Air Terjun di Sarawak – Kisah aku dan Yunus

Salam sejahtera. Assalamualaikum…

Aku baca setiap komen. Terima kasih kepada yang suka cerita Yunus. Kerana ada komen meminta aku share cerita di air terjun, ini dia kisahnya. Dah cuba ringkaskan, tapi kalau ringkas, pembaca tak dapat gambarkan apa yang aku nampak dan alami di sana.

Kisah air terjun ni terjadi di pedalaman Sarawak. Sangat-sangat jauh ke pedalaman. Naik bot hampir dua jam baru sampai. Macam nak patah pinggang sebab kena bersila di dalam bot. Jangan tanya macam mana Yunus tahu tempat ni. Masa tu, ada pembinaan di situ. Sekolah mungkin, kerana ada menara pencawang untuk internet sedang dipasang. Kawasannya sudah siap dipagar, dan tidak jauh dari sebuah rumah panjang yang besar dan cantik. Ada titi gantung, tinggi melayut mengubungkan rumah panjang dengan jeti tempat bot-bot ditambat. Sekarang, kata Yunus dah dibina jalan. Jimat masa.

Yunus selalu hantar gambar melalui whatsapp gambar2 air terjun tu. Dia pergi dengan kawan-kawannya beberapa kali dah. Memang sangat cantik. Membuak-buak keinginan aku nak melihat sendiri. Tiba harinya diizinkan Tuhan, aku ke sana. Dari Labuan kerana urusan kerja, aku terbang ke Sarawak. Nak sambut harijadi aku yang kebetulan jatuh selepas hari kami ke air terjun tu. Merasalah aku naik bot dan jumpa Yunus di bumi Sarawak. Pemandangan sepanjang atas bot jangan cakaplah, cantik sangat nauzubillah. Tak terasa lenguh pinggang.

Aku cerita sikit tentang kawasannya. Di tepi pagar belakang kawasan pembinaan tu, ada pondok untuk pekerja berehat, serupa kedai runcit kecil. Nak ke sungai, kami akan lalu depan pondok tu. Jumpa sebatang titi kayu, dan lepas tu jumpa satu kawasan di mana banyak pokok midin tumbuh melata. Luasnya separuh padang bola. Kemudian kena daki bukit yang ditanam pisang dan tembakau. Turun bukit, berjalan dalam 30 meter barulah jumpa anak sungai. Anak sungai inilah yang menjadi jalan ke air terjun tu. Untuk ke air terjun tu, kami kena meranduk anak sungai tu. Kalau air tak dalam, 45 minit meranduk air, sampailah.

Kata Yunus, kawan-kawannya ada yang nak mengikut, tapi terpaksa batalkan hasrat kerana ada urusan. Aku memanglah rasa gusar kerana hanya kami berdua. Tapi jujurnya aku jadi berani sebab Yunus ada. Kami bertolak ke pekan tu selepas subuh dengan kereta Yunus. Dalam kereta, aku dengar lagu Selembut Sutera nanyian Nurfatimah di mp3 berulang kali. Teringat kekasih lama. Hari masih gelap masa kami sampai dan menikmati pemandangan sungai Rejang yang besar dan indah. Naik bot pukul 6.30 pagi. 6.30 pagi di Sarawak dah terang benderang. Pemandu bot tu dah kenal dengan Yunus dan mereka bersembang dalam bahasa Iban. Walau aku sepatah pun tak faham, tapi pemandu bot tu nampak terkejut. Dia tinggal di rumah panjang yang aku sebut tadi.

Yunus bawa ayam perap untuk dibakar di sana. Satu lagi tentang Yunus, dia akan bawa beg sandang besar yang aku tak tahu entah apa isinya ke mana saja. Aku panggil beg doraemon. Semua ada. Kalau boleh dengan peti ais dan tong gas semua nak disumbat dalam beg tu. Padahal, kami akan pergi sekejap sahaja dan akan pulang selepas zuhur. Beg aku hanya berisi tuala, pakaian persalinan, dan air kotak dan soda. Beg plastik penuh dengan kudapan akan bawa begitu sahaja. Dua-dua ringan. Aku tak tahu apa isi beg doraemon. Walau besar, nampaknya macam ringan. Senang saja Yunus angkat dan sandang. Beg tentera yang dibawa masuk hutan tu.

Dah jadi kebiasaan, aku akan baca ayat Qursi dan mulakan dengan bismillah sebelum melangkah. Hutan ini sesuatu yang baru bagi aku. Air sungai diranduk, sejuk sampai ke tulang. Pemandangannya bukan biasa-biasa. Aku perasan banyak batu sungai yang berwarna warni bulat-bulat di dalam dan sepanjang sungai. Pokok-pokok dan belukar bagi aku sangat berlainan, tak sama dengan di semenanjung. Tangan pun tak henti ambil gambar. Yunus dah di depan. Jiwa itiknya dah meronta-ronta agaknya. Masa ini, aku masih dapat mendengar bunyi unggas dan burung.

Sungai itu membelok ke kanan dan ada cabang entah ke mana. Agaknya cabang anak sungai itu jarang dilalui orang, agak gelap dan seram. Dari jauh, aku nampak satu batang pokok melintang sungai dan di atasnya sangat banyak tumbuh pokok anggerik hutan yang putih bunganya. Sepanjang batang pokok itu berjajaran pokok anggerik itu hidup subur. Bila datang dekat, bau anggerik sangat harum membelai deria bau aku.

Untuk teruskan perjalanan, kami kena lalu di bawah batang pokok tu. Lalu saja bawah batang tu, angin dingin menyapa badan. Kuat juga angin tu, hampir nak tersembam aku dibuatnya. Dua tiga langkah, hidung aku menangkap bau cempedak goreng yang sangat menggoda selera. Sangat enak aromanya. Aku pun jadi macam kucing, menghidu-hidu dari mana datangnya bau cempedak goreng yang sedap tu. Aku berhenti dan menghirup aroma yang lazat tu. Walau aku asyik melayan hidung, aku perasan, aku dah tak dengar kicau burung atau bunyi unggas.

Yunus berhenti dan pandang aku. Dia tersenyum. Senyum dia buat aku takut, lain macam. Dia panggil aku mendekatinya. Aku pun melangkah dan bertanya, ada ke orang tinggal di situ, dalam hutan terceruk. Boleh pulak si Yunus gila ni cakap ada. “Hantu” katanya sambil ketawa mengusik aku. “Tu belakang hang ada sekoq. Dia bawa pinggan sumbing”. Setan kau Yunus, sengaja nak bagi aku takut. Aku cakap ngan dia aku bau cempedak goreng yang sedap. Yunus kata, yang belakang aku tu, dalam pinggan sumbing dia ada makanan, nak jamu aku makan. Dia nak buat tukaran barang dengan aku. Tahu perangai Yunus yang selalu takutkan aku, aku abaikan saja “usikan” tu. Masa ini, keadaan hening, tapi telinga aku tak berdesing.

Kami meneruskan perjalanan meranduk sungai. Setelah dalam 15 minit, kami sampai di satu tempat di mana pokok-pokoknya reneknya macam pokok bonsai. Tempat tu saja pokoknya rendah2 macam pokok bonsai, hampir serata saja kecilnya. Kerana teruja, aku minta Yunus ambil gambar aku di situ. Cantik sungguh, macam taman Jepun. Di tebing, di dalam sungai, pokok-pokok renek tu mengeluarkan bunga putih dan buah seperti berry berwarna jingga. Bergugus-gugus buahnya. Batu-batu terhampar di dalam dan di tebing, cantik saja letaknya. Macam disusun orang. Banyak juga gambar aku ambil melalui handphone.

