#AhmadRusydi- Manusia Anjing (bhg. 2- akhir)

“Bangun, Ashraff! Malik!” Teriak Jalal tiba-tiba. Ashraff tersentak terjaga. Angin bertiup kencang. Terlalu kencang. Kelihatan jalur jingga dari ufuk timur. Matahari hampir terbit. Malik bingkas bangun. Lupa akan kecederaan pada kakinya.

“Ayah, kenapa?” Ashraff menggosok-gosok matanya yang kini sudah kembali seperti sediakala. Dia menjeling ke arah Malik. Mata lelaki itu juga kelihatan normal. Cuma mata bapa angkatnya yang masih kelabu.

Jalal menuding ke arah utara. Kelihatan sebiji helikopter hitam menderu menghampiri mereka. Lampu limpah dari helikopter itu masih disuluh ke merata arah. Itu bermakna mereka belum ditemui. Kepala Ashraff terasa bingung mendengarkan bunyi deruan kipas helikopter itu.

“Kita… kita nak buat apa?” Soal Malik sedikit gugup.

“Kita tinggalkan kawasan lapang ni. Masuk lebih dalam,” ujar bapa Ashraff, menuding ke arah pohon-pohon besar arah selatan mereka. Ashraff dan Malik mengangguk. Kemudian, bagaikan ditampar realiti, mereka berdua saling berpandangan. Mereka tidak tahu bagaimana hendak berubah bentuk secara rela.

“Kau… macam mana kau berubah bentuk?” Ashraff mengangkat keningnya ke arah Malik.

“Diorang inject aku dengan… aku tak tahu apa.”

Perhatian Jalal masih pada helikopter tadi. Sinaran lampu limpahnya dihalakan dari kiri ke kanan, kemudian ke kiri semula.

“Ayah…”

Tanpa perlu penjelasan dari Ashraff, bapa angkatnya menggigit lengannya sendiri. Sebahagian kecil dari dagingnya tercarik. Cebisan daging kecil itu diludahkan ke atas tanah. Ternyata cebisan itu cukup menarik perhatian dua orang pemuda tadi.

“Tumpukan perhatian pada daging aku tu. Tarik nafas dalam-dalam. Ingat, kau berdua Homo-Canis. Sekaranglah masanya untuk kau gunakan kelebihan itu,” Jalal memberi arahan.

Tanpa mempedulikan bau hapak tanah hutan yang lembap itu, Ashraff menarik nafasnya dalam-dalam. Bau manis daging di hadapannya itu membuatkan dadanya terasa panas. Seakan ada satu hidupan lain di dalamnya. Terjaga dari tidur dan bersedia untuk santapan.

Tanpa sedar, kini anak matanya berubah kekelabuan. Otot-ototnya menegang. Urat-urat lengan dan lehernya yang sedia timbul kini kelihatan lebih ketara. Namun mindanya masih waras. Tidak seliar tadi.

Ashraff berpaling ke arah kiri. Anak mata Malik dilihatnya masih putih kemerahan. Lelaki itu jelas sedang mencuba sedaya-upayanya, namun tiada apa yang berubah tentangnya selain riak kecewa. Dia menoleh memandang Ashraff, memohon sokongan. Ashraff pula berpaling ke arah bapa angkatnya. Jelas tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu.

“Ayah,” panggilnya perlahan. Jalal berpaling ke arah mereka, kemudian ke arah helikopter tadi semula.

“Dah tak sempat,” kata lelaki separuh umur itu. “Ashraff, fokuskan tenaga pada seluruh kaki, mata dan bahu kau.”

“Bahu?” Ashraff terpinga-pinga.

“Ya. Tak ada jalan lain. Kita terpaksa pikul dia,” kata Jalal tanpa memandang dua orang pemuda itu.

Ashraff merenung sejenak ke arah Malik. Ego lelaki itu jelas tercalar. Namun dia sekadar mengangguk, membenarkan. Dia menghampiri Ashraff. Teragak-agak, dia merangkul leher Ashraff dari belakang. Ashraff kelihatan sedikit kekok memikul seorang lelaki yang bertubuh tegap seperti Malik. Terasa setiap inci bahagian hadapan tubuh Malik menekan belakangnya. Wajah Ashraff menggerenyet sedikit. Namun seperti yang dikatakan oleh bapa angkatnya awal tadi, keadaan sedang memaksa.

“Dah sedia?” Tanya Jalal. Dua orang pemuda itu mengangguk serentak. “Kalau kau tak larat, bagitahu aku. Kita pikul Malik berganti-ganti,” ayat itu ditamatkan dengan satu tujahan kuat ke atas tanah.

Ashraff membengkokkan lututnya. Otot pahanya terasa tegang apabila dia berbuat begitu. Dengan satu tujahan yang tidak kurang kuatnya, Ashraff menyaingi kelajuan Jalal. Kini mereka berlari seiringan. Ashraff cukup pasti bahawa bapa angkatnya itu sengaja memperlahankan langkahnya.

“Jangan terpisah!” Kata lelaki separuh umur itu dengan nafas tertahan-tahan. “Tapi kalau terpisah, teruskan saja ke arah selatan!”

“Ya, ayah! Dah bagitahu tadi, kan? Lari saja!” Betah Ashraff.

“Jalal! Kalau aku lari sendiri tak boleh ke?” Tanya Malik jujur.

“Heh… kau akan ketinggalan jauh, kawan. Kau akan tidur dalam makmal semula,” jawab Jalal sinis. Malik diam. Rangkulannya pada leher Ashraff diperketatkan.

Bunyi deruan kipas helikopter tadi masih jelas kedengaran. Ashraff tidak pasti sama ada kerana deria Homo-Canisnya, atau memang helikopter tadi semakin menghampiri mereka. Bapa angkatnya pula mempercepatkan sedikit langkah setiap beberapa ratus meter. Lutut Ashraff terasa kebas. Seluruh kakinya kini dirasakannya cukup asing. Di hadapan mereka, hutan semakin tebal. Laluan pula semakin sempit. Matanya ligat memerhati setiap selirat urat di atas lantai hutan. Dia tahu, jika terleka buat sejenak, nasibnya akan sama seperti Malik tadi.

Serentak itu juga lampu limpah helikopter tadi menyuluh ke arah mereka. Jantung Ashraff terasa terhenti buat sesaat. Dia merenung belakang bapa angkatnya, menantikan arahan dari lelaki itu. Namun lelaki separuh umur itu masih tetap berlari tanpa mempedulikan lampu limpah tadi.

“Berhenti! Atas nama Kementerian Pertahanan, berhenti!” Seru suara seorang lelaki dari helikopter tersebut (jelas menggunakan speaker).

“Memang tidaklah, sial!” Jerkah Malik tiba-tiba. Tangannya dihayunkan deras, menunjukkan isyarat lucah ke arah helikopter tadi. Ashraff tersentak sedikit. Langkahnya terhuyung-hayang mencari semula rentak larian. Namun lututnya kini dirasakan seakan lumpuh. Dia tidak mampu lagi mengawal langkahnya. Dengan satu dentuman kuat, tubuh Ashraff menghentam sebatang pokok besar. Bersepai serpihan batang pokok itu, mengenai Jalal yang turut berhenti mendadak. Ashraff tidak sedarkan diri, manakala Malik terhumban jauh ke hadapan. Helikopter tadi diterbangkan rendah di atas kepala mereka. Hujung pohon-pohon hutan itu menari-nari melawan deruan angin dari bilah-bilah kipas gergasi itu. Sinaran cahaya lampu limpah tadi menyilaukan mata Jalal.

“Atas nama Kementerian Pertahanan, jangan bergerak!” Laung seseorang dari speaker helikopter tadi. Dua orang lelaki bermesingan menjenguk keluar dari kedua belah perut helikopter itu.

“Melutut! Tangan di atas kepala!”

Lelaki separuh umur itu akur. Dia melutut. Matanya liar mencari kelibat Malik, namun tidak kelihatan. Ashraff dilihatnya masih tidak sedarkan diri. Wajahnya bercalar-balar dengan beberapa kesan torehan pada dahi dan hidungnya. Pakaiannya pula koyak-rabak. Selain dari itu, Ashraff kelihatan tidak cedera teruk. Mungkin tadi kakinya sempat menahan langkah tanpa sedar.

“Kami akan turun ke bawah! Jika anda melawan, sarapan pagi anda adalah peluru mesingan!”

“Turun sajalah!” Laung Jalal marah.

Tiga orang lelaki berpakaian serba hitam, lengkap dengan vest kalis peluru dan senjata berat melurut turun menggunakan tali yang dicampak dari helikopter tadi. Sebaik sahaja kaki mereka menjejak tanah, hujung senjata ketiga-tiganya dihalakan ke arah Jalal dan Ashraff bersilih ganti. Apabila mereka dapati Ashraff tidak sedarkan diri, dua orang dari mereka bergegas menolak tubuh Jalal ke atas tanah. Jalal dapat merasakan lutut salah seorang dari mereka menekan kuat belakang badannya. Tangannya diikat ke belakang dengan rantai halus yang bergemerincing pelik. Rantai besi itu terasa seakan membakar pergelangan tangannya. Jelas bukan besi biasa. Serentak itu juga dia berubah menjadi manusia biasa semula. Jika tidak kerana keadaannya, sudah tentu Jalal akan berminat untuk bertanya tentang besi yang mereka gunakan itu. Dia cuba untuk melawan, namun tidak berdaya.

Tiba-tiba sebelah kiri kepala Jalal dihentak dengan belakang senjata berat tadi. Berpinar pandangan matanya. Dia sempat menjeling ke arah Ashraff sebelum matanya terpejam rapat. Tangan Ashraff turut diikat dengan rantai yang sama. Serta-merta tubuh Ashraff berubah seperti manusia biasa semula. Rantai besi halus berwarna kebiruan. “Mungkinkah itu material… yang… yang aku cari selama…” Jalal rebah tidak sedarkan diri.

Bau hancing menusuk sehingga ke kerongkong Jalal. Terbatuk-batuk, dia tersedar dari tidur yang langsung tidak selesa. Lantai simen kelabu menyakitkan tubuhnya. Kepalanya terasa bingung. Dia meraba-raba bahagian kiri pelipisnya. Bengkak teruk. Teringat apa yang berlaku, dia bingkas bangun, berpaling ke kiri dan kanan, mencari Ashraff. Namun tidak kelihatan kelibat anak angkatnya itu. Yang ada di dalam ruang kecil itu hanyalah beberapa bekas besi berwarna keperakan. Di hadapannya, jeriji besi seakan-akan kandang haiwan. Terasa seperti melawat pusat perlindungan haiwan, namun kali ini dia yang berada di dalam kandang itu. Dia menoleh semula ke arah bekas-bekas besi tadi. Tidak perlu dia meninjau untuk mengagak apakah isinya. Baunya saja sudah memeritkan tekak.

“Ashraff!” Laung Jalal. Namun tiada sahutan. Yang memecahkan kesunyian sejak dari tadi cuma bunyi decitan tikus. Mata Jalal liar mencari sebarang bukaan. Di sebalik jeriji besi itu kelihatan beberapa lagi sel dengan keluasan yang sama, namun kosong. “Ashraff!” Laungnya lagi.

“Diam!” Jerkah seseorang dari hujung lorong sel itu. Namun kelibatnya tidak kelihatan.

“Hoi! Tempat apa kau bawa aku ni? Kau ingat aku binatang?!”

“Diaaaam! Anjing kurap!”

“Celaka!” Jalal mengetap giginya.

“Ayah?” Suara Ashraff kedengaran lemah, namun jelas datang dari sel sebelah kanannya.

“Ashraff? Kau ok, nak?” Jalal cuba untuk menjengukkan kepalanya keluar dari jeriji sejuk itu, namun kepalanya ternyata terlalu besar.

“Ok. Aduh… apa dah jadi, ayah?” Bisik Ashraff.

Jalal menerangkan tentang apa yang berlaku kepada Ashraff. Bagaimana helikopter itu dapat menjejak mereka, bagaimana rantai yang mereka gunakan mampu untuk meredamkan naluri Homo-Canis mereka dan bagaimana Malik berjaya melepaskan diri. Namun dia tidak pasti sama ada semua itu berlaku semalam atau baru tadi.

“Cuba check phone kau, nak. Phone aku entah mana.”

“Tak ada juga, ayah. Kocek Ashraff kosong.”

