Assalamualaikum,
Terima kasih FS kerana menyiarkan tulisan saya sebelum ini. Tak sangka, ramai yang membaca. Itu pengalaman yang boleh sama-sama kita jadikan iktibar. Tak pandai nak bagi tajuk gempaq-gempaq, janji isinya boleh dijadikan pengalaman. Kan?
Aku nak berkongsi cerita pengalaman aku mengikut adik aku menjemput pelajar di Johor. Mujur aku tak nampak, cuma mendengar bunyi. Tapi perasaaan takut masa tu tak boleh bawa bincang. Bayangkan telinga kau bersumbat earphone dan volume maksimum, suara-suara di belakang menyaingi volume handphone. Kau rasa?
Aku masa tu tak sibuk, jadi banyaklah masa terluang. Sebenarnya impian aku yang sampai sekarang belum tertunai ialah untuk dengar orkes ghazal Johor secara live style kampung yang selalu adik aku cerita. Adik aku dah lama menetap di Johor, seorang tentera dan jurulatih PALAPES di sebuah univerisiti di situ. Pujian dia pada orang Johor melambung sampai ke langit. Bila dipancing dengan kampung, sawah, sungai dan dan yang penting ghazal, aku bagai orang mengantuk disorong tilam. Adik aku tahu apa yang aku suka, kebetulan cuti semester. Budak tak ramai katanya, bebas sikit kalau nak merayap kat kampung-kampung. Apalagi, menononglah aku drive ke Batu Pahat.
Salah satu tugas adik aku, selain mengajar berkawad dan segala bagai tu ialah menjadi pemandu trak membawa pelajar untuk tujuan latihan. Nak jadi cerita, dia ada tugas menghantar dan menjemput sekumpulan pelajar untuk aktiviti jatidiri. Alah.. yang dorang kena masuk hutan, diberi kompas dan kena cari jalan keluar tu. Adik aku kena gilir dengan sorang lagi kawan dia dan aktiviti ni dibuat berperingkat, jadi jumlah pelajar PALAPES tak lah ramai, dalam 18 orang macam tu. Adik aku kena giliran ke tiga, dan masa aku pergi, tugas dia ialah untuk menjemput pelajar di satu daerah tak jauh dari Batu Pahat yang terlibat dalam aktiviti jatidiri tu.
Kata adik aku, dia kena ke pejabatnya ambil rekod dan beberapa barangan yang perlu dan kami akan bertolak selepas pukul 5 pagi. Dia dapat makluman dari pegawai di sana yang beberapa kumpulan pelajar dah menghampiri checkpoint dan dia kena bersiap sedia untuk menjemput mereka. Aku sampai pun dah malam sebab aku sesat, maklumlah aku ni tak berapa power jalan ke Johor. Cuma sempat makan di gerai tomyam dalam kampung. Aku lupa nama kampung tu, tapi memang menarik sebab tepi sungai. Kenyang perut, kami balik rumah adik aku. Tomyam dia memang sedap bakhang.
Tengah sedap tidur, adik aku kejut aku suruh mandi dan siap. Aku yang masih terkulat-kulat mengantuk, mandi ala kadar dan bersiap. Aku tengok adik aku dah siap pakai uniform. Siap semua, kami naik trak. Merasa juga aku naik trak askar. Masa tu aku memang mengantuk sebab tak cukup tidur dan rehat. Adik aku menyewa di luar, dalam kampung. Tak lama kemudian, sampailah kami ke universiti dan adik aku kena lalu sebuah padang sebelum sampai ke pejabatnya. Aku walaupun mengantuk teramat, perasan keadaan gelap, bukan macam nak subuh. Adik aku pulak aku tengok macam dialah, cool je. Kerana tergesa-gesa, aku tak sempat nak jam. Lagipun aku bukan jenis suka orang tunggu aku. Adik aku pulak jenis tak banyak bunyi dan sambil memandu, dia pasang lagu.