“Dah la tu Ku, jom cepat. Kat depan tu lagi cantik” kata Yunus. Rasa berat hati meninggalkan tempat tu. Masa berjalan mengikut Yunus yang sudah di depan, aku asyik berpaling memandang tempat tu. Cantik susah nak aku bayangkan. Dalam hati, alangkah seronoknya dapat tinggal di situ. Hari-hari dapat lihat pemandangan indah. Yunus merokok dan menyanyi lagu selawat dari kumpulan Raihan tak salah aku. Seronoklah tu, nak jadi itik fikir aku. Tapi aku perasan, Yunus selalu pandang aku sambil tersenyum. Setiap sepuluh langkah macam tu, dia akan berpaling dan pandang aku sambil tersenyum.

Benar kata Yunus, tempat di depan teramat cantik. Bertebing separas dada aku, dan batu-batu berwarna warni tersusun cantik. Ada air terjun kecil di tebing tu menambahkan keindahannya. Pokok2 renek yang tumbuh di sekelilingnya mengeluarkan bunga kecil-kecil warna baby blue, salah satu warna kegemaran aku. Batu-batu tersusun beraneka warna, dan di tempat air jatuh dari air terjun, batunya berwarna kekuningan. Leper-leper beraneka bentuk. Sekelilingnya batu berwarna merah jambu bersepah dengan batu yang lain, layaknya macam akuarium mewah. Tak kiralah tangan aku mengambil gambar. Sekali lagi, aku minta Yunus ambil gambar aku. Seram juga aku sebab Yunus ni tak berhenti senyum.

Tebing tu berlekuk dan semuanya tersulam dengan batu. Sangat2 cantik. Tebing tu tak panjang, hanya di tempat air terjun kecil tu saja. Batu bersusun-susun memang banyak, beraneka warna, cantik terletak. Sekelilingnya pokok-pokok renek dan semacam pokok keladi mengeluarkan bunga berwarna pink. Dan satu jenis pokok renek yang aku tak pernah tengok mengeluarkan buah kecil berwarna merah seperti ceri. Banyak sungguh pokoknya. Sekali pandang, macam ada orang yang pakar dalam menyusun pokok taman yang menyusunnya. Sekali lagi, bila Yunus mengajak aku meneruskan peerjalanan, aku rasa berat nak tinggalkan tempat tu. Dalam hati sekali lagi berkata, alangkah indahnya kalau aku boleh tinggal di situ.

Kami meneruskan perjalanan dan dari jauh, nampaklah pemandangan yang biasa aku lihat dalam gambar kiriman Yunus. Air terjun yang cantik, bertingkat-tingkat. Sekelilingnya seolah dipagari buluh kuning yang menjulang tinggi. Di depan air terjun ada macam pulau, ada 3, terpecah kerana aliran air. Yunus tepat ke pulau tengah, nampak sangat tak sabar. Di situ, memang ada batu tungku untuk orang masak atau panggang makanan yang dibawa. Maknanya tempat ini orang tempatan selalu datang. Telinga aku masih belum dengar bunyi unggas atau burung. Sunyi sepi. Hanya dengar deruan air dan kadang kala suara Yunus menyanyi2.

Aku letak barang di atas batu untuk mencari sabun dan shampu. Terjumpa 6 biji telur mentah berbalut Styrofoam putih yang selalu orang bungkus epal tu. Ini kerja siapa lagi, Yunuslah. Masa bila dia letak, aku pun tak tahu. Anehnya, Yunus dengan tertib meletakkan begnya, keluarkan pemanggang dan mula mencari kayu api. Mungkin laparlah agaknya tu. Kalau tidak, dah tentu-tentu dia dah menggodek dalam air. Makan atau penat belakang kira. Lepas api dihidupkan, dia dengan senang hati membakar ayam. Asyik tersenyum memandang sepohon pokok yang besar di tepi pulau. Aku cuba meneka kenapa senyum tak lekang dari bibir Yunus. Aku pura-pura tak perasan, dan mula masak mee segera. Lantak kaulah Yunus.