“Cari apa?” Seorang lelaki botak beruniform tentera tiba-tiba muncul entah dari mana, meninjau ke dalam kandang Jalal. Suara lelaki itulah yang memanggilnya anjing kurap tadi. Jalal menderu ke arah jeriji besi, cuba untuk menerkam lelaki itu. Namun pergerakan lelaki itu ternyata pantas. Jalal kemudian teringat, dia kini hanya manusia biasa. Gelang besi kebiruan masih diikat pada lengan kanannya. Kecil sedikit berbanding yang digunakan untuk mengikat lengannya sebelum ini. Dia menarik-narik gelang itu, namun rantaiannya tetap utuh mengelilingi lengannya.

“Apa benda ni?” Tanya Jalal kasar. Lelaki tadi menjeling ke arah gelang itu.

“Gelang Perak Purba. Berkesan untuk mengawal anjing-anjing macam kau.”

“Gelang Perak Purba? Maksud kau, Vateris-argentum?”

Lelaki botak tadi mengangkat keningnya, “hmm… tak sangka. Anjing yang bijak.”

“Aku cadangkan kau berhenti panggil ayah aku anjing!” kedengaran suara Ashraff menengking dari sel sebelah.

“Oh, anak-beranak rupanya. Tapi pelik. DNA tak sama. Anak angkat?”

“Bukan urusan kau!” Kata Jalal garang. “Kau nak apa dari kami?”

“Kami tak mahu kau, atau anak kau. Kami cuma mahu anjing kami. Mana dia?” Soal lelaki botak itu tenang. Matanya jelas sedang menilai setiap perubahan riak wajah Jalal.

“Aku tak faham maksud kau.”

“Anjing… maksud aku, lelaki yang anak kau pikul semalam. Mana dia?”

“Kami tak tahu,” jawab Jalal selamba. Lelaki botak tadi mengangguk sabar. Dia mengeluh pendek.

“Aku ulang sekali lagi… MANA DIA?!”

Jalal terdiam. Jelas bahawa Malik begitu penting bagi mereka. Dia dan Ashraff juga Homo-Canis. Tapi kenapa mereka tetap mahukan Malik?

“Aku tak tahu. Aku tak kenal dia pun. Kami terserempak dalam hutan.”

“Heh… terserempak macam tu saja? Kau ingat aku bodoh?”

Jalal diam sejenak. Kalaulah dia boleh berubah menjadi Homo-Canis sekarang. “Ini makmal Kementerian Pertahanan, kan? Takkan kau tak buat apa-apa kajian tentang naluri Homo-Canis? Setiap Homo-Canis yang keliru atau tersesat akan sentiasa tertarik dengan Homo-Canis lain secara naluri.”

“Tak payah ber-Homo-Canis dengan akulah. Sebut anjing saja!”

“Kurang ajar!” Bentak Ashraff. Namun lelaki botak itu ternyata tidak berminat dengannya. Dia sekadar tersenyum memandang Jalal.

“Ghafar! Bawa dua lelaki tu ke bilik soal siasat. Aku nak berborak dengan mereka tentang kawan Homo-Dirus mereka. Over.” Kedengaran suara seorang lelaki dari walkie-talkie lelaki botak tadi. Lelaki itu tidak mengendahkan arahan itu. Dia masih tersenyum memandang Jalal.

“Homo-Dirus…” gumam Jalal.

“Kau ingat kau dah cukup bijak? Kau dah tertipu dengan kawan Homo-Dirus kau tu, anjing bodoh!” Lelaki botak itu ketawa menghina. Dia mencapai walkie-talkie di atas dadanya, “baik, tuan!”

Selepas memberi arahan kepada beberapa orang tentera, pintu sel Jalal dan Ashraff dibuka. Namun ternyata mereka tidak berpeluang untuk meloloskan diri. Enam orang tentera bersenjata berat mengawal langkah mereka berdua. Langkah mereka diketuai oleh lelaki botak tadi. Sepanjang perjalanan melalui sel-sel kosong hapak itu, mata Jalal liar memerhati sekeliling, mencari apa sahaja klu yang boleh ditafsir. Selain dari kelibat beberapa ekor tikus yang menyelinap ke celah-celah jeriji sel, ruang itu hanya kelihatan seperti sebuah penjara yang kotor. Ashraff pula sedari tadi diam tidak bersuara. Sesekali dia menjeling marah ke arah lelaki botak yang berjalan di hadapan sekali.

“Malik tipu kita?” Bisik Ashraff. Jalal menghenjut bahu. Jelas tidak mahu dipukul lagi dengan senjata para tentera itu.

Mereka berjalan sepanjang koridor yang menempatkan beberapa buah makmal sebelum diarah masuk ke dalam dua buah bilik kecil yang berasingan. Setiap bilik menempatkan sebuah meja besi yang dipasak pada lantai. Pada satu belah meja itu diletakkan sebuah kerusi besi (yang diduduki oleh Jalal). Berhadapan dengan kerusi itu pula diletakkan dua buah lagi kerusi yang serupa. Keadaan bilik itu kelihatan bersih dan terang-benderang.

Buat beberapa ketika, Jalal sekadar duduk bodoh, memerhati sekeliling. Tiada orang lain di dalam bilik itu. Di bilik sebelahnya (di mana Ashraff berada) juga begitu. Namun mental Ashraff jelas lebih tegang berbanding Jalal. Jalal kelihatan tenang.

Sejenak kemudian, masuk seorang lelaki berusia awal 40-an, bermisai lebat ke dalam bilik itu. Seperti lelaki botak tadi, lelaki itu juga beruniform tentera. Lelaki itu tersenyum mesra ke arah Jalal. Jalal tidak mengendahkan senyumannya. Lelaki itu melangkah perlahan, menyapa Jalal dengan panggil ‘encik’, kemudian duduk di kerusi bertentangan dengan Jalal.

“Macam mana keadaan tempat tidur encik?”

“Heh,” Jalal menjeling, “tak payahlah kau nak psiko aku. Tanya saja apa kau nak tanya!”

“Jangan macam tu. Kita berbual dulu,” ujar lelaki bermisai lebat itu mesra.

“Kau nak berbual? Baik, kita berbual. Homo-Dirus tu apa?”

