#armyy – Memburu Dan Diburu (Akhir)

#armyy – Memburu Dan Diburu (Akhir)

Tangga yang menghubungkan antara dua blok tersebut agak curam dan licin.  Banyak permukaan telah menjadi hijau kehitaman dek lumut dan kulat yang menebal.  Amir dan Afiq yang berada di hadapan hampir-hampir sahaja tergelincir.  Mujurlah mereka sempat berpaut pada pemegang tangan.  Jika tidak, habislah kami semua yang dibelakang turut jatuh ke bawah semula.

“Ayu tadi nampak Ina kali terakhir dekat mana sebelum dia hilang?” Amir menyoal sebaik sahaja kami semua tiba di blok atas itu.  “Tadi kitorang sempat naik tingkat 1 je bang sebelum tiba-tiba Ina jadi lain”.  “Lain yang macam mana tu?” aku cuba mendapatkan kepastian.  “Tiba-tiba dia jatuh terduduk, kakinya terkepak ke belakang. Dia hayun badan dia depan belakang sambil serabaikan rambut, nafas dia dengus-dengus. Ayu nampak Ina macamtu Ayu takut la, lepastu dia ketawa macam bunyi mengilai tadi dan lari entah ke mana” cerita Ayu sambil suaranya putus-putus seperti mahu menangis.

Zack menambah, ketika mula-mula mereka sampai lagi mereka telah terdengar suara mengilai itu dan Ina ada bertanya dan menegur tentangnya sebelum sempat yang lain berkata-kata.  Kami hanya diam mendengar sambil berpandangan sesama sendiri, berfikir untuk mencari jalan.  Aku ada mencadangkan agar kami menghubungi polis, namun tidak dipersetujui oleh yang lain.  Risau jika didakwa menceroboh kawasan larangan, alasannya.  Setelah berbincang, kami semua sepakat untuk naik ke atas dan periksa setiap inci blok itu.  Amir mengarahkan Zai untuk merakamkam segala-galanya dari saat itu menggunakan kamera digitalnya.  Maka bertukarlah misi aku dan kawan-kawan dari memburu entiti, kepada mencari Ina.

Dari rumah ke rumah, tingkat ke tingkat kami pergi, kelibat Ina langsung tidak kelihatan.  Sudah puas dipanggil diteriak namanya berulang kali namun tiada sahutan mahupun jawapan.  Kami semakin buntu apabila berada di tingkat lima kerana laluan tangga untuk naik ke atas terhalang dengan lambakan perabot reput dan pintu kayu, terlonggok membukit.  “Aduh, macam mana ni? Takkan la Ina boleh lepas ke atas ikut laluan ni, mana ada jalan lain dah” kata Zack mulai mengalah.  Aku mencadangkan agar kami turun semula ke aras bawah sekali dan tunggu di sana.  Kalau-kalau ada sebarang tanda keberadaan Ina, lebih mudah untuk kami kesan.  Sampai di bawah, kami berlapan duduk dalam satu bulatan besar di tengah-tengah aras bawah blok tersebut.  Kayu-kayu pintu dan serpihan perabot kami susun dan jadikan alas.  Sambil-sambil itu, kami mengamati setiap bunyi dan pergerakan di kawasan sekitar.  Zai ada meletakkan kamera digitalnya di atas satu bangku yang dah hampir roboh dan dibiarkannya dengan mod rakaman yang tidak dihentikan sejak dari tadi, menghala ke arah tempat kami berkumpul dengan berlatarbelakangkan kawasan dinding dan tangga.