“Lapaq ka?” tiba-tiba Yunus bertanya. Aku sangka dia tanya aku, aku jawab ya. Tapi Yunus tak pandang aku pun. Matanya masih melekat pada pokok besar berhadapan dengannya. Sambil mengipas bara, dia hisap rokok dan senyum2. Pelik sungguh. Aku hulurkan telur mentah tu konon-konon nak marah. “Hang mau ni ka?” kata Yunus dan ambil telur yang dihulur. Yunus tahu, aku benci sangat telur dalam mee segera. Sanggup aku tak makan kalau mee segera aku ada telur. Geli tekak aku. Sangka aku pertanyaan itu kepadaku, tapi sekali lagi matanya melekat pada pokok besar tu. Aku dah rasa tak sedap hati. Mee segera pun dah siap masak.

Perasaan seram aku tiba2 putus sebab Yunus menjerit ‘Horeyy.. ayam dah masak. Mai makan Ku”. Pelik kan kawan aku nan seorang ni? Dia keluarkan Tupperware dari beg doraemonnya dan meletakkan ayam2 itu dalam Tupperware. Kami mula makan dan Yunus jadi Yunus balik. Makan, minum, hisap rokok dan masa yang dia tunggu2 pun sampai. Makanan tak habis kami letak dalam tuppeware dan cadang nak sambung makan lepas mandi. Macam orang kemaruk Yunus terjun dalam air dan mulalah aksi itik dia dalam air.

Kami bersembang macam biasa semasa mandi. Yunus dah jadi Yunus, tak senyum macam tadi. Celoteh panjang dan cerita ada sejenis siput macam siput sedut banyak di air terjun atas. Lepas makan, dia nak naik ke atas mencari siput. Bukan nak bawa balik, saja seronok2 katanya. Aku cakap, penat pun belum habis, dan aku nak sambung makan sedikit lagi sebab masih lapar. Yunus suruh bawa makanan tadi naik. Telur mentah tu aku letak balik dalam beg doraemon, tanpa aku peduli nak kira berapa biji. Unggun api kami siram dengan air dan bersihkan macam mula2 kami sampai. Selesai, kami naik ke atas dan mandi di atas.

Agak setengah jam mandi dan lihat-lihat siput, Yunus ajak aku turun. Masa tu aku perasan, Yunus bawa sebiji telur mentah bersama kami naik ke atas. Telur tu Yunus letak dalam plastik berisi tulang ayam. Masa nak turun dan melalui rumpun buluh kuning, sekali lagi aku dirempuh angin dingin macam mula-mula tadi. Mujur aku tak bergolek jatuh.

Aku tak rasa sakit walaupun merempuh batang buluh yang keras. Aku rasa nyaman yang amat nyaman. Kepala jadi ringan, hati rasa sangat tenang. Aku rasa sangat seronok di situ, rasa tak mahu balik. Mulut jadi berat, malas nak bercakap. Yunus aku tengok dengan hati yang menyampah. Di telinga, sumpah aku cakap, aku dengar lagu Selembut Sutera. Macam ada radio di tepi telinga. Mendayu-dayu. Enak sangat di telinga. Aku rasa seperti dilamun cinta.

Hari masih awal, aku rasa baru lepas jam 11.30 pagi. Bila sampai di beg, Yunus buka beg doraemonnya dah berkata “Ah. Dah agak dah” Kemudian dia berpaling dan berkata “Ku, kita dah puas mandi kan. Gambaq semua dah ambik kan. Perut dah kenyang kan? Jom balik. Nanti kita terlepas bot”. Yunus tak salin pun pakaiannya. Tutup beg doraemon dan mula melangkah.

