Bayang

“Eh, Dr Ismail. Apa khabar? Jarang doktor datang kalau tak ada kes besar,” sapa Saiful, salah seorang jururawat di institut pakar sakit jiwa itu.

“Ya, saya ada pesakit di sini, untuk appointment,” jawab Dr Ismail, bersahaja.

“Siapa, doktor?”

“Shahril.”


“Baiklah, Encik Shahril. Boleh terangkan apa yang berlaku pada malam kejadian itu? Dilaporkan Encik Shahril masih melapah daging mangsa ketika ditangkap. Jadi, saya perlu tahu keadaan sebenar kejadian, sebelum, semasa, dan selepas,” soal panjang lebar Dr Ismail. Shahril, masih duduk dengan tenang di hadapannya. Meja segiempat tepat itu menjadi jarak antara mereka berdua. Gari yang tersemat di kedua-dua pergelangan tangan Shahril, dikunci pada meja khas itu. Selayaknya untuk pembunuh kejam psiko, seperti yang dihebahkan di media massa.

“Aku? Atau ‘dia’?”

“Dia? Siapa dia?” Soal Dr Ismail lagi.

“’Dia’. Tiada nama. Setiap kali datang malam, ‘aku’ akan menjadi menjadi ‘dia’. ‘Dia’ tiada memori. Dia hanya menurut sahaja apa yang orang cakap. Orang panggil dia Shahril, dia mengaku dia Shahril. Dia hanya mahukan d***h. Aku mangsa keadaan.” Dr Ismail mengerutkan muka. Dia sedikit sukar untuk mempercayai kenyataan itu. Adakah lelaki di hadapannya itu sedang cuba ‘membentuk’ watak baru dalam dirinya, agar terlepas daripada hukuman akibat m******h?

Berfikir panjang Dr Ismail, sambil memutar-mutarkan cincin di jari manis kirinya. Cuba menyusun ayat untuk persoalan seterusnya. Menurut telahan buat masa kini, ada masalah mental yang melanda pesakitnya itu. Sedikit nota ditulis pada buku catatannya.

“Jadi, bagaimana untuk saya berjumpa dengan ‘dia’?” Soalan terpacul dari mulut Dr Ismail, berkenaan watak tidak bernama itu.

“Apa yang doktor nampak kelainan pada diri aku?” Jawapan dibalas dalam bentuk soalan.

Terus sahaja Dr Ismail meneliti manusia di hadapannya. Atas, ke bawah. Tiada sebarang kelainan pada tubuh badan pesakit itu. Malah, nampak sangat normal, seperti tiada apa-apa sakit dari segi fizikal. Mental? Mungkin ada, getus hati Dr. Ismail.

“Tiada apa-apa yang pelik pada Encik Shahril. Boleh Encik Shahril terangkan?”

“Benar, tiada apa-apa yang pelik pada aku. Hahahaha!” Gelak tawa menyeramkan menyelubungi bilik tersebut. Empat dekah, terus berhenti, dengan muka serius, si Shahril.

“Tapi, jika aku diselaputi kegelapan tanpa bayang, aku bukanlah aku. Aku jadi ‘dia’. Pandang pada tubuh badan ‘dia’, pasti tiada bayang. Kerna, ‘dialah’ bayang aku.” Dr Ismail mengerutkan muka. Mustahil sebegitu. Penjelasan yang tidak logik, secara saintifik. Dr Ismail menyambung penulisannya di buku catatan, sebagai rujukan di masa hadapan kes tersebut. Dipandang semula tubuh badan Shahril secara menyeluruh. Dia juga ada cincin pada jarinya.

Ketukan di pintu kedengaran. Pintu dibuka. Saiful menjengahkan muka lalu memandang Dr Ismail dengan perasaan hairan.

“Doktor, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Soal Saiful.

