Aku & Dia

AKU & DIA

Hi.salam semua, terima kasih kerana sudi membaca kisah aku. Di sini aku hendak ceritakan sebuah kisah benar yang berlaku pada aku. Kisah aku dengan Jin Asyik. Kisah ini hanya satu dari pelbagai cerita seram yang menimpa aku. Umur aku sudah mencecah 40-an. Sejujurnya sejak daripada kecil lagi aku sering mengalami gangguan. Bezanya waktu kecil aku hanya anggap benda-benda yang aku nampak itu sekadar imaginasi dan bayangan semata-mata.

Pernah satu ketika sewaktu aku masih berumur belasan tahun, aku terlalu kepenatan, lalu aku mengambil keputusan untuk melelapkan mata sebentar di dalam bilik di tingkat atas rumah. Rumah kampung dulu-dulu memang selesa tidur di tingkat atas sebab keadaan cuaca tak panas seperti sekarang ini. Aku tidur dalam posisi meniarap sebab terlalu penat. Dalam lebih kurang lima belas minit selepas itu, aku merasakan tubuh aku semakin memberat. Kepala aku tiba-tiba sahaja terasa seperti ditekan oleh sesuatu. Aku tidak dapat dapat bernafas dengan betul kerana hidung dan mulut aku ditekup ke bantal.

Waktu ini aku struggle sangat sebab rasa lemas bersekali dengan badan yang memberat seakan ditindih. Yang terlintas di kepala saat itu hanyalah “Allahuakbar”. Di dalam hati segala ayat suci aku cuba bacakan tetapi semuanya seakan hilang dari ingatan. Aku cuba melawan sekuatnya apa pun makhluk yang sedang menindih tubuh aku saat itu. Bila sahaja bibir aku mampu mengungkapkan “Allahuakbar”, aku segera melaungkannya sekuat hati. Serentak dengan itu juga, aku dapat membuka mata. Tercungap-cungap aku mencari nafas. Aku dapat merasakan dengan jelas ada sesuatu yang perlahan-lahan bangun daripada menindih tubuhku.

Pada sebelah malam tidur aku mulai terganggu, dan aku fikir ia berlaku sejak daripada saat aku mengalami tindihan itu. Boleh dikatakan hampir setiap malam aku akan mengalami mimpi-mimpi yang mengerikan seperti dikejar hantu, mimpi menjalinkan hubungan dengan seseorang yang tidak pernah aku kenal atau sesekali “dia” akan datang dalam bentuk orang yang aku kenal, kawan-kawan aku, bahkan pernah dalam rupa abang kandung aku sendiri. Bayangkan menjalinkan hubungan badan dengan abang kandung sendiri??! Mujur semua itu hanya berlaku dalam mimpi aku sahaja.

Kerap juga aku bermimpi berada di tempat yang sangat busuk di mana sekeliling aku penuh dengan air limbahan yang memualkan, kadang-kadang terasa seperti berada di kawasan penuh lumpur, nanah dan d***h. Juga sesekali bermimpikan ular, dan haiwan berbisa yang lainnya. Tetapi dalam banyak-banyak mimpi aku, aku paling takut sekiranya aku bermimpikan bayi. Orang tua-tua pernah berpesan kalau bermimpikan bayi yang dihulurkan oleh seseorang, jangan sesekali kita mengambilnya. Entah berapa kali aku bermimpi ada seseorang yang ingin memberikan bayi yang dikendongkan kepada aku. Bersungguh-sungguh aku menolaknya.

Namun suatu malam, aku bermimpi di datangi oleh seorang nenek tua, dia tidak mengendong bayi tetapi ada seorang kanak-kanak lelaki di sebelahnya. Sambil tersenyum nenek itu berkata dia ingin meminta tolong aku untuk menjaga kanak-kanak itu sebentar. Hanya sebentar sahaja. Aku tidak mengatakan ya, tetapi juga tidak menolaknya. Selepas nenek tersebut berlalu, tangan kanak-kanak lelaki itu sudah memegang hujung baju aku. Aku terkejut dan dengan segera aku menepis tangan kanak-kanak itu. Kanak-kanak itu melemparkan pandangan tidak puas hati dengan tindakan ku. Dan mimpi itu berakhir di situ.