“Aku sebenarnya nak bagitahu ni..” Syahmi memulakan perbualan memecah kesunyian.  “Masa kita kat blok bawah tadi, aku ada dengar bisikan kat tepi telinga aku. Siap terasa haba nafas dengan angin yang keluar dari mulut”.  “Ada bau mulut busuk tak?” Zai mencelah.  Berderai kami ketawa beramai-ramai.  “Mana ada, tapi apa yang dia bisik tu…” kali ini Syahmi terdiam seketika, seperti berfikir-fikir untuk menghabiskan ayatnya atau tidak.  “Dia panggil kau naik atas ni kan?” tiba-tiba Amir bersuara. “A’ah, betul” jawab Syahmi ringkas.  Zack dan kawan-kawannya kelihatan tercengang dan termangu-mangu, tidak tahu hujung pangkal.  Lalu Afiq menceritakan serba sedikit tentang kebolehan Amir, walaupun keras ditegahnya.  Barulah Zack, Amar dan Ayu mengangguk-angguk tanda faham.

“Abang Amir tak boleh kesan ke Ina dekat mana sekarang? Abang Amir kan pandai” soal Ayu.  “Tak, sebab Ina tu manusia, bukan benda tu. Tapi aku dapat rasa benda tu kat sini, kuat. Tak macam yang selalunya. Aku pun bukannya pandai sangat, sikit-sikit tu boleh la.”  Habis Amir berkata-kata Syahmi sekali lagi berkelakuan pelik.  Badan dan kepalanya bergegar seperti orang diserang sawan.  Mata hitamnya tidak kelihatan, air liur pula berjejeran membasahi baju.  Kami yang lain bingkas bangun dan berdiri, terkejut dengan apa yang dilihat.  Ah sudah, apa pula yang menimpa kami kali ini.  Amir segera mendapatkan Syahmi dan kami lihat mereka bercakap dalam nada berbisik.

“PUKKKK”

Amir tersungkur kebelakang ditolak Syahmi yang serentak itu juga ketawa besar.  Amir lantas bangun dan membuka langkah silatnya, begitu juga Syahmi yang telah bersedia dengan gaya seperti seekor harimau, bersedia untuk menerkam.  Amir membacakan sesuatu sambil tangannya ligat menghayun jurus.  Tidak dapat kami tangkap dengan jelas kerana suaranya agak kedalam seperti sedang menahan sakit.  “Zai, Afiq, Arm, tolong aku. Aku dah bukak gelanggang. Korang masuk tahan aku dari belakang, aku dah takda tenaga ni” katanya.  Bagai lembu dicucuk hidung, kami turuti arahan Amir tanpa persoalan.  Ya, aku dan kawan-kawanku yang lain juga ada menuntut ilmu persilatan.  Cuma berlainan gelanggang dan juga guru.  Amir kelihatan semakin lesu dan tidak berdaya.  Sungguh kuat penangan benda yang telah menguasai diri Syahmi itu walaupun kami telah mengunci diri ketika awal-awal tadi.

“@#$%^&*@#$%^&”, entah apa bahasa yang keluar dari mulut Syahmi.  Garau dan kuat.  Berulang kali diulang ayat yang sama.  “Aku tak berbahasa kau, kau tak berbahasa aku!” masih segar dalam ingatan aku ayat yang disebutkan Amir ini.  “Dah lama aku tunggu orang macam kalian untuk datang ke sini! Mari, aku dah bersedia!” kali ini Syahmi berdiri tegak sambil sebelah kaki diangkat separuh lutut dan tangan digayakan seperti selalu yang dilakukan oleh sami-sami.  “Setan negara mana pulak yang dah rasuk mamat ni..” detikku di dalam hati.  Kali ini segala perasaan takut hilang, entah macam mana masing-masing boleh jadi berani pula.  Mungkin sebab kami telah berada di dalam gelanggang.  Yang bagusnya, Zack dan Amar juga turut membuka langkah.  Alhamdulillah, kami menjadi semakin yakin dan kuat.  Cuma Ayu sahaja yang menggigil sambil airmata deras mengalir memeluk tubuh di tepi.  Syahmi menunggu sahaja peluang untuk mendapatkan Ayu yang lemah tidak berdaya itu..  Lantas Amir mengarahkan Ayu berada di tengah-tengah sambil kami yang lain mengelilinginya.  Pelbagai gaya bunga langkah ditunjukkan masing-masing, aku yang melihat berasa kagum pula tetapi dalam masa yang sama turut berwaspada.

