Argono

Pada tahun 1942, penduduk Kampung Alor, Banting telah menerima kehadiran seorang penetap baharu dari tanah yang jauh. Nama lelaki itu ialah Argono Setiawan. Argono merupakan seorang lelaki muda yang ramah serta baik budi pekertinya. Segala yang dilakukan oleh Argono mendapat kata-kata yang baik daripada penduduk Kampung Alor.

Pada awalnya, Argono cuma duduk menyewa di salah sebuah rumah yang dimiliki oleh orang kaya Kampung Alor; Deraman. Orang Kaya Deraman memiliki hampir satu perlima tanah di Kampung Alor. Menurut sejarahnya, Deraman berasal dari keturunan ketiga satu-satunya orang Melayu yang memiliki lombong timah di Selangor suatu masa dahulu. Nama dan butiran tentang nenek moyangnya tidak pernah jelas. Namun, apa yang jelas adalah; Deraman masih sangat kaya pada masa itu.

Deraman melayan Argono dengan amat baik sekali. Disebabkan oleh sifat amanah dan jujur yang dilihat dalam diri lelaki itu, Deraman menawarkan Argono pekerjaan sebagai pengumpul wang sewa. Argono menjalankan tugasnya dengan amat baik. Tidak pernah bersikap kasar dengan penyewa-penyewa, tidak pernah menggertak dan sentiasa menjaga adab ketika meminta wang sewaan dari orang-orang kampung. Orang kampung senang hati membayar sewa kepadanya.

Selain bekerja dengan Deraman, Argono juga menjual kayu api dan akar-akar kayu yang dibelinya dari orang-orang asli hutan belakang kampungnya, hutan Kuala Langat kepada orang-orang Kampung Alor. Argono berusaha keras selama bertahun-tahun demi mencapai cita-citanya, hendak memiliki sebidang tanah di kampung itu. Menggunakan hasil keuntungan perniagaannya dan hasil gaji yang diberikan oleh Deraman kepadanya, Argono membeli sebidang tanah milik Deraman di hujung kampung itu. Tanah itu dijual dengan harga yang murah kerana lokasinya yang terletak berhampiran dengan hutan dan jauh rumah-rumah lain.

Argono sangat berpuas hati dengan hasil usahanya selama hampir lima tahun itu. Selepas selesai urusan pertukaran nama tanahnya, Argono yang mempunyai hubungan yang baik dengan orang-orang asli hutan itu mengupah beberapa orang pemuda orang asli untuk membantunya membina sebuah rumah kecil di atas tanahnya itu.

Namun, dalam usaha Argono untuk memenuhi cita-citanya, terdapat juga beberapa orang-orang kampung yang berasa iri hati kepadanya. Salah seorang daripadanya ialah Kadir, anak penghulu Malik. Dahulunya Kadir banyak meluangkan masa bersama Deraman dalam mengerjakan tanah-tanah Deraman. Sesetengah tanahnya dibuat kedai. Sesetengah lagi dibuat rumah sewa. Semuanya atas nasihat Kadir. Namun, semenjak hadirnya Argono, Deraman sering meminta pendapat Argono yang dilihatnya bijak dalam hal kewangan dan perniagaan.

Iri hati Kadir semakin lama semakin memakan sifat kemanusiaan yang ada di dalam dirinya. Pada suatu malam, ketika Argono masuk ke hutan untuk bertemu dengan rakan-rakan orang aslinya, Kadir telah membakar rumah Argono yang baru didudukinya tidak sampai sebulan itu. Apabila Argono pulang dari hutan, alangkah luluhnya hati Argono apabila melihat api sedang marak menjilat dinding-dinding dan atap rumahnya. Disebabkan rumahnya jauh dari rumah-rumah lain, tiada siapa yang sempat menyelamatkan rumah Argono yang terbakar itu.

Argono tidak mengesyaki sesiapa. Dia cuma menganggap itu sebagai akibat dari kecuaian dirinya sendiri. Dia redha. Melihatkan keadaan Argono yang langsung tidak bersedih dan susah hati atas kejadian yang menimpanya, Kadir berasa semakin dengki dan sakit hati. Namun disimpannya rasa tidak senang itu jauh di sudut hatinya. Sehingga kelak dia akan mencari lagi apa yang paling disayangi oleh Argono untuk dia cemari dengan niat jahatnya.