Sejujurnya aku tidak pernah menceritakan perihal mimpi yang menganggu aku kepada emak dan ayah. Setiap kali mimpi berhubungan badan dengan “dia” dan bilamana kami berpisah di hujung mimpi, aku merasakan perasaan sedih yang aneh. Sedih yang membawa hingga ke alam sedar. Aku tidak pernah berkesempatan memandang wajah “dia”. Biasanya didalam mimpi tersebut wajah si “dia” kabur dan tidak jelas atau “dia” akan mengambil rupa orang yang dekat dengan aku.

Kesedihan dan kerinduan terhadap “dia” juga menyebabkan aku menjadi resah. Dalam tidur aku tanpa sedar, aku mula berharap untuk dapat bertemu dengan “dia” semula. Namun semakin aku menginjak dewasa semakin “dia” menghilang daripada mimpi aku. Aku lebih sering mengalami mimpi terjatuh atau terjun daripada tempat tinggi. Kadang-kadang tersentak-sentak tubuh aku saat terjaga.

Kerana terlalu kerap mengalami mimpi terjatuh daripada tempat tinggi, aku mengambil keputusan untuk mula mencari makna mimpi aku. Selak punya selak, google punya google barulah aku jumpa jawapan terhadap semua mimpi-mimpi aku. Ya..tidak syak lagi aku terkena gangguan jin asyik.

Aku pada asalnya enggan mengambil pusing gangguan ini, tetapi kerana aku merasakan libido (nafsu seks) yang semakin tinggi menyebabkan aku mengambil keputusan untuk menceritakan hal ini kepada emak dan ayah. Emak aku berpesan supaya aku mandi bunga untuk membuang sial. Haishhh..sial apa pulak?? Mimpi je kan?? Dan aku tidak mengalami kejadian tubuh ku bera seperti d***h aku dihisap oleh drakula!. Jadi aku ingkar saranan emak aku. Pertamanya kerana aku masih mentah dan kedua kerana aku tidak percaya sangat pada perkara-perkara mistik ketika itu walaupun aku sudah tahu punca mimpi-mimpi aku.

Aku bertemu jodoh di usia lewat 20-an. Dan sejak aku berkahwin, “dia” semakin menjauh daripada mimpi aku. Tapi itu tidak bererti “dia” terus pergi daripada hidup aku. Masih terngia-ngia di telingaku akan suara yang sering membangunkan aku kala subuh menjelang. “Bangun!!” sergahnya atau kadang-kadang aku terdengar suara azan subuh betul-betul disebelah aku. Kalau aku berpermergian ke tempat baru dan susah hendak tidur, esok paginya tetap juga aku bangun subuh sebab “dia” akan membangunkan aku.

Suatu waktu kandungan aku semakin membesar, kakak aku terpaksa pulang ke kampung. Ketika ini aku terpaksa menumpang di rumahnya kerana En Suami berkursus jangka panjang dan aku pula mengandungkan anak pertama. Telinga aku dapat menangkap dengan jelas bunyi seperti seseorang sedang menumbuk sambal dan menyusun perabot-perabot rumah jam tiga pagi. Mata aku terkebil-kebil memandang siling rumah kerana setahu aku, rumah di tingkat atas rumah kakak ku itu tiada penghuni.

Seketika kemudian aku terdengar pula bunyi seperti kanak-kanak melempar guli. Bulu roma aku mulai meremang. Sudahlah tinggal bersendirian, waktu tu lahhh dia nak ajak main guli. Mujur aku memang menghafaz Ayatul Kursi dan empat Qul. Berkali-kali aku baca sampailah aku tertidur semula.

Selepas selamat melahirkan, aku menjalani kehidupan seperti biasa dan Allah menambah rezeki kami dengan kehadiran anak kedua. Saat ini aku sibuk bekerja dan melayan keletah anak-anakku. Aku juga semakin melupai “dia”. Mimpi-mimpi ngeri, seram, jijik dan kotor juga jatuh ditempat tinggi semakin menghilang daripada hidup aku. Atau mungkin juga aku tidak sempat bermimpi kerana kesibukan hidupku. Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah jalan.

Pada suatu malam, saat aku sedang menunggu suami ku pulang tiba-tiba sahaja anak perempuanku menangis dengan kuat. Waktu itu jam menunjukkan pukul 12 tengah malam. Sudah menjadi tabiat kami menunggu kepulangan En Suami di ruang tamu dengan toto yang dibentangkan di hadapan televisyen. Anak perempuanku menundingkan jarinya pada alang rumah sewa kami sambil mulut nya bertanya “Ibu..tu ape tu bu?” Aku tersentak. Segera aku tepis tangannya daripada terus menunjuk ke arah alang rumah yang pada pandangan aku tiada apa pun. “Takde apalah kakak..mana ada apa-apa?”.. “Dahh jom-jom masuk bilik” aku bergegas mengendong anak kedua aku yang masih tidur dan segera menarik tangan anak pertamaku masuk ke dalam bilik.

Seketika kemudian, aku keluar semula di ruang tamu dan berdiri betul-betul di tengah rumah. Waktu ini aku segera melaungkan azan dan membaca Ayatul Kursi dan empat Qul. Aku sempat berkata “aku tak ganggu kau jangan ganggu keluarga aku!!”. Aku sangat takut sebenarnya dan aku pun tidak tahu dari mana datangnya keberanian untuk berkata-kata seperti itu. Sesudah itu aku segera masuk ke bilik. Sebaik sahaja En Suami pulang sekitar jam 1.30 pagi (bekerja shif petang) barulah tenang sedikit jiwa aku yang libang libu tadi.

Keesokanya aku bertanya kepada anak pertamaku apa yang dia nampak malam tadi. Terus anak aku jawab “ada macam benda yang merangkak dan melekat dekat alang tu buuu..rambut gerbang-gerbang baju putihh buu”.. jujur sahaja jawapan anakku. Dan aku tahu dia tak menipu. Banyak kali sebenarnya episode penampakan oleh anak pertamaku. Tapi cukup ku cerita yang ini sahaja.

Selepas peristiwa itu, aku mulai boleh merasakan “kehadiran dia”. Sebelum-sebelumnya aku hanya bermimpi atau mendengar suara-suara yang seakan berbisik sahaja. Ada kalanya sewaktu aku sedang memasak di dapur, terlihat seakan kelibat seseorang sedang memerhatikan aku. Ada juga ketikanya aku dapat merasakan “dia” berada sangat dekat dengan aku.

Atas urusan kerja, aku dan En Suami kerap berpindah rumah. Dan tiada satu rumah pun yang kami pindah dapat membebaskan aku daripada merasakan “kehadiran dia”.Kemuncaknya ialah ketika kami berpindah kesebuah rumah di sebuah negeri di utara tanah air. Aku mengambil keputusan untuk menceritakan kepada En Suami berhubung keadaan aku yang kerap bermimpi aneh-aneh ketika bujang dahulu. En Suami segera meminta aku berjumpa dengan pengamal perubatan Islam. Waktu ini aku membantah kerana aku menyatakan gangguan itu tidak sehingga mencederakan aku secara fizikal. Dan aku masih boleh bertahan.

Sehinggalah suatu hari saat aku dan En Suami ingin melelapkan mata seketika melepaskan lelah bekerja. Hari minggu itu, sekitar jam 3.00 petang aku dan En Suami masuk ke bilik tidur. Niat cuma ingin baring-baring sambil sembang kosong. Sekali En Suami terlelap dahulu. Penat sangat bekerja sepanjang minggu agaknya. Aku hanya berkemban sahaja. Cuaca panas daripada kebiasaanya. Aku mengambil posisi disebelah En Suami tetapi tangan mahupun kaki aku tidak menyentuh mana-mana bahagian tubuhnya.

Baru sahaja lima saat aku terlelap aku merasakan kepala dan tangan aku seakan ditindih oleh sesuatu. Paling menyeramkan bila aku dapat merasakan dengan jelas seakan-akan ada sesuatu cuba menusukkan objek tumpulnya dan aku sangat-sangat terkejut. Aku sedar ada makhluk alam sana yang cuba menjalinkan hubungan badan dengan aku ..sebab? Kain batik yang aku pakai terselak hingga menampakkan pangkal paha dan jelas terasa geselan sesuatu di celah kelangkangku. Aku berusaha untuk melepaskan diri dengan membaca Ayatul Kursi.