“ARGHHHHHHHHHH!!!” Syahmi yang kerasukan mula menyerang.  Zack yang berbadan gempal dan besar itu kehadapan dahulu. “PUK PAK PUK”, tewas.  Walaupun fizikal Syahmi kecil, tetapi kudrat benda yang merasuk itu dengan mudah membuatkan Zack tersembam menyembah bumi.  “Zack, kau okay ke? Jangan macamtu, benda ni cuma gunakan jasad Syahmi je. Kalau kita berlawan secara fizikal, Syahmi yang akan sakit nanti.”  Ada betulnya apa yang dikatakan Amir itu.  “Habistu macam mana?” Amar menyoal.  “Aku cuma perlukan tenaga korang, tolong tahan belakang aku.” jawab Amir sambil kakinya dipasak dengan dalam ke tanah.  Amir memulakan langkah.  Tanpa bersentuhan langsung dengan Syahmi, kami dapat lihat mereka seperti sedang bertarung, tetapi secara batin.  Kami yang berada di belakang badan Amir juga mendapat tempiasnya.  Segala tenaga dikerah, badan terasa berat, dada terasa seperti ditekan-tekan, urat-urat menegang, nafas menjadi laju.  Itulah yang kami rasakan ketika itu.

Lebih kurang tiga-empat minit berlarutan sebegitu, barulah keadaan kembali tenang.  Cuma esak tangis Ayu yang kedengaran.  Syahmi pula jatuh terjelepuk di atas lantai bertanah itu tidak sedarkan diri.  “Alhamdulillah, benda tu dah pergi.  Terima kasih geng” kata Amir sambil menepuk bahu kami seorang demi seorang.  Kami telah kehabisan tenaga.  Penatnya seperti baru lepas berlari keliling padang bola empat pusingan.  Peluh jangan cakap, boleh diperah baju masing-masing!  Dan tidak berapa lama selepas itu, Syahmi pula sedar tetapi masih dalam keadaan lemah dengan wajah pucat lesi, terkejut agaknya.  Bekalan air minuman yang dibawa habis kami teguk, terasa tekak ini begitu kering dan haus.  Kami duduk semula merehatkan diri sebentar, mengambil nafas panjang.  Ayu juga sudah berhenti dari menangis, mungkin air matanya telah kering.

Jam telah menunjukkan pukul 5.15 pagi, bermaksud tidak lama lagi akan masuk waktu Subuh.  Ina masih juga belum ditemui dan kerisauan kami semua sudah sampai ke kemuncaknya.  Hendak naik semula ke atas, memang tak larat.  “Macamni lah, Amar, Syahmi dengan Ayu turun dulu. Pergi dekat kereta.  Tunggu sampai azan Subuh, kalau kitorang tak turun jugak, telefon polis” Zai memberi cadangan dan kami semua bersetuju.  Mereka bertiga pun berlalu turun pergi ke kereta kami.  Bukan apa, kami kasihankan Syahmi dan Ayu.  Biarlah Amar temankan sekali, tak elok pula jika dibiarkan mereka berdua sahaja.  Kini yang tinggal hanyalah aku, Amir, Afiq, Zai dan Zack, berbekalkan secebis harapan supaya dapat menemui Ina semula dengan segera.

