Aku Cari Kau Balik!

(Hai, Assalammualaikum. Nama aku Laili, nama panjang aku Lalilatailitamplum. Haha okay gurau.

Ni first time aku tulis cerita dan sumbang dan menyumbangkan cerita aku dekat page macam ni So, kalau tak best jangan kecam yea. Cerita yang akan aku ceritakan ni tentang peristiwa yang pernah rakan-rakan aku alami semasa belajar di salah sebuah kolej kerajaan di Seri Iskandar, Perak.)

23/08/2013 @ 11.00 pm
Tok! Tok!

Man menjenguk dari pintu belakang rumah.
“Weh Di, jom lepak mamak nak?”

Aku yang tengah sedap merokok di belakang rumah terperanjat dengan teguran Man.

“Kejadah weh nak lepak mamak! Aku bosan sebenarnya tetiap malam nak lepak mamak.” Kata aku.

Kalau ikutkan ni ajakan hari keempat Man untuk aku lepak di kedai mamak bersamanya, bukan apa lauk kat rumah pun banyak. Baik masak je lauk yang ada. Tak pun paling kurang goreng je telur, maklumlah orang bujang. Tapi fikirkan dia kawan susah senang aku,aku pun ikutkanlah dia, masuk dalam rumah. Bersiap.

Pin! Pin!

Bergegas aku dan Man keluar rumah bila terdengar hon kereta Ian berbunyi. Masuk je kereta…

“Hoi! ramai join hari ni!”

Terkejut aku bila tengok dalam kereta ada Jey dan Akir sekali. Sejak bila entah si Ian ni pick up budak-budak ni, sebab setahu aku Jey dan Akir keluar dating dengan awek petang tadi kat Taman Tasik. Tak sangka ramai pula yang mengikut kami ke mamak malam ni, berlainan dengan hari hari yang lepas dimana selalunya aku, Man dan Ian saja yang selalu ke mamak walaupun kami berlima serumah.

Ketika dalam perjalanan semua senyap saja. Pelik jugak aku, entah apa benda sampuk kawan-kawan aku ni. Senyap pulak diorang malam ni. Laju kereta Ian membelah jalan dan ditemani lagu-lagu dari radio kereta Ian.

Hampir saja sampai kedai mamak, aku pelik sebab Ian tiada tanda-tanda mahu memperlahankan kereta untuk memarkir, ataupun mahu berhenti. Laju sahaja meneruskan perjalanan.

“Eh. Korang nak pergi mana? Kedai mamak dah lepas!” Soal aku kekeliruan.

Ian,Man,Akir dan Jey tertawa terbahak-bahak. Aku kehairanan.

“Weh, sorry Di. Sebenarnya kami nak pergi tempat lain, tapi kalau kami bagitau kau dekat mana tempat kami nak pergi, mesti kau tak nak join punya. Kami kenal lah ko Di!” Kata Ian kepada aku.

“Hah? Apa benda ni? Baik korang jujur, korang nak bawak aku kemana?” Soal aku terkejut, kawan-kawan aku ni bukan boleh percaya sangat, suka buat kerja gila!

“Pergi Pusing Papan cari hantu.” Kata Jey pada aku.

Aku ternganga. Pusing Papan? Gila! Biar betul diorang ni! Nak cari masalah ke apa?

Bukan diorang tak kenal tempat keras yang sering dilawati wartawan dan orang ramai untuk mendokumentasikan kisah-kisah seram yang sering berlaku di kawasan ini. Malahan, pernah juga diterbitkan sebuah filem mengenai sebuah istana yang keras yang masih wujud dikawasan Pusing Papan ni. Tak guna! Jatuh aku ke perangkap diorang kali ni! Betul tekaan mereka, jika aku tahu kemana arah tuju mereka malam ni pasti aku menolak. Maklumlah, aku ni memang terkenal dengan sifat sedikit penakut dan tak suka akan aktiviti-aktiviti paranormal – yang bagi aku, sama seperti mencari nahas!

“Rileklah Di! kami ada,kan? Kami jaga kau okay!” Kata Akir sambil menepuk-nepuk bahu aku, melihatkan wajah aku yang cemberut mendengar pelan gila mereka.

‘Pusing Papan’.