Sampai je tepi padang, adik aku memperlahankan trak dan terus berhenti. Aku masih sangat mengantuk, hanya memejamkan mata. “Eh, mana pulak budak-budak ni nak pi pagi-pagi buta ni? Ramai pulak tu” kata adik aku mengomel. “Awat depa semua kecik-kecik nohh? Takkan anak-anak staff? Mak bapak depa tak marah ka depa melilau pagi-pagi buta ni?. Hitam-hitam pulak tu semua. Tak sejuk ka tak pakai baju.? Aktiviti apa pulak ni?” aku dengar adik aku mengomel. Aku sempat tengok muka adik aku. Dia macam tak berkelip tengok ke depan. Aku terus tak jadi mengantuk, buka mata dan melihat ke luar. Trak tu kan tinggi, melilau-lilau mata aku mencari kelibat “budak-budak” yang adik aku cakap. “Mana? Tak nampak pun?” kata aku sambil memanjangkan leher memandang keluar. “Tuuuuuu..” kata adik aku sambil menjuihkan bibir seperti menunjukkan arah “budak-budak” tu sambil berpeluk tubuh. “Takkan hang tak nampak, depa dok lalu depan trak ni. Depa pi belakang bangunan tu. Apa depa buat? Kat belakang tu bukan ada apa pun, hutan ja” kata adik aku.
“Hang ni biaq betoi, mana ada apa pun” kata aku yang dah mula rasa lain macam. Jahanam betul, belum seronok nak tengok tempat orang, dah kena hadap benda ni. “Laaa..hang tak nampak ka? Ni depa dok lalu depan kita. Kecik-kecik, ramai depa ni. Hitam-hitam legam semua. Semua jalan tunduk ja” kata adik aku. “Hang ni, mana ada! Hang kata nak pi lepaih pukoi 5, ni baru pukoi 3 la” kata aku yang dah mula alert dan sedar. Barulah aku teringat nak tengok jam. Adik aku macam tercengang dan dia pun tengok jam tangan dia. “Eh!! betoi la, pasai apa baru pukoi 3 nohh?” adik aku bercakap sambil pandang aku kehairanan sambil garu kepalanya. Tercengang dan lama dia pandang aku macam tak percaya. “Mana aku tau..” aku mula dah tak sedap hati. Adik aku pandang lagi aku, muka dia macam tak puas hati.
“Jom baliklah, awai lagi ni. Aku rasa tak sedap hati la. Awat hang nampak, aku tak nampak. Pelik la wei. Kita balik rumah, tak payah tidoq la. Layan dvd ka janji tak terlelap” aku memujuk. “Sat, pegawai suruh aku ambik rekod dengan peti kecemasan. SOP bila budak dah keluaq hutan” kata adik aku lepas dia belek-belek handphone dia. Dia ni kalau dah buat keputusan, susah nak bincang. Saranan aku tak dipeduli nampaknya. “Aku tidoq naa.. Sat lagi sampai sana hang gerak aku”. Aku jadi angin dengan adik aku, bukan takut sebab kami berdua. Kalau akulah, aku dah cabut balik rumah duduk bawah selimut dah rasanya.
Adik aku masuk gear dan seminit kemudian sampailah ke pejabatnya. Pejabat pun lampunya tak terpasang, gelap je. Tak lama kemudian, aku nampak adik aku berlari ke trak. Mukanya pucat. “Celaka sungguh la!!!” bentak adik aku bila dia dah naik dan terus masuk gear. Bertaburanlah maki hamun dia yang semuanya 18SX yang aku tak boleh tulis kat sini. Tergesa-gesa dia memandu agak laju sambil kadang-kadang dia lihat cermin pandang belakang. Memang aku dapat rasa, adik aku takut. Aku kenal adik aku, dia bukan penakut, pernah dia seorang memandu trak bawa mayat pelajar mati lemas tengah malam buta seorang diri. Di kampung, selamba dia cari buah kemunting di tempat yang sangat keras yang ditakuti orang kampung. Aku pernah tanya, tak seram ke? Dia cakap biasa saja, kita semua akan mati juga nanti.
