Anak Kecilku Diganggu

Salam. Aku adalah penyumbang baru kepada Fiksyen Shasha tetapi sudah veteran dalam mengikuti kisah dalam ruangan ini. Jika kisah ini tersiar, jutaan terima kasih aku ucapkan. Jika tidak tersiar pun, aku ok saja.
Perlu diingatkan kisah yang bakal aku paparkan tidaklah seseram mana pun. Tetapi disebabkan ada unsur membabitkan penghuni neraka, aku kira kisah ini sesuai diceritakan di sini.

Ini bukan kisah yang aku dengar daripada makcik sebelah rumah atau adik kepada kawan sepupu aku. Ini kisah yang ada kaitan dengan aku secara langsung kerana kejadian menimpa anak kedua aku.

Kejadian berlaku kira-kira 13 tahun lalu, ketika anak kedua aku baru berusia tiga atau empat bulan.
Hari itu adalah hari perkahwinan adik lelaki aku, Ket. Semua memang maklum kalau ada kenduri-kendara. Semuanya sibuk dan kelam kabut. Apatah lagi kami mengadakan majlis itu di rumah, bukan di dewan dan tenaga kerja semuanya membabitkan adik-beradik dan rakan taulan yang rapat.

Menjelang tengah hari, anak kecilku sudah mula menunjukkan tanda mahu meragam. Dia tidak merengek atau menangis. Cuma aku dapat rasakan dia tidak senang duduk dan gelisah.

Didukung, dibelai dan diletakkan dalam buaian pun ragamnya tidak hilang. Langsung tidak mahu diletakkan. Gayanya seolah-olah mahu dikelek sepanjang hari.
Dalam fikiran, ragam anak aku cuma disebabkan dia tidak selesa keadaan panas, bising dan orang ramai keluar masuk rumah. Tidak terlintas langsung anak kecil aku diganggu sesuatu.

Gelisahnya dibawa sehingga ke malam. Bayangkan pada usia tiga bulan, anak aku cuma tidur sekejap-sekejap.

Sesudah diusung sana sini untuk cuba menenangkan dia, arwah ayah meminta untuk mendukung cucunya itu. Ayah berzikir di telinganya.
Aku cuma berkata pada ayah yang anak aku meragam kerana apa yang aku sangkakan pada awalnya.
Jawapan ayah membuatkan aku terdiam: “Ini bukan benda biasa. Budak ini meragam sebab lain. Ayah dukung dia pun ayah dapat rasa. Ada benda lain. Kita pula sembelih lembu buat kenduri. Benda tu memang suka d***h.”

Apabila malam semakin larut dan anak aku mula menangis, bapa saudaranya yang baru bergelar pengantin mula masuk campur.
Dia mendukung anak aku dan terus dibawa keluar menuju rumah abangnya, Saiful, di sebelah rumah ayah aku. Sebaik kakinya melangkah masuk ke perkarangan rumah adik aku seorang lagi itu, anak aku berhenti menangis.

Dan apabila Ket melangkah keluar, anak aku mula melalak semula. Adik aku, Saiful, datang ke rumah dan terus mendukung anak aku. Dia membacakan ayat suci dan ketika itu anak aku menangis panjang, seolah-olah meraung.

Pada masa sama, sayup-sayup aku terdengar ada suara seolah-olah tersedu-sedu ketika Saiful membacakan ayat suci. Aku bukan berhalusinasi kerana adik perempuan yang ada bersama ketika itu turut terdengar sedu-sedan itu.

Anak aku akhirnya diam dan nampak benar dia keletihan di wajah kecil. Dia terus tidur selepas itu.

Aku sangkakan kejadian itu berakhir di situ. Rupanya tidak kerana tidak lama selepas anak aku tidur, mak aku yang berada di ruang tamu sebelah dalam tiba-tiba jatuh pengsan.
Dan apabila sedar, dia berjalan terhencot-hencot, gaya orang tempang, menuju ke pintu. Mak aku, untuk pengetahuan semua, tidak tempang.

Sambil merintih meminta adik aku berhenti membaca ayat suci, mak aku meminta kami membuka pintu kerana katanya dia mahu balik.
Apabila ditekan oleh adik aku, ‘dia’ mengaku singgah sebentar di rumah aku pada siangnya kerana ingin tahu apa yang meriah sangat di rumah aku ketika itu. Dan bonus padanya, di rumah aku ada bayi iaitu anak aku.

Adik aku cuma membuka pintu dan membiarkan dia balik tanpa menggunakan sebarang kekerasan kerana daripada cara mak aku berjalan, kami sudah dapat agak siapa tuan punya makhluk itu.
Mak aku terjelepuk di depan pintu selepas adik aku membuka pintu dan kembali sedar tidak lama kemudian.
Sekian kisah aku untuk kali ini. Aku akui kisah ini tidak seseram mana pun kerana tiada penampakan.
nota kaki: Rumah adik aku sudah ‘dipagar’ dan ada jiran menceritakan betapa mereka suami isteri takut apabila pada satu malam ternampak bebola api berlegar di atas rumah adik aku tetapi tak boleh menembusinya.

Jika ada yang mahu membaca kisah bagaimana mak aku, wanita kampung berusia 60-an, yang sudah melahirkan 10 anak boleh menarikan tarian jawa dengan lenggok yang begitu lembut, akan aku ceritakan pada entry berikutnya. Terima kasih kerana membaca.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit.

zeehan
Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 3]

16 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.