Bangunan Lama – Yunus & geng

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Nak lagi cerita fasal aku dan Yunus kan.? Aku tunaikan hasrat pembaca yang baik hati komen murni2. Harap anda yang baca suka dengan kisah ni.

Kadang-kadang, beg doraemon Yunus tu berguna juga seperti dalam kisah ni. Dari dulu masa remaja, Yunus dah heret beg ke mana dia pergi, walau dekat sekalipun. Yang aku tahu, dalam beg tu ada sejadah kain, kain pelikat, kopiah dan air mineral. Tu yang selalu aku tengok Yunus keluarkan. Aku pun terikut-ikut dengan perangai bawa beg sampailah sekarang. Kisah kali ni melintas di ingatan aku sebab aku ada kawan yang bekerja dalam ladang kelapa sawit yang sewel suka pergi tempat yang keras dan berpenunggu.

Kisah ni dah lama, masa kami umur belasan tahun. Kata orang masa tengah nakal. Yunus kalau cuti sekolah, dari Kedah dia akan datang cari aku. Kami memang ada geng, kami berdua, Madi dan Pak Leh. Semuanya sebaya, pernah sekelas di tingkatan 3, tapi Yunus pindah ke Kedah bersekolah di sekolah pondok tak lama selepas tu. Berguru sekali dengan datuknya, belajar silat dan ilmu agama. Tapi kami tak pernah putus hubungan. Madi dan Pak Leh juga”sewel” macam Yunus, suka benda-benda mistik, seram dan hantu. Tidak pernah takut sehinggalah terjadinya kisah ni. Aku pun tak tahu macam mana aku boleh masuk geng sewel ni.

Cuti sekolah, kami akan cari kerja part time untuk cari duit poket. Kalau di Pulau Pinang, ia bersempena dengan pesta Pulau Pinang. Kami berempat akan berkerja di situ. Aku buat apa saja yang boleh mendapatkan wang di situ. Mereka bertiga lebih suka bekerja dalam rumah hantu. Tipikal geng sewel kan? Kerja bekerja dari petang sampai awal pagi, kadang-kadang pukul 2 pagi baru habis. Salah seorang pakcik Yunus tinggal sekampung sebelah, jadi semasa dia di Pulau Pinang, dia akan tinggal di rumah pakciknya.

Entah mengapa malam tu, kami ikut jalan jauh balik ke rumah. Aku ikut saja daripada kena tinggal. Masa tu, jalan utama ialah jalan lama untuk ke kampung kami. Ada jalan baru yang dibina menghubungkan daerah timur laut dan barat daya. Jadi, kami akan pusing satu pulau baru sampai rumah. Konon nak try skil corner baring. Hujung tahun, biasalah musim hujan. Walau musim hujan, orang yang berkunjung ke pesta tidak berkurangan. Pukul 12 malami juga pintu pesta ditutup. Kami balik naik motor masing-masing. Aku lesen pun tak ada, belasah saja.

Bangunan di mana kisah ni terjadi aku dah lupa, tapi tak jauh dari Hospital Besar Pulau Pinang. Rasanya, dah jadi bangunan lain sekarang. Kalau tak salah macam bangunan kuarters hospital yang ditinggalkan. Apa yang aku ingat bangunan tu bangunan kolonial. Kawasan tu aku memang tak tahu sangat, jarang pergi. Orang Penang sejati mungkin tahu. Apa yang aku ingat, ada bangunan 2 tingkat 2 block depan dan belakang. Mungkin ada lagi bangunannya, tapi aku dah tak boleh ingat. Di bangunan depan, ada satu binaan, kantin rasanya mungkin kerana banyak meja tanpa kerusi. Di tepinya ada padang kecil, dan di tepi padang tu ada bangunan setingkat. Memang tiada lampu di bangunan tu. Hanya dilimpahi cahaya dari lampu jalan.