“Oh, tidak. Saya sudah habis di sini. Tolong bawa pesakit kembali ke bilik. Terima kasih.” Dr Ismail bingkas bangun, lalu berjalan melewati Saiful. Pandangan mata mereka bertaut. Si Saiful kehairanan, ditambah Dr Ismail yang sedang tersenyum penuh makna tersembunyi. Dibiarkan sahaja Dr Ismail berlalu pergi, memasuki bilik air berdekatan, sebaik sahaja buku catatan ditinggalkan di kaunter.


Jam di pergelangan tangan kiri menunjukkan pukul 9 malam. Dr Ismail memutar-mutarkan cincin di jari, bagaikan satu tabiat yang tidak boleh dibendung. Telefon bimbit dicapai seraya mendail nombor telefon yang telah dihafal. Suatu nombor yang tiada dalam direktori simpanan.

“Encik Muthu? Saya Dr Ismail. Boleh datang ke HKL, ambil saya? Ya, untuk perkhidmatan teksi. Baik, pukul 9:20 malam saya tunggu di hadapan wad sakit jiwa.” Perbualan terhenti. Memanggil teksi untuk pulang. Dr Ismail meneruskan sedikit kerja untuk sesi penamat, sebelum bergerak pulang.

9:15 malam. Dr Ismail terus bangkit dari kerusi pejabatnya, beredar tanpa mengemas meja dan mengambil beg. Lampu juga tidak ditutup, sebaliknya beliau terus keluar dari tempat itu. Kot putih yang menjadi peneman di kala waktu kerja, turut dibiarkan membaluti kerusi pejabatnya itu.

Teksi merah Encik Muthu kelihatan sudah menunggu di perkarangan hadapan seperti dijanjikan. Dr Ismail memasuki teksi di kerusi belakang. Encik Muthu tersenyum, tanda ramah mesra kepada pelanggan yang baru pertama kali menaiki perkhidmatannya. Entah mengapa, senyuman balas dari Dr Ismail kelihatan menakutkan bagi lelaki India pertengahan 50-an itu.

“Ke mana, incik?”

“Alamat ini,” cebisan kertas putih diserahkan, bertulis tangan alamat lengkap. Encik Muthu menerima cebisan kertas itu, lalu mengangguk tanda tahu di mana harus dituju.

“Saya akan bayar tiga kali ganda harga di meter, jika Encik Muthu setuju untuk merahsiakan kedatangan Encik Muthu ke sini, sehinggalah menghantar saya pulang nanti ke sini semula,” ujar Dr Ismail. Kata-kata yang menyebabkan Encik Muthu ragu-ragu. Dipandang Dr Ismail dari cermin pantul belakang. Masih tersenyum. Memberi isyarat tangan agar mula memandu.


Tiba ke destinasi. Dr Ismail berada di hadapan rumah yang dicarinya. Encik Muthu masih menunggu di dalam teksinya. Mahu sahaja berlalu pergi tanpa menerima sebarang bayaran, memandangkan Dr Ismail menunjukkan reaksi yang penuh misteri dan mencurigakan. Namun, dia masih menunggu, kalau-kalau Dr Ismail sememangnya kembali ke kereta tanpa sebarang perkara yang mencurigakan padanya. Memakai sarung tangan sebelum masuk secara senyap memasuki pintu pagar juga sudah cukup mencurigakan, tetapi dia tetap menunggu. Rasa ingin tahu yang menebal.


“Encik Shahril?”

“Ya, saya. Siapa kamu?” Sebaik sahaja tamat persoalan, tapak tangan Dr Ismail hinggap pantas mencengkam segenap wajah Shahril. Ditolaknya ke belakang masuk ke dalam rumah, sehingga terhumban jatuh melanggar sofa. Suara mengaduh kedengaran kecil. Dr Ismail melangkah masuk, menutupi pintu. Sempat mengerling ke arah Encik Muthu dari jauh. Orang tua itu tidak dapat menangkap apa yang dia lakukan sebentar tadi, dek kerana terlindung dengan pokok di tepi jalan. Dapat dibuktikan dengan pandangan mata Dr Ismail sendiri, yang tidak dapat melihat Encik Muthu dari pintu hadapan rumah itu, hanya pokok semata.