Aku terlihat papan tanda tertulis Pusing Papan di hadapan. Kami sudah memasuki kawasan Pusing Papan yang sering digembar-gemburkan.

Sunyi. Berkabus.
Ditemani sayup-sayup bunyi burung hantu.

Itulah yang dapat aku gambarkan keadaan di kawasan sini. Persis seperti keadaan yang sering kita lihat di filem-filem seram. Bukan tu saja, kawasan ni juga dipenuhi dengan rumah rumah peninggalan yang kosong dan lusuh. Tiap rumah itu kini sudah diambil alih oleh alam, dengan tumbuh-tumbuhan yang menjalar naik ke dalam tingkap dan pintu setiap rumah usang.

Tanpa sedar, sudah jauh kami masuk ke dalam kawasan, tapi masih tidak jumpa istana papan yang mereka ingin cari.

“Weh. Asal aku rasa semacam ehh?” Kata Man.

“Tulah! Asal aku rasa macam dah jauh kita masuk ke dalam tapi tak jumpa pun istana papan?” kata Akir.

“Alamak! Dah plan cantik dah dari siang tadi nak masuk istana papan tu, tup tup tak jumpa pulak dah.” Kata Ian.

“Takpe, kita cuba masuk depan lagi, kot jumpa.” Kata Jey.

Kami pun teruskan perjalanan, dan menjumpai banyak rumah yang kosong dan menyeramkan dan tiba-tiba…

“Korang, aku rasa kita dah lalulah area sini. Tengok tu!” Aku menunding jari kearah sebuah rumah, yang disebelahnya terdapat sebuah pokok besar dengan kain merah terikat dibatangnya.

“Aku dah nampaklah rumah ni tadi. Kita dah lalu sini dah tadi! Memang betul struktur rumah ni pun samalah!” Kata aku.

Ya! inilah rumah pertama yang aku nampak ketika kereta kami masuk ke dalam kawasan ni! Aku kenal sebab bagi aku rumah ni sedikit pelik bila terdapat kain merah yang terikat di batang pohon besar disebelahnya. Kenapa aku nampak rumah ni lagi? Sedangkan kami tidak berpatah balik. Mahupun masuk ke mana mana selekoh yang kami jumpai.

“Kau jangan merepek ahh Di. Kau nak balikkan sebenarnya? Pastu kau buat buat cerita supaya kita patah balik ke rumah kan?” Kata si Man dan diikuti oleh kawan-kawan yang lain. Baru aku mahu membuka mulut untuk mempertahan diri aku;

“Hihihihihi…”

Semua terdiam.

Ada satu suara asing yang ikut ketawa bersama mereka. Aku turut menikus diam. Seram mula terasa, mengigit jantungku dengan kedinginan.

Lama kami begitu, sehinggalah Akir bersuara.

“Takde apa lah!”

Perjalanan diteruskan dengan kami terdiam seribu bahasa.

“Korang!!!” Aku menjerit panik, “Korang tengok tu! Rumah tu lagi!” Sambung aku, menunding kearah rumah yang sama aku jumpa sebentar tadi. Rumah usang yang disebelahnya ada pokok besar, yang terikat kain merah. Kesemua wajah ketika itu bertukar pucat dan mula percaya dan menghadam apa yang telah aku katakan sebentar tadi.

Kami melalui jalan yang sama!

“Takpe!kita patah balik.” Kata Ian.

Kami patah balik dan perkara sama berulang.
Kami melalui jalan yang sama, rumah yang sama dan dalam keadaan yang sama hampir empat kali kami melalui jalan yang sama. Kami semua mula risau, walaupun kami cuba mencari jalan pulang mengunakan aplikasi Waze – namun aplikasi itu sendiri tidak dapat mengesan keberadaan kami dan memaparkan ‘kawasan yang tidak dapat dikesan’, atau lebih mudah kawasan yang tidak wujud!

“Takpa. Sekarang ni kita cuba baca apa yang patut.” Kata Man.

