Asrama di Puncak Bukit

Assalamu’alaikum pembaca FS sekalian.
Tergerak hati ingin berkongsi kisah semasa di sekolah bila asyik membaca kisah-kisah mistik dalam Fiksyen Shasha. Walaupun banyak kisah mistik berlaku kepada aku yang menyimpan saka dalam tubuh badan ini, tapi ini kisah yang terjadi di zaman persekolahan.
Aku bersekolah di sebuah sekolah perempuan di Melaka. ‘Sekolah atas bukit’ digelar orang. Rasanya orang Melaka memang kenal sangat dengan sekolah berasrama ini.
Ada dua kisah yang ingin aku kongsikan di sini.
Kisah 1: Siapa Tarik Lin?

Kisah 1: Siapa Tarik Lin?
Semasa di Tingkatan 4, aku sedorm dengan seorang junior Tingkatan 1 cantik manis yang kupanggil Lin. Seperkara yang aku tertarik dengan Lin, kadangkala ada tanda merah di dahinya yang akan muncul di waktu-waktu tertentu. Aku tak pasti waktu bila, tapi kadangkala berdarah bila Lin menggosok-gosok tanda merah tersebut. Geram katanya.
Kejadian ini berlaku waktu malam minggu. Ramai ahli dorm kami sedang berbual-bual di tengah dorm. Lin pula sedang meniarap sambil membuat kerja sekolah membelakangkan tingkap koridor (yang tak berpintu), manakala aku berbual-bual dengannya sebelum menuju ke locker yang terletak di belakang katil.

Sewaktu aku berada di antara katil aku dan katil Lin, tiba-tiba lampu semua terpadam. Blackout! Dan tak semena-mena Lin memanggil aku.
“Kak Ana! Siapa yang pegang orang ni?”
Aku terkejut, tapi aku menyahut, “Akak ada kat sini Lin. Kat katil ni.”
Tapi Lin terus memanggilku.
“Kak Ana! Siapa yang pegang orang ni???” Kali ini dengan lebih cemas.

Aku pun perlahan-perlahan berjalan menuju ke Lin, lalu melutut, sebab aku tahu Lin meniarap sebentar tadi. Aku meraba-meraba mencari Lin, terjumpa dan terus memegang tangannya.
Allahu Akbar! Aku terpegang dua tangan sekaligus. Tangan di sebelah kiri aku tangan Lin, tapi ada satu tangan lain di sebelah kanan sedang menariknya. Tangan itu besar, dan berbulu kasar, kuat menarik Lin ke arah tingkap.

Aku terus mengalihkan tangan aku ke tangan Lin, dan memeluknya sambil berzikir di telinganya. Lin pula tiba-tiba mengengsot mengundurkan diri dengan laju. Dia terlanggar salah seorang ahli dorm kami yang kebetulan duduk di situ dalam gelap dan menjerit. Aku terus memeluknya sambil beristighfar. Salah seorang ahli dorm kami menyalakan lilin dan aku meminta senior yang ada di situ untuk membacakan Yasin. Mereka agak pelik, kenapa nak kena baca Yasin? Bukan ke Lin menjerit sebab terlanggar orang lain? Tapi akhirnya kami sama-sama juga membaca Surah Yasin.

Setelah keadaan tenang, Lin mengajak aku ke tandas. Keadaan masih gelap, namun kemudian Lin menceritakan kepada aku. Sejurus blackout saja, terus ada satu tangan kuat menariknya ke arah tingkap. Ketika aku sudah mula memeluknya, Lin mengundur kerana ada kepala menyondol-menyondol perutnya. Sebab itu dia dengan panik mengengsot ke belakang lalu terlanggar orang lain. Keadaan Lin waktu itu memang mencemaskan, tetapi aku kagum dia masih boleh bercerita dengan tenang.

Lin pulang ke rumahnya minggu itu, dan bila dia kembali dia menceritakan kemungkinan apa yang berlaku kepadanya itu disebabkan oleh saka keluarga. Sehingga kali terakhir berjumpa Lin selepas aku tamat Tingkatan 5, tanda merah di dahinya masih akan muncul sekali-sekala. Aku tidak pasti di mana dia berada sekarang tetapi aku berharap Lin hidup sihat sejahtera dan dirahmati Allah.