Lelaki tadi diam. Dia memandang ke dalam mata Jalal. Kemudian bibirnya mengukir senyuman sinis, “mutasi genetik manusia. Evolusi jangka-pendek. Panggil saja apa kau nak panggil. Macam kau juga, cuma lebih bijak. Jauh lebih bijak. Lebih besar. Lebih kuat juga.”

“Heh, kalau macam tu, lelaki kau cari tu bukan Homo-Dirus,” ujar Jalal yakin.

Lelaki bermisai lebat itu mendengus pelik, seakan apa yang dikatakan oleh Jalal itu cukup menghiburkannya. “Apa yang membuatkan kau cukup yakin?”

“Besar, ya. Tapi lebih bijak dari aku?” Jalal menggeleng. “Aku tak rasa macam tu.”

Lelaki tadi tersenyum, “kau menilai menggunakan mata kasar. Dia yang mahu kau lihat dia macam tu. Nampak naif dan bodoh, kan? Kau dan anak kau dah dipermainkan.”

Jalal diam merenung permukaan meja yang kosong itu. Dia cuba mengingat semula setiap perkara yang berlaku sebelum itu.

“Aku percaya yang sebelum ni kau tak kenal dia. Macam mana kau boleh bertembung dengan dia?” Tanya lelaki tadi. Jelas lelaki itu lebih bijak menilai cerita benar berbanding penipuan.

Jalal menceritakan bagaimana malam itu Ashraff enggan mengambil ubatnya. Juga bagaimana Ashraff yang dalam perjalan pulang dari sebuah parti di puncak Bukit Tunku tertarik dengan bau mayat di dalam hutan. Sampai sahaja bahagian di mana mereka bertembung dengan Malik dia dalam hutan itu, lelaki tadi mengangkat tangannya, meminta Jalal berhenti.

“Parti siapa?” Soalnya penuh minat.

“Parti siapa?” Jalal mengangkat keningnya. “Penting ke?”

Lelaki itu diam, jelas sedang berfikir. Kemudian dia melangkah keluar dari bilik itu, meninggalkan Jalal yang terpinga-pinga. Selang dua minit kemudian, lelaki tadi kembali semula. Kali ini bersama Ashraff di sebelahnya.

“Duduk, Ashraff,” arah lelaki itu. Ashraff menurut. Dia menjeling ke arah bapa angkatnya, kemudian ke arah lelaki bermisai lebat tadi semula.

“Kau nak apa?” Tanya Ashraff kasar.

“Parti yang kau pergi malam tu. Parti siapa?”

Wajah Ashraff kelihatan berfikir-fikir. Kemudian dia menghenjut bahunya. “Entah. Aku tak tahu.”

“Macam mana kau dapat jemputan untuk ke parti tu?”

“Aplikasi telefon bimbit. E-Party. Orang tua macam kau mungkin tak pernah dengar,” kata Ashraff, sengaja menghina.

Lelaki bermisai lebat itu mengangguk faham. Dia tersenyum mesra ke arah Ashraff. Jalal pula memandang mereka berdua bersilih ganti. Jelas tidak faham. Kemudian lelaki tadi mengeluarkan telefon bimbit Ashraff dari dalam koceknya. Peranti itu dihulurkan kepada Ashraff. Ashraff terdiam, memandang lelaki itu. Teragak-agak, dia mencapai telefon bimbitnya. Lelaki itu mengangguk menggalakkan.

“Kenapa?” Tanya Ashraff hairan.

“Buka aplikasi tu. Mesti ada rekod parti terakhir yang kau hadiri, kan? Aku nak tengok.”

Ashraff menurut. Jarinya deras menari-nari di atas skrin telefon bimbitnya itu. Wajahnya berubah serta-merta. Langsung tiada sebarang jemputan yang diterimanya malam itu. Parti terakhir yang dihadirinya adalah pada malam sabtu lepas. Lokasi di Bangsar Baru. Bukannya Bukit Tunku.

“Dah tak ada,” ujar Ashraff sedikit hairan, “rekod parti malam tu dah tak ada. Mungkin ada orang padam.”

Lelaki tadi tersenyum penuh makna, “antara kebolehan Homo-Dirus adalah mengumpan Homo-Canis yang lemah melalui manipulasi minda. Macam kisah Kitsune dalam dongeng Jepun.”

“Kitsune musang, kan? Kami…” Jalal kelihatan teragak-agak untuk menyebut perkataan ‘anjing’ di hadapan Ashraff.

“Macam saja, encik Jalal. Macam. Kualiti mental dan fizikal Homo-Dirus lebih seperti seekor Dire Wolf berbanding anjing atau serigala biasa,” lelaki itu diam sejenak, jelas sedang menyusun ayat paling mudah untuk difahami oleh dua beranak itu, “Homo-Dirus yang terlepas tu satu-satunya Homo-Dirus yang kami dapat kesan di Malaysia. Dia spesimen berharga…”

“Spesimen?! Kami manusia!” Ashraff memotong kasar kata-kata lelaki tadi. Namun lelaki itu kekal tenang.

“Ya, kau manusia. Bapa kau juga manusia. Kami tak berminat dengan Homo-Canis. Kita sedang bercerita tentang Homo-Dirus. Kau tak sedar lagi apa yang dia dah buat pada kau?”

Ashraff diam sejenak, memandang bapa angkatnya, kemudian menggeleng. Wajahnya merah berbirat. Luka pada hidung dan dahinya kembali berdarah.

“Sebaik sahaja dia dapat lepas dari sangkar Vateris-argentum kami, dia terus mengesan Homo-Canis yang paling hampir dengannya. Dan aku agak pasti waktu tu kau berada berhampiran Bukit Tunku, kan?”

Ashraff kelihatan berfikir-fikir. Dia cuba mengingat kembali setiap butiran yang berlaku pada malam itu. Pada awalnya, bertengkar dengan bapanya itu kerana ubat. Dia berkeras tidak mahu makan. Kemudian dia pujuk bapa angkatnya itu semula.

  • “Ashraff keluar sekejap jer. Ambil angin. Dah letih nanti Ashraff balik,” pujuk Ashraff lembut. “I need this, uncle. I need to clear my mind off things,” katanya sambil mencapai botol airnya dari atas meja.