Serta merta aku jadi sayu. Sayu sangat-sangat nak balik. Rasa macam nak menangis. Tercegat aku berdiri memandang Yunus. Kaki aku berat nak melangkah. Benci sangat aku tengok Yunus. Meluat aku tengok cara dia berjalan. Macam beruk. Aku masih tercegat di situ. Bila Yunus berpaling kerana sedar aku tak mengikut, benci sangat aku tengok muka dia. Hodoh macam hantu. Di telinga, berulang ulang lagu Selembut Sutera kedengaran.

“Aku tak mau balik. Hang nak balik, hang pi la!. Aku nak dok sini!” aku membentak. Yunus faham agaknya, aku dah bukan aku. “Jom la balik. Sini mana hang nak duduk. Mana ada rumah. Kedai pun tak dak. Hang nak makan apa nanti? Jom la balik” katanya dengan lembut. Tiada pun nada marah. Aku pandang Yunus dengan perasaan yang amat benci. Malas bertekak, aku bertinggung. Benci tengok muka Yunus. Muka macam orang jahat.

Yunus datang mendekat. Duduk bertinggung tepi aku. Serius, masa tu aku bau Yunus macam busuk sangat. Masih lagi dia memujuk, cakap lembut dengan aku. Aku pandang muka dia, tenggelam dalam benci. Aku tolak dia dan cuba nak lari. Pergelangan tangan aku dipegang. Sakit dan panas rasanya. Entah apa yang dia baca, aku jadi lemah. Tapi perasaan benci tu makin meluap, Aku rasa Yunus macam nak curi hak aku.

“Dah, jangan nak mengada-ngada. Aku tampaq sat lagi” kata Yunus. Aku macam orang bodoh. Mengikut dia meranduk air dengan hati yang sangat berat. Aku beralih pandang air terjun, air mata dah berlinang. Sayu sangat rasa macam nak tinggalkan kekasih hati untuk selamanya. Air terjun tu nampak seperti juraian permata. Hijau dan biru bertali arus. Pohon buluh pulak bersinar-sinar seperti emas. Batu-batuan yang beraneka warna di dalam air nampak seperti berlian dan zamrud. Cantik berkilau-kilau.

Aku rasa sangat berat melangkah. Beg yang ringan jadi sangat berat. Tercungap-cungap aku walau hanya beberapa langkah. Sekeliling menjadi sangat indah. Lagu Selembut Sutera tu terngiang-ngiang di telinga. Mana saja aku pandang batu yang di dalam air, nampak seperti harta karun. Banyak sangat. Timbul tamak dalam hati. Ini mesti Yunus nak curi semua dari aku. Aku takkan bagi dia ambil permata tu walau sebiji, walau paling kecil sekalipun. Semuanya aku yang punya.

Walaupun aku perlahan, Yunus tetap sabar di belakang aku. Dengan segala susah payah, kami sampai di air terjun kecil. Makin lama dipandang, semakin indah. Batu-batu tersusun menjadi semakin terang. Pink, oren, kelabu, biru muda, putih, hitam, coklat, hijau muda bersusun-susun di sini. Merah, putih, hitam, pink, hijau muda, warna karat bersusun-susun di sebelah sana. Pokok-pokok yang mengeluarkan bunga aku nampak bersinar-sinar seperti disirami debu emas. Buah-buahnya macam batu rubi berangkai, macam keronsang yang emak aku suka pakai tu. Cantik bersinar-sinar. Rasa nak makan pun ada. Nampak sedap dan juicy.

Sekali lagi rasa benci yang sangat kuat melanda. Yunus ni sengaja suruh aku balik sebab nak curi hak aku. Serta merta aku bertinggung. Aku pandang semua “batu permata” dalam air dan kata pada Yunus. “Hang pi la balik! Aku tak mau ikut hang! Aku nak dok sini! Sini rumah aku!!” Aneh, walau aku macam terawang-awang, aku masih ingat apa yang aku dan Yunus cakap, masih ingat perasaan benci dan masih ingat judul lagu yang terngiang-ngiang di telinga.