Kami pun memulakan membaca surah tiga Qul, Al-Fatihah dan Ayatul Qursi. Kemudian, kami meneruskan perjalanan dan alhamdulillah kami menjumpai simpang keluar dari kawasan Pusing Papan itu. sesampainya kami dirumah, sudah hampir jam 4 pagi. Kesemuanya keletihan lalu masuk kerumah, mandi dan menceritakan semula kejadian tadi. Ada juga yang menyatakan bahawa peristiwa tadi menyeronokkan dan mereka tidak akan dapat pengalaman seperti ini jika mereka tidak ikutkan kehendak gila mereka. Sangat berpuas hati kononnya! Tapi bagi aku semua yang kami lakukan ni hanya sia-sia dan mencari nahas!

Tetapi keseronokan dan keseraman itu tidak berakhir hanya pada malam itu…

-06/09/2013, Jumaat, 12.30am-

Seperti yang aku katakan,kejadian itu tidak berakhir disitu.

“Jey, jom lepak depan sini tengok movie sama sama! Syok ni Ian pasang movie The Nightmare On Elm Street!” Jerit Man memanggil Jey yang dari tadi asyik memerap dalam bilik. Apa dibuatnya entah!

Tak lama kemudian, pintu bilik Jey dibuka dan Jey keluar dengan muka yang sebal.

“Ish kau ni! aku tengah syok on call dengan awek aku, kacau daun lah.” Kata Jey

sambil berjalan ke arah kami. Dia menyertai kami, duduk sekali. Akir tiada malam itu kerana kerumah rakan sekumpulannya. Dia mahu menyiapkan projek, katanya. Mungkin bermalam di sana.

Sedang asyik kami menonton filem, tiba tiba…

PRANGG!

Bunyi pinggan kaca terjatuh berkecai di lantai dapur. Kami semua yang khusyuk melayan movie terkejut, dan semua memandang ke arah dapur yang separa terlindung.

Rumah tiba-tiba panas membahang. Muka kami ketika itu sungguh pucat, seperti jika ditoreh mungkin tiada darah yang mengalir. Kami berpandangan sesama sendiri.

Ktak, ktak, ktak!
Sepertinya rak kayu didapur sengaja di tolak melanggar dinding batu dapur.

Kling,kling,kling!
Sudu dan garfu yang didalam rak kayu itu berlanggar sesama sendiri.

Sah!

Ada ‘sesuatu’ di dapur!

Pantas, Ian terus menutup komputer ribanya. Kami semua baring diruang tamu berempat dalam ketakutan.

“Korang rasa tu apa wei? Benda tu ikut kita balik ke dari Pusing Papan dua minggu lepas?” Aku bersuara terketar ketar.

“Kau jangan merepek! Sekarang kita buat tak tahu je, dah! Tidur!” Kata Ian separa berbisik.

Ktak!ktak!ktak!kling!kling!kling!

Bunyi rak itu semakin ganas dan semakin kuat seolah-olah marah melihat kami menafikan kewujudannya. Masing-masing mula baring secara rapat-rapat sehingga tiada ruang memisahkan kami.

“Buat tak tahu yeee”. Kami terdengar suara halus dari dapur dan diikuti bunyi goncangan yang semakin menggila.
Kami semua menutup telinga dan berdiam diri kaku, dan tidak sedar bila kami mula tertidur, ditemani bunyi rak yang sengaja digegarkan itu sepanjang malam.

Keesokannya, kami terjaga apabila terdengar lagu ‘Lalala Kerja’ nyanyian Azlan And The Typewriters dari telefon bimbit si Ian. Berpisat-pisat kami bangun dan terus ke dapur. Man membuka pintu dapur untuk melihat apalah agaknya keadaan dapur kami ketika itu. Pasti berselerak.

Salah! Ternyata tekaan kami salah sama sekali. Dapur kemas dan bersih sepertimana kali terakhir kami tinggalkan malam semalam. Pinggan,rak,sudu dan lain lain di tempat sepatutnya tanpa sedikit usikan pun. Lantai juga bersih, tidak terlihat sedikit pun cebisan kaca pecah. Kami terkesima.

“Semalam bunyi kaca pecah kan? Tapi sejak bila kita ada pinggan kaca? Setahu aku lah kan, kita tak pakai pun pinggan kaca, kat rumah kita ni semua pinggan mangkuk, cawan pun plastik je.” Kata Jey hairan.

