Tulis atau tidak.
Bergentayangan ayat ni di kepala tatkala aku rasa ingin berkongsi. Ah, kenapa tidak, kalau niat ingin berkongsi dan mungkin bakal jadi pedoman kepada yang lain.
Aku Zara. Ini cerita aku. Cucu kepada seorang pemilik “belaan”. Al-fatihah buat nenek yang sudah bertemu pemilik sekalian alam hampir 15 tahun yang lalu.
Nenekku punya ramai cucu.
Memandangkan anaknya mencecah belasan orang.
Aku pula bukanlah cucu pertama.
Tapi aku tahu, nenek sayangkan aku. Mungkin kerana kecomelan ku? Hehe.
Bukan. Tapi mungkin kerana aku seorang kanak-kanak yang berani dan punya fikiran yang tajam berbanding kanak-kanak seumurku ketika itu.
Aku tidak tinggal bersama nenekku. Manakala, sepupu ku yang lain kebanyakkannya tinggal berhampiran dengan nenek. Ini memperkukuhkan alasan ku untuk selalu pulang ke kampung.
Meskipun ketika itu nenek mencecah umur 80 tahun, penglihatan dan pendengaran nenek adakalanya jauh lebih baik dari orang yang lebih muda.
Setiap kali aku pulang ke kampung, nenek la orang yang paling sibuk menyediakan sayur pucuk ubi masak lemak ikan masin kegemaran ku. Ikan masin dibuatnya sendiri, kadangkala hasil tangkapannya dari sungai berhampiran.
Pada usia yang mencecah 80 tahun, nenek agak bongkok pada fizikalnya.
Kebanyakkan orang yang melihat wajahku, akan menyamakan dengan raut wajah nenek sewaktu muda. Nenek berdarah cina kacukan bumiputera. Ya bumiputera negeri. Putih mulus tanpa noda kulit nenek.
Setiap kali cuti sekolah, aku akan meminta abah untuk menghantar ku pulang ke kampung. Aku suka di kampung. Bebas bermain, berjalan ke hulu ke hilir dengan sepupu. Adakalanya di musim buah, kami bermalam di dusun nenek.
Suatu malam di cuti sekolah, aku dengan beberapa orang sepupu perempuan ku tidur di bilik nenek. Sebelum tidur, makcik sudah berpesan agar semua membersihkan dan diri dan ‘buang’ apa yang patut. Memandangkan ketika itu satu-satunya tandas berada di luar rumah.
Sedang semua nyenyak tidur di dalam kelambu usang milik nenek, aku terjaga. Sejuk. Dan aku perlu ke tandas. Ahh sudah. Ku lihat jam yang ku simpan di bawah bantal, menunjukkan ke angka 3. Aku duduk. Nenek nyenyak tidur di atas katilnya. Selimutnya sedikit terkuak. Aku naikkan hingga menutupi paras bahunya.
Aku cuba untuk lelap kembali, tapi bertambah-tambah keinginan untuk membuang air kecil. “Tina.. Tina.. bangunn..teman aku ke tandas”.. Aku mencuba nasib meminta sepupuku yang ku kira paling berani dalam kalangan yang lainnya untuk menemani aku. Kami turun beriringan, ke tandas yang terletak di bawah rumah dengan jarak hampir 20 meter. Aku masuk ke tandas, dan Tina menunggu ku di luar.
Kemudian kami bergantian, Tina pula masuk untuk melepaskan hajat besar. Aku terpaksa menunggu lama di luar. Tiba-tiba terdengar bunyi tapak kaki menuruni tangga. Jarak anak tangga yang agak jauh antara satu sama lain, membuatkan bunyi derapan kaki boleh didengari tatkala menampung berat badan seseorang yang menuruni tangga. Aku sedikit kaget. Oh, nenek rupanya. Syukur.
Tapi, nenek seolah-olah tidak menyedari aku yang melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Dia pantas bergerak menuruni tangga dan masuk ke hutan kecil sebelah rumah. Aku yang masih kehairanan, jadi kaku. Aku ketuk pintu tandas. Tina keluar, dan aku ceritakan padanya tentang apa yang ku lihat. Kami duduk di tangga rumah, menanti nenek keluar dari hutan kecil. Nyamuk nampaknya tidak membuang peluang yang ada. Beberapa kali lenganku menjadi mangsa.
