Assalamualaikum dan salam sejahtera admin FS dan juga para pembaca FS. Izinkan aku untuk sambung beberapa lagi pengalaman yang pernah aku lalui.
Kegilaanku menghabiskan masa di perpustakaan agak terhad apabila pengajianku dilanjutkan ke sebuah IPTA yang lain. Disini, atas cadangan para senior, kami melibatkan diri dalam aktiviti luar yang lain yang dapat menaikkan markah kami dan juga dapat membuatkan kami terus tinggal di dalam kolej yang disediakan.
Aku dan rakan-rakan baikku memilih untuk bermain rebana ubi dan kertuk. Nasib menyebelahiku apabila aku juga terpilih untuk menjadi ketua kumpulan kami. Merata tempat kami pergi memenuhi undangan bermain rebana ubi dan kertuk, tapi ada ketikanya aku turun pangkat juga sebab ketika itu masih ada lagi mereka yang berpegang pada adat lama, lelaki yang harus menjadi ketua dan bermain rebana, perempuan hanya bermain kertuk. Tak mudah untuk menjadi lead rebana, kerana nak kata instructor kami, kami perlu jadi ‘budak nakal’ yang mengacau ‘beat’ pemain rebana yang lain. Bila dah naik syeh, aku cuma pesan pada partner rebanaku untuk tengok tangan aku dan ulang beat yang aku buat.
Seperti yang ku katakan tadi, aku pergi merata untuk bermain rebana, jadi bila jauh perjalanan, maka luaslah pemandangan dan pengalaman yang aku dapat. Aku kongsikan beberapa ‘pemandangan’ dan pengalaman yang aku perolehi.
Cerita 1-
Rebana ubi dan kertuk yang kami gunakan disimpan di Panggung Seni, bahagian belakang di DECTAR. Ada ketikanya pintu masuk dari belakang dikunci, jadi perlu lalu pintu hadapan dewan untuk ke belakang. Walaupun jalan ke belakang tidaklah berapa gelap, tapi suasananya sunyi.
Suatu hari, instructor kami berjumpa aku dan Ida, partner rebanaku. Dia mula memukul rebana dan lagu yang dimainkannya menarik hatiku.
“Tukar dalang,” katanya.
“Lagu ni, dah beberapa batch Abang Khairul cuba ajar tapi diorang semua tak dapat nak bawa,” katanya lagi.
“Cuba Nami dan Ida bawa,” dia bangun dan minta kami ke rebana.
Beberapa kali cuba, masih tak dapat juga bermain semerdu yang dia bawakan.
Hati aku jadi tak puas, jadinya, bermula dari hari itu, apabila ada masa terluang, habis sahaja kelas aku akan ke Panggung Seni untuk berlatih. Ada kalanya seorang, ada kalanya dengan Ida.
Satu hari tu, aku datang agak lewat dari biasa, masjid di tepi dewan sudahpun mula berselawat tarhim sebelum melaungkan azan maghrib, tapi hati ini cukup degil, nak juga cuba berlatih beat tukar dalang.
Dalam remang-remang senja itu aku seorang diri tarik rebana yang tersusun di bahagian depan Panggung Seni, bawa ke tengah pentas dan berlatih. Bunyi lebih sedap bergema dari tengah pentas. Sedang asyik berlatih, dari ekor mataku terperasankan ada pergerakkan di tepi pentas, aku berhenti memukul rebana, ku toleh ke kiri, tiada siapapun.
Bila ku mula semula latihanku, ada semula pergerakkan di tepi pentas, kali ini terus ku toleh, sah.. memang ada yang sedang menari mengikut rentak yang ku bawakan. Pakaiannya seperti patung wayang kulit, siap dengan topengnya sekali. Tiada rasa takut dalam diriku, jadi lebih khayal pula mengalunkan irama tukar dalang sambil memerhatikan gerak tari makhluk tersebut. Lagi laju irama ku bawa, lagi lincah dia menari.
Keasyikan ku memukul rebana terhenti apabila bahuku ditepuk.
“Hoi!! Kau buat apa maghrib-maghrib ni, Nami?” Pak Abu (nama aku lupa, ku letak ajelah namanya), guard yang bertugas di DECTAR menegurku.
“Berlatih lagu,” jawabku.
“Dah.. dah.. jangan main lagi benda ni maghrib-maghrib, dah lah tak buka lampu,” kepalaku diketuk perlahan dengan cota yang dibawanya.
Ku pandang sekeliling, baru perasan, suasana sudah gelap gelita, tercari-cari juga si penari itu, tiada kelihatan.
“Dah solat belum?”soalnya lagi selepas pergi menghidupkan lampu.
Ku geleng kepala,
“Niat tadi lepas berlatih sekali dua, memang nak ke masjid, dekat je kan..” jawabku, masih lagi cuba mencari si penari.
“Tadikan Pak Abu, ada yang menari ikut rentak lagu saya,” ku beritahu Pak Abu ketika dia memerhatikan ku menolak rebana ke tempat asalnya.
“Kau sorang ajelah, tu yang dari jauh aku dengar bunyi, aku beranikan diri ke belakang yang gelap ni.”
Mendengar jawapan Pak Abu, maka benarlah tekaan ku, itu bukan manusia.
Cerita 2-
Latihan rebana adalah setiap malam Rabu, tetapi bila ada persembahan atau event yang besar, kami akan berlatih setiap malam sehingga lewat malam. Perkhidmatan bas yang terakhir pula ketika itu adalah pada pukul 10 malam, jadinya memang takkan sempatlah aku nak balik ke kolejku. Terkena pula, kolejku adalah kolej yang paling jauh sekali antara rakan-rakanku, di Keris Mas. Dah lah jauh, sehingga kini aku masih kurang faham, kenapa bangunan-bangunan yang belakang dahulu disiapkan, bukan bangunan di bahagian depan?
Selalunya ada rakan yang sudi menumpangkan keretanya, tapi bila dia ada hal, aku akan balik berjalan kaki seorang diri ke Keris Mas atau jika terlalu penat, akan tumpang sahaja bilik Ida di Ibrahim Yaakub.
Suatu malam, ada seorang rakan sekolejku, Fiza tiba-tiba muncul di Panggung Seni semasa kami sedang berlatih, tertinggal bas terakhir katanya untuk balik ke kolej. Jadi bila dia teringat aku yang sedang sibuk setiap malam ada latihan di Panggung Seni, bergegas dia datang ke sini agar dapat berjalan kaki sama-sama balik ke Keris Mas.
Latihan habis agak lewat, kerana ada beat yang Abang Khairul nak kami bawakan. Bila dia berpuas hati dengan pertukaran beat itu, barulah kami dilepaskan balik. Aku dan Fiza jalan beriringan balik ke kolej kami. Apabila sampai di simpang tiga berdekatan dengan Rahim Kajai, ku terus tarik Fiza untuk berjalan di atas jalan tar. Sengaja ku buat begitu, sebab selalunya selepas simpang inilah akan ada yang menemani perjalanan sehingga ke Keris Mas. Akan ada yang jalan seiringan denganku, tetapi ‘dia’ akan berjalan di dalam semak.
“Kau tak bawa walkman kau ke harini?” soalku. Pada zaman ini, handphone masih belum canggih lagi. Nak ada ringtone yang best kena guna kod-kod lagu, siap ada majalah yang menyediakan kod-kod lagu popular dan terkini.
“Bateri habis,” jawabnya.
“Nah.. dengar ni,” aku hulurkan CD player.
“Ah.. kau.. dalam tu mesti ada surah-surah lazim, buat aku makin mengantuk,” jawabnya.
“Ni..” ku hulurkan CD lain yang memang ada di dalam beg ku.
“Kau layan ajelah ni,” sebolehnya aku hendak dia tutup pendengarannya dari mendengar benda-benda yang tak sepatutnya. Aku tak nak dia pengsan ketakutan bila terdengar bunyi yang bakal muncul kejap lagi. Tak larat aku nak angkat dan dukung dia sampai ke kolej.
Dia tersenyum bila ku hulurkan CD Linkin Park. Segera ditukar CD yang sedia ada di dalam CD player. Inilah jiwa anak muda, lebih senang mendengarkan alunan lagu dari bacaan ayat Quran.
Sebaik sahaja kami memulakan kembali perjalanan kami, serentak dengan itu kedengaran bunyi tapak kaki yang mengikuti kami dari dalam semak. Aku menghela nafas panjang sambil mula membaca ayat Qursi, meminta perlindungan dariNya. Sesekali terdengar bunyi ‘dia’ mendengus dari sebalik semak.
Bila melalui kawasan yang kurang semaknya, kelihatan susuk tubuh yang agak besar dan berbulu berjalan seiringan dengan kami. Bila mata kami bertentang, aku hanya mampu memberi amaran di dalam hati, jangan diganggu temanku yang sedang khayal melayan CD. ‘Dia’ akan mendengus kuat dan menggeleng-gelengkan kepalanya.
Jika aku berjalan seorang diri, selalunya aku akan pasang CD Al-Quran, earphone tidak ku pasang di telinga, kusangkut di leher dan letak on full blast, aku perlu peka pada pergerakan ‘dia’ yang menemaniku sepanjang perjalanan.
Aku tepuk perlahan bahu Fiza bila dia mula menyanyi kuat. Dia toleh dan tersenyum, tetapi senyumannya berubah bila dia perasan riak wajahku yang agak serius. Sebelah earphone dicabutnya.
“Ada ke?” soalnya. Muka dah mula pucat.
“Ada. Dalam semak teman kita jalan,” aku malas nak berdalih dengannya.
“Kau ni.. mana CD yang ada dalam ni tadi?” kelam kabut dia keluarkan CD Linkin Park.
“Kenapa tak beritahu dari tadi?” soalnya lagi. Menggigil-gigil tangannya memasang CD ayat-ayat suci.
Aku menjungkit bahu, malas nak jawab soalannya. Kalau ku beritahu awal, takkan punya Fiza nak balik ke kolej. Sanggup dia ketuk pintu member di kolej lain untuk tumpang bermalam.
“Yang suka mengilai tu tengah rehat atas bumbung dewan tu,” aku memuncungkan bibir ke dewan baru yang berada di atas bukit (aku lupa nama dewannya).
“Yang berbulu macam mawas ada dalam semak tepi ni, tengah dok perati kita, nenek aku cakap itu penunggu area situ, dia tak kacau kita kalau kita tak kacau dia,” aku tahu Fiza tak nampak mahkluk-makhluk yang aku beritahunya, sebab matanya tercari-cari bila ku beritahu kedudukan makhluk tersebut.
Cepat-cepat Fiza menarik aku untuk lari.
“Jangan, nanti dia tahu kita takut,” aku tarik tanganku dari genggamannya.
Fiza kemudiannya memeluk erat lenganku, tapi ku tolak dia ke tepi.
“Kau jangan macam ni. Lagi susah nak jalan kalau kau peluk lengan aku. Nanti kalau setan-setan ni nak tunjuk perangai setannya, susah kita nak lari,” ku percepatkan sedikit langkahku.
“Nyesal aku ikut kau, nyesal aku ikut kau,” seolah-olah zikir, itu yang Fiza ulangkan.
“Dari kau cakap macam tu baik kau zikir, paling senang kau sebut Ya Allah,” sebenarnya bohong kalau ku katakan aku tak takut, tapi terpaksa ku telan ketakutanku disebabkan Fiza. Kalaulah dia tahu betapa menggigilnya lutut dan kecutnya hati aku masa tu, takkan dia mahu dengar kataku untuk bertenang.
Kenapa aku balik juga walaupun tahu situasi ini akan berlaku setiap kali aku jalan kaki balik ke kolej? Sebab aku degil. Macam mana sekali pun aku nak juga tidur atas katil aku sendiri. Sifat yang Alhamdulillah semakin hilang bila umur dah menuju senja.
Bila tiba di kawasan bangunan yang masih belum siap lagi di Keris Mas, inilah tempat yang selalunya buat aku rasa nak pecut sampai ke bilik. Penunggu semak takkan ikut lagi bila tiba di kawasan ini. Berjalan di antara bangunan-bangunan ini, ada ketikanya akan kedengaran suara bersahut-sahutan. Garau. Pendek bunyinya tapi bergema, “Huh..” seperti helaan nafas yang kuat. Dah tahu tapi kenapa nak lalu juga short cut ni? Jawapannya mudah, nak cepat sampai ke bilik.
“Short cut lalu bangunan ke nak lalu tepi jalan bersemak tu?” pilihan ku berikan kepada Fiza.
“Aku nak cepat sampai,” jawab Fiza.
“Ok.. kalau gitu earphone tu pasang kat telinga kau, buka sehabis kuat. Kalau aku lari, kau ikut lari,” berjujuran air mata Fiza bila mendengar arahanku.
Alhamdulillah, kali ini tiada suara yang bersahut-sahutan. Benda tu sakit tekak barangkali. Kami selamat sampai ke café Keris Mas. Masih ada beberapa lagi pelajar yang sedang sibuk menyiapkan props teater dan kami mengambil kesempatan untuk duduk berehat sebentar di café.
“Kau ok?” soalku pada Fiza.
“Kau gila,” balasnya.
Cerita 3-
Ada masa aku akan rasa sangat penat dan tak larat untuk berjalan kaki balik ke kolej sekiranya latihan rebana habis lewat. Penat fizikal (menapak agak jauh) dan mental (menahan getar kaki dan hati bila si penunggu seperti biasa rajin menemani). Jadi aku akan tumpang tidur di bilik Ida di kolejnya.
Kebiasaanku selepas latihan, aku akan mandi sebelum tidur, rasa kurang selesa jika hanya salin baju. Bilik mandi di kolej Ida agak ‘kurang mesra’ padaku. Ku terangkan kedudukan bilik mandinya. Ada beberapa deretan ruang mandi, tetapi lubang air hanya ada satu sahaja, di ruang tengah. Jadi segala apa jenis kekotoran yang terhasil semasa mandi, akan mengalir keluar melalui ruang mandi yang tengah. Itulah ruang mandi yang selalu menjadi rebutan mereka yang sedang datang bulan.
Ida selalu marahku, kalau lewat sangat, tak perlu mandi, tahan je rasa tak selesa tu hingga pagi. Tapi memandangkan aku degil, aku pergi juga mandi. Kejadian yang berlaku ini ketika aku mandi berseorangan dalam pukul 2 pagi. Aku pilih ruang mandi yang kedua dari hujung sebab di pintunya ada banyak tempat sangkut barang.
Sepanjang masa mandi tu tiada apa-apa yang berlaku, tetapi semasa aku sedang menyarungkan t-shirt ke tubuhku, tiba-tiba kedengaran pintu ruang mandi di sebelahku (paling hujung) diselak.
“Oh.. ada juga yang mandi lebih lewat dariku,” kataku dalam hati.
Tak lama selepas itu air mula mengalir dari ruang mandi hujung. Aku berundur sedikit ke pintu ruang mandiku apabila ku perasan ada ketulan darah mengalir dari ruang mandi tersebut.
“Dah tahu tengah datang bulan kenapa guna ruang yang hujung,” kataku dalam hati lagi sambil aku menggelengkan kepala.
“Hehe..” terdengar suara di sebelah tertawa kecil. Gila.
Tak lama selepas itu semakin banyak darah yang mengalir. Aku pula yang jadi cuak. Segera ku capai toiletries Ida yang ku pinjam.
“Banyak kan? Banyak kan? Hehe..” Ulang suara dari ruang mandi sebelah.
“Ah.. sudah.. sah.. ini benda ni saje nak kacau ni,” segera aku buka pintu ruang mandiku. Serta merta berhenti bunyi air dari ruang mandi hujung. Pintunya juga terbuka luas. Aku tak fikir panjang, cepat-cepat aku berlari ke bilik Ida.
Cerita 4-
Kami ikut program anak angkat yang diadakan di Seri Menanti, Kuala Pilah. Tugas kami adalah mendedahkan anak-anak di kawasan ini dengan rebana ubi dan kertuk. Setelah dibahagi-bahagikan kepada keluarga yang terlibat, aku dapat keluarga yang rumahnya paling hujung di ceruk kampung. Untuk sampai ke rumah keluarga angkatku, perlu lalui satu lorong tanah merah dan ada sebuah rumah di simpang lorong tersebut. Setiap kali staff yang diamanahkan untuk mengambil kami, akan ada seorang perempuan duduk di bawah pokok di halaman rumah tersebut. Dia akan memerhatikan kami melalui kawasan tersebut dan apabila pandangan kami bertaut, aku akan senyum dan tundukkan sedikit kepala, just a friendly gesture. Dia takkan balas, pandangannya akan dialihkan ke tempat lain.
Hari terakhir disitu, staff yang ditugaskan mengambilku tiba agak awal dari biasa. Lepas azan maghrib dah sampai di rumah keluarga angkatku. Malam itu sebelum balik esok paginya akan diadakan majlis di Istana Seri Menanti.
“Pecut ke apa bang? Siap peluh bagai..” sapaku bila aku sudah berada di dalam kereta.
“Nasib ni hari last ambil kau kat sini, balik kejap lagi dengan esok pagi suruh instructor kau ambil kau ye..kat simpang rumah tepi tu, ada cik pon tengah berdiri tepi pokok, apa lagi, abang pecutlah,” jawabnya.
“Pokok yang tepi simpang tu? Yang ada rumah besar tu?” soalku.
Dia mengangguk laju.
“Yang selalu ada perempuan dok perati kita ulang alik?” soalku.
“Tak penah ada perempuan yang berdiri kat situlah! Ini first time ada, cik pon pulak tu!!”
Bila tiba di tempat yang dinyatakan, cepat-cepat dia laungkan Azan sambil memandu. Perempuan itu masih ada di bawah pokok itu, memerhatikan kami dari jauh. Dalam bentuk fizikal manusia biasa. Aku tak pasti abang driver ni nampak ke tidak perempuan itu.
Cerita 5-
Kali ini kami ke Kelantan, untuk menyaksikan pesta gendang dan rebana yang akan diadakan di stadium. Tak ramai yang pergi, kami berlima sahaja. Abang Khairul, aku dan Ida serta Acap dan Jali. Kami tumpang menginap di rumah Ida di Tumpat. Bila selesai sudah pestanya, kami bercadang untuk balik, tapi ayah Ida larang, kurang bagus, kerana badan masing-masing tengah penat. Jadi kami bermalam semalaman lagi di rumah Ida.
Keesokkannya, setelah berjalan di sekitar Tumpat dan Wakaf Baru, kami pun kembali semula ke rumah ida, bersiap untuk balik semula ke Bangi. Sekali lagi ayahnya pesan, tunggu lewat sedikit sebelum bertolak, tak elok bertolak senja-senja begini. Tapi Abang Khairul bertegas nak juga bertolak pada waktu itu, ada tempat lain nak dituju sebelum bertolak pulang, katanya. Dengan berat hati ayah Ida melepaskan kami.
Ayah Ida ni boleh mengubati orang sakit, deria rasanya cukup kuat. Pertama kali aku berjumpa dengannya dia gelarkan aku budak istimewa. Sempat lagi dia berpesan, hati tu jangan kering sangat, aku tersenyum bila ditegur begitu. Waktu nak bertolak balik, ayahnya menepuk belakangku, entah surah apa dibacanya dan kemudian dia pesan supaya berhati-hati dan kalau boleh jangan tidur sepanjang perjalanan balik tu, jaga.. jangan tidur. Hati aku mula tak sedap bila dia pesan begitu.
Setelah segala tempat yang ingin disinggah selamat kami singgah, kami meneruskan perjalanan pulang. Kami tiba di kawasan Gua Musang kira-kira dalam pukul 1 pagi lebih.
Ketika ini yang masih berjaga adalah aku dan Abang Khairul yang sedang memandu. Aku duduk di seat belakang Abang Khairul. Entah kenapa bulu romaku tiba-tiba meremang. Aku alihkan pandangan ke luar. Ketika itu rasanya nyawa macam melayang keluar sekejap meninggalkan jasad. Di atas jalan raya betul-betul bersebelahan denganku, ada bungkusan putih panjang sedang bergolek seiring ditepiku.
Abang Khairul tidak memandu laju, tingkap juga dibuka kerana dia sedang merokok. Nak tegur takut dia terkejut dan tak dapat kawal pemanduan, jadi ku hanya mengeluh agak kuat dan mata tetap memerhatikan benda yang sedang bergolek itu.
“Allah!!” tiba-tiba Abang Khairul bersuara, agak kuat. Cepat-cepat dia campak rokoknya dan tingkap dinaikkan.
“Nami.. Nami.. nampak tak?” bergetar suaranya.
“Ye.. sedang melihat..” jawabku.
“Pocongkan?” soalnya lagi.
“Kenapa sebut namanya bang..” dalam hati tak henti-henti aku beristigfar.
“Jangan kejut yang lain, nanti diorang panik,” kata Abang Khairul.
Aku anggukkan kepala. Mata masih lagi fokus ke benda yang bergolek itu.
“Abang Khairul, azan..”
“Mulanya macam mana?” soalnya padaku, panik punya pasal, azan pun lupa.
“Allahu akhbar..” jawabku.
Tak sempat Abang Khairul mula azan, tiba-tiba dia brek mengejut dan aku dapat rasakan hentakan di bahagian depan kereta, seperti terlanggar sesuatu. Segera ku alihkan pandangan ke hadapan.
“Anjing.. abang langgar anjing..nak berhenti ke?” soalnya.
“Terus bang.. boleh gerak lagikan kereta?” soalku.
Dia menganggukkan kepalanya. Perlahan-lahan Abang Khairul mula azan. Ku pusing kembali ke jalan raya di tepiku, Alhamdulillah, tiada lagi si putih yang bergolek itu. Anehnya, sepanjang kejadian, umat-umat lain di dalam kereta tak terjaga langsung.
“Nami jangan tidur, teman Abang Khairul sampai Bangi,” arahnya.
“Insyaallah..” terkebil-kebil ku menahan ngantuk. Tapi aku terlelap juga, maafkan aku Abang Khairul.. yang penting kami semua selamat sampai ke destinasi yang dituju.
Itu antara beberapa kisah yang aku kongsikan sepanjang penglibatanku dengan alat muzik tradisional ini. Terima kasih
Seram tapi selamba. Part yg agaknya makhluk tu sakit tekak, kelakar 😆
Hehe.. Sebab mlm kejadian mmg sunyi sepi area bgnan x siap tu
Betul la, ko mmg hati kering cik penulis. Perkongsian yg sgt bagus, saya suka cara cik bercerita. Tulisla lagi yea..
Terima kasih.. Sedang dlm proses lagi utk x berhati kering..
Berani sangat balik Keris Mas lewat malam. Siang pun dah cukup seram.
Lama dah x jengah keris mas.. Masih menyeramkan lagi ke?
Sepanjang 4 tahun di UKM, sekali aje masuk panggung seni…tu pun exam final buat kat situ… org cakap peralatan gamelan kat situ berhantu, mlm2 boleh main sendiri…entahlah
Bukan setakat alatan gamelan.. Lebih dari tu.. Hehe..
cara bercerita yg bagus dan santai👍🏼
Terima kasih..
cerita 2 tue seram tapi kelako hahahha..
y lain seram berani n hatimu kering..
Cerita best…susunan ayat teratur & senang faham. Kalau ada lagi cerita yg best2 share ya.
Best cite akak.salam dari zabarian..
Thanks!!
best semua cerita..yg cerita last tu fuh seram
Berani ko nami
ini ker nami yang pergi mancing pastu kwnnya col kete rosak tu?
Iya saya
Kalau ak mmg bedesupppp dh lari. Ko ni mmg berhati kering. Kuat semangat ko dikk
Panggung seni memang seram. Nasib baik berlatih situ dulu tak jadi apa-apa. Bangunan kolej kediaman dari dulu lagi tak siap2.
Memang hati kering la kau.. Tabik spring. Teknik cerita pun seronok baca. X serabut. Layan…
Jiwa kental,hati kering..keistimewaan yg Allah berikan byk2 berzikir nama Allah…
Biasa hati kering je diuji macam nj. Ada orang cuma ada 6th sense, tak boleh nampak.
nami lahir cukup bulan x
allahu kental ye nami , hee apa pun semoga sentiasa dilindungi .
ada lg kisah best share eh nami .
mostly percussion yg nami main sy pun pernah dpt tempiasnya , apa lagi bila partner dia mcm flute ke caklempong dgn yg lain dimainkan
Serammnyaa nami 😭 kuat betul NAMI ni 👏
Dah 11 tahun meninggalkan UKM..Kalau suruh aku describe laluan2 yang ada dekat UKM tu aku dah tak ingat dah…Aku dulu tinggal dekat Keris Mas. Tapi no bilik dan blok apa pun aku dah tak ingat.Ingatan kau cukup kuatlah Nami. Kagum aku..
Aku dulu tinggal Asrama juga …
boleh tahan berpuaka dan disakat mereka terutamnya bila malam mnejelma …
tapi aku ingat2 lupa jer …
kalau nak ingat secara detail memang tak lah kot …
kagum aku dengan Cik Nami dan beberapa penulis lagi di FS ni yang dapat mengingatinya secara detail meskipun dah berbelas atau berpuluh tahun berlalu …
Hebat …