Nak mengelak hujan, kami ikut Madi yang mahir kawasan tu. Belok sana belok sini, sampailah kami pada bangunan ni. Pintu pagar luas ternganga. Madi yang bawa kami ke sana kerana dia biasa di situ. Mujur kami tidak begitu basah dan kami meletakkan motor masing-masing pada satu binaan berbumbung tak jauh dari pintu masuk. Banyak pangkin panjang disusun rapat-rapat di situ. Keadaan bangunan memang uzur. Kaca tingkap, daun pintu semuanya tiada. Bilik-biliknya kosong tanpa perabot. Madi dan Pak Leh yang mula berjinak-jinak merokok, nyalakan rokok. Aku masih duduk atas motor, tak sedar bila Yunus ghaib. Kalau skil hilang ghaib ni, Yunus memang pakar. Motornya di sebelah motor aku. Aku perasan, di tempat tu banyak lilin dan daun terup. Jadi sarang penagih mungkin.

Sedang aku menyumpah-nyumpah nyamuk yang mengganggu telinga, Madi berkata “Wei. Amoi..amoi…. amoi. Tu” katanya sambil memuncungkan mulut ke arah padang. Memang benar, kami bertiga melihat seorang gadis membawa beg kain berwarna putih, berjalan dari padang dalam hujan renyai dan hilang di belakang bangunan di hadapan kami. Dia hanya menundukkan kepala semasa berjalan. Entah dari mana dia datang.

Seluruh bangunan tiada lampu, tapi kerana di tepi jalan, separuh daripada block2 tu terlimpah cahaya lampu jalan. Separuh lagi yang jauh dari jalan memang gelap. Kata Yunus, bangunan lama yang ditinggalkan memang menjadi rumah untuk makhluk halus bermastautin. Lagi lama, mereka lagi banyak kerana beranak pinak. Aku sudah rasa tidak sedap hati dan berharap Yunus muncul segera. Mana ada perempuan berani berjalan seorang diri dinihari dalam hujan dan pergi ke bangunan kosong? Sah sah bukan manusia.

Tak lama selepas gadis itu hilang di balik bangunan, di tingkat atas di bilik yang paling hujung, kami nampak lampu terpasang. Terang benderang. Saling berpandangan kami, kerana tak mungkin lilin kerana cahayanya terang macam lampu. “Mungkin gelandangan kot” kata Madi. “Gelandangan bukan kisah nyamuk ka hantu ka, asal ada tempat tidoq dan tak kena hujan. Kalau hantu lagi best” sambungnya lagi. “Jom kita pi tengok,” kata Madi menarik baju Pak Leh. Mula dah, fikir aku. Takkan aku nak duduk situ menjadi hidangan nyamuk. Mahu tak mahu, aku ikut juga.

Kami mula memanjat tangga dan naik ke atas. Kawasan tangga tu sangat gelap. Sampai di bilik tu, gelap gelita. Madi masuk dulu, kemudian aku dan Pak Leh. Biliknya kosong, tiada perabot, tiada gadis tu. “Kita dah jumpa benda baik ni Madi. Jangan habaq kat Yunuih. Kali ni kita yang akan periksa dari atas sampai bawah” kata Pak Leh semasa kami keluar. Sangka aku mereka akan turun, tapi mereka masuk ke bilik sebelah. Semua bilik di tingkat atas kami masuk. Memang semua biliknya kosong dan gadis tu pun tak nampak bayangnya.

Bila sampai di bawah, kami keliling bangunan tu. Bangunan satu lagi nampak suram saja. Bahagian hujung bangunan, gelap gelita. Kerana tak jumpa apa-apa, kami balik ke bawah bumbung tu. Pak Leh nyata tak puas hati. Dia bangun berjalan sampai ke hujung tempat berbumbung dan kemudian berlari berjingkit2 ke arah kami. “Wei, dia ada kat bangunan belakang. Aku nampak dia kat tangga. Jom la weh” katanya separuh berbisik. Serentak kami bertiga berjalan perlahan2 mengintai. Gadis itu sedang berjalan di tingkat atas menuju ke kawasan gelap. Macam tadi, jalannya tunduk sahaja. Berjalan perlahan dan masuk ke dalam bilik di tengah bangunan.

Entah apa rancangan mereka, tak lama kemudian mereka hilang di balik bangunan. Aku tak mengikut, bagi aku hanya mencari fasal. Aku tak merasa takut kerana dalam hati, aku boleh saja meninggalkan tempat tu. Bukan aku kena berjalan pun, aku naik motor. Sedang aku terkial2 mencari kunci di dalam beg, muncul Yunus tersengih-sengih dari arah padang. “Nak pi mana, Ku? Toksah pi la. Mai tulong aku la. Sat lagi depa berdua kena. Hang saja yang aku boleh harap” kata Yunus yang mula menyelongkar beg doraemonnya.