Botol air? Kenapa dia bawa botol air malam tu? Takkan pergi parti bawa bekal air? Tak mungkin mindanya dipermainkan. Dia benar-benar hadiri parti tu. Dia ingat lagi, dekat parti tu dia… tak ada. Langsung tak ada memori tentang parti tu lepas dia berubah menjadi Homo-Canis.

“Awalnya ayah ingat Ashraff pergi ambil angin malam tu. Jogging?”

Ashraff tersentak mendengar kata-kata bapa angkatnya itu. Ya! Dia bukan hendak ke parti malam itu. Dia berasa lesu selepas pulang dari kerja. Kelesuan itulah yang membuatkan dia terasa mahu naik ke Bukit Tunku untuk berjogging sambil mengambil angin malam.

“Ya,” buntang mata Ashraff memandang lelaki bermisai lebat di hadapannya itu, “aku… aku tak hadiri mana-mana parti. Aku masih ingat, malam tu malam Rabu. Mana ada orang anjurkan parti malam Rabu. Siapa nak datang?”

Lelaki bermisai lebat tadi tersenyum mengangguk-angguk. “Dan mayat yang kau jumpa tu, tak mustahil Homo-Dirus tu yang bunuh. Dah ramai aset kami yang jadi mangsa helahnya.”

Jalal dan Ashraff terdiam. Tanpa sedar Jalal meraba-raba gelang besi kebiruan yang melingkari pergelangan tangannya.

“Macam inilah, aku cadangkan supaya kita bekerjsama untuk…” baru sahaja lelaki bermisai lebat itu hendak menghabiskan ayatnya, tiba-tiba kedengaran dentuman kuat dari tingkat atas mereka. Ketiga-tiganya mendongak memandang siling.

“DAMMM!”

Sekali lagi kedengaran bunyi dentuman kuat. Habuk-habuk dari siling bertaburan ke atas meja.

“Homo-Dirus tu!”

“Sekejap. Buat apa dia datang semula?” Soal Jalal hairan. Lelaki tadi bingkas bangun, memandang Jalal dan Ashraff bersilih ganti, kemudian berlalu keluar dari bilik itu tanpa berkata apa-apa. Jalal dan Ashraff termanggu memandang sesama sendiri.

“Kita nak buat apa, ayah?”

“Kita jangan masuk campur. Kita cari jalan untuk tanggalkan gelang ni, kemudian kita pergi dari sini.”

Ashraff mengangguk faham. Baru sahaja mereka hendak bangun, kedengaran berdas-das tembakan senjata berat di luar pintu bilik soal siasat itu. Ashraff memandang bapa angkatnya, jelas kelihatan gerun. Jalal berlagak tenang. Dia menghampiri pintu. Kunci pada tombol pintu itu ditekan, macamlah itu dapat melindungi mereka dari seekor makhluk yang mampu memecah masuk sebuah makmal tentera.

Mata Jalal tertancap pada telefon bimbit Ashraff yang tergeletak di atas meja. Dia deras mencapai telefon bimbit itu. Ashraff membiarkan. Dia sekadar memerhati setiap pergerakan bapa angkatnya itu.

“Ah, tak ada line pulak!”

“Tak ada line? Call 999 tak ada line pun boleh, kan?”

“Buat apa nak call 999? Kita dekat makmal tentera ni! Aku cuma nak tahu lokasi kita.”

“BAMM!” Pintu bilik soal siasat itu dihentak dari luar.

“Ashraff! Jalal! Jangan risau, aku datang untuk selamatkan korang!” Terdengar laungan Malik dari balik pintu. Jalal melangkah ke belakang sedikit. Melihat reaksi bapa angkatnya itu, Ashraff menjadi semakin gabra.

“Macam mana ni, ayah?” Matanya buntang memandang Jalal. Jalal menggeleng. Matanya tidak putus-putus memandang pintu itu yang bergegar dari setiap hentaman Malik.

Selepas hentaman kelima, pintu itu berdentum tertanggal dari engselnya. Kelihatan Malik yang masih berbogel, sedang tercungap-cungap memandang mereka. Bebola mata Malik berwarna kelabu pekat. Anak matanya pula kelihatan tirus. Dia sudah berubah menjadi Homo-Canis. Atau seperti yang diterangkan oleh lelaki bermisai lebat tadi, Homo-Dirus. Malik tersengih menampakkan baris-baris giginya yang kini bertaring.

“Kau tipu kami!” Jerkah Ashraff. Jalal menggeleng-geleng memandang Ashraff.

“Tipu? Tipu apa?” Wajah Malik jelas kehairanan.

“Kau bukan Homo-Canis! Kau Homo-Dirus! Kau umpan aku! Kau yang letak mayat tu dalam hutan tu, kan? Kami dah tahu semuanya!”

Terpinga-pinga Malik mendengarkan kata-kata Ashraff itu. “Kau sendiri kata aku sama macam kau. Homo… Homo-Canis? Homo-Tirus tu apa benda pulak?”

Jalal yang berpengalaman membaca riak wajah seseorang mengangkat keningnya. Dia kini keliru. “Kau jadikan kami sebagai ‘decoy’ untuk kau larikan diri, kan?” Soalnya kepada Malik.

“Decoy? Eh, kalau aku jadikan korang decoy, buat apa aku datang balik ke sini?” Wajah Malik jelas kelihatan terluka mendengarkan tuduhan itu.

“Tapi… tapi malam tu aku bukan nak pergi parti. Kau yang manipulasikan fikiran aku!”

“Hah? Kau cakap apa ni, Ashraff?” Malik menggaru kepalanya. “Kau terhantuk kuat sangat ke sampai kau merapu ni?”

Ashraff dan Jalal saling berpandangan. Serentak itu juga kedengaran dentuman pintu dari hujung kanan tingkat itu. Derapan puluhan pasang kaki berbut sedang menghampiri mereka. Malik menjenguk ke luar pintu, kemudian ke arah mereka semula. “Kawan-kawan, aku rasa kali ni aku perlukan bantuan korang. Sekarang masa yang terbaik untuk korang bertukar.”

“Kami… tak boleh,” Jalal menayangkan gelang besi kebiruannya ke arah Malik.

Malik menepuk dahinya, “ah, dah tentulah! Tak apa. Aku cuba halang mereka. Korang cari jalan untuk tanggalkan gelang tu!” Ujar Malik sambil bergegas keluar dari bilik itu. Kedengaran derapan langkah Malik menjauhi mereka.

