Bulan hantu

Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua pembaca Fiksyen Shasha. Ini pertama kalinya aku menaip secebis cerita untuk semua penggemar kisah mistik yang baru di ceritakan kepada aku semalam (7 Aug 2022) dari seorang pelanggan tetap aku berbangsa cina.

Sebelum itu, mari aku perkenalkan diri sebagai Nor, gadis melayu yg ramah tamah dan bekerja di sebuah cafe terkemuka di kawasan Lembah Klang. Cafe tempat aku bekerja ni adalah jenis shoplots dan di bahagian atas cafe adalah unit condominium 20 tingkat (mungkin lebih?) yang baru dibuka kira-kira lebih setahun yang lalu.

Pelanggan tetap aku ni, aku namakan sebagai Ms Yong, berusia dalam akhir 40an atau awal 50an (mengikut pengamatan mata aku lah) dan beliau adalah warganegara Singapura yang menjadi penduduk tetap di Malaysia.

Kebetulan, beliau adalah salah seorang dari resident condo di atas cafe tempat aku bekerja.
Sejak cafe ni dibuka pertengahan bulan March yg lalu, Ms Yong ni hampir dikatakan setiap hari datang ke cafe untuk makan makanan kegemaran beliau, Asam Laksa Penang taknak cili, otak udang pula nak banyak. Atau beliau datang untuk makan sepotong kek lobak merah atau kek Boston.

Sambil-sambil makan, beliau suka tengok drama Hong Kong di handhone (sebab beliau suka buka volume kuat) atau sekadar menyanyi-nyanyi kecil mengikut rentak lagu di TikTok. Kadang-kadang, aku saja ajak beliau berborak, tanya khabar, atau bertanya apa saja yang boleh dibuat modal bercerita sebab beliau pun jenis yang suka berborak.

Bulan Hantu

Ms Yong ni, kalau ada masa lapang, beliau suka berenang di kolam renang yg ada disediakan di condo ni. Tiap kali lepas berenang, beliau yang hanya berbaju spagetti dan berseluar pendek akan turun bawah singgah cafe makan kek sambil minum kopi. Sambil-sambil tu, beliau suka tanya perubahan bentuk badan beliau sama ada semakin kurus atau apa bahagian yang perlu dia kecilkan.

Untuk jaga hati dan sebagai kata-kata semangat, selalunya aku kata beliau tak gemuk pun walaupun beliau ni jenis chubby 😂😂.. Bukan lah kata tiap kali beliau datang, aku akan berborak dengan beliau. Ada masa-masa tertentu kita sebagai pekerja f&b ni, kena juga tengok keadaan. Ada masa pelanggan nak kan masa bersendiri, ada masa kalau pelanggan yang memulakan perbualan, memang selalunya berlarutan sampai masing- masing senyap buat kerja sendiri.

Seminggu lepas, aku saja berbasa basi dengan beliau. ” Ms Yong, lepas ni, pergi swimming ke?”. Dia menjawab “Ahhhh!! Takmau lah. Sekarang sudah ghost month ohh. Takmau lah saya. Takut!!” Kata beliau sambil buat gaya seperti dalam ketakutan dan tersengih sebab geli hati dengan ekspresi yang ditunjukkan.

Untuk pengetahuan pembaca, pada tahun ini Bulan Hantu jatuh pada 29 July dan berakhir pada 26 August.. manakala hari kemuncaknya jatuh pada 12 August iaitu hari ke 15, bulan ke 7 bagi kalendar lunar cina. Untuk maklumat lebih terperinci, pembaca boleh layari google ya.

Semalam, Ms Yong datang lagi. Ketika itu, aku sedang menyiapkan kertas kerja di meja paling belakang berhampiran dengan tandas yang dipisahkan dengan dinding kaca. Masuk-masuk saja dalam cafe, beliau sudah memesan sekeping kek lobak merah kegemarannya kepada seorang lagi staff kami dan beliau terus menuju ke bahagian belakang untuk menggunakan singki yang terletak di hadapan tandas untuk mencuci tangan. Keluar saja dari dinding kaca, sajalah aku menegur beliau.

Aku: hai Ms. Makan kek saja?
Ms Yong: ya loh. Tadi sudah makan. Ini mau makan kek saja.

Beliau jalan terus dan tiba-tiba berhenti terus memusingkan badan mengadap aku yang sedang duduk membuat kertas kerja.

Ms Yong: ehhh amoi, you tau tak. Itu hari saya ada pergi berenang sorang-sorang. Saya lupa sekarang bulan ghost. Selepas berenang, saya rehat sekejap tepi kolam renang. You tau tak, masa itu saya tengok di tengah kolam renang, tiba-tiba air bergerak (berombak) macam ada orang. Tapi saya bodoh tak ingat ini bulan ghost saya ingat sebab angin so saya biar saja.