Pada suatu hari, Argono datang ke rumah penghulu Malik untuk memberitahukan niatnya yang ingin melamar seorang gadis Kampung Alor bernama Kesuma. Kesuma merupakan sepupu kepada Kadir di sebelah ibunya. Dengan hati yang berdebar Argono memanjat tangga rumah Pak Malik lalu memberi salam;

“Assalamualaikum, tok!”

Suasana senyap seketika. Kemudian terdengar suara Pak Malik dari balik pintu rumahnya.

“Wa’alaikumsalam. Argono! Allah. Masuk, masuk. Dah lama aku tak nampak kau.”

“Sibuk tok.” Jawab Argono pendek sambil menghulurkan tangannya bersalaman dengan Pak Malik.

“Duduk Argono. Nanti aku suruh Mak Nah kau buatkan kopi.”

Argono mengangguk teragak-agak.

“Hah, apa halnya kau kemari Argono?” Tanya Pak Malik tersenyum.

Argono terdiam sejenak menyusun ayat-ayat yang ingin diperkatakannya. Setelah hatinya berasa cukup yakin, Argono menyuarakan tujuannya;

“Saya ni datang nak maklumkan pada tok, yang saya ni berniatkan seseorang.”

Pak Malik tersenyum memandang Argono.

“Allah. Kalau kau niatkan sesuatu, aku boleh tolong, Argono. Tapi kalau niatkan seseorang, aku tak mampu. Anak aku seorang saja. Si Kadir tu. Kalau kau nak aku carikan, aku tak pandai.”

“Eh, bukan tok. Tok tak usah carikan. Saya dah ada orangnya.”

“Siapa?” Tanya Pak Malik mengerutkan dahi.

Mak Nah perlahan-lahan menuangkan kopi ke dalam dua cawan di hadapan Argono dan Pak Malik. Argono menunggu Mak Nah selesai, kemudian dia pun menyambung, tetapi kali ini lebih kepada Mak Nah;

“Mak Nah, saya ni hajatnya nak melamar Kesuma. Tapi saya ni tak ada orang tua. Kalau boleh, saya teringin supaya tok dengan Mak Nah boleh lamarkan untuk saya.”

Mak Nah tersenyum.

“Mak Nah dah agak dah. Dengar suara kau beri salam tadi Mak Nah dah tahu kenapa kau datang.”

“Eh, awak pula tahu. Awak kan duduk rumah saja.” Tegur Pak Malik sambil tersenyum sinis.

“Saya ni duduk rumah pun, jiran-jiran datang melawat sekali-sekala. Bukannya tak bercampur.” Jawab Mak Nah sambil menjeling Pak Malik.

Argono tersenyum melihat gelagat pasangan tua itu. Itulah yang dimahukannya suatu hari nanti.

“Ramai dah orang berkata tentang kau dengan Kesuma tu, Gono. Eh, tapi jangan risau. Tak ada perkara tak baik. Cuma mereka lihat kamu berdua sesuai bersama. Itu saja.” Sambung Mak Nah cepat-cepat apabila dia terlihat wajah Argono sedikit runsing dengan kata-katanya tadi.

“Nampak sangat ke Mak Nah, saya dan Kesuma?” Tanya Argono runsing.

“Taklah. Kalau bagi yang muda, kamu cuma kenalan. Tapi Mak Nah ni orang tua. Orang tua tak boleh ditipu matanya, Gono.” Kata Mak Nah tenang.

Pak Malik cuma memerhati sambil berfikir. Kopinya dihirup perlahan-lahan. Sebelah tangannya ditampungkan pada lututnya. Matanya tetap pada wajah Argono yang kelihatan sedikit kaget.

“Bagus kau ni Argono. Berani. Kalau semua lelaki macam kau, terjamin masa depan anak gadis kampung ni.”

Argono terdiam tidak berani membalas apa-apa. Dia sekadar tersenyum hormat.

“Benda ni pun benda mudah. Nanti aku beritahukan pada si Sidek. Kau jangan susah, Gono. Aku pasti, Sidek akan terima.” Kata Pak Malik meyakinkan Argono.

Mak Nah mengangguk-angguk tersenyum.

“Yalah. Terima kasih tok.” Ucap Argono lega.

Tiga bulan sudah berlalu sejak tandangan itu.

Majlis nikah Argono dengan Kesuma dijalankan dalam penuh kesederhanaan. Kini Argono dan Kesuma sudah tinggal bersama di rumah baharu yang dibinanya semula di tanah hujung kampung itu.