“Aduh. Mana satu yang betul ni? Malik ke, pakcik tu?” Ashraff menarik-narik gelang pada pergelangan tangannya, sekadar untuk berbuat sesuatu.

“Itu kita tak payah fikir. Kita selamatkan diri dulu,” ujar Jalal nekad. “Dalam perjalanan ke sini tadi kita ada lalu depan makmal geologi. Kita kena ke situ.”

“Buat apa?”

Jalal mengangkat tangannya, menayangkan gelang biru itu. Ashraff mengangguk faham.

“Untuk hancurkan Vateris-argentum, kita perlukan larutan lonsdaleite. Lonsdaleite berasal dari batu meteor. Bahan paling keras…”

“Dah, ayah. Lain kali ayah terangkan. Jom ke sana sekarang,” Ashraff memotong penerangan bapa angkatnya.

“Ah, yalah…” Jalal melangkah perlahan menghampiri lohong yang tidak berpintu bilik itu. Kepalanya dijengukkan sedikit. Kedengaran suara raungan beberapa orang tentera yang diredamkan oleh deraman garau Malik. Kelibat mereka tidak kelihatan. Namun dengungan beberapa das tembakan meyakinkan Jalal bahawa Malik sedang bertarung dengan para tentera itu di bahagian tangga bangunan. “Clear. Jom!”

Ashraff menurut. Didahului oleh Jalal, mereka berjalan terjongkok-jongkok keluar dari bilik itu lalu menyusuri dinding, melintasi beberapa buah pintu sehinggalah tiba di hadapan sebuah bilik yang tertulis ‘Department of Geology’ pada plaknya. Tangan Jalal mencapai tombol. Nafasnya ditarik dalam. “Janganlah berkunci pula,” katanya dalam hati. Tombol dipulas deras. Lega hati Jalal. Mereka menyusup masuk ke dalam bilik itu. Pintunya ditutup rapat dan dikunci.

Tidak seperti sebuah bilik yang dijangka oleh Ashraff, bilik yang mereka masuki itu lebih kelihatan seperti sebuah bangunan lain dengan konsep yang cukup berbeza. Dinding dan lantainya berwarna kelabu gelap, manakala di kiri dan kanannya tersusun berpuluh-puluh rak yang menempatkan balang-balang berisi tanah dan pasir. Terdapat juga rak-rak yang menempatkan berpuluh-puluh buah peti besi, yang pada pendapat Ashraff, menyimpan apa sahaja material yang disebut oleh bapa angkatnya tadi.

“Mesti mereka simpan dalam peti besi,” ujar Ashraff yakin.

“Tak. Larutan lonsdeleite taklah begitu bernilai. Bukan macam batunya. Ini dalam bentuk cecair,” Jalal menuding ke arah sebuah pintu yang pada plaknya tertulis, ‘Liquidified Materials’. “Aku rasa dekat dalam bilik tu.”

Ashraff mengangguk faham. Mereka bergegas menghampiri bilik itu. Bau bahan kimia yang digunakan untuk melarutkan batu-batuan dapat dihidu oleh mereka walaupun pintu itu belum dibuka. Jalal menolak daun pintu kayu itu, mendedahkan sebuah bilik bersaiz sederhana yang keliahatan suram. Seperti juga bahagian-bahagian lain di dalam bangunan itu, bilik itu tidak bertingkap. Lampu silingnya pula berkelip-kelip malap. Rak-rak di dalam bilik itu lebih kecil, manakala balang-balangnya pula berisi cecair. Tiada peti besi di dalam bilik itu.

“L!” Ujar Jalal sambil mengamati kertas senarai yang ditampal pada hujung setiap rak itu, “cari huruf L. Lonsdeleite Solution.”

“Warna?”

“Hitam keemasan.”

“Yalah,” Ashraff menghayun langkahnya sambil memerhati setiap pelekat nama yang ditampal pada balang-balang tadi. Sekali-sekala terdengar bunyi das-das tembakan dari kejauhan. Namun Ashraff cuba untuk tidak memikirkan akan apa yang terjadi kepada Malik saat itu. Dia semakin hampir dengan huruf ‘L’. “H, J, K… L!” “L.O.N.S… dah jumpa!” Ashraff nendapai sebuah balang lutsinar yang berisi cecair berwarna hitam keemasan. Tidak seperti air, cecair itu kelihatan pekat. Lebih seperti gam yang hampir kering.

“Mari! Bawa ke sini.” Sebuah meja yang menempatkan beberapa unit teleskop dan nota catatan dikosongkan oleh Jalal dengan satu hayunan tangan. “Hulur tangan kau!”

Ashraff meletakkan lengannya ke atas meja. Gelang besi kebiruan itu kelihatan menyala lemah di dalam sinar cahaya lampu berkelip-kelip tadi. Jalal mencapai sebuah bikar kecil. Penutup balang tadi dibuka kasar. Sedikit larutan lonsdeleite dituangkan ke dalam bikar kecil itu. Ashraff mengangkat keningnya. Larutan itu langsung tidak kelihatan berbahaya atau menghakis. Cuma warnanya sahaja yang kelihatan sedikit pelik.

“Ayah pasti ke benda ni boleh hancurkan gelang kita?”

“Ya, aku pasti,” jawab Jalal acuh tidak acuh. “Baik, sekarang angkat sikit lengan kau. Aku nak tuang sikit benda ni atas gelang tu.”

Sebaik sahaja larutan tadi mengenai gelang Ashraff, gelang itu menyala terang, menerbitkan cahaya kebiruan, diiringi oleh bunyi mendesis yang kuat dan bau hangit yang memeningkan. Perlahan-lahan larutan yang tersisa pada gelang itu bertukar warna. Tidak lagi keemasan, tetapi berwarna hitam pekat. Kelihatan buih-buih kecil terbit dari permukaannya, seolah-olah larutan itu bernafas. Dengan satu bunyi dentingan kecil, gelang itu tertanggal dari lengan Ashraff. Serta-merta Ashraff berubah bentuk. Kagum Jalal melihat anak angkatnya sudah mampu untuk mengawal naluri Homo-Canisnya. Mungkin keadaan berbahaya di luar yang membuatkan anak angkatnya itu mudah berubah.