Sebenarnya ketika kejadian ini, En Suami aku tertidur pulas. Langsung tidak sedar apa yang sedang aku alami. Aneh kan?? Sedang aku ketika itu tidak mampu menggerakkan tubuh kerana tindihan tersebut tetapi mulut aku terus berkumat kumit cuba membacakan Ayatul Kursi. Aku sangat sedih, gelisah dan takut ketika itu. Kerana sungguh beraninya “dia” cuba menodai aku di sebelah En Suami aku. Sejujurnya selama ini, “dia” tidak pernah seberani itu. Sekadar hadir dalam mimpi dan sesekali sahaja membuatkan aku terasa “keberadaannya”.

Selepas hampir lima minit bergelut, barulah aku dapat membebaskan diri daripada tindihan itu. Geselan yang ku rasakan juga turut menghilang seiring dengan hilangnya tindihan itu. Aku segera membangunkan En Suami dan menceritakan kejadian tersebut. En Suami sangat terkejut dan segera mengulang cadangannya untuk membawa aku berjumpa dengan pengamal perubatan Islam. Kerana kejadian itu, aku tidak lagi membantah.

Hujung minggu seterusnya, kami sekeluarga segera pulang ke kampung. Kebetulan abang kandung aku mempunyai tok guru yang memang merupakan seorang pengamal perubatan Islam.

Malam harinya hujan turun renyai-renyai sewaktu kami memulakan perjalanan ke kampung Tok Guru abang ku. Jalan masuk ke rumah Tok Guru memang menyeramkan, tambah lagi dengan hujan yang semakin lama semakin lebat. Kiri kanan jalan adalah sawah padi yang terbiar dan bayang-bayang pokok hutan menambahkan lagi suasana seram itu. En Suami dan abang aku duduk di kerusi hadapan manakala aku ditemani oleh kakak ipar ku di kerusi belakang. En Suami memandu dengan perlahan kerana lampu jalan yang malap menyukarkan lagi pemanduan.

Kami sampai di hadapan sebuah rumah yang terletak di hujung jalan dalam keadaan hujan yang semakin lebat. Namun disaat aku di arahkan untuk turun daripada kereta oleh abang aku, aku mulai membantah. Entah mengapa ketika itu aku mulai menyampah melihat wajah abang ku sendiri.

Tetapi kerana tidak mahu berlama-lama di dalam hujan, aku melangkah juga masuk ke dalam rumah Tok Guru tersebut. Sebaik sahaja masuk, aku diarahkan duduk di atas sofa dengan ditemani oleh En Suami dan abang ku. Sewaktu Tok Guru mula membaca ayat-ayat suci Al –Quran, aku mulai merasa mengantuk yang teramat sangat. Perlahan-lahan aku mulai membongkok seperti nenek bongkok tiga. Sebenarnya aku merasakan seperti ada batu yang teramat berat di atas bahu ketika itu. Amat payah sekali untuk aku mengangkat muka. Badan aku juga mulai bergerak kekiri dan kanan seperti orang sedang beratib. Aku sedar apa berlaku namun aku tidak mampu berbuat apa-apa.

Sehinggalah nama aku di seru oleh Tok Guru pun aku hanya mampu menjawab dalam keadaan menunduk itu. Dialog diantara “dia” dan Tok Guru menjelaskan rupanya “dia” sudah lama berdamping dengan aku. Cuma sahaja aku tidak menerima sepenuhnya. Tok Guru menyatakan sebabnya adalah kerana aku orang yang kuat semangat. Katanya sudah 40 tahun “dia” bersama aku. Huhhh?? Kiranya dari semenjak aku lahir lagi “dia” sudah mendampingi.

Dan sewaktu proses memisahkan “dia” dengan aku, aku meraung seteruknya.Kata En Suami seperti orang putus kasih. “Dia” mengakui beragama Islam dan boleh mengucap dua kalimah syahadah. Dan sungguh selepas proses itu, barulah bahu aku terasa ringan semula. Sebelum ini sakit dan sentiasa terasa berat terutamanya bahu sebelah kanan. Aku fikir cukup disini dulu kisah aku dan “dia”. Aku tidak berdendam dengan “dia” cuma aku marah dan terkilan kerana “dia” cuba menodai aku!!.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 20 Average: 4.2]
Asmaya Ally

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.