“Siapa kamu?!” Jerkah Shahril.

“Aku? Aku adalah kamu. Hahahaha!” Sebatang pen ditarik keluar dari sisi poket seluar. Tusukan pada mata kiri, dengan pantas. Jeritan susulan kedengaran. Shahril menggelupur kesakitan. Tidak dapat fokus lagi untuk mempertahankan diri. Bertubi-tubi hinggap sepakan dan tumbukan kepada tubuh tidak bermaya itu.

Terlentang tidak bermaya Shahril. Otaknya masih tidak dapat mengenal pasti, siapakah penyerangnya. D***h pekat meleleh dari mata kirinya. Hampir tidak sedarkan diri. Ternyata, belum tamat kisah penderitaannya. Dr Ismail memijak dadanya dengan kaki kanan, manakala kaki kiri memijak tapak tangan Shahril yang kini sudah terkulai layu di tanah. Perlahan-lahan, pen yang tertusuk di mata ditarik semula.

Jeritan kedengaran lagi. Sebaik sahaja pen tamat ditarik, mata kanan pula menjadi sasaran. Satu tangan membuka kelopak mata, satu lagi menusuk ke dalam mata kanan Shahril. Kali ini, jeritan suara membingitkan oleh Shahril itu, mula mendatar, kemudian menghilang. ‘Tugas’ menjadi semakin mudah buat Dr Ismail. Itu adalah permulaan.

Seksaan demi seksaan dilakukan terhadap tubuh kaku itu. Meskipun sudah m**i, hancur mukanya, masih diteruskan sehingga tengkorak kepala terburai. Senjatanya, mudah. Kerusi di dalam rumah mangsa sendiri. Patah satu, diganti lagi yang lain.

Setelah puas, Dr Ismail menuju ke dapur. Membersihkan percikan d***h pada baju dan muka seadanya, lalu dibuang sarung tangan ke tong sampah berdekatan. Lima belas minit sahaja masa diambil, lalu meninggalkan rumah itu dengan pintu yang ditutup rapi. Kesan cap jari pada tombol juga dilap kembali. Lagak professional.


Encik Muthu terkejut. Lelaki yang sedang berjalan menuju ke keretanya, bertompokan d***h dengan banyak pada baju. Tersenyum riang sambil melihat Encik Muthu, walaupun matanya disilaui cahaya lampu kereta Encik Muthu. Dr Ismail, betul-betul berhadapan dengan kereta. Encik Muthu perlu berundur sekiranya mahu meninggalkan tempat itu dengan segara. Dia, bagaikan terpaku. Dr Ismail menunjukkan isyarat jari telunjuk ke mulut, membawa maksud supaya mendiamkan diri.

Sudah terlambat untuk melarikan diri. Encik Muthu kini, telah membantu pembunuh.


Imbas kembali.

“Eh, Dr Ismail. Apa khabar? Jarang doktor datang kalau tak ada kes besar,” sapa Saiful, salah seorang jururawat di institut pakar sakit jiwa itu.

“Ya, saya ada pesakit di sini, untuk appointment,” jawab Dr Ismail, bersahaja.

“Siapa, doktor?”

“Shahril.”

Saiful mengerutkan muka. Shahril? Tiada pesakit bernama Shahril di situ. Dr Ismail tampak meragukan. Dia ke kaunter, cuba berlakon sibuk, sambil memerhatikan Dr Ismail memasuki bilik. Najla, staff di kaunter, disapanya.

“Naj, ada patient nama Shahrilkah?”

“Tak ada, kenapa?”

“Kenapa doktor kata dia nak jumpa patient nama Shahril?” Soal Saiful lagi.

“Mana aku tahu. Apa kata kau intai-intai bilik tu? Itulah, selalu sangat bergaul dengan pesakit mental. Entah-entah, dia pun dah jadi mental tak?”

Seperti lembu dicucuk hidung, Saiful menurut perintah. Dia dengan langkah perlahan-lahan, mendekati bilik. Suara dari dalam bilik mula kedengaran, apabila pintu dibuka secara senyap, tanpa disedari sesiapa dari dalam bilik tersebut.

Hampir setiap bait kata didengari, tanpa dilihat. Aneh, suara berbeza kedengaran. Seperti berbual serius, dalam dua suara. Persoalannya, Dr Ismail berseorangan di situ. Tiada siapa-siapa lagi yang memasuki bilik itu sebelumnya, termasuk staff lain.

Saiful tidak dapat menahan dirinya daripada terus dibelenggu ingin tahu. Dia mengetuk pintu, lalu menjengah masuk kepala. Kelihatan Dr Ismail menoleh ke belakang, melihat siapa gerangan yang mengetuk.

“Doktor, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Soal Saiful.

“Oh, tidak. Saya sudah habis di sini. Tolong bawa pesakit kembali ke bilik. Terima kasih.” Dr Ismail bingkas bangun, lalu berjalan melewati Saiful. Pandangan mata mereka bertaut. Si Saiful kehairanan, ditambah Dr Ismail yang sedang tersenyum penuh makna tersembunyi. Dibiarkan sahaja Dr Ismail berlalu pergi, memasuki bilik air berdekatan, sebaik sahaja buku catatan ditinggalkan di kaunter.

Saiful, dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak, segera ke kaunter menyelak buku catatan Dr Ismail. Mencari halaman terakhir yang bertulis. Terbeliak mata Saiful melihat apa yang ditulis. Tidak panjang, hanya dua baris.

“Bayang”

“KAU, ATAU DIA? SALAH! AKU!”

Buku direnggut mengejut dari tepi. Saiful menjerit terkejut. Dr Ismail, dengan muka tersenyumnya, tidak marah. Menunjukkan tanda isyarat tangan ke mulut, lalu dilalukan jari yang sama ke leher dari kanan ke kiri. M**i, jika bersuara. Bagai itu yang terngiang-ngiang di dalam kepala Saiful.

Dr Ismail berlalu pergi, meninggalkan Saiful dalam ketakutan. Dia bimbang, sesuatu akan berlaku.


Pihak polis masih mencari penyerang sadis yang telah m******h kejam Shahril di rumahnya. Encik Muthu yang telah menjanjikan kata-kata bahawa dia tidak akan pecah rahsia, turut hilang tanpa sebarang berita. Keluarga Encik Muthu telah melaporkan kepada pihak polis, tetapi hasil pencarian masih negative.

Saiful? Dia juga tidak datang kerja keesokan harinya. Hilang begitu sahaja. Tiada khabar berita. Angkara siapa?


Dr Ismail keluar dari keretanya. Matahari terik menyilaukan mata. Dia tersenyum. Sinaran matahari tepat di atas kepala itu, membuatkan Dr Ismail kelihatan seperti tidak berbayang di atas jalan. Cincin diputar-putar lagi. Senyuman hilang.

“ANGKARA AKU, BUKAN ‘AKU’, BUKAN JUGA ‘KAU’!”

HAHAHAHAHAHA!

-Tamat-

Watak Dr Ismail (Bayang), Shafiq (Ulang), Baizura (Klise), Malek (Flakka), dan Izham (Dinding) bakal digabungkan di dalam siri spin-off #TigaCincin, iaitu #Ganturo, kelak. Tiga Cincin adalah sequel kepada #TigaPenjuru. Sila layari page penulis untuk karya-karya bersiri #08.

https://www.facebook.com/gongpal.hakbon.7

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

08

12 thoughts on “Bayang”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.