Tina kemudian berkata “Zara, tadi aku dengar juga bunyi kayu tangga tu. Aku takut kau naik tinggalkan aku. Tapi aku nampak bayang kau masih ada di luar tandas melambai-lambai pula tu”.
Sedang kami berusaha bergelut dengan nyamuk yang lapar akan darah manusia, makcik muncul di belakang dengan tampak kehairanan.
Aku bingkas bangun untuk menceritakan pada makcik tentang nenek yang turun dan masuk ke hutan kecil.
Belum pun sepatah ayat keluar dari mulutku. Kedengaran bunyi batuk nenek. Dari dalam bilik. Tina menggenggam lenganku erat. Aku bingung. Makcik pantas menarik kami masuk ke dalam rumah dan menutup pintu.
Sekali lagi batuk nenek begitu kuat sekali. Mungkin kerana asmanya yang kerap menyerang ketika dingin menyapa di pagi hari. Makcik mempercepatkan langkah ke bilik nenek. Tina ku lihat mengerutkan sedikit dahinya tanda kebingungan.
Kami masuk ke bilik nenek. Nenek duduk sambil mengurut dadanya di atas katil.
Aku yang berusia awal belasan tahun ketika itu sukar untuk meluahkan apa yang ku rasa. Hendak takut, tapi nenek ku ada di depan mata. Jadi siapa yang turun lewat tangga sebentar tadi? Mustahil dua pancaindera ku menipu aku. Mata ku melihat dan telinga ku mendengar.
Lama memikirkan samada aku berhalusinasi atau nenek sudah naik semula dari pintu depan. Aku terlelap.
Bangun pagi itu, Tina mulai menunjukkan tanda-tanda demam. Suhu badan mulai panas. Tina berkata pada ku “Zara, mungkin yang kita dengar dan kau nampak tu bukan orang”. Aku hanya senyum.
Teringat aku beberapa kali mencuri dengar perbualan pakcik makcikku.
“Ustaz Muiz tu pandai buangkan. Arwah karim dulu, dia yang tolong buang. Mungkin kita patut cuba”, pakcik sulungku menerangkan kepada abah dan beberapa adiknya lain. Kemudian terngiang-ngiang di telinga ku
“Sekarang mama masih sihat, jangan tunggu sampai terlambat. Kalau bukan anak, takut cucu jadi mangsa”.
Beberapa kali, perbualan mereka menjadi imbasan dalam benak ku. Ketika itu, aku simpulkan yang nenek ada “belaan”. Cuma aku tidak menyangka “belaan” itu bakal menunjukkan kewujudannya pada aku.
Itu pun jika benar yang ku lihat lincah menuruni tangga pada malam itu adalah “dia”.
Bila ku fikirkan semula, mustahil nenek pantas bergerak dengan lututnya yang sakit. “Cecair pelincir di lutut habis” bak kata doktor dan asma yang agak kronik, selalu membatasi pergerakan nenek. Tapi malam itu, gerak gerinya bertenaga sekali…
Bertitik tolak dari peristiwa malam itu,
“dia” nampaknya semakin berani menunjukkan diri.
Dengan keadaan nenek yang semakin uzur dari hari ke hari,
ditambah pula dengan “belaan” yang makan diri.
Sejak peristiwa “dia” menuruni tangga menyerupai nenek, aku mengalami banyak peristiwa aneh yang bakal ku ceritakan di lain hari.
Aku percaya dengan Ar Rahman dan Ar Rahim.
Nenek tenang di sana. Insyaallah.
Sampai bertemu lagi kalian.
AkuZara.
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Cerita yg menarik… Harap dpt baca sambungannya… Tq for sharing 🥰🥰🥰🥰
Sambung jgn tak sambung
Bumiputra negeri tu macam mana? Tak pernah dengar.. sambung²
Kisah yg sgt menarik.. xsabar nk tggu citer yg selanjutnye..