Tak lama kemudian, husband sy call. Dia tanya saya ada di mana? Saya bagitau dia saya sedang swimming. Wahhhh dia cakap you sudah gila ke? Sekarang bulan ghost, you masih berani swimming? Terus saya tersedar saya sudah lupa bulan ini bulan ghost. Terus saya naik balik rumah.. (sambil gelak-gelak)

Aku: wahhhh!! Ms beraninya sorang-sorang swimming. Kalau saya sorang-sorang memang tak berani lah. (Kata aku pada beliau. Sebenarnya aku sendiri tak pandai berenang dan aku sebenarnya ada thalassophobia. 😅)
Kemudian, beliau menyambung..

Ms Yong: beberapa hari lepas haa, saya pergi berenang lagi. Biar la itu bulan ghost ke apa, saya tengok ada 2~3 orang swimming sana, so saya pun swimming saja lah. Ada orang maa so tak takut sangat. Ehh amoi you tau tak, masa saya sedang berenang, saya ada rasa orang sentuh saya punya tangan ini macam.. (sambil buat gaya) saya tengok sekeliling, tak ada sapa dekat sebelah saya. Semua orang jauh-jauh tak ada dekat punya. Wahhh, saya sudah takut. Tapi saya dalam hati cakap, saya tak kacau you, you jangan kacau sama saya. “Mereka” pun mau happy-happy maa… “mereka” pun ada guna swimmping pool berenang sama. Hahaaa. (Beliau gelak lagi)

Sepanjang penceritaan beliau, bulu roma aku tak berhenti meremang. Memang kalau dengar cerita seram dari mulut orang yang bercerita, selalunya suka sangat bulu roma aku ni meremang. Kalau baca sendiri, takde pulak perasaan meremang tu. Kemudian beliau menyambung lagi..

Ms Yong: itu hari saya nak naik lift. Saya tekan butang kemudian lift hujung yang buka.. saya masuk lah. Bila saya tekan butang tutup, pintu tutup tapi kemudian terbuka balik. Saya tekan butang tutup balik. Pintu tutup kemudian terbuka lagi. Macam ada orang sengaja mainkan you tak bagi you naik.

Aku: sana lift ada berapa Ms?

Ms Yong: ada 3 lift semuanya. Yang pintu terbuka saya masuk tu, lift bomba. Selepas tu, saya terus keluar dan saya bagitau pada “mereka”. Ahhh!! saya tak mau naik you punya lift lagi. You naik sendiri lah. Lepas tu, saya tunggu lift lain. Kemudian bila lift sudah sampai, saya naik ke rumah saya. You tau tak amoi, bila lift yang saya naik itu buka, saya keluar dan lift, lift bomba itu pun buka pinta. Asyik buka tak tutup-tutup. Macam tunggu saya masuk. Masa itu ada kakak cleaner di luar nampak saya. Saya bagitau kakak cleaner itu lift mau saya masuk. Kemudian kakak cleaner tu guna access card dia, tiitttt (bunyi access card) ahhhh biar itu lift naik atas..

Aku: sebelum ni pernah berlaku macam ni ke Ms?
Ms Yong: tak pernah, baru kali ni saja berlaku.

(Di sini aku tak berapa pasti sebab aku tak pernah duduk condo. Yang aku tau setiap resident ada access card sendiri untuk masuk ke kediaman masing-masing kan. Mungkin access card juga digunakan semasa menggunakan lift kot.. emmm 🤔)

Sebelum beliau berlalu untuk menikmati sekeping kek lobak merah, beliau memberitahu aku.. “sebenarnya “mereka” ada di mana-mana cuma kita tak nampak “mereka” saja. Asalkan kita tak kacau “mereka”, harap “mereka” pun tak kacau kita lah hooo” kata-kata terakhir beliau sebelum memusingkan badan meninggalkan aku keseorangan di meja belakang berhampiran tandas menyambung kerja-kerja yang terbengkalai manakala beliau tanpa menoleh lagi ke belakang terus menuju ke meja dengan kek lobak merah yang sedang menanti untuk dijadikan santapan.

Teringat aku pada satu cerita dari seorang pelanggan lelaki cina semasa cafe kami baru mula-mula dibuka. Ketika itu, beliau sedang menunggu pesanan makanannya siap untuk di bawa pulang.

Aku: sir, duduk sini dah lama ke? Bila condo ni di buka ye?
Mr pelanggan: i duduk sini pun baru 4 bulan saja. (Masa ni penempatan condo baru 50%) i pun tak pasti bila condo ni di buka tapi macam sudah setahun maybe.. tapi, you tau tak, masa mula-mula i masuk sini, sudah ada kes terjun b***h diri. Masa tu, i sedang menonton tv. Kemudian i terdengar ada bunyi jatuh di bawah. I ingat mungkin ada orang buang sampah dari tingkat atas. So, i buat tak tau saja lah.

Kemudian tak lama, ada bunyi siren polis masuk sini, i tengok bawah sudah ada ramai orang kumpul. Itu orang perempuan muda lagi. Macam bukan orang Malaysia. Vietnam rasanya. (Area sini memang ramai orang Vietnam. Boleh nampak kedai-kedai barangan mereka dan restoran makanan Vietnam di sini. Malah, sebelah cafe kami pun ialah restoran makanan Vietnam 😂)

Ms Yong: amoi, kira berapa?
Aