Kisah ini kisah benar yang aku tulis. terima kasih fs kalau menyiarkan berdasarkan cerita seorang rakan yang rapat dengan aku sejak kecil lagi.
Kisahnya berkaitan dengan janji. Begini ceritanya…
“Kau jangan tak datang kenduri anak aku ni Mid. Ini anak aku yang terakhir kahwin. Aku tak kira, macam mana pun aku tetap nak kau ada kat rumah aku malam anak aku nikah tu. Lagipun anak aku si Azweenda ni dah macam anak kau sendiri jugak. Dia pun memang mahu kau ada sekali,” Pak Azizan bercakap dengan rakannya, Mid Lobak.
Mid Lobak bukan sekadar kawan, namun sudah jadi sebahagian daripada keluarga pengantin tersebut. Sejak kecil, Azweenda dikendong bagai anak sendiri, Mid Lobak memberi kasih sayang bagai seorang ayah kepada anak-anak Pak Azizan. Tambahan pula dia masih membujang hingga sekarang walaupun usianya sudah masuk umur 70-an. Tiada keluarga atau anak-anak untuk menumpang kasih.
“Aku mesti datang malam tu. Aku janji Zan,” kata Mid Lobak.
Lebih kurang 2 minggu sebelum Azweenda diijabkabul, rumah Pak Azizan meriah dengan persiapan mula dilakukan. Azweenda akan disatukan dengan pemuda dari Selangor. Segala persiapan sedang rancak diatur. Dan salah sorang yang paling sibuk membantu semestinya Mid Lobak.
Namun kemudian, Mid Lobak terpaksa pulang ke Padang Sanai, Kedah atas urusan kerja. Dia berjanji akan datang semula ke rumah pengantin pada malam akad nikah.
Malangnya, dua hari sebelum upacara akad nikah, mereka menerima satu berita amat menyedihkan. Mid Lobak meninggal dunia dilanggar kereta semasa melintas jalan hendak ke kedai makan.
Azweenda terduduk. Air matanya mengalir laju. Orang yang dianggap seperti ayah sendiri tiba2 pergi meninggalkannya di saat-saat impiannya untuk bergelar raja sehari sudah hampir tiba.
Hanya al-fatihah mampu dikirim. Mereka sekeluarga sempat menghadiri pengkebumian Mid Lobak. Pak Azizan turut sebak, bergenang air mata. Seakan terngiang-ngiang ditelinganya janji Mid Lobak untuk hadir majlis nikah anaknya nanti.
Malam akad nikah menjelang. Riuh-rendah sanak saudara dan jiran tetangga hadir meramaikan majlis. Dua ekor kambing digulai bersama umbut pisang. Hamidin dan Azweenda yang sudah sah bergelar suami isteri tersenyum melayan sanak saudara dan jiran tetangga.
Dalam keriuhan itu, hati Pak Azizan tiba-tiba berdebar-debar. Entah mengapa, dia rasa tidak tenang malam itu. Kata-kata Mid Lobak terulang-ulang dalam kotak fikiran – ‘Aku janji akan datang majlis anak kau’.
Jam melepasi angka 12.00 malam. Tetamu ramai yang dah pulang. Esok, kenduri besar-besaran akan berlangsung. Dua tiga orang tukang masak dah tersengguk-senguk merenih sup dan menumis rempah.
Sekitar kawasan rumah mulai sunyi sepi. Nun di kejauhan, terdengar salakan anjing hutan sahut menyahut dari arah bukit belakang kampung.
Pak Azizan keluar ke bawah khemah melihat barang-barang kenduri. Periuk belanga perlu dijaga, nanti tak pasal-pasal ada yang hilang kena gadai. Langit sedikit cerah dengan sinaran purnama dibalik awan tebal. Angin bertiup lembut dari arah baruh bersama bunyi tin dan daun kering berlari atas tanah.
Tidak semena-mena, hidung Pak Azizan tercium sesuatu. Bau kapur barus! Pekat sekali baunya seakan-akan sekitar kawasan bangsal memasak itu ditabur kapur barus. Kembang kempis hidungnya mencari dari mana arah datang bau tersebut.
Beberapa batang pokok senduduk di pinggir pagar rumah bergoyang-goyang seperti dirempuh sesuatu. Angin serta-merta mati dan suasana jadi sehening tapak perkuburan. Tiada sepatah bunyi malah daun kayu langsung tidak bergoyang.
“Zan…aku datang menunaikan janji. Aku nak kena balik dah…”
Terdengar suara garau dari arah perdu pisang raja berhampiran telaga. Pantas Pak Azizan mendekati kawasan tersebut, sangkanya ada seseorang yang datang.
“Siapa ?” soal Pak Azizan sambil cuba menangkap kelibat seseorang dari sebalik perdu pisang itu.
Tiba-tiba dia terlihat satu sosok berpakaian serba putih dari kepala hingga ke kaki.
“Mari la, buat apa duduk situ. Ada lagi nasi gulai ni kalau nak makan,” Pak Azizan menyapa mesra.
Sosok itu berdiri kaku. Pak Azizan semakin pelik dengan sikap tetamu itu. Dia tidak begitu cam siapa orang itu kerana keadaan sekitar yang agak gelap.
Lalu Pak Azizan melangkah kaki mendekati rumpun pisang tersebut. Bau kapur barus bersama campuran minyak atar dan kemenyan menusuk hidung.
“Mai la dulu…” belum sempat Pak Azizan habis menyapa, ketika itu juga purnama yang terselubung di balik awan tebal mula menampakkan wajah.
Sekitar kawasan disimbah cahaya suram, dan kelibat di hadapannya mula tampak jelas. Saat itu langkah Pak Azizan terhenti. Matanya terjegil. Lidahnya kelu, hendak menelan air liur pun terasa tersekat di kerongkong.
“Astagfirullah….Mid…” akhirnya kata-kata itu dilepaskan mulut Pak Azizan.
Benar. Wajah di sebalik kain putih itu ialah arwah Mid Lobak. Tidak lama, perlahan-lahan kelibat itu mengundur ke belakang ke kawasan tanah pamah berlalang tebal, diiringi haruman kapur barus dan tiupan angin lembut, sebelum ia hilang bagai dibawa pergi oleh udara.
Di situ juga, Pak Azizan terduduk. Sungguh dia tak sangka, arwah benar-benar mengotakan janji. Berkali-kali Pak Azizan beristighfar. Air matanya mengalir mengenangkan sahabatnya itu. Lalu dia menghadiahkan al-Fatihah buat arwah.
Tenanglah kau di sana sahabat… hanya itu bisik Pak Azizan dalam hati.
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Ringkas..Tapi tengah2 malam ni meleleh juga air mata ni..Al fatihah..
sedih btul tu.. al Fatihah kpd arwah.
alamak!!! sape kupas bawang ni….Al fatihah
Dr ptg td dok tunggu citer baru…nah ko citer seram camni…meremang bulu roma teman biler baca…best banget
First time baca cite dlm fs ni meremang bulu roma..
Sedihlah!!!
Orang mati pon nk tunaikan jnji . Ni yg hdup asek bjnji tp jnji tgl jnji ni mcm mne ni ..
Yg itu kalau jumpa kena tampar laju laju
Cantik gaya bahasa. Ringkas dan padu. Terasa suasana malam yang sejuk berangin. Sebak. Al fatihah buat Mid Lobak.
Boleh buat drama ni.. Bestt
meremang bulu roma baca cerita ni. tapi sedih, semoga arwah ditempatkan dikalangan orang yang beriman.
wuishh.. mcm filem dah. BTW, citer ni mmang best.
Terbaik 👍
:'( semoga arwah ditempatkan dikalangan orang2 yang beriman. aminn
Al-Fatihah
tetibe sebak lepas baca cerita ni… (T_T)
Huhuhu ni la cerita yg paling sebak…moga arwah tenang di sana..amin..amin..amin..
Haa mata terkena debu pula . haa trharu dpat kawan yg mnunaikan jnji mcm tu .