Melihatkan perkara ini, bertambah membuaklah rasa iri hati Kadir pada Argono yang dilihatnya semakin bahagia dengan kehidupannya di kampung itu. Suatu hari, ketika sedang duduk bersahaja di ruang depan rumah bapanya, Kadir bersuara;

“Ayah, ayah tak rasa Argono tu orang yang guna ilmu hitamkah?” Tanya Kadir kepada bapanya.

Pak Malik berkerut merenung wajah anak tunggalnya itu.

“Kau kenapa, Kadir? Ini bukan benda main-main. Ini fitnah besar ni.”

“Saya bukan fitnah, ayah. Saya tanya saja. Baru duduk kampung ni empat, lima tahun dah ada tanah, dah dapat amanah orang kaya, sekarang dah kahwin dengan anak gadis kampung pula. Saya syak dia guna ilmu hitam ajaran orang asli hutan tu.”

“Kau ni dengki Kadir. Orang dengki ni tak nampak baik orang lain.”

“Saya bukan dengki ayah. Saya ni seorang yang suka berfikir. Bukan macam Argono. Macam tak berfikir. Semuanya nak cepat saja.”

“Dia nak cepat, dia usaha. Itu lelaki. Yang kamu? Asyik harapkan duit Orang Kaya Deraman. Tak malu mukakah?” Soal Pak Malik sinis.

“Eh, ayah jangan cabar saya.”

“Kalau aku cabar pun bukannya kau buat apa-apa. Tidur bangun saja.” Balas Pak Malik sambil mengalihkan pandangannya dari Kadir.

Kadir terdiam panas telinga. Matanya merenung bapanya. Rasa bencinya kepada Argono membuak-buak. Orang kampung sukakan Argono. Orang asli sukakan Argono. Sepupunya sukakan Argono. Sekarang, ibu bapanya pula asyik Argono, Argono, Argono! Ini tak boleh berterusan. Dia harus memperjuangkan haknya sebagai anak kampung itu. Tanah Kampung Alor milik orang Kampung Alor. Bukan untuk dirampas oleh pendatang!

Malam esoknya, Kadir bersama-sama dua orang rakannya berjalan menuju ke hujung kampung untuk ke rumah Argono. Sesampainya mereka ke kawasan semak berhampiran rumah yang sebiji itu, mereka bertiga menyorok senyap-senyap memerhati rumah Argono.

“Kau rancang nak buat apa, Kadir?” Tanya Adan sambil matanya terpaku memandang Kesuma yang sedang menutup tingkap rumah itu.

“Kau nak bakar rumah dia ke?” Tanya Deli pula yang sedang terbongkok-bongkok menggaru kakinya yang digigit nyamuk.

“Aku dah pernah bakar. Dia tak kisah!” Jawab Kadir tanpa memandang rakan-rakannya itu. Rakan-rakannya menoleh saling berpandangan dengan wajah terkejut.

“Kau yang bakar rumah dia dulu?” Tanya Deli.

Kadir tidak menjawab. Matanya liar memerhati sekeliling kawasan rumah Argono.

“Dah lama aku tunggu. Aku cari apa yang paling kau sayang. Aku dah jumpa jawapannya. Sayang betul kau dengan Kesuma, ya Argono?” Kadir bercakap lebih kepada dirinya sendiri.

“Kau nak buat apa dengan Kesuma? Dia sepupu kau Kadir.” Tanya Adan, yang memang dari dahulu ada hati pada Kesuma.

“Aku ajak kau ni, sebab aku tahu kau minat pada Kesuma, kan? Kau tak rasa sakit hati ke bila si Argono tu kahwin dengan Kesuma?” Tanya Kadir membatu api.

“Bukannya aku tak sakit hati. Tapi tak ada apa aku boleh buat. Kesuma tak berkeinginan pada aku. Di suka pada Argono.” Jawab Adan memandang Kesuma semula.

“Hah, itulah sebabnya kenapa kita kena halang si Argono tu terus menerus gunakan sihir dia pada orang-orang kampung ni! Supaya dia tak rampas lagi apa milik kita.” Ujar Kadir penuh semangat.

“Ish, aku rasa macam orang jahat-jahatlah bila dengan kau ni Kadir.” Kata Deli sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Siapa kata kita jahat? Kita cuma nak tuntut hak kita. Ini jihad!” Jawab Kadir.

“Jihad apa macam ni Kadir!? Ini kerja syaitan namanya!” Jerkah Deli.

“Kau jangan kurang ajar Deli. Kau tu banyak berhutang dengan keluarga aku. Sedar diri kau!” Kata Kadir mengetap bibir sambil tangannya menggenggam penumbuk.

“Kalau nak bergaduh, kita balik! Kadir, kalau kau ada apa-apa cadangan baik kau beritahu sekarang. Sebelum aku tukar fikiran.” Kata Adan tegas.

Kadir terdiam sambil matanya masih memandang wajah Deli yang sedaya-upaya cuba untuk tidak memandang kembali wajah Kadir.

“Aku akan pergi bakar pondok di belakang rumah tu.” Kata Kadir sambil menudingkan jari telunjuknya ke arah sebuah pondok kecil di belakang rumah Argono.

“Kemudian, aku akan kembali ke sini. Bila nampak Argono keluar ke pondok tu, kau berdua terus masuk ke rumah. Aku pasti Argono takkan benarkan Kesuma keluar dari rumah. Aku nak kau dua orang perkosa Kesuma! Kau buatlah apa pun yang kau nak pada Kesuma. Pastikan dia tak sedarkan diri. Kalau dia kenal kita, nahas!” Kata Kadir dengan lancar seakan-akan dia sudah berlatih menyebut rancangannya itu sebelum ini.

“Argono macam mana?” Tanya Adan yang wajahnya semakin pucat sejak dari tadi.

“Kau dua orang masuk ke rumah tu nanti, dia mesti sedang sibuk cuba padamkan api. Aku akan pukul dia dari belakang sampai dia pengsan. Lepas kau selesaikan hajat kau pada Kesuma, kau berdua campak dia ke luar rumah. Lepas tu kita bakar rumah mereka pula.” Kata Kadir lagi dengan anak matanya yang seakan-akan membara dengan kebencian hatinya.

“Kalau mereka m**i macam mana?” Tanya Deli runsing.

“Tak ada siapa perlu m**i! Kita bakar rumah tu lepas kau berdua bawa Kesuma keluar.” Jawab Kadir cuba meyakinkan Deli.

“Tak ada siapa akan syak kita ke?” Tanya Adan yang wajahnya sekarang sepucat batu sungai.

“Jangan risau tentang tu. Aku ada ini.” Jawab Kadir sambil meraba-raba kantung yang dibawanya.

Kadir mengeluarkan dua bentuk gelang timah yang biasa dipakai oleh orang-orang asli lelaki di kawasan hutan belakang kampung mereka itu.

“Kau nak fitnah orang asli ke Kadir? Kau tak kenal lagi mereka tu siapa! Bapak aku selalu cerita macam-macam.” Ujar Adan sambil merenung gelang-gelang di tangan Kadir.

“Ah, bapak kau memang suka mengarut! Dah, aku nak pergi bakar pondok tu. Buat macam apa aku cakap tadi. Ingat! Bagi Kesuma pengsan dulu. Jangan biar dia nampak muka kau berdua!” Arah Kadir keras.

Kadir berjalan senyap-senyap ke arah pondok di belakang rumah terpencil itu. Di tangannya, Kadir membawa sebekas minyak tanah. Dicurahkannya minyak tanah itu ke sekeliling pondok. Dikeluarkannya mancis dari kocek seluarnya, dihidupkannya lalu dicampakkan mancis itu ke atas curahan minyak tanah tadi. Maraklah api menyala tanpa tersekat-sekat. Kadir sempat berhenti mengutip sebatang kayu belati dari belakang pondok itu sebelum berlari menuju ke arah rakan-rakannya yang masih menyorok di dalam semak tadi.

Tidak lama selepas itu, mereka terlihat kelibat Argono keluar dari rumahnya, berlari menuju ke pondok yang sedang dimamah api itu. Dicapainya baldi kayu dari tepi perigi beberapa ela dari pondok itu lalu berulang-aliklah Argono menceduk dan menyimbah air dari perigi itu ke pondoknya yang terbakar.

Kadir mengisyaratkan Adan dan Deli supaya bertindak. Adan dan Deli berlari menuju ke rumah Argono lalu kedua-duanya pun memasuki rumah itu melalui pintu hadapan yang dipecahkan. Argono langsung tidak menyedari apa yang terjadi di belakangnya. Kadir senyap-senyap mendekati Argono lalu dipukulnya belakang kepala Argono dengan kayu belati yang dijumpainya tadi.

Argono rebah tidak sedarkan diri. Kadir membiarkan sahaja pondok di belakang rumah itu terbakar. Dia pun berjalan ke arah pintu rumah Argono, meninjau ke dalamnya. Dilihatnya Deli sedang berjaga di ruang hadapan sementara kelibat Adan tidak kelihatan di ruang itu. Kadir menghulurkan tangannya memberikan gelang-gelang tadi kepada Deli. Deli mengangguk tanda faham.

Tiba-tiba kepala Kadir terasa bergegar dihentak oleh sesuatu dari belakang. Wajah Deli seperti orang nampak hantu apabila terlihat tubuh Kadir rebah menyembah lantai dipukul Argono. Wajah Argono merah dibasahi d***h. Argono menyambar leher Deli, diangkatnya tubuh Deli lalu disembamkannya tubuh lelaki itu ke atas lantai. Nafas Deli tersekat-sekat. Tiba-tiba dari arah dapur terlihat sekelompok asap hitam berkepul-kepul menghala ke ruang hadapan. Api yang membakar pondok tadi telah merebak ke dapur rumah itu pula. Argono meraung-raung memanggil nama Kesuma apabila asap hitam tadi merebak ke seluruh ruang rumah kecil itu. Api semakin marak menjilat dinding-dinding rumah itu sehingga ke atapnya. Argono meredah kemarakan api itu dan menerjah pintu bilik tidurnya.

Dalam kesamaran, mata Argono yang diselaputi d***h merah dan asap hitam itu terlihat susuk Adan sedang mendukung Kesuma yang tidak sedarkan diri. Argono menerpa ke arah Adan lalu menarik tubuh Kesuma untuk menyambutnya. Adan menarik kaki Argono lalu lelaki itu tersembam ke lantai. Tubuh Kesuma terhumban ke hadapan. Pintu bilik itu semakin rentung dijilat api. Bahangnya terasa sehingga ke tulang sum-sum. Asap hitam berkepul-kepul memenuhi ruang bilik itu. Dada Argono terasa sesak. Dalam kesamaran tangan Argono meraba-raba ke depan mencari Kesuma. Adan batuk tersedak-sedak. Nafasnya menjadi semakin singkat.

Paru-parunya tidak dapat lagi menerima udara yang dicemari asap hitam itu. Seketika kemudian, nafas Adan pun terhenti. Tangan Argono mencapai tubuh Kesuma lalu diangkatnya Kesuma dan diletakkannya di atas bahu. Dia melangkah terhenti-henti mengelak sambaran api dari kiri dan kanannya. Hampir seluruh tubuhnya terasa pedih melecur. Keluar dari bilik itu, tubuh Kadir dan Deli dilihatnya sudah terbakar. Hitam rentung dan mengecut.

Argono melangkah keluar dari rumahnya yang kian dimakan api itu. Sedetik kemudian, atap rumah itu tiba-tiba runtuh lalu menaikkan berkepul-kepul asap hitam yang dahsyat. Argono rebah melutut lalu diletakkannya tubuh Kesuma yang kaku di atas tanah. Dalam bahang yang dirasai tubuhnya itu, terbit suatu perasaan yang telah sekian lama tidak dirasakannya. Perasaan benci yang dirasakan di dalam hatinya terasa bagaikan api yang menjilat hatinya menjadi hitam. Dalam masa yang sama, dia berasa takut untuk memandang tubuh Kesuma. Dia tahu bahawa adalah sesuatu yang mustahil bagi isterinya itu untuk masih terus bernyawa.

Argono meraung-raung melemparkan kata-kata yang melampaui batas seorang manusia ke arah rumahnya itu. Kata-kata itu terasa seperti memberikan kekuatan kepadanya. Perlahan-lahan, Argono menoleh melihat tubuh Kesuma. Hati Argono terasa luluh melihat tubuh Kesuma yang kulitnya menggelupas mendedahkan isi-isi tubuhnya yang hitam dimakan api. Argono melutut memejamkan kelopak matanya yang dibasahi d***h dan air mata. Mukanya disembamkan ke dada Kesuma. Tanpa sedar tangannya menghentak-hentak kuat tanah.

“Aku bersumpah! Aku bersumpah akan merampas kebahagiaan setiap anak keturunan kau bertiga! Aku bersumpah! Aku bersumpah! Anak cucu kau tak akan bahagia!” Argono meraung-raung dengan nada penuh derita.