Lagi sekali kami kaku mengiakan apa yang Jey katakan. Kami memandang antara satu sama lain. Segera, kami bersiap. Bukan ke kelas. Peristiwa semalam benar-benar menggugat kami, kami memilih untuk berbincang di kedai mamak. Mana-mana sahajalah asal bukan rumah kami.

Man mencapai telefonnya dan mencari nombor Akir.

“Akir, jumpa kat kedai mamak Al-bayan jam 10.30 pagi nih. Penting!”

-06/09/2013, 11.40AM, Jumaat-

“Manalah si Akir ni, lembab betul! nak dekat sejam tunggu dia je!” bebel Ian.

Puk!

“Adoi!” Jerit si Jey. Belakangnya ditepuk kuat oleh seseorang. Akir tersengih-sengih di belakang Jey sebelum menarik kerusi.

“Sorry korang, tadi aku nak gerak dah, pastu perut aku memulas lak. Pi buang hajat dulu. Apa cerita ni korang ajak berkumpul kat sini?” Soal si Akir.

“Semalam kau takde kat rumah kitaorang kena kacau beb! Ieee! Teringat pun meremang woi!” Man memulakan cerita.

Mereka pun menceritakan kejadian semalam satu persatu kepada Akir . Akir tekun mendengar.

“Macam tu lah ceritanya Akir. memang mendapat kami malam tadi!” Kata Ian.

“Teruk gak ehh korang kena, nasib baik aku tidur umah Din semalam.” Akir tergelak tanpa menghiraukan rasa gundah-gelana didalam diri rakan rakannya yang lain.

“Sebenarnya sebelum ni, lepas je kita balik dari Pusing Papan – korang ada kena kacau tak dengan benda benda ni?” Soal aku.

“Hmmm. Sebenarnya sebelum ni aku pernah kena kacau sehari selepas kita balik dari Pusing Papan tu.” Kata Jey.

Kisah Jey (Aku disini adalah Jey)

24/08/2013 -Sabtu

“Adoii letih!baring kejap.” Keluh aku yang kepenatan selepas berhempas-pulas berlatih ragbi di padang petang tadi.

Aku tersenyum memikirkan kerja gila kami semalam ke Pusing Papan untuk mencari hantu. Huhh. Ikutkan perangai gila kami, dapat jugaklah aku merasa perkara seram jadi kat diri sendiri.

Sedang hampir terlena kepenatan tiba tiba…

Kruk… Kruk…
Adoii! Perut rasa memulas pula. Laju aku berlari ke tandas untuk melepaskan hajat. Usai sahaja membuang apa yang patut, aku melangkah keluar dari bilik air.

Tiba-tiba, kaki aku terpijak sesuatu.

“Eh!apa ni?rambut?” Desis aku sendiri.

Kaki aku terpijak segumpal rambut yang panjang – dan bila aku tarik, kelihatannya rambut ni amatlah panjang,kira kira separas bawah pinggulku.

Rambut siapa weh? Panjang betul. Tak silap aku takde pulak orang dalam rumah ni mat rock yang simpan rambut panjang panjang ni. Nak kata ada yang bawa balik awek, aku tak percaya. Aku kenal hati budi kawan-kawan aku. Aku yakin kerana kami berlima berambut pendek dan si Akir botak. Kalau panjang sedikit pun cuma si Di,itupun tak lah sepanjang ini.

“Ahh lantaklah!” Gumam aku, malas mahu memikirkannya. Rambut itu aku buang, dan aku menuju ke garaj luar rumah untuk merokok.

Sudah memang menjadi tabiat aku, apabila merokok – aku akan keluar rumah dan berjalan kehulu dan kehilir lorong kawasan perumah sewa kami itu sambil merokok, sehingga habis sebatang rokok aku. Sedang aku mudar-mandir berjalan di hadapan pagar rumah jiran kami, tiba-tiba saja bulu roma aku meremang. Seram sejuk terasa, seperti ada sesuatu yang memerhatikan aku dari sisi dalam pagar rumah jiranku itu.

Aku menoleh.

Ya Allah! Hampir terlompat aku bila terlihat satu makhluk berwajah hodoh dengan rambut yang menggerbang. Mata hitamnya besar, dia tidak berhidung, mulutnya lebar seperti ditoreh pisau. Jembalang itu berpakaian kebaya merah darah,merenung aku sambil menyeringai. Dia melengkungkan badannya kebelakang perlahan-lahan sehingga berada pada posisi seperti mahu merangkak, gayanya seperti kucing mahu menyerang. Tanpa menunggu lama, aku berlari masuk ke rumah, masuk kebilik dan menyelubungi diri dengan selimut! Gila! Apa tu?

“Macam tu lah yang aku nampak weh. Seram.” Ujar Jey, menggosok-gosok bulu roma di lengannya yang mencering tegak. Kami tergamam.

“Aku ingat dalam movie je ada red kebaya ni! Rupa-rupanya kat kawasan rumah kita pun ada red kebaya ye.” Tawa Man.

“Aku pun ada kena kacau gak weh.. Extreme gak.” Kata Akir.

Kisah Akir (aku disini ialah Akir)

30/08/2013, Jumaat

“Aduh! bosanlah malam Jumaat macam ni tak buat apa-apa… Nak ajak si Di menyembang dia tengah buat kerja group pulak dengan rakan sekelas di bilik sebelah. Ian, Jey dan Man balik kampung minggu ni, kemungkinan Ahad pagi baru balik kerumah.Adoi! Pishangg.” Aku membebel seorang diri.

“Ha! nak Skype dengan awek aku lah. Layan jugak.”

Laju aku mencampakkan diri aku di atas tilam. Komputer riba aku hidupkan.

Di bilik master ni, aku duduk dengan Man. Katil Man bersebelahan katil aku. Di hujung kaki kami, ada bilik air.

Sedang aku membuka aplikasi Skype tiba tiba…

Krekkk, krekkk…

Bunyi seperti tilam di pijak di katil sebelah aku. Ya! tilam dikatil Man seperti dipijak sesuatu!

Krekk, krekk…

Ia berbunyi lagi. Laju aku menoleh.

Aku beristighfar sekuat hati. Aku nampak pergerakan di tilam Man! Tilam Man itu tenggelam dan timbul, sepertinya dipijak sesuatu, namun jasad yang memijak itu tidak kelihatan. ‘Benda’ itu bergerak dari kaki katil Man sehingga ke kepala katil. Ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa berdebarnya aku! Aku cuma berharap dia tidak menunjukkan rupanya yang kemungkinan hodoh seperti yang sering aku dengar. Kemudian terdengar pula bunyi seperti sesuatu turun dari katil Man.

Pak!

Bunyi benda itu melompat turun.

Srettttt…

Bunyi plastik bungkusan di lantai antara katil kami berbunyi seperti dipijak sesuatu, dan ya, plastik itu sendiri terlihat kesan seperti dipijak walaupun tiada jasad.

Diam.

Lama, ‘benda’ itu berdiri disitu, umpama memerhatikan aku.

Suasana di bilik itu senyap. Aku sendiri diam seribu bahasa. Takut aku begitu mencengkam, hingga nafas aku terasa sukar ditarik. Peluh jantanku mengalir, membasahi muka dan baju ku.

Keadaan tiba-tiba membahang, panas.

‘Benda’ itu melangkah, perlahan dari platik tersebut. Aku menelan air liur. Hati aku berteriak membaca pelbagai ayat suci al-Quran.

Ktap!

Bunyi lampu di bilik air kami ditekan dan menyala, diikuti bunyi pemusing paip shower dibuka kuat. Laju air meluncur keluar dari paip air. Hantu ni nak mandi ke apa? Aku melompat turun dari katil, laju aku berlari ke bilik sebelah. Malam itu akibat ketakutan aku tidur dengan Di di dalam bilik sebelah.


Akir menghabiskan ceritanya dengan memandang kami semua, menanti reaksi. Kami tercengang di meja makan mendengar cerita Akir.

“Gilalah kau! Seram siot kau kena. Aku ingat cerita aku dah seram habis dah!” Kata si Jey.

“Ehemmm!” Ian berdehem, “Ni belum extreme beb. Korang dengar pulak cerita aku. Aku yakin apa yang kena dekat aku ni lebih menyeramkan dari korang semua.” Sambung Ian.


Kisah Ian (Aku disini adalah Ian)

03/09/2013, Selasa, 3.00am

“Siapa kau! Kau nak apa hah! Jangan kacau aku!” Aku menjerit. Peluh jantan merecik-recik di seluruh badan aku. Seekor makhluk berwajah hodoh diselubungi kain berwarna merah, dengan rambut separa botak dan lidah terjelir keluar mencecah tanah mengejar aku di koridor bangunan kolej aku. Tercungap-cungap aku berlari,namun koridor ini kian memanjang, tiada penghujung. Tiada pengakhiran!

Keletihan, aku jatuh tersembam. Aku berpaling ke belakang. Jembalang itu menyeringai kelaparan, seraya menerkam kepala aku.

“Arghhhhhhhhhhh!!!!”

Aku terjaga. Berpinar-pinar aku terduduk dengan baju yang basah dibasahi oleh peluh.

“Ehhhhh?! Kat mana aku ni? Dalam bilik? Astaghfirullahalladzim… bermimpi rupa rupanya aku.” Hati aku berbisik.

Aku meraup muka yang basah dengan peluh. Lantas, aku cuba berbaring kembali, mahu menyambung tidur.

“Hihihihihihihihihihhiihhiihi…Kau ingat kau mimpi ke?” Satu suara sayup-sayup menegurku. Darah di seluruh badanku seakan berhenti berjalan. Jantungku seakan mahu berhenti berdegup! Pantas, aku memandang ke arah suara itu.

Jembalang itu sedang bercangkung di atas almari baju aku. Seraya, dia menerkam!

“Arghhhhhhhhhhhh!!!!!”

Bergema bilik tidur dengan suara aku.

Sekali lagi, aku terbangun, duduk diatas katilku. Aku memegang dada yang berdegup pantas.

Ya Allah! aku bermimpi rupanya?? apa semua ni? mimpi dalam mimpi?
Aku menggosok mata, mahu memastikan realiti.

Aku cubit lengan aku.

Sakit.

Sah, aku bukan lagi bermimpi. Aku menghela nafas lega.

Krekk krekk, krekk…

Ada sesuatu bergerak di sebelah aku. Betul-betul di sebelah aku, di atas katil. ‘Benda’ itu bergerak, menggeliat, seakan mahu memberitahu aku kehadirannya.

Aku menggeletar. Entah kenapa, atas kebodohan yang amat, keinginan untuk tahu aku mengatasi ketakutan yang bercampur baur.

Dalam kegelapan, aku hidupkan telefon bimbit, dan aku suluh.

Ya Allah!

Disebelah ku terdapat makhluk yang tidak berkulit seolah-olah telah disiat-siat. Kepalanya botak menggerutu, dengan mata yang sangat besar. Ia tersenyum padaku, senyumnya lebar, menyeringai ke telinga. Dia merenung aku sambil memiringkan kepala. Cuba korang lentokkan kepala ke bahu, haaa! Macam tu lah rupa posisi makhluk ni kat sebelah aku cuma ia sedang berbaring!

Ketakutan, aku melompat turun dari katil, berlari pantas ke ruang tamu. Menyesal aku tak terima ajakan rakan serumah aku untuk tidur beramai-ramai diruang tamu malam tadi! Aku menyempit-nyempit baring di antara rakan-rakan aku. Entah bila aku tertidur, pun aku tak ingat.


Ian menyapu-nyapu tengkuknya yang meremang. Kami semua terdiam.
Kali ini kami benar-benar bimbang dan gusar. Ini tidak boleh dibiarkan.

“Korang, tak boleh jadi ni! Kita kena buat sesuatu! Makin teruk kita kena kacau ni!” kata aku kepada mereka semua. Mereka mengangguk.

“Man kau tak kena kacau?” soal aku.

“Takde pulak. Kau Di?”

Aku menggeleng. Selain peristiwa semalam, aku belum dikacau lagi.

“Apa kata petang ni kita jumpa Ustaz Jailani yang duduk didepan rumah kita tu. Minta dia datang ke rumah sewa kita malam ni, dan minta dia pagarkan rumah sewa kita ni… Tak sanggup dah aku! Aku tak nak ramai lagi yang kena!” Kata Ian.

Kami semua mengangguk tanda setuju.

-06/09/2013, Jumaat lepas waktu Maghrib-

“Assalammualaikum!”

“Waalaikummussalam!” Kami menjawab salam yang datangnya dari luar rumah.

