amira sambil menggeleng dengan perangai sahabatnya itu.
“Eh, biar betul? Aku yakin aku nampak ada benda putih merenung aku tajam tadi. Serius aku nampak. Aku nampak!” Maisara bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Nampaknya benar kata-kata Amira tadi. Di hadapannya kini hanya biasan lampu putih yang berada di atas tingkap hotel.
“Dah lah, aku nak pergi tandas dulu. Kerja kau dah siap belum? Nak aku temankan tak?”
“Belum. Dah pergilah tandas tu,” balas Maisara lalu kembali duduk untuk menyambung kerjanya yang terbengkalai tadi. Tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi, menandakan ada pesanan Whatsapp yang masuk.
“Maisara, sorry. Aku baru jawab Whatsapp kau. Aku kat rumah family aku ni. Nenek aku sakit. Tu yang aku dapat teman kau staycation,” balas pengirim Whatsapp itu. Tertera nama Amira sebagai pengirimnya.
Maisara kehairanan. Dirasakan ada sesuatu yang aneh melandanya kini. Didailnya nombor telefon itu laju.
“Assalamualaikum Maisara. Nasib baik kau call aku. Sorry aku Whatspp kau pukul tiga pagi ni. Aku baru ada line ni ha. Kau tahu kan, kalau balik kampung, line macam siput. Siput pun lagi laju. Kau kat mana ni?” Soal Amira di hujung talian.
“Waalaikumussalam. Betul ke ni Amira?” Soal Maisara ragu.
“Kau ni dah kenapa? Macam tak biasa dengan aku. Kau kat mana ni?” Soal Amira risau.
“A…Amira..A…Aku..” Maisara mati kata-kata. Tiba-tiba bahu belakangnya ditepuk perlahan.
“Maisara…” panggil suara di belakangnya yang baru saja keluar dari tandas. Maisara masih pegun untuk berpaling.
“Masih nak aku temankan?” bisik suara itu perlahan di telinga Maisara.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
classic beno joke makcik karipap tu. Nice story. Keep it up.