“Jom balik la” aku pujuk lagi. “Aku rasa tak sedap hati kalau kita balik, pasai apa aku tak tau. Tak pa lah, kita slow-slow pi tempat checkpoint tu” kata adik aku. Nampak sangat degilnya, dari kecil sampai tua bangka degil dia tak berubah. Mencarut-carut adik aku sorang diri. Aku malas nak layan, angin sebab dia berdegil tak mahu balik sedangkan masih awal.
Semasa dalam pemanduan ke tempat checkpoint tu, kami hanya mendiamkan diri. Tak lama, mungkin dalam 30 minit, kami sampai di tempat checkpoint. Melepasi kampung-lampung, kemudian hutan je, kena naik bukit sikit. Lupa aku apa nama tempat tu. Keadaan masih sangat gelap kerana kawasan hutan, jalan pun hanya dua lorong, mujur lampu jalan ada. Aku nampak ada sebuah lagi trak tentera di tepi jalan. Dah tentu kawan adik aku sedang menunggu adik aku, sebab rasanya shift dia tamat. Adik aku pun berhenti di tepi jalan tidak jauh dari trak pertama tadi dan turun mencari rakan sekerjanya. Aku perasan ada macam lopak di belakang trak, air bukit meleleh je turun di dua tiga tempat. Tentu ada orang menadah air bukit sebab ada botol air mineral semuanya berderet disusun di tepi lopak. Di tepi ialah bukit ditarah dan bersimen, tanda jalan tu akan dibesarkan. Aku nampak kon warna oren milik kontraktor dan tong sampah hijau berdekatan lopak air tu. Tiada yang aneh sebab keadaan yang biasa kita tengok, kan?
Aku tidur-tidur ayam sebab sangat sejuk walau aku sempat capai sweater. Kemudian, adik aku masuk trak ambil rokok dan cakap dia akan tidur di belakang kerana menurut kata kawan dia, para pelajar mungkin akan sampai paling awal pukul 6, jadi dia ambil kesempatan lelapkan mata di atas pangkin trak. Aku dapat dengar adik aku naik dan duduk kerana lantai trak kan besi dan kasut tentera kan keletuk keletak macam tu. Dia kata kalau aku tersedar kejutkan dia bila hampir jam 6. Tapi tak lama, adik aku dapat panggilan dari kawan dia. Dia pun turun dan pergi ke depan dalam 20 meter, masuk dalam hutan sedikit. Tinggalah aku seorang, dan untuk menghilangkan bosan, aku pasang earphone dan dengar lagu dari handphone. Aku tak pasang surah dari Quran, dalam kisah lain aku akan kongsikan kenapa.
Aku dah mula nak terlelap, tapi walaupun telinga aku bersumbat, aku dengar seperti deburan air. Macam orang sedang mandi di kolah pakai gayung. Ahhh sudah, dia mula daaahhh…Memang jelas bunyinya. Aku kuatkan volume handphone, dan bunyi deburan air pun ikut kuat juga. Lopak tu bukannya dalam. Tapi yang aku dengar macam bunyi orang mandi berjemaah. Makin lama makin ramai pulak bunyi orang mandi. Tiba-tiba senyap, aku secara automatik aku pun memperlahankan volume handphone. Aku tak berani nak buka mata. Dada aku bergoncang kuat sebab selepas tu aku dapat dengar derapan kaki, bunyi seperti budak-budak sedang memijak-mijak air, macam budak-budak suka buat kalau jumpa lopak air. Tiada suara yang keluar, cuba bunyi lopak air dipijak-pijak.
Dalam hati aku berdoa supaya adik aku muncul. Kecut dah perut aku bila kali ni aku dengar bunyi dapat kaki-kaki ada lagi yang macam bermain lopak, dan bunyi langkah menghampiri belakang trak. Kemudian senyap. Tak lama kemudian aku dengar suara kanak-kanak ketawa, macam sedang bermain. Mula-mula satu suara, kemudian dua dan lama-lama banyak pulak, sebijik macam bunyi suara kanak-kanak ketawa bila bermain. Meriah pagi yang sunyi tu dengan bunyi gelak ketawa budak-budak. Jantung aku berdegup laju, aku kuatkan balik volume handphone dan tutup mata rapat rapat.
Bunyi air dipijak-pijak kemudian diiringi suara perempuan humming. Bunyinya macam lagu melayu klasik, mendayu-dayu. Macam-macam surah aku baca, semuanya tunggang langgang. Bayangkan telinga aku bersumbat earphone, tapi suara humming tu macam di tepi telinga aku je walaupun volume aku dah maksimum. Aku berdoa janganlah ada aksi panjat trak. Belum pun habis , dengan jelas aku dapat dengar ada sesuatu dah memanjat belakang trak. Rasa takut jangan cakaplah. Aku rasa macam nak terjun dan pergi cari adik aku, tapi buatnya dia masuk hutan. Dahlah aku ni rabun. Memang jelas aku dengar bunyi langkah di belakang trak. Langkah pendek-pendek, macam langkah kanak-kanak. Tunggang-langgang ayat Kursi aku baca. Punyalah takut rasa macam nak pecah dada
Dalam dok takut bagai nak mati, aku dapat mesej di whatsapp. Aku sebenarnya takut nak buka mata. Kemudian, satu lagi mesej masuk. Dan satu panggilan yang sengaja dimatikan. Mahu tak mahu, aku buka juga whatsapp dan baca kerana mungkin mesej dari adik aku. Mesej dari adik aku berbunyi “Jangan turun. Ada benda ataih bumbung”. Mak aii.. lagilah takut aku jadinya. Aku dah gelabah tak tahu nak buat apa. Tadi aku dengar bunyi di belakang, masa bila pulak benda tu dah naik ke bumbung. Apa yang aku boleh buat hanya mematikan diri, pejam mata rapat2. Kaki pun dah rasa macam lembik, tak daya dah nak berlari kalaulah benda tu tiba-tiba ada tepi aku.
Dalam dok berperang dengan perasaan, tiba-tiba pintu trak diketuk. Aku rasa getaran ketukan tu, tapi aku buat tak endah. Ketukannya makin kuat dan kali ni ketukan tu di cermin pulak. Dalam hati, matilah akuu… Aku yang dah lembik pura-pura tidur. “Bang! Bangg!!” aku dengar suara lelaki. Tapi bukan suara adik aku. “Buka pintu, benda tu dah tak ada”. Tapi hati aku berperang, macam mana dia tahu “benda” tu ada? Hantukah? Suara itu jelas bukan suara adik aku. “Saya ni student stap (staff – adik aku). Dia yang suruh saya panggil abang”. Lega sikit hati aku. Baru aku berani buka mata.
Memang budak tu seorang pelajar universiti tu. Memakai pakaian seragam tapi agak comot. Aku buka pintu dan turun. Kami bersalaman. “Saya Fisol bang. Baru keluar hutan. Stap ngan stap sorang lagi dok tunggu yang lain sampai. Abang ada rokok?’ tersengih budak tu minta rokok dari aku. “Ada” kata aku sambil buka pintu dan terjun turun. Tak berani aku nak pandang belakang. Sambil menyalakan rokok kami berjalan ke trak pertama dan nampak beberapa pelajar sudah keluar dari semak-semak. Jadi bising sekejap sorakan budak-budak bila semua dah keluar. Kami duduk bersila di atas jalan raya. Rasa takut di hati masih ada, gundah tu aku tak boleh tipu. Fisol dapat rasa mungkin. “Toksah takut bang. Benda tu nak mengusik ja. Lama dah dia tak mengusik orang” kata Fisol sambil menghembus asap. “Takde apa-apalah bang, dia pun dah balik” kata Fisol.
Aku masih berdebar dan semuanya rasa tawar. Selesai semuanya, bila budak dah selamat naik trak, kami pun beredar. Kali ni aku berani pandang, tapi keadaan seperti tadi. Tiada apa yang pelik pun. Adik aku turunkan aku kat rumah sewa dia dan hantar budak-budak tu balik. Dia pesan tak payah takut, buka semua lampu dan tunggu dia balik. Paksa dalam rela, aku masuk dan pasang lampu, tak berani nak tidur. Aku solat Subuh dan hanya duduk di sofa, matahari pun dah nak terbit. Hampir pukul 8 baru adik aku sampai rumah.
Dipendekkan cerita, petang tu aku belanja adikku, Fisol dan beberapa orang kawannya kat kedai tomyam semalam. Semasa makan Fisol buka cerita “Stap bagitahu saya, di pejabat dia pun kena kacau. Benda tu macam ikut stap sampai sini, sebab macam dah kacau dia. Alah bang, dia saja nak mengusik tu”. Fisol ada kelebihan boleh nampak dan berinteraksi dengan makhluk yang kita tak boleh nampak. Baik budaknya, alim dan kelakar. Seronok dengar pengalaman mistik Fisol ni. Orang ada ilmulah katakan.
Cerita adik aku pulak, masa dia buka je lampu pejabat, dia nampak ada seorang perempuan berbaju merah, bersanggul dan memegang payung kertas sedang berdiri membelakangkan dia. Dia juga nampak beberapa budak hitam di bawah meja dan belakang almari. Budak-budak tu katanya, hitam legam, yang nampak cuma mata mereka yang terbeliak. Semuanya kecil-kecil macam budak 4 atau 5 tahun. Kerana terkejut, dia tak sempat bawa barang yang dia sepatutnya ambil. Kata adik aku, orang luar takkan boleh masuk pejabat walaupun student sekalipun. Hari tu, malang mungkin bagi adik aku, tiada pegawai dan dia pula kena kacau. Yang pelik, kata adik aku, dia terlupa langsung yang dia dah ternampak budak-budak hitam legam tu berjalan berderet depan trak. Bila dah masuk trak, barulah dia teringat.
Satu lagi, adik aku cakap dia memang dengar alarm berbunyi. Memang itu yang dia set, pukul 4.30 pagi. Itu sebabnya dia mandi dan bersiap, biasalah disiplin askar. Tak sangka, dia “dibangunkan” jauh lebih awal. Budak-budak hitam tu pertama kali cerita itu didengar. Kata Fisol, masa dia keluar dari hutan, dia memang dapat lihat perempuan baju merah tu macam tengah dok supervise anak-anaknya mandi. Dia siap berpayung, baju merahnya macam baju dulu-dulu. Dia berjalan melenggang-lenggang, sangat lemah lembut pergerakannya. Dia tak tunjukkan mukanya, kadang-kadang bila dia berpaling, mukanya tertutup dengan payung kertas tu.
Fisol kata dia pun nampak ramai budak, semuanya hitam legam sedang main-main dan salah sekor darinya dah naik belakang trak dan terus naik ke bumbung. Aku tanya, toyol ke, tapi kata Fisol bukan. Perempuan dan semua budak hitam legam tu lenyap bila Fisol berlari ke trak. Kata Fisol, benda tu tempat asalnya di hutan tu tapi telah mengikut trak yang dipandu adik aku kerana pemandunya sebelum ini mungkin sudah tidak sengaja berbuat sesuatu kat lopak air tu. Benda tu jadi marah mungkin sebab macam mengotorkan tempat anaknya mandi. Itulah ceritanya.
Sampai sudah aku tak dapat tengok orang main ghazal sebab lepas tu aku demam huhuhu…..
Sekian dari aku.
Pak Engku
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
bestlah cerita ni, seram pulak tu
Walaupun seram, tp kelakar juga ceritanya… 😂😂
Best baca ni.
alahai pak engku ni kalau bercerita mmg layan lah beb… dalam seram ada lawak, dalam lawak ade gak cerita yang nak disampaikan… saya bg 5 HA!
Ni pak engku yg dok tulis cerita yunus tu ka?
best2.. #thumbsup
******* – citer best..sampai boleh bayangkan keseraman..ngerii..tak nak kena macam ni…mintak Allah jauhkan