“Amir, aku tak pandai macam kau, tapi apa kata kalau kita azan kat setiap penjuru? Mana tahu berhasil” terlintas satu idea bernas yang dikemukakan Afiq.  Betul, tidak terfikir pula oleh kami untuk berbuat demikian.  Tidak salah jika mencuba, kerana apa-apa pun adalah dengan izin-Nya jua.  Kami berlima mengambil posisi masing-masing di setiap penjuru aras bawah blok tersebut dengan Amir kekal di tengah-tengah.  Maka bersahutanlah suara azan kedengaran dari tempat kami berada.  Sungguh tidak disangka suara Zai begitu lunak dan merdu mengalun kalimah seruan itu.  Selesai azan, kami berkumpul semula di tengah-tengah bersama-sama dengan Amir.  “Eh? Mana Afiq??”  Ya Allah dugaan apa pula kali ini.  Seluruh kawasan di aras bawah itu sudah kami tinjau namun hampa.  “Zai! Ambil kamera kau, aku nak tengok apa dah jadi kat Afiq” aku mengarah Zai.  Kami meneliti semula rakaman bermula dari bahagian kami melaungkan azan tadi.  “Eh, tu Ina!” Zack separa menjerit sambil menunjuk ke arah skrin kamera digital.  Dalam rakaman ulang tayang tersebut, jelas kelihatan seorang wanita yang didakwa Zack sebagai Ina muncul dari arah tangga dan menepuk bahu Afiq.  Sejurus itu, Afiq mengikutnya naik ke atas seperti dipukau!  Kami berpandangan sesama sendiri dan dengan pantas serentak bergerak naik ke atas.

Di tingkat satu, Afiq dan Ina sudah berdiri tercegat di ruang laluan dengan kepala menunduk memandang lantai.  Sedikit lega di dalam hati kami kerana telah berjaya menemui mereka walau dalam keadaan yang sebegitu.  Mereka bagaikan sedang menunggu kehadiran kami.  “Ina!!! Ina!!” laung Zack.  Tiada jawapan namun dengan tiba-tiba sebelah tangan mereka diangkat dan menunjuk ke arah tempat Zack berdiri.  Terasa sedikit hairan dan pelik, aku pula cuba memanggil Afiq.  Tetapi tiada reaksi yang diberi dan mereka masih kaku dalam posisi yang sama.  “Zack, kau ada buat apa-apa yang tak elok ke tadi? Kalau ada, mengaku sekarang. Aku nak benda ni selesai cepat” tanya Amir kepada Zack.  “Mana ada bang! Kalau betul la kitorang nak buat maksiat pun bukan kat tempat macamni! Tapi kitorang memang tak buat apa-apa! Tinjau-tinjau tengok-tengok kawasan je” suara Zack sedikit tinggi, mungkin berang dengan soalan yang diaju.  “Kau ada terambil apa-apa tak?” Zai menyampuk, masih lagi merakam.  Zack terdiam. Dia menyeluk saku seluar denim yang dipakai.  Ditangannya terdapat seutas lantai berloket yang telah diselaputi tanah.  “Ada, benda ni. Saya ambil masa kitorang masuk kat unit rumah belakang tu” kata Zack sambil menjuih bibir ke arah kawasan belakang tempat Ina dan Afiq berdiri.  Aku menepuk dahi.  Aduh si Zack ni boleh pulak ambil barang sesuka hati.  “Zack, pergi letak balik rantai tu kat mana kau ambil tadi, baca (aku tak ingat apa yang Amir suruh Zack baca) dalam hati.  Sambil tu mohon ampun dan perlindungan Allah.  Zack menuruti arahan Amir, tetapi teragak-agak dalam langkahnya ketika ingin melepasi Ina dan Afiq.

