Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Kisah yang aku tulis ini merupakan kisah benar yang telah berlaku di sekolah aku pada tahun 2015. Kisah ini bermula dengan jeritan daripada seorang murid di makmal kimia sekolah tersebut. Aku ketika itu merupakan pelajar tingkatan 5 dan kelas aku berada di tingkat bawah.
Sewaktu bunyi jeritan itu didengari, aku dan rakan sekelas hanya membiarkan sahaja, kerana menyangkakan hanya jeritan biasa. Tetapi, selepas beberapa minit terdengar lagi suara jeritan pelajar perempuan lain.
Kali ini, kami dan guru yang berada di kelas ketika itu cuba lihat di luar kelas dan kelihatan seorang pelajar sedang berlari di koridor di hadapan makmal tersebut. Kami semua panik dan cikgu mengarahkan kami untuk menutup pintu dan tingkap kelas.
Keadaan di dalam kelas agak kelam kabut, sebahagian rakan kelas aku panik dan takut. Cikgu kami cuba untuk keluar dari kelas untuk melihat apa yang terjadi.
Ketika pintu kelas dibuka terlihat beberapa orang pelajar yang sudah terkena histeria dan menjerit, berlari lari di kawasan sekolah. Ketua kelas aku kembali menutup pintu kelas dan mengarahkan rakan sekelas agar tidak panik dan jangan takut.
Kedengaran bunyi loceng kecemasan telah dibunyikan, menandakan kami perlu keluar dari kelas dan berkumpul di padang. Aku dan rakan sekelas mula keluar dari kelas tanpa beratur dan terus berlari ke padang.
Sewaktu dalam perjalanan ke padang, kelihatan beberapa orang murid sudah pun dirasuk dan kelihatan beberapa orang murid yang dirasuk turun dari tangga dalam keadaan mengesot. Keadaan ketika itu sangat huru hara dan sukar untuk aku gambarkan.
Setibanya aku di padang, cuaca mula mendung dan angin begitu kuat. Selama ini, aku hanya melihat di filem seram sahaja, tapi hari itu aku merasakan sendiri keadaan seram itu. Apabila semua tiba di padang, kami diminta untuk beratur dan beberapa orang pengawas mengagihkan buku Yassin untuk kami baca dan guru-guru menyuruh kami untuk berzikir dan beristighfar.
Kedengaran azan berkumandang bukan menunjukkan waktu azan tetapi memberikan petanda. Sebaik sahaja azan berkumandang, suara jeritan mula merebak. Aku dan rakan rakan yang lain hanya menutup mata sambil berzikir.
Boleh dikatakan ramai pelajar disekeliling kami sudah pun dirasuk. Aku cuba membantu pelajar yang dirasuk masuk ke surau. Ketika menuju ke surau, beberapa orang pelajar sedang menari ketika dirasuk. Ada yang cuba membuka aib sendiri, mengatakan dosa dosa yang pernah mereka lakukan. “Rambut aku perang”, ”pukul la aku, aku tak pernah solat”. Itu adalah kata-kata pelajar yang dirasuk. Aku hanya menutup mata sahaja ketika memimpin kawan aku yang sedang dirasuk ke dalam surau.
Kebanyakan guru-guru sedang mengasingkan pelajar. Ada juga ustaz dari luar yang cuba membantu meredakan keadaan. Hampir 2 jam keadaan kucar kacir, cikgu telah mengarahkan pelajar yang tidak dirasuk untuk pulang agar dapat mengurangkan risiko.
Sebelum pelajar dibenarkan pulang, ada seorang wanita yang juga merupakan seorang ibu daripada salah seorang pelajar sekolah ini telah menawarkan diri untuk membuat pemeriksaan sebelum pelajar dibenarkan pulang.
Dikatakan wanita tersebut mempunyai sedikit ilmu. Jadi, wanita tersebut telah mengarahkan pelajar yang ingin pulang untuk beratur untuk melakukan pemeriksaan imbasan. Aku mulanya tidak percaya dengan cara yang dicadangkan wanita itu. Tetapi disebabkan aku takut dirasuk dan ingin pulang dengan cepat aku juga ikut beratur.
Ketika beratur, pelajar didepan aku berbual dengan aku seperti biasa. Tiba giliran dia untuk di periksa. Apa yang mengejutkan aku, ketika wanita itu meletakkan jari di atas dahi pelajar di depan aku, pelajar itu menjerit dan mengatakan “aku nak balik la, aku tau la aku tak sembahyang” dengan suara garau. Aku terus kaku. Yelah, sepanjang aku beratur, dia seperti orang normal dan bercakap seperti tiada apa yang berlaku.
Rupa-rupanya pelajar tersebut telah pon dirasuk. Tapi dia berpura pura dan beratur sekali. Giliran aku pula di “scan”. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang berlaku. Aku terus berlari kearah pagar sekolah dan segera pulang. Sebelum kami dibenarkan pulang, cikgu telah pun memberitahu penjaga semua pelajar untuk membawa anak pulang. Keluar sahaja dari sekolah, aku pun rasa lega. Benda itu berlarutan hampir seminggu.
Sepanjang seminggu berada di sekolah, masih kedengaran murid menjerit dan ada juga yang membuat aksi seperti menari, berlari ketika dirasuk. Guru mengesyorkan agar pelajar yang lemah supaya berehat dulu di rumah dan tidak perlu hadir ke sekolah.
Punca kejadian tersebut tidak dapat dikenal pasti kebenarannya. Alhamdulillah, peristiwa itu tidaklah berlarutan dan tidak mengambil masa yang lama untuk memulihkannya. Tetapi masih ada kesan-kesan kecil sehingga ketika kami perlu menghadapi peperiksaan besar, dewan peperiksaan terpaksa diletakkan biji lada hitam dan garam untuk mencegah perkara itu berlaku.
Keadaan kembali normal selepas beberapa bulan. Kebanyakan murid yang lemah terpaksa dipindahkan sekolah, kerana mereka masih ternampak bayangan makhluk tersebut. Apa yang menjadi persoalan dalam fikiran aku sampai sekarang, “kenapa manusia membuka aib ketika dirasuk?”. Sekian, itu sahaja kisah aku. Terima kasih.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit