Assalamualaikum, hai semua pendengar fiksyen shasha dan terima kasih kepada fiksyen shasha kerana sudi membaca tulisan saya ini untuk semua pendengar sekarang ini.
Nama aku utsman, cerita aku ini rasanya mungkin tidak berapa seram. Tapi pengalaman yang berlaku kepada aku ini sampai sekarang aku masih ingat, dan tidak di nafikan sesuatu yang buruk berlaku kepada kita mungkin akan beri effect kepada kita tapi tidak kepada mereka. Kerana perkara mistik itu tidak pernah berlaku kepada mereka lagi, jika perkara mistik itu pernah berlaku kepada mereka, mungkin mereka akan dapat juga effect itu. Pengalaman seram ni berlaku pada tahun 2013, ketika itu aku darjah 5.
Kisahnya begini, ibu bapa aku adalah ustaz dan ustazah di sebuah sekolah agama. Sekolah yang mereka mengajar itu adalah sekolah yang berasrama, ada lelaki dan perempuan. Sekolah dan asrama mereka itu di dalam sebuah kampung, tempat tinggal kami sekeluarga pula dekat di kawasan sekolah itu. Sekolah ibu bapa aku itu ada sebuah masjid, setiap hari ke semua pelajar lelaki dan perempuan wajib solat lima waktu di masjid itu.
Setiap hari ibu bapa aku pergi mengajar dan solat, memang ibu bapa aku hanya berjalan kaki sahaja, kerana masjid dan sekolah itu memang betul-betul berada di depan rumah kami. Pergi tidak sampai 5 minit pun, sebab memang dekat sangat.
Sekolah di negeri kelantan cuti pada hari jumaat dan sabtu, tak sama dengan di Kuala Lumpur. Di mana Kuala Lumpur cuti pada hari sabtu dan ahad, nak di jadikan cerita. Hari khamis malam jumaat itu aku solat isyak di masjid, dan selepas habis solat isyak aku pergi jumpa izudin pelajar ayah aku. Aku jumpa dia dan mengajak dia tidur di masjid pada malam itu kerana esok tiada kelas, aku masa kecik dulu sangat suka tidur di masjid. Tidak tahu kenapa, mungkin kerana masa itu aku masih budak dan berasa seronok tidur di dalam masjid.
Aku sepakat dengan izudin jumpa di masjid pada pukul 1 pagi. selepas mengajak izudin tidur di masjid aku terus keluar dari masjid ingin balik ke rumah. Semasa balik ke rumah selepas solat isyak, ketika itu aku tersempak dengan dua orang pelajar ayah aku, lelaki dan perempuan di depan pintu masjid sedang berbual-bual sesama mereka. Jangan salah faham, kerana mereka bukan bercinta, mereka berdua itu adik beradik. Aku lalu di depan mereka berdua sambil senyum, sampai sahaja di rumah. Aku buat kerja aku seperti hari-hari biasa aku, makan malam, main phone, tengok tv, buat kerja sekolah yang mana ada, main game di pc.
Sehinggalah pada pukul 1 pagi seperti di janjikan bertemu di masjid, aku pun pergi ambil barang-barang tidur aku yang berada di bilik. Aku mengambil selimut dan bantal untuk tidur di masjid malam itu, selepas bersiap-siap mengambil barang tidur. Terus aku keluar daripada rumah pergi ke masjid untuk tidur, korang cuba bayangkan. Pukul 1 pagi, memang gelap. Tambah pula di kampung. Dan semasa berjalan ke masjid, aku memang tak bawa lampu ketika itu. Malam itu memang sangat sejuk..
Di masjid malam itu lampu semua tutup, kecuali lampu kubah masjid dan menara masjid sahaja yang tak di tutup. Pada malam jumaat itu, aku tak fikir langsung pasal hantu atau pun benda yang menyeramkan. Ke biasaan budak-budak akan fikir benda menyeramkan seperti hantu kalau berjalan di tempat yang gelap, tapi aku ketika itu memang tak fikir benda seperti itu.
Semasa berjalan menuju ke masjid pada malam itu, aku berjalan sambil memandang ke atas menara masjid melihat lampu-lampu menara yang menyala. Ketika berjalan sambil melihat lampu menara yang menyala itu, aku ternampak seperti ada kepala keluar sedang mengintai aku tengah berjalan. Seperti ada susuk tubuh sedang bersembunyi di belakang menara yang tinggi itu sambil mengintai aku yang sedang berjalan seorang diri. Tetapi aku ketika itu masih lagi tidak fikir pelik-pelik sehinggalah berjalan sampai ke tandas masjid perempuan.
Dari rumah sehingga sampai di tandas masjid perempuan, aku ketika itu memang hanya tengok menara masjid sahaja, tidak memandang ke arah lain. Sehinggalah sampai di tandas masjid perempuan, susuk tubuh sedang bersembunyi yang aku lihat di belakang menara tinggi masjid sedang mengintai aku ketika itu pun keluar. Dia keluar dan berdiri di atas bumbung masjid, tubuhnya menghadap ke arah aku, aku masih ingat lagi makhluk itu sampai sekarang.
Dia berjubah putih, rambung kerinting. Rambut yang panjang menutupi wajah sehingga seseorang tidak dapat melihat wajahnya. Aku sedang berjalan ketika itu terus berhenti tidak terkata, terkejut, takut semua perasaan ada ketika itu. Sampai suara pun tidak dapat nak keluar dengan perkataan yang betul, kerana ketika itu aku mahu baca doa. Tapi bacaan aku ketika itu gagap, aku tidak dapat membaca dengan betul.
Aku ketika itu membaca apa yang melintas di kepala aku sahaja, aku baca surah yang mana aku belajar di sekolah. Tetapi, darjah 5 banyak manalah sangat yang aku hafal di sekolah. Aku sehinggalah tidak tahu nak baca apa. Aku sampai terbaca doa makan, ketika itu tak fikir dah doa itu doa makan ka apa. Yang aku fikir ketika itu, asalkan ada ayat-ayat suci yang keluar dari mulut aku supaya makhluk itu pergi. Dengan sedikit keberanian, aku pun cuba memberanikan diri pandang ke atas bumbung masjid. Dan makhluk itu masih ada dan masih berdiri memandang ke arah aku yang berhenti berjalan.
Aku ketika itu sangat takut, sampai nak berjalan dan nak berlari pun tak boleh. Sumpah, ketika itu aku memang tidak dapat merasa kaki aku sendiri mungkin kerana terlalu takut, aku teruskan lagi membaca apa-apa sahaja yang tahu yang hafal dan yang mana aku ingat. Sekali lagi aku memberanikan diri pandang ke bumbung masjid, dan benda itu masih ada dan memandang ke arah aku. Aku tidak tahu nak buat apa, sehinggalah cuba nak berlari. Tapi aku tak dapat nak lari, sebab kaki memang terasa sangatlah berat nak mengangkat. Aku masa tu memang takut sampai tak boleh fikir, dah hanya seorang diri ketika itu. Tengah malam jam 1 pagi, tambah pula malam jumaat.
Aku ketika itu hanya dapat berjalan, itu pun kaki terketar-ketar. Berjalan terketar-ketar sambil mata memandang ke arah makhluk itu, bila aku cuba jalan ke depan. Makhluk itu ikut aku ke depan juga, langkah aku terus berhenti, kerana dia ke depan juga. bila mana aku undur ke belakang. Dia turut ikut Aku undur ke belakang juga, aku sangatlah bodoh ketika itu bila mana aku teringat balik cerita ini. Kerana sepatutnya aku lari balik ke rumah, sebab aku undur dia pun undur juga tetapi aku tidak lari balik ke rumah. Sepatutnya aku lari tetapi aku masih tengok makhluk yang berada di atas bumbung. Aku ketika itu budak dan sangat takut, mungkin sebab itu tak dapat buat benda yang bijak.
Berbalik kepada cerita tadi. Aku cuba balik pergi ke depan kali ke dua. Tetapi dia ke depan juga, tetapi ketika itu tiba-tiba sahaja aku dapat rasa balik kaki aku. Ini kali ke tiga, selepas aku dapat rasa balik kaki aku kali ke tiga, terus aku lari tak fikir panjang. Lari ke depan dengan penuh keberanian sambil memejam mata. Sehinggalah sampai di tengah kawasan masjid, aku terjumpa balik dengan mereka dua orang yang sedang berbual-bual tadi, alhamdulillah mujur mereka masih ada. Hanya Allah sahaja tahu betapa syukurnya aku kerana ada orang di masjid ketika itu.
Aku terus masuk ke dalam masjid, letak semua barang-barang aku, tetapi izudin tidak datang ke masjid lagi. Aku terus Keluar dari masjid pergi ke asrama mencari izudin, malam itu aku jumpa izudin aku terus ceritakan kepada izudin apa yang telah berlaku kepada aku semasa perjalanan ke masjid tadi. Esoknya pagi aku pergi tengok di bumbung masjid, takut-takut sebenarnya yang aku lihat malam semalam sebenarnya bukan hantu tapi ada barang atau kain putin tergantung di bumbung. Tetapi memang tidak ada pun sesuatu yang aku fikir seperti kain atau benda lain. Memang tiada apa-apa pun di bumbung masjid.
Dan selepas kejadian itu, aku tidak berani dah nak balik rumah lewat. Atau pun lalu di masjid pada waktu malam ketika orang tiada. Tidak akan sesekali. Walaupun makhluk itu hanya menunjukkan dirinya sahaja, tidak mengganggu aku seperti cerita yang selalu aku dapat dari orang lain, di mana sampai hantu ikut balik rumah. Sampai orang itu kena kacau dan kena bawa jumpa ustaz atau pergi berubat.
Walaupun aku bukan sampai ke tahap itu, tapi pengalaman seram itu memang memberi kesan kepada aku sampai sekarang. Aku tak tahu nak jelaskan memberi kesan macam mana yang aku dapat, tapi selepas kejadian itu dia macam bagi aku menjadi trauma dengan gelap. Aku trauma nak jalan seorang diri di tempat gelap pada waktu malam. Sudah lapan tahun kisah seram ini, tapi aku masih ingat sampai ke hari penulisan aku ini. Terima kasih sudi mendengar ❤️😷…
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI
Keluar dr mesjid tak jumpa pulak ponti.