Sekembalinya Zack, Ina dan Afiq serta-merta jatuh terjelepuk tetapi seketika kemudian pulih seperti sediakala.  Ina kelihatan terpinga-pinga memandang kami yang lain tetapi tatkala terlihat Zack, terus dia menangis semahunya.  Afiq juga seperti bingung dengan apa yang berlaku.  “Ni ke Ina? Mana korang jumpa dia? Macam mana aku boleh ada dekat atas ni? Bukan kita tadi kat bawah ke?”  Zai menepuk bahu Afiq sambil menunjuk-nunjuk kameranya.  “Aku ada rakam, nanti kau tahulah” katanya.  “Ina, Ina ingat tak apa yang jadi?” tanya Amir kepada Ina setelah dia ditenangkan Zack.  “Ina ada dengar orang bisik kat telinga, lepastu Ina langsung tak ingat dah”.  “Ina dengar apa yang dibisik?” Amir bertanya lagi.  “Dengar, dia suruh pulangkan. Lepastu dia suruh pergi…” balasnya sambil menggosok-gosok belakang tengkuk, meremang agaknya.  Setelah kami betul-betul yakin semuanya sudah kembali normal, barulah kami turun semula ke kereta dan mendapatkan Syahmi, Ayu dan Amar.  Syahmi dilihat tersandar di dalam kereta memejamkan mata manakala Amar dan Ayu sedang berbual-bual dengan dua orang anggota polis.  Katanya baru sahaja tiba.  Rupa-rupanya ada aduan dari penduduk tentang kami yang dikatakan agak mencurigakan.  Mujurlah kami hanya diberi amaran sahaja supaya tidak mengulangi perbuatan ini kerana boleh didakwa menceroboh.  Alhamdulillah, malam yang terasa begitu panjang dengan pelbagai kejadian yang betul-betul menguji kami telah berakhir.  Sungguh kami tak sangka akan berhadapan dengan situasi begini pada percubaan pertama kami untuk memburu dan mencari entiti atau hantu.  Aku dengan keluhan yang panjang berkata, “Sumpah, aku taknak buat lagi benda ni, biarlah ni jadi yang pertama dan terakhir!”, sambil diiyakan oleh yang lain tanda mereka juga begitu.

Zack, Amar, Ayu dan Ina berulang kali mengucapkan kata terima kasih.  Secara kebetulan kami berada di sana, takkan lah hendak dibiarkan sahaja meraka yang di dalam kesusahan, nak tunjuk hero jauh sekali.  Setelah bersalaman dan bertukar-tukar nombor telefon, kumpulan Zack dan kawan-kawannya berlalu meninggalkan kami berlima semula.  Syahmi masih kami biarkan begitu, sengaja tidak mahu kejutkan.  Terlalu letih nampaknya.  Kami bercadang untuk singgah ke masjid terlebih dahulu sebelum pergi minum-minum kerana waktu Subuh hampir berlalu.  Dalam perjalanan ke masjid, masing-masing memeriksa telefon bimbit yang bertubi-tubi dihujani notifikasi sistem pesanan ringkas kerana di kawasan blok tadi tidak ada isyarat langsung. Secara tiba-tiba..

“Wehhhh!!!!” kata Afiq sambil menunjukkan skrin telefonnya kepada aku dan Amir di hadapan. Zai juga sibuk menyelit kepala untuk melihat.  Di paparan skrin telefon itu, terlihat satu mesej sistem pesanan ringkas berbunyi:

“AFIQ, YANG DALAM KERETA KORANG TU BUKAN AKU”

Mesej kiriman dari Syahmi!

-TAMAT-

Nota:

Kejadian selepas itu, kami berpatah balik ke kawasan Highland Tower untuk menghantar ‘Syahmi’ yang berada di dalam kereta.  Syahmi yang sebenar telah sedia menunggu kami di kawasan tempat kami parkir kereta tadi, bersama seorang pakcik berbangsa India. Setelah kereta berhenti, dengan sendirinya jelmaan itu turun dan menuju ke kawasan blok itu semula lalu hilang dalam kegelapan sambil kesemua kami memerhatikannya. Kata Syahmi, ketika mereka (dia, Ayu dan Amar) di kereta, pakcik India itu yang sedang meronda kawasan kejiranan berkenaan dengan menaiki motorsikal berhenti dan bertanyakan tujuan mereka ke sana.  Setelah berborak-borak, pakcik itu bermurah hati menumpangkan dia ke restoran mamak di kawasan luar taman perumahan itu untuk membeli air dan ke tandas.  Sekembalinya dia, kami semua telah tiada.  Ayu dan Amar juga terlupa yang Syahmi pergi keluar dengan pakcik tersebut sebab nampak ‘Syahmi’ tidur tersandar dalam kereta dan mereka juga sedang sibuk menceritakan apa yang terjadi kepada anggota polis yang datang.  Syahmi ada menghubungi Amar (mereka lebih awal telah bertukar nombor ketika menunggu di kereta) bertanyakan tentang kami selepas gagal menghubungi Afiq dan mati-mati Amar ingat Syahmi telah berada di dalam kereta.  Barulah kami faham macam mana Syahmi boleh tertinggal dan ‘Syahmi lain pula yang mengikut!