Kisah 2: Rambutnya Mayang Mengurai
Kisah ini berlaku kepada seorang junior satu dorm denganku. Aku memang rapat dengannya kerana katil aku berada di bawah katilnya. Junior yang kupanggil Sal ini mempunyai rambut yang panjang, sehingga ke buku lali. Dia selalu menyisir rambutnya di dorm tetapi tidak membiarkan rambut mayang mengurainya itu mengerbang begitu saja, sebaliknya dia akan menyanggulnya rapi.
Minggu itu aku perasan Sal tiada di dorm. Bila kutanya yang lain, mereka kata Sal demam, pulang ke rumah. Hampir seminggu aku tidak berjumpa dengan Sal, sehinggalah pada hari Ahad Sal kembali ke asrama. Aku tertanya-tanya kenapa tiba-tiba dia pulang sedangkan sebelum itu sihat walafiat saja nampaknya.

Bila kutanya perkara itu kepada Sal, dia serba salah. Tapi akhirnya dia menceritakan apa yang berlaku. Asrama kami mempunyai sebuah bilik study yang digunakan oleh penghuni asrama untuk study lewat malam. Sal pula memang selalu berjaga lewat malam untuk belajar – tak macam aku yang lebih mementingkan tidur.

Malam itu Sal berjaga sehingga lebih kurang 3 pagi. Kemudian dia ke tandas sebelah bilik tersebut untuk membasuh muka. Tandas asrama kami mempunyai deretan sinki yang memanjang sehingga ke hujung tandas. Sal pula menggunakan sinki pertama untuk mencuci tangan. Tiba-tiba dia terperasan ada seorang lagi yang berada di sinki hujung. Dia pun menoleh.
Menggigil lutut Sal bila ternampak siapa yang berada di hujung tandas. Dengan perwatakan yang sama, pakaian yang sama, tetapi rambut mayang mengurainya dilepaskan sehingga ke buku lali, Sal ternampak ‘dia’ sedang mencuci tangan. Seperti ada kembarnya di situ, yang berbeza hanya rambut. Sal tetap menyanggul rambutnya, tetapi ‘dia’ yang satu lagi itu agaknya tak suka menyanggul rambut.

Maka demamlah Sal seminggu, semangatnya hilang. Terpaksa pulang ke rumah untuk memulihkan semula semangatnya. Akhirnya baru kutau ke mana adik sekatilku hilang. Aku pun seorang yang penakut, jadi memang tak kusinggah tandas sekiranya tiada orang lain. Bimbang ada pula yang ingin meneman.

Walaupun sudah lebih 20 tahun berlalu, Sal masih lagi terkenang keseraman kejadian yang berlaku padanya. Apabila kuusik, “Ingat tak yang rambut panjang lepas tu…” dia cepat-cepat berkata, “Jangan cerita lagi kak Ana!”

Itu antara kisah-kisah yang berlaku di asrama kami. Sebenarnya banyak lagi kisah yang berlaku. Nama pun asrama, memang selalulah benda sebegini berlaku. Sementelah di hadapan asrama kami ada perkuburan Islam lama yang dipindahkan ke lokasi lain semasa aku berada di Tingkatan 5. Insya Allah sekiranya ada peluang akan kuceritakan kisah-kisah lain. Sekian.

.

Hana
Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 4.8]

8 comments

  1. Penceritaan yang sangat baik, penggunaan bahasa yang mudah dan tidak meleret-leret. Menanti kisah2 anda yang lain. Keep it up and don’t give up! ??

  2. Mmg blh percaya sbb senior sy pernah bela rambut sampai buku lali kaki, bayangkan betapa panjang rambut dia. Klau nampak dia basuh rambut tue jenuh menunggu sbb lama sgt mencuci.

  3. masa aku form 1 dulu ,dorm mate aku ada yg rambut pjg sampai ke lutut. tapi akhirnya rambutnya terpaksa d******g oleh dorm mate juga(dengan persetujuan dia juga) sebab tak tahan dengan kutu2nya yg telah berhijrah secara besar-besaran ke rambut org lain dlm dorm tu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.