Kini giliran Ashraff pula membantu bapa angkatnya. Dengan reaksi yang sama dari kedua-dua larutan lonsdeleite dan rantai vateris-argentum itu, kini pergelangan tangan Jalal bebas dari belenggu kebiruan itu. Dengan satu hembusan nafas lembut, warna mata Jalal bertukar kelabu. Derianya bertambah berpuluh kali ganda.

“Malik dalam bahaya!” Ujar Ashraff.

“Aku tahu. Biarkan. Kita lepaskan diri dulu.”

Ashraff terdiam mendengarkan kata-kata bapa angkatnya itu. Dia dapat mengesan bau Malik yang kini sedang berhadapan dengan dua dozen tentera bersenjata berat. Setiap das tembakan tidak mengenai sasaran. Jika terkena, pasti Ashraff akan dapat mengesan bau darah lelaki itu.

“Macam mana pun, kita kena ikut tangga, kan? Malik masih dekat tangga.”

Jalal diam, memikirkan langkah seterusnya. “Ya, kita ke arah di mana Malik berada.”

“Kita tolong dia sekali!”

“Tengok keadaan,” Jalal menujah kakinya, melompat dari satu meja ke meja yang lain, ke arah pintu keluar dari makmal geologi itu. Ashraff menyusul di belakangnya.

Koridor tadi masih kosong. Mungkin semua aset dikerah untuk membendung pergerakan Malik. Di dalam benaknya Jalal masih menimbang kira, sama ada lelaki bermisai lebat tadi berkata benar, atau Malik memang hanya seekor Homo-Dirus naif yang tidak sedar akan kebolehan dirinya.

Bunyi das-das tembakan kini membingitkan telinga mereka berdua. Jalal dan Ashraff segera menumpukan fokus mereka kepada deria bau dan penglihatan. Mereka meloncat menuruni anak tangga, melangkah mayat-mayat tentera yang sudah dirobek, kebanyakannya di bahagian leher dan bahu. Dua belas anak tangga sekali tujahan, sehingga akhirnya belakang tubuh Malik bertemu mereka. Di hadapan Malik kelihatan sedozen lagi lelaki beruniform tentera yang dilengkapi senjata berat. Setiap das tembakan dapat dielak oleh Malik. Tergamam mereka berdua melihat kelincahan pergerakan tubuh lelaki berbadan sasa itu.

“Malik! Kami datang untuk bantu kau!” Laung Ashraff. Jalal menahan langkah anak angkatnya itu. Malik berpaling serta-merta. Wajahnya kini kelihatan cukup berbeza berbanding sebelumnya. Tiada lagi riak kemanusiaan. Mulut dan hidungnya kini bermuncung. Air liur kemerahan mengalir dari celahan taring-taring panjang. Cebisan-cebisan daging bersemburan apabila Malik menderam ganas ke arah Jalal dan Ashraff. Dia kemudian tersenyum melihat wajah gerun dua orang lelaki itu.

“Encik! Berundur! Tutup pintu tangga tu! Jangan hampiri dia!” Laung salah seorang dari tentera tadi.

Ashraff tergamam. Mata Malik kini hitam semuanya, seakan seekor serigala sebenar. Jalal menarik lengan Ashraff, menjauhi makhluk itu.

“Kau tak perlu apa-apakan kami. Kita kawan, kan?”

“Kawan? Heh! Aku tak kenal kau, anjing kurap! Aku tak perlukan kau lagi. Aku dah dapat apa yang aku mahukan,” Malik menayangkan sebuah balang berisi cecair hijau pekat. “Terima kasih kerana alih perhatian mereka semua!” Malik ketawa mengekeh.

“Sialan kau! Apa bendanya tu?”

“Proxima-Dirus!”

“Kau!” Jalal melangkah sedikit ke hadapan, “kenapa kau nak jadi macam ni?! Untuk apa?”

“Heh. Terdapat lebih dari sejuta orang Homo-Canis dan beratus orang Homo-Dirus dalam dunia ni. Sekarang akulah yang paling berkuasa!

Das-das tembakan dilepaskan lagi. Ternyata setiap peluru mengenai belakang badan Malik, namun lelaki itu tidak cedera. Peluru-peluru tadi terpantul semula. Malik melangkah perlahan ke arah Jalal dan Ashraff. Dua orang lelaki itu pula melangkah mengundur. Jalal meraba-raba koceknya. Dengan beralaskan sapu tangan, Jalal mengeluarkan gelang vateris-argetumnya yang hanya tinggal separuh tadi lalu ditayangkan ke arah Malik.

“Sial!” Langkah Malik terhenti.

“Vateris-argentum! Takkan korang tak ada senjata berpelurukan vateris-argentum?!”

“Vateris… apa? Kami tentera simpanan. Aset asal semuanya dah terbunuh!” Beritahu tentera yang mengarahkan mereka untuk berundur tadi.

“Ah,” Ashraff menepuk dahinya. “Ayah, dekat dalam makmal tadi ada berbalang-balang material ni, kan?”

“Ya. Tapi dalam bentuk batuan kecil. Kita perlukan rantai yang dapat membelenggu makhluk tu, atau peluru yang mampu menembusi tubuhnya.”

 

Ashraff diam. Para tentera tadi masih melepaskan das-das tembakannya ke arah Malik. Namun ternyata sia-sia. Malik teragak-agak untuk melangkah setiap kali Jalal menggoyang-goyangkan rantai di dalam tangannya itu. Ashraff menjeling ke arah bapanya, kemudian ke arah Malik. Tangannya pantas merampas cebisan gelang vateris-argentum itu dari dalam tangan ayahnya. Kaki ditujah kuat ke lantai, membuatkan dia melambung hampir mencecah siling. Ashraff menerkam Malik, membenamkan gigi tumpulnya ke leher lelaki itu. Malik melolong kesakitan. Para tentera tadi berhenti menyerang. Jalal menyusul serta-merta. Dia berpaut pada belakang badan Malik, membuatkan lelaki itu terhuyung-hayang mengimbangi tubuhnya. Dengan satu tujahan kaki Jalal ke tulang belakang yang kelihatan ketara, Malik rebah menyembah lantai. Namun lengan Malik melibas pantas. Ashraff terhumban ke dinding. Cebisan gelang tadi terlepas dari genggamannya. Kini Malik kembali berdiri. Tubuh Jalal berada di bawah tapak kakinya.