“Ustaz, jemput masuk.” Pelawa Man.

“Terima kasih ustaz sudi datang kerumah kami malam ni. Kami tak tahu dah nak minta tolong siapa.” Sambung Man, selepas kami bersalaman dengan Ustaz. Ustaz Jailani mengangguk.

“Takpe, kita sesama jiran kena tolong menolong. Nih… Sebelum tu kamu cuba ceritakan sebetul betulnya apa punca kejadian ni. Ustaz nak dengar semua, kamu jangan sorok apa-apa dari ustaz.” kata ustaz.

Kami pun menceritakanlah segalanya pada ustaz, dari bermulanya kami ke Pusing Papan, sehinggalah kejadian yang terjadi malam semalam.

Usai mendengar cerita kami, ustaz pun menggeleng kepalanya sambil mengeluh berat.

“Itulah kamu, tak ada masalah cari masalah…” Ngomel ustaz pada kami. Kami menunduk dengan perasaan bersalah. “Takpa, sekarang semua yang belum mandi, pergi mandi wajib, bersihkan diri, kemudian berkumpul di ruang tamu. Ustaz tunggu.” Ujarnya tegas.

Kami menurut. Usai membersihkan diri, Ustaz mengajak kami membaca surah Yassin dan juga beberapa surah lain, serta berdoa.

“Bismillahhillazi layadurrumaasmihi syaiufilardi walafissamai wahuwassami ulalaim.” Usai membaca, Ustaz pun berdiri di tengah ruang tamu dan melaungkan azan.

Tiada perkara pelik yang berlaku sepanjang proses memagar dijalankan, cuma terkadang terdengar bunyi rak di dapur digegarkan. Selesai proses pemagaran, sebelum Ustaz pulang sempat juga kami bertanya kenapakah kami dikacau.

“Kenapa kamu mencari dia? Bila kamu mencari dia, dia akan mencari kamu balik! Jin-jin dan syaitan amat suka menggugat iman manusia supaya jauh terpesong dari jalan yang benar. Kamu semua sudah besar dan sepatutnya lebih matang dalam membezakan perkara baik dan perkara buruk. bukannya mengikut nafsu sehingga menjebak diri ke dalam masalah. Sesungguhnya Allah melaknat orang yang mencampak dirinya ke dalam lembah kebinasaan.” Panjang ustaz memberi nasihat kepada kami.

“Sekarang ni benda tu dah keluar, In Shaa Allah dia tak ganggu kamu lagi jika kamu tak mencari nahas! Dan selepas ni, ustaz nasihatkan kerap-kerap lah membaca Al-Quran, berdoa dan yang paling penting perkara yang paling utama dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah ialah Solat. jangan pernah tinggalkan solat! Inshaa Allah kerja kita dipermudahkan dan kehidupan kita lebih tenang.”

Setelah malam itu, tiada lagi gangguan gangguan yang mengganggu kami.

-27/06/2014-

Hari ini adalah hari terakhir kami di Seri Iskandar. Selepas ini kami semua akan ke latihan industri di tempat pilihan masing-masing.

Usai mengemas rumah, memasukkan beg kedalam bonet kereta Ian, kami masuk ke dalam rumah untuk melihat semula kalau ada lagi barang yang tertinggal, sebelum menyerahkan kunci kepada tuan rumah.

Aku yang terakhir keluar dari rumah. Sempat aku meninjau keseluruhan rumah, manalah tahu, barang kawan-kawan aku ada yang tertinggal.

“Woi Di! Cepatlah kunci! Lambat lah kau.” Jerit Jey.

“Kejap lah!” Aku melaung kembali. Selepas pintu gril dan pintu utama dikunci, sempat aku berpaling, ke arah satu bunyi dari dalam rumah yang kini tidak berpenghuni tersebut.

Ktakk,ktakk,ktakk!

Klingg,klingg,klingg!

-TAMAT-

kiriman : Nor laili syuhada

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

19 thoughts on “Aku Cari Kau Balik!”

  1. Haa ni gegel aku baca sebab deskripsi jin yang grafik, dah la hujan cuaca sejuk kat KL harini, menggegel aku baca. Good write up, ni bukan rekaan kan, kalau rekaan aku tarik balik pujian.

    Reply

Leave a Comment