Aku tidak memandang Yunus. Mata tertancap pada “batu permata” di kaki. Berlonggok dan berkilau. Yunus mendekati aku dan mengusap kepala aku. Serta merta aku jadi sangat pening dan mual. Celaka kau Yunus, apa kau dah buat pada aku? M**i pun aku takkan serahkan walau sebiji hak aku pada dia. Aku tak berdaya, terduduk di dalam air. Sekeliling aku macam berputar-putar. Yunus datang dan menepuk tengkuk aku tiga kali. Perlahan-lahan rasa pening dan mual hilang. Badan jadi ringan seolah beban ditanggung di bahu terangkat.

“Lega sikit dak?” tanya Yunus, tersenyum. Aku mengangguk lemah. Aku bangun berdiri dan dah tak rasa berat dah. Beg yang tadi sangat berat jadi ringan. Sedikit demi sedikit lagu yang beralun di telinga bertukar menjadi bunyi unggas dan burung. Sungai cetek diranduk. Aku masih lagi seperti mamai, tak faham dengan apa yang berlaku. Apa yang aku tahu, bahu dan tekak aku sakit. Barulah terasa pedih melanggar buluh tadi. Segala batu permata dan berlian menjadi batu sungai yang biasa.

Kami sampai di kawasan pokok bonsai. Tak lama lagi dah nak sampai di simpang sungai. Sekonyong-konyong di celahan pokok bonsai, aku terpandang macam muka seseorang. Pucat dan kecut dengan mata terbeliak. Terperanjat aku. “Kalau berani keluaqlah. Dah curi teloq orang, hang mau apa lagi?’ herdik Yunus. Wajah pucat tadi hilang di celahan pokok-pokok bonsai. “Kalau hang jantan, keluaq. Ni aku, Yunus. Jangan kacau dia” kata Yunus masih memandang pada pokok bonsai tadi.

Barulah aku mula faham. Kami tidak berdua, sebaliknya bertiga. Suasana hening tadi menjadi sedikit genting dengan bunyi suara meraung nun di belakang kami. Serentak itu terdengar macam-macam bunyi. Angin lah, hujanlah, ranting-ranting pokok patahlah, seolah bunyi orang tengah mengamuk dan marah. “Dia dah tak boleh buat apa dah, Ku. Aku dah siksa dia tadi. Patah kaki dah. Nak mengusik sangat. Ingat aku takut?” kata Yunus. Aku pandang Yunus tidak berkelip macam cicak tertelan kapur.

Kami meneruskan perjalanan dan sampailah pada kaki bukit. Yunus suruh aku ke depan. Kemudian dia berhenti dan berpaling melihat anak sungai yang sudah agak jauh kami tinggalkan. “Ada lagi? Ketegaq nohh. Nanti sat hang. Aku ajaq hang cukup-cukup”. Yunus suruh aku meneruskan perjalanan dan jangan tunggu dia. Gila hang Yunus. Nak panjat bukit lagi, nak rentas padang Midin lagi. Aku mengaku aku takut masa tu. “Tak pa Ku, hang akan selamat sampai. Tak dak sapa yang buleh kacau hang. Tunggu aku kat pondok na.. pesan sirap limau sekali untuk aku”.

Antara takut dan berani, aku cepat2 mendaki dan bila pandang padang midin, kaki aku rasa lembik. Seram semacam di situ. Berbalah aku dengan diri sendiri, diluah m**i mak, ditelan m**i bapak. Dengan lafaz bismillah dan bacaan ayat Qursi, aku berlari meredah pokok-pokok midin. Takutnya jangan cakap sebab memang masa tu aku seorang diri. Entah kenapa, padang midin tu aku lihat sangat menyeramkan. Yunus selalu pesan, dalam kubur pun kita sorang-sorang, gelap gelita. Itu membuatkan aku sedikit berani dan terus berlari.

Semasa aku berlari, aku dapat dengar seolah olah batu dilempar dalam sungai. Kecebusssss bunyinya. Macam batu yang dilempar itu besar. Ikut logik, aku dah tak dengar bunyi air kerana bunyi unggas dan burung kuat kedengaran. Dan kemudian aku dengar jeritan yang panjang. Jeritan yang kedengaran menanggung sakit yang teramat. Larian aku semakin kencang sehinggalah aku nampak menara pencawang dan bumbung pondok. Masa bila aku lepasi titi kayu tu aku pun tak tahu. Takut punya fasal.

Sampai di pondok, ada beberapa orang pekerja sedang berehat. Aku berhenti di bawah pondok tercungap-cungap. Beberapa orang Iban dan pekerja Indonesia sedang minum dan salah seorang bertanya “Dari mana bang?” Aku rasa dia orang Indonesia. Aku menjawab dari air terjun. Mereka berpandangan sesama sendiri. “Ramaikah yang ke sana?’ tanyanya lagi. Semua mata tertumpu pada aku. “Kami dua orang, kawan saya di belakang”. Bising sekejap mereka, ada yang bercakap dalam bahasa yang aku tak faham. Salah seorang dari mereka, aku rasa orang Iban berkata “Berani ya ke sana dua orang. Kami kalau ke sana mesti ramai-ramai. Dulu ada yang pergi berdua ke sana, sampai sekarang tak balik-balik”.

Terkedu aku sebentar. Telan air liur yang dah kering. Aku minta air sirap limau dua gelas. Tak lama, muncullah Yunus tersengih-sengih. “Setel” katanya ringkas lalu mengambil sirap limau dan diteguk selepas membaca doa makan. Riuh rendah jadinya, masing-masing bertanya apa yang terjadi. Yunus yang dah jadi perhatian pun bercerita. Katanya masa lalu di bawah pohon melintang, dia sudah nampak kelibat seorang wanita cantik membawa pinggan sumbing. Mengikut kami sampailah ke air terjun. Di dalamnya pinggan sumbing tu dia lihat ada bangkai katak, siput b**i dan cacing. Perempuan tu melayang-layang di atas kepala aku. Dia mahu telur mentah yang ada di dalam beg aku. “Uiishh bang, pantang tu.. tak boleh bawa telur mentah. Benda tu suka. Bomoh kami yang beritahu. Kami kalau masuk ke sana akan bawa makanan sudah dimasak” kata seorang pemuda Iban.

Makhluk tu katanya mahukan aku. Ye lah, Yunus dadanya berilmu. Aku ni kosong. Makhluk tu cakap, dia nak aku sebab aku baik dan mendengar kata. Kalau dia suka, mungkin aku akan berkahwin dengannya dan akan duduk di dalam hutan tu bersama dia selama-lamanya. Dia dah menghuni hutan tu beratus tahun dah. Katanya, d***h aku manis. Tak tahan dia tengok urat-urat di tangan aku. Tapi dia tak berani nak buat apa kerana ada Yunus. Yunus kata, cerita Drakula yang gigit di leher tu tak betul. Tangan atau ibu jari kaki adalah pilihan mereka kalau nak d***h. Gigit di leher ialah untuk mematikan mangsa yang dibuat oleh harimau dan binatang berkuku panjang seperti kucing dan serigala. Hantu tak buat begitu.

Makhluk tu terjelir-jelir lidahnya masa kami makan. Menyorok di belakang pokok besar. Aku juga perasan, Yunus tak buang tulang ayam merata, dia kutip dan letak dalam plastik. Dia kata, dia nak letakkan telur dalam mee segera. Sedap dan kenyang. Dia ambil sebiji telur naik ke atas. Masa kami naik ke atas, dia nampak makhluk tu sudah bertinggung di tepi beg doraemon. Tersengih-sengih. Yunus biarkan saja, asalkan dia tak mengganggu kami di atas. Tapi makhluk tu tahu, Yunus tak bagi semua. Itu yang membuatkan dia ikut kami sampai balik. Nak juga telur lagi sebiji walau apa pun. Balasan kerana tak dapatkan aku. Yunus kena bagi juga telur tu, kalau tak sepanjang hidup dia akan ganggu Yunus dan keturunannya.

Yunus sambung cerita, makhluk tu sudah pilih aku. Nak aku temankan dia di situ, merayu-rayu menggoda. Banyak kali dia minta telur tapi aku buat tak peduli. Marah, dia duduk di atas bahu aku masa nak balik. Dia memang tak mahu lepaskan aku. Walau apa jadi, aku mesti tinggal di situ. Telur 5 biji di dalam beg tu Yunus kata pecah, berdarah dan berbau sangat busuk seperti telur tembelang. Yunus keluarkan plastik berisi telur dari beg doraemon, bertempiaran pekerja2 tu lari. Yunus ketawa dan minta cangkul dari salah sorang dari mereka. Selepas menanam plastik tu, Yunus sambung cerita.

Semasa di atas bahu aku, makhluk tu menabur debu di mata aku dan selalu berbisik di telinga aku. Menggoda aku dengan pandangan yang yang indah-indah, membuat hatiku goyah, sedih, tamak dan tak mahu balik. Bila Yunus usap kepala aku, sebenarnya Yunus menampar dia sekuat hati. Tengkuk aku ditepuk kerana sambil menabur debu, dia suapkan aku debu tu. Terkeluar semua debu dalam mulut aku. Debu apa, aku pun tak tahu dan Yunus enggan beritahu. Yunus beritahu semasa dia menampar makhluk tu, kepalanya tercerai dari badan. Yang bising-bising macam hujan dan ranting patah tu, badannya mencari kepalanya.

Kepalanya ada di dalam air mengekori kami sehinggalah sampai di tebing sungai. Kata Yunus, makhluk tu menyerupai perempuan tua bertanduk. Telur lagi sebiji tu Yunus sudah bacakan ayat Quran dan baling sejauh mungkin ke dalam hutan. Mau meletup perut makhluk tu kalau dia makan telur tu. Semasa tiba di tebing sebelum mendaki, kepala dan badan makhluk tu bertemu dan dia mencabar Yunus. Selepas bertarung, makhluk tu kalah dan terjun di dalam air dan berenang seperti lintah ke arah air telur yang dilempar. Meraung-raung kesakitan dibelasah Yunus.

“Hebat la bang ni” puji mereka. “Aku tak hebat dik, yang hebat tu Allah Taala” kata dia mendiamkan mereka. Kami minta diri dan Yunus sudah hubungi pemandu bot. Dalam 5 minit menunggu, nampaklah kelibatnya. Kami bersalam dengan pekerja2 tu dan minta diri. Di atas bot, Yunus bercerita dengannya. Bising dia atas bot tu. “Berani sungguh kau” itu yang aku dengar kerana aku duduk di depan. Semangat aku dah pulih dan aku apalagi, sibuk mengambil video di atas bot. Aku masih menyimpan gambar2 masa di air terjun tu, kadang2 aku lihat balik dan mengimbas kenangan di situ.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 23 Average: 4.8]

16 thoughts on “Air Terjun di Sarawak – Kisah aku dan Yunus”

  1. Salam pak engku,saya memang sentiasa menanti cerita dari pak engku..cerita yunus dari episode ke episode saya baca,sampai meremang bulu roma membaca..harap lepasni ada.lagi cerita yunus ya

    Reply
  2. cerita paling best nak mampos penah aku baca,bahasa pon cantik uhhh rasa nk bagi 10 bintang di langit pulak utk penulis ni.please jgn berenti publish cerita tau!! feverettttt

    Reply
  3. Yunus punya degil mmg xleh bwk bincang…nasib miker Ku dpt member ada isi camtuh…lana dh x dengor citer miker ngan si Lut…mmg best terbaik

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.