Beberapa minit kemudian kawasan itu dipenuhi dengan kaum lelaki orang-orang kampung yang menemui mayat ketiga-tiga lelaki yang sudah rentung itu. Namun, langsung tidak kelihatan kelibat Argono mahupun Kesuma. Setelah beberapa hari barulah Pak Malik membuat pengumuman bahawa mayat tiga orang yang dijumpai di dalam rumah Argono itu adalah mayat Deli, Adan dan anaknya sendiri, Kadir. Luluhlah hati ahli keluarga mereka bertiga mendengarnya.

Orang-orang kampung menemui dua bentuk gelang timah orang asli tidak jauh dari mayat Deli. Tanpa usul periksa, orang-orang Kampung Alor membuat kesimpulan bahawa orang-orang asli telah membakar rumah Argono dan menculik pasangan itu sebagai korban ilmu hitam. Ketiga-tiga pemuda itu pula m**i kerana cuba menyelamatkan Argono dan Kesuma.

Setelah persiapan dibuat, kaum lelaki orang Kampung Alor pun menyerang kampung orang asli di dalam hutan itu dengan api dan parang. Kaum lelaki orang asli itu semuanya keluar melawan penduduk Kampung Alor. Orang-orang tua, wanita dan anak-anak kecil semuanya melarikan diri masuk ke dalam hutan Kuala Langat yang tebal itu. Ada yang lepas dari orang-orang Kampung Alor, ada yang tidak.

Tok Betang melangkah laju meredah pokok-pokok renek di kaki hutan itu. Jantungnya berdegup begitu kencang. Dia tidak mempunyai sebarang kemahiran berlawan. Dia cuma seorang bomoh tua yang menggunakan kepakarannya untuk mendapatkan makanan. Dia langsung tidak tahu apa sebabnya orang-orang Kampung Alor itu menyerang kampungnya. Yang pasti, orang-orang melayu kampung itu lebih kuat dalam ilmu berlawan berbanding kaumnya sendiri.

Setelah entah berapa lama Tok Betang berlari, akhirnya kakinya tidak lagi dapat menurut kehendak akalnya. Kakinya terhenti lalu Tok Betang terjelepok ke atas tanah hutan itu. Matanya terasa pedih dibasahi peluh. Dia hanya mampu melutut, mengambil nafas dan berbaring terlentang di atas tanah untuk mengumpul kudratnya yang sudah hilang keremajaannya.

“Tok Betang?” Tiba-tiba kedengaran suara seorang lelaki dari belakangnya.

“Argono! Kau nak apa dari kami!?” Jerkah Tok Betang kepada Argono yang sedang berdiri tidak jauh darinya.

Tok Betang menggunakan segala kudratnya yang masih tinggal untuk mengangkat tubuhnya berdiri.

“Apa maksud tok?” Soal Argono serius.

“Orang-orang kau bakar kampung kami! Kami tak ganggu kau! Kenapa!?” Tanya Tok Betang meratapi keadaan.

“Saya tak ada kena mengena dengan hal ini tok. Saya sendiri dianiaya oleh orang Kampung Alor. Rumah saya dibakar dan isteri saya d*****h!” Terang Argono kepada Tok Betang.

Tok Betang rebah semula ke tanah. Perlahan-lahan matanya dipejamkan memerah air mata yang mengalir deras.

“Tok, kita balas dendam tok.” Kata Argono tiba-tiba.

Tok Betang diam memikirkan apa yang sudah terjadi kepadanya dan kaum-kaumnya.

“Kita mesti balas dendam! Kita mesti ajar orang-orang kampung itu dan keturunan-keturunan mereka.” Tambah Argono lagi dengan api dendam membuak-buak di dalam dadanya.

“Mari kau ke sini, Argono.” Kata Tok Betang terlelah-lelah mengumpul nafas. Argono melutut perlahan-lahan di sisi Tok Betang. Tok Betang mencapai tangan Argono lalu diletakkan tangan Argono ke lehernya.

“Aku sanggup korbankan diri aku demi mendengar kau berjanji untuk membalas dendam, Argono.
Berjanji pada aku.” Kata Tok Betang perlahan.

“Apa gunanya tok korbankan diri!?” Tanya Argono deras mengalihkan tangannya dari leher Tok Betang.

“Aku akan turunkan belaanku kepada kau, Argono. Kau berilah dia ruang di dalam tubuh kau maka kau akan hidup lama. Kau gunakanlah kekuasaannya untuk membalas dendammu.” Kata Tok Betang.

Argono terdiam. Matanya tidak berkedip memandang Tok Betang. Sejenak kemudian mulut Tok Betang mula terkumat-kamit menyebut perkataan-perkataan yang tidak pernah Argono dengari sebelum ini. Tok Betang menarik semula tangan Argono lalu diletakkan semula ke atas lehernya. Dengan satu hembusan nafas yang terasa panas pada wajah Argono, Tok Betang mengembuskan nafasnya yang terakhir.

Tiba-tiba, penglihatan Argono menjadi sangat tajam memandang sekeliling. Deria pendengarannya pula boleh menangkap setiap butir bunyi-bunyian di sekililing hutan itu. Nafasnya terasa dalam. Hembusan nafasnya pula terasa panjang. Tangan dan kakinya terasa luar biasa kuatnya. Tiba-tiba di dalam benaknya terbit satu suara yang cukup tidak asing baginya; suaranya sendiri;

“Tubuh orang muda. D***h masih mendidih. Aku suka!” Kata suara itu.

“Si…siapa kau?” Tanya Argono takut.

“Aku adalah kau. Dan kau adalah aku. Kita satu!”

“Ta…tapi apa harus aku buat sekarang?”

“Aku dapat membaca hatimu Argono. Kau mahu membalas dendammu terhadap lelaki-lelaki yang m******h isterimu, kan?”

“Ya.”

“Dan aku perlukan makanan! Mulakanlah dengan mencari keturunan-keturunan mereka.”

Malam itu Argono berjalan masuk semula ke dalam Kampung Alor. Dibakarnya rumah Pak Malik, lalu dibunuhnya pasangan suami isteri yang tinggal di dalam rumah itu. Setiap kali Argono mengambil nyawa seseorang, tubuhnya dirasakan semakin bernyawa. Bagaikan umur orang yang dibunuhnya itu ditambahkan ke dalam tubuhnya sendiri.

Rumah kedua yang dilawatinya adalah rumah ibu bapa Adan. Argono melakukan perkara yang sama terhadap kedua-dua orang tua itu tanpa belas kasihan. Argono sudah hilang pertimbangan. Tubuhnya seakan-akan melakukan semua perkara itu sendiri tanpa perlu dia memikirkannya.

Sesampainya Argono ke rumah Deli pula, Argono mendapati bahawa Deli mempunyai seorang isteri dan seorang anak lelaki. Argono membiarkan kedua-duanya hidup supaya semakin bertambah keturunan Deli yang boleh dibunuhnya kelak, apabila anak lelaki Deli itu pula beranak-pinak.

Argono beredar dari kampung itu lalu tinggal bersendirian, bertapa di tempat di mana dia menanam Kesuma. Jauh di dalam hutan Kuala Langat. Tubuhnya menjadi semakin hitam dimakan perasaan benci yang terbit dari hatinya. Selama berdekad-dekad dia memelihara api dendam di dalam hatinya itu agar kekal bernyala. Menanti masa.

2014

Faris bersalaman dengan datuk dan neneknya. Dia perlu segera pulang ke Kuala Lumpur pada hari itu. Ibu bapa Ika pun sudah tiba di rumahnya untuk menjaga Ika apabila isterinya itu bersalin nanti. Di dalam hatinya, Faris berasa sedikit terkilan kerana tidak berjaya memujuk datuk dan neneknya bersama-sama menyambut kelahiran anak ketiganya nanti.

“Betul atuk dan nenek tak mahu ikut Faris balik KL? Rumah baru ni tak perlu naik tangga tinggi-tinggi. Rumah bawah.” Tanya Faris dengan nada memujuk.

“Tak apalah Faris. Nenek kau ni tak larat dah nak berjalan ke sana ke mari. Nanti ada masa, kau bawalah anak-anak kau balik ke sini.” Kata Mustafa kepada cucunya.

Nenek Faris mengangguk perlahan sambil tersenyum. Wajahnya kelihatan lesu.

“Yalah. Kalau ada masa Faris bawa mereka balik sini ya. Faris pergi dulu atuk, nenek.” Ucap Faris sambil merenung dalam-dalam mata kedua-dua orang tua itu.

Faris masuk ke dalam keretanya dengan hati yang berat meninggalkan rumah kampung yang banyak menyimpan kenangannya sejak dari kecil itu. Namun, hatinya berasa sedikit teruja apabila memikirkan nama apa yang patut diberikannya kepada anak ketiganya nanti. Tanpa disedari oleh sesiapa, Argono telah bangun dari tidurnya yang panjang. Dengan api dendam yang masih membara di dalam hatinya yang telah hitam, Argono menemani cicit Deli itu pulang ke rumahnya. Pulang kepada isteri dan anak-anaknya. Anak-anak yang bakal menjadi mangsa sumpah Argono.

-Tamat-

*Tiada sambungan untuk kisah ini. Sila baca Tujuh Pintu untuk sekuelnya. Terima kasih kerana membaca.
**Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada admin FS yang telah me-publish cerita-cerita saya selama ini. Jasa baik tuan/puan amatlah saya hargai.

Terima kasih.

Ahmad Rusydi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 4]

30 thoughts on “Argono”

  1. terima kasih saudara penulis.
    sesungguhnya gaya tulisan anda sangat luar biasa.
    seolah-olah membawa pembaca ke dimensi yang berbeza.
    syabas dan tahniah untuk anda.
    saya doakan anda berjaya di dalam dunia penulisan.
    good luck.

    Reply
  2. Ingatkan dah xder smbngn dah lps ‘Tujuh Pintu Akhir’ tu. Tup…tup nampak tajuk Argono. Terus cheq tekan, x hirau tajuk lain dah. Dari awal lg cerita ni mmg best. Goodjob writer! Teruskan berkarya. Saya sentiasa menyokong…

    Reply
  3. Good story, thanks sangat sbb dh berjaya bawak aku masuk dalam cerita ( menghayatii laaa ).
    Please upload lagi story mory yg mcm ni, seram yang luar biasaa.
    Kalau kisah benar, hope Argono insaf & tak jadikan orang lain sebagai mangsa, since last ritu ada org baru nk pindah masuk umah Faris kan. Ikutkan pemahaman aku, 3 org anak Faris & Ika last keturunan Deli.
    Kalau fiksyen, alhamdulilah good job writer, please continue berkarya .
    ( bukan continue citer ni, cheq faham dah xdak sambungan)
    Akhir kata, Majulah Sukan Untuk Negara.

    Reply
  4. best ! jalan penceritaan yang menarik.. penggunaan bahasa yg tepat.. even fiction semata2 tapi tetap dapat tarik ramai pembaca.. good job.. sila karang lagi banyak cerita.. šŸ˜€

    Reply
  5. takda sambungan dari kisah ni takpa
    yang penting ada cerita seterusnya dari penulis.
    jangan sia-siakan bakat yg ada tu, wokeyh

    Reply
  6. Very the ramli awang murshid punya gaya penulisan.sgt2.sapa2 minat cerita2 mcm ni sila cari novel2 ramli ablwang mursyid

    Reply
    • saya peminat tegar ramlee awang murshid . hampir 80% semua buku dia saya dah baca. yang selebihnya ada yang tak dapat beli dan tak dapat nak baca sebab pembawaan cerita dia berat . Contoh ADAM. sampai sudah saya tak boleh nak fokus membaca. Dapatkan novel baru dia anding ayangan.

      Reply
  7. banngga bila nama kampung sendiri ada dalam tulisan anda…sesungguhnya dari artu lagi ada nama banting n kuala langat…tahniah saya sukaaa..penceritaan semua teratur …

    p/s kak yulie cepat la komen ahah..

    Reply
  8. assalamualaikum penulis,sblm tu sya nk mnta maaf ye,sya sbagai juri jmputan FS ni nk bgi sdikit komen lh tntang crta yg anda smpaikan,bgi sya dari segi pnulisan awk mmg baik,crta yg d smpaikan mmbri effect kpada smua pmbaca,oleh itu sya bagi 5ha plusĀ²,sbb smua jlan crta mmg baik,dri pndahulan,isi,dan pleraian,truskan usaha anda!

    Reply
  9. Terbaik!!! Berjaya buat sy menghayati setiap watak.. dari 7pintu hingga Argono.. mmg the boom la.. huhuhuhu.. plzzzzzz buat lg cerita..

    Reply
  10. Best sgt2 cite nie.. pnlsn mantap.. follow cite nie dr awal smpi akhir.. sgt best pnlsn sme mcm bro carlito rocker, si celupar, rin : rindukan maya ..dorg semua boleh jd pnls cerpen n novel jika diasah bakt btul2.

    Kesian si argono tu tp ad juga slhnye krna biarkn dendam menguasai diri smpi buat prkara tk spttnye.. utk 3 org manusia brhti busuk tu memg kifarah dosa dorg..

    Reply
  11. sape nama penulis ni ek??? suke gaya penulisan dia. 7 pintu pun dah baca.. ada lagi tak kisah yang ditulis oleh beliau dalam ni?

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.