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

173 thoughts on “#armyy – Memburu Dan Diburu (Akhir)”

  1. baru petang tadi ko tanya pasal cite ko ni. admin dgr rintihan hati kau. haaa kan aku dh cakap ko kena banyak bersabar. hahahahaha

    esok aku baca. Aku kecam ko dulu sebab ko yg mintak kecaman beramai2 tadi hahahaha

    Reply
  2. sebab kes petang tadi, aku rasa nak baca. sebab tadi ko suruh berjemaah kecam ko kan? haaa. takpe. ko tunggu. esok aku baca. aku datang komen ye?

    Reply
    • huhu sebab gap dia agak lama baru ada sambungan. saya yg tulis ni pun blur kak apatah lagi yang membaca. tq kak anje. rasa manja lak. hikhik ?

      Reply
  3. Setiap inci n patah perkataan yang kau citer ni buat jantung akak macam nak meletup tau x. Dah mcm rel ketapi..bkn tahap bgegar dah.tahap nk tcabut dah ni.klau ini pngalaman sebenar mmg seramla. Sampai nk ikut balik subuh tu.

    Akak dengan try berhusnuzon ni xbole nk bayang ap jd klo syahmi xbwk fon..pastu syahmi jelmaan tu ikut blik. Bukan huru hara da tu..kacau abis la jwpny..?

    Niway cite best! Antara list2 pnulis yg akak salute.penat2 akak petik kat atas nun..Nah 5 ?????

    Reply
  4. ta guna punya hantu.. nak penghantaran percuma ke? haha

    8/10 x de benda pun yg bole d kecam sangat..

    sebab aku penyabar

    Reply
  5. Best citer.. Seram + meremang.. ??

    Aiii la ade gak nak numpang balik.. Free plak tu kan.. Hehehe

    Kipidap writer.. ?? Share la citer lg.. ??

    Reply
    • thank you. orang gila je yang tak takut cik lily. nak jeling pun tak sanggup. senyap sunyi membatu. yang duduk belakang habis berhimpit ke tepi haha. nasib la belum gerak jauh masa tu.

      Reply
  6. seram kot…sampai terkejut sy bila ade orang lalu sebelah..terbaik, tapi itulah, lain kali jangan cuba2 cari penyakit lagi…hehehe

    Reply
  7. Walaupun aku rate 5 bintang tp aku tetap jugak nak kecam ko armyy… Sbb smlm aku da janji da nak kecam story ko…

    Cite ko ni…… Best… Hehehehe

    tutup muka
    Larikkkk hahahaha

    Reply
  8. Aku baru hbis maraton cite ko dari part 1…. seram… benda ni berlaku btol ke weh? Apa perasaan ko noq? Nak2 yg masa ko kat kete tu.

    Reply
    • ye betul berlaku. perasaannya mestilah takut kak oiiii. nasib baik la aku yang bawak kete kak. mmg tak pandang cermin la. afiq dgn zai yg dok belakang la paling takut. tp benda tu still tido camtu je. buatnya kalau dia bangun tu tak tau la apa jadi. huhu

      Reply
  9. Bala …
    riuh-rendah betul kat dalam nih …
    cam Forum pulak …
    apapun Cerita The Best …
    siap keluar Ilmu kebatinan dalam Persilatan Melayu dah ….
    Persilatan tanpa Ilmu kebatinan kosong …
    ibarat Air teh tanpa guna,makanan tanpa garam …
    Terima Kasih ..10 Bintang …

    Reply

Leave a Comment