“Mana gelang ajaib kau, anjing tua?! Hahaha!”

Jalal merenung ke dalam mata Malik. Tidak terlihat sedikit pun riak ketakutan pada wajah lelaki itu.

“Ayah!” Laung Ashraff, cuba untuk berdiri. Namun hentakan tubuhnya pada dinding tadi nampaknya telah mematahkan beberapa batang tulang rusuknya. Dia rebah semula.

“Ashraff… jaga diri,” kata-kata Jalal itu mengakhiri segala kata-katanya selama ini. Perut Jalal dirobek oleh Malik. Ashraff yang tidak mampu berdiri sekadar meraung seperti seorang hilang akal melihat bapa angkatnya dibunuh di depan mata. Para tentera tadi mula melepaskan tembakan semula. Perlahan-lahan mata Jalal berubah seperti sediakala, sebelum sinarnya hilang bersama nafasnya.

“Tidaaaaaaaaaaak! Malik! Celaka kau!”

Perhatian Malik kini tertumpu ke arah Ashraff. Giginya sengaja ditayangkan, namun Ashraff tidak kelihatan gentar. Dia membenarkan Malik menghampiri dirinya. Dalam keadaan terbaring mengerekot, Ashraff memaki hamun Malik.

“Kalau kau diam, aku akan robek perut kau perlahan-lahan. Atau itu akan lebih menyakitkan?” Malik tersengih sinis.

“Kau… kau pergunakan kami macam haiwan!”

“Apa salahnya dengan haiwan? Kenapa? Hina?!” Malik membenamkan tangannya ke dalam perut Ashraff. Segala isi perutnya ditarik keluar. Dinding yang sudah sedia bertompok-tompok merah kini seperti disimbah cat. Darah tersembur dari mulut Ashraff. Malik langsung tidak mengalihkan perhatiannya dari mata Ashraff. Dia merenung mata kelabu lelaki itu berubah putih, kemudian seperti bapa angkatnya, kehilangan sinar.


Ashraff tersedar tiba-tiba. Bau manis dari arah hutan tadi semakin kuat memanggil-manggilnya untuk melangkah keluar dari kereta.

Dia segera menaikkan tingkapnya.

Ashraff memandang ke dalam cermin pandang belakang kereta Myvi-nya. Bebola matanya masih berwarna putih, namun sudah kelihatan lingkaran kekelabuan. Anak matanya pula kini semakin meruncing tirus.

Dia membuka sedikit tingkap keretanya. Nafasnya ditarik sedalam mungkin. Memang terdapat sesuatu yang bukan manusia di dalam hutan itu.

Menanti dirinya masuk ke dalam jerat.

Segumpal tisu dikeluarkan dari koceknya. Dengan cermat dia membuka gumpalan itu, mendedahkan beberapa biji pil dan kapsul pelbagai warna. Dia mencapai botol air yang dibawanya dari rumah tadi.

“Homo-Dirus…” gumamnya sebelum memasukkan ubat-ubat tadi ke dalam mulut. Botol air tadi diteguk gelojoh. “Jangan harap kau dapat permainkan aku.”

Kereta Myvi merah itu berlalu pergi, meninggalkan bau manis mayat tadi di belakangnya. Masih menarik sesiapa sahaja yang mempunyai genetik istimewa itu. Di sebalik pohon-pohon renek itu, Malik mengetap-ngetap giginya. Mencari mangsa untuk dijadikan batu loncatan baginya mencapai impiannya.

“Proxima-Dirus…” gumamnya perlahan, “apa yang aku perlukan hanyalah decoy untuk mengalih perhatian semua aset dalam bangunan tu,” dia menoleh ke arah sebuah bangunan berbentuk kubah betul-betul di puncak Bukit Tunku.

Dari jauh kedengaran bunyi decitan tayar beberapa kenderaan tentera. Malik menarik nafasnya dalam-dalam. Bau anjing-anjing pengesan menusuk ke dalam hidungnya.

“Sial!”

  • Tamat –

P/s: terima kasih kepada yang sudi baca sehingga tamat. Bagi yang kurang faham apa sebenarnya yang berlaku akhir cerita, bolehlah rujuk perkataan ‘premonition’ dalam kamus, atau Google, ya?

Sekali lagi, dari sudut hati, terima kasih daun keladi.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

35 thoughts on “#AhmadRusydi- Manusia Anjing (bhg. 2- akhir)”

  1. (Lupa nak bagi review)
    Cerita yang berlainan membuatkan jalan cerita lebih menonjol!Cara penyampaian cerita juga mudah difaham dan dihadam.Teratur dan tersusun rapi.Just nice! Tahniah!Cerita Rusydi tidak pernah mengecewakan.Kalau ada kesempatan,kongsilah cerita lagi ya?

    Terima kasih kerana sudi berkongsi cerita di FS! 😀 *
    *Waalaikumussalam

    Reply
  2. Fuhhh… Terasa masuk dalam cerita.. Dah macam movie2 Hollywood.. Kalau ko jadi pengarah confirm aku p tengok cite2 ko.. Terbaik… Lain dari yang lain.. Tak terjangkau dek akal.. 😀

    Reply
    • Endingnya mende tu sume just premonition Ashraff je. Means Ashraff dpt bayangan sume tu akan jadi.. So dia escape lah dari situ.. Baca perenggan2 last tu..

      Reply
  3. Serius best sgt cerita ni.. amazed dngan penulis. Harap penulis bole bt lg cerita mcam ni..Penceritaan penulis siap bole byg lg smua. Wow. Akan jadi follower setia penulis Ahmad Rusydi

    Reply
  4. Dah macam Stranger Things. Berdebar debar. Please Duffer Brothers baca ni pastu buat cerita. Ohh ya, nengok Stranger Things. Highly recommended. Mindfucked lepas nengok.

    Reply
  5. BEST!!

    Mohon filemkan karya ni. Mau encik-encik husband diluar sana rajin ajak wife masing-masing ke panggung.

    Kalau di filemkan mmg hakak heret husband g panggung tengok cerita ni

    Reply
  6. Tuu la pasal bpk ankat die pesan selalu jangan nak tolong sesape kat tepi mana2 jln,terus balik jer,sbb dah tau bpk die kalau ada jerat yg menanti di luar sana #terbaikstory

    Reply

Leave a Comment