Mula-mula aku tak dapat tangkap maksud Yunus. “Kena” tu apa, kena marah dengan Yunus kah? Dalam hati, Yunus tak boleh salahkan Madi dan Pak Leh kerana dia yang hilang tanpa beritahu kami. Tapi bila aku tengok Yunus keluarkan mancis dan lilin, aku tahu dah. Yunus juga keluarkan air mineral, kain pelikat, sejadah kain, lampu suluh dan letak semuanya atas pangkin. Tak lama, kami nampak Madi berlari cemas ke arah kami. Tak nampak pun Pak Leh. Tercungap-cungap Madi dengan muka risau, pandang kami. “Pak Leh wei, Pak Leh hilang”. Aku dah tak senang duduk, Yunus tenang saja. Nampak tak terkejut pun. Yunus baca buku kecil yang dia selalu bawa tanpa peduli Madi yang tengah resah macam kucing nak beranak. Yunus pejamkan mata, membaca beberapa ayat Quran. Dalam dua minit kemudian, dia buka mata. “Pak Leh kat bawah tangga hujung bangunan belakang” katanya sambil bangun.

Yunus capai lampu suluh dan ajak aku, tak ajak Madi yang asyik mundar mandir. “Hang takut ka Madi? Kalau takut, elok hang balik ja. Benda tu boleh bau rasa takut hang. Aku setel hal Pak Leh. Hang nak balik, baliklah dulu. Insya Allah, perjalanan hang lancaq”. Kami mula berjalan dan dengar enjin motor dihidupkan. Dengan lafaz bismillah dan beberapa lagi ayat Quran, Yunus mula melangkah. Aku seram juga masa tu, tapi risau pada Pak Leh tu lagi kuat dari rasa seram tu. Nak jawab apa dengan keluarganya, atau lebih parah dengan polis kalau dia tak dijumpai. Sah sah kami menceroboh walaupun niat berlindung dari hujan.

Sampai ke tangga hujung, Yunus hidupkan lampu suluh. Di bawah tangga, kami jumpa Pak Leh. Seram aku tengok muka Pak Leh. Mata terjegil, kepalanya melewah ke kiri ke kanan. Di tangannya ada secarik kain putih yang sudah kotor . Dia asyik memintal kain putih tu, lilit pada tangan dan ulang memintal kain. Tersengih-sengih mengadap dinding bawah tangga tu yang baunya sangat kurang menyenangkan.

“Assalamualaikum” kata Yunus. Tiada respon dari Pak Leh. Sekali sekala bila kepalanya yang melewah tu ke arah kami, aku perasan, mata Pak Leh sangat besar. Bayangkan matanya dah sama paras hidung, besar sangat. Matanya tak bermaya, senang cakap macam mata orang dah meninggal. “Dah la, sudah la usik kawan aku, dia tak buat dah” kata Yunus memandang Pak Leh. Seram gila masa tu dah la aku di belakang Yunus. “Pak Leh, jom balik. Hang dok sini buat apa? Kotoq tempat ni” kata Yunus. Baru ada respon dari Pak Leh. Pandang Yunus, air matanya berjujuran. “Uuuuuuuuuu…uuuuuuu…. Hihihihihihihihi…” itu saja yang keluar dari mulutnya. Seram ketawanya tu. Terngiang-ngiang sampai sekarang

“Aku kata dah, dah la. Sat lagi hang yang sakit!” bentak Yunus memandang aku. Wehh… kalau aku tak control macho, dah lama aku celapak Yunus. Benda yang mengusik Pak Leh ada belakang aku. Gila! “Baik, kalau hang mau macam tu!” kata Yunus. Dengan bacaan beberapa ayat Quran, Yunus mengangkat sejadah dan menyebat belakang Pak Leh. Kuat sebatannya. Menjerit Pak Leh, bergema bunyinya di bawah tangga. “Pak Leh, assalamualaikum” Yunus memberi salam. “Waalaikumsalam” balas Pak Leh lemah tapi tak pandang Yunus pun. Air matanya masih berjujuran. “Baca sat aih ayat Qursi kat aku” kata Yunus menduga Pak Leh.

Entah apa yang dibaca Pak Leh, Yunus angkat sejadah dan sebat lagi Pak Leh beberapa kali. Menjerit melolong Pak Leh. “Sakitttttt… sakiiittt…. ampun tokkk…ampun tookkk… sakittttt!!” kata Pak Leh. “Aku kalah…aku kalah. Aku lepaih dia. Aku pi. Aku nak pi niiiii” katanya lagi. Serentak tu Pak Leh rebah. Yunus baca apa entah dan hembus di kepala Pak Leh. Terpinga-pinga dia, kemudian sedikit waras dan mula panik. “Jom balik!’ perintah Yunus pada Pak Leh. Bohonglah kalau kata aku tak takut masa tu. Dalam kepala ingat nak balik saja. Badan pun letih bekerja.

Susah payah Pak Leh bangun. Kami mula berjalan ke arah tempat berbumbung. Di bilik atas, kami dengar macam-macam bunyi. Sampai saja ke motor, Pak Leh yang masih lemah menuju ke motornya. Yunus berikan Pak Leh minum air mineral yang diletak atas pangkin tu. Nampak sedikit lega. “Hang mana buleh balik dalam keadaan macam ni Pak Leh. Jangan nak mengarut. Duduk sini ngan Ku. Aku belum selesai” kata Yunus. Ternganga aku dan Pak Leh. Kami faham, dalam banyak keadaan, kalau ikut cakap Yunus, kami takkan apa-apa.

Yunus pergi ke pangkin mengambil lilin dan mancis. Sejadah kain diletak di atas bahu. Sebelum melangkah, aku dengar Yunus membaca beberapa ayat ruqyah yang aku tahu berselang dengan surah-surah lain. Lama juga dia berdiri, dan kemudian dia melangkah. Tinggalah aku dan Pak Lah yang ketakutan. “Jangan ikut aku. Dari tadi dia ada niat nak mengacau. Tu yang Madi masuk sini. Kalau hangpa dengaq bunyi mengilai ka menjerit ka, jangan lari. Kalau hampa lari, payah kerja aku” kata Yunus lalu melangkah menuju ke arah bangunan yang macam kantin tu.

Pak Leh dah macam kucing kena siram. Duduk bertinggung dan hisap rokok macam setahun tak dapat rokok. “Aku takut, Ku” katanya sambil memeluk lututnya. “Aku pun. Jom kita baca ayat Qursi banyak-banyak. Yunuih tahu apa dia buat” kata aku menenangkan Pak Leh. Bunyi macam berani, tapi hati aku dah kecut. Pak Leh mengangguk lemah. Tak berani aku tengok muka Pak Leh. Masih terbayang mukanya yang menyeramkan masa kena sampuk tadi. Kami duduk di pangkin dekat2 dan mula membaca ayat Qursi. Serahkan jiwa raga kepada Tuhan yang Maha Melindungi.

Sambil membaca, aku pandang Yunus masuk ke dalam kantin. Dia pasang 3 batang lilin dan duduk bersila di situ. Lepas tu aku dah tak mahu tengok, tutup mata sambil baca ayat Qursi berulang kali. Mohon yang baik-baik supaya kami dapat balik rumah dengan selamat. Fikiran dah bayangkan yang bukan-bukan. Sesekali buka mata, aku nampak Yunus masih bersila. Kemudian aku dengar hup hap hup hap. Buka mata dan nampak Yunus sedang membuka langkah silat. Anehnya, lilin yang terpasang tak terjejas walau Yunus melibas-libaskan sejadah pada benda yang kami tak nampak. Pak Leh dah macam orang gila, merepek-repek sehingga aku tepuk belakang dia. “Pak Leh, ingat Tuhan!” kata aku tegas. “Kalau Allah tak izin benda tak elok, seribu tahun pun tak jadi” aku cuba tenangkan Pak Leh. “Yunus tengah usaha tu, sat lagi dia balik la”. Termakan juga Pak Leh dengan kata2 aku. Padahal, sama-sama takut. Kami sambung baca ayat Qursi sambil tutup mata.

Tak lama kemudian, Yunus datang. Aku buka mata. Tersengih sengih Yunus macam selalu. “Setel’ katanya ringkas. Yunus pegang bahu Pak Leh. Mulut kumat mulutnya dan hembuskan perlahan. “Nak balik ka atau kita lepak Padang Kota dulu?” tanya Yunus yang arif tentang isi hati kami. “Padang Kota” kami jawab serentak. Hujan pun sudah berhenti. Kami pun beredar meninggalkan bangunan itu dengan Pak Leh di depan. Bukan main laju dia koyak minyak. Yunus hanya ketawa tengok gelagat Pak Leh. Subuh baru kami balik. Pedih telinga kena leter dengan emak masing-masing.

Esoknya, aku dan Yunus berjumpa di gerai makan, tempat biasa kami berjumpa. Madi dan Pak Leh duduk sekampung tidak jauh dari kampung aku. Menjadi rutin kami melepak di gerai tu kerana makanannya sedap2 belaka. Lama kami tunggu Pak Leh dan Madi. Kerana tak nampak bayang mereka berdua, kami ambil keputusan untuk pergi ke rumah Pak Leh. Pak Leh demam, sama juga Madi. Kata Yunus demam terkejut. Nanti eloklah tu. Madi lepas tinggalkan kami, menginap di rumah makciknya tidak jauh dari situ. Kami lepak kembali di gerai. Hendak pergi kerja, masih awal. Aku ambil kesempatan bertanya Yunus.

Yunus kata, masa nak sampai ke bangunan tu, dia dah nampak makhluk menyerupai gadis tu berdiri di tepi bangunan setingkat. Itu sebabnya Yunus hilang. Yunus pergi bersemuka dengan makhluk tu, sebab makhluk tu memang berniat jahat. Tidak puas hati kerana Yunus sudah mengancamnya, makhluk tu lari ke bangunan 2 tingkat. Yunus kata dia nampak kami bertiga naik dan macam mana makhluk tu merasuk Pak Leh dan menyorokkannya di bawah tangga. Makhluk tu juga perdayakan Madi, berpusing-pusing dia mencari Pak Leh. Dia biarkan dahulu, membaca langkah dan niat makhluk tu. Nak tengok apakah kelemahannya.

Kata Yunus, makhluk tu dah lama menghuni kawasan tu. Dia m**i sebab penyakit dan dibiarkan tanpa ada pengebumian yang sempurna. Lama dah, zaman Jepun dulu kata Yunus. Kerjanya mengganggu sehingga membuatkan orang kemalangan dan cedera dan mengeluarkan d***h. Memang makanan dia. Semenjak bangunan tu dikosongkan, makhluk tu semakin jahat. Kata Yunus, hospitallah tempat paling banyak makhluk halus. Mereka berkampung di sana dan ada tugas masing-masing. Makhluk tu agak angkuh kata Yunus. Yang angkuh lah yang paling degil dan sombong. Tewas juga dia dengan ilmu Allah. Tapi Yunus enggan cerita makhluk jenis apa dan bagaimana rupanya. Cuma kata Yunus, makhluk tu besar, kepalanya mencecah bumbung kantin.

Lepas kejadian tu, kami berhenti kerja di pesta. Kami bekerja di sebuah gedung beli belah terkenal di Komtar. Lama juga kami tak pergi ke pasar karat sebab dekat dengan tempat tu. Madi dan Pak Leh berubah selepas kejadian tu. Tak ada lagi aktiviti kejar hantu mereka. Padan muka, cari penyakit siapa suruh? Setiap cuti semester kami akan bekerja di situ sehinggalah masing-masing menyambung pelajaran dan bawa haluan masing-masing. Masing-masing pun sudah beranak pinak. Madi bekerja di Johor. Pak Leh di Terengganu, Yunus di Sarawak dan aku di KL. Kami masih berhubung sehingga kini.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku

9 thoughts on “Bangunan Lama – Yunus & geng”

  1. penceritaan menarik. makhluk tu dulu manusia ke? katanya m**i kerana penyakit dan dibiarkan lama tanpa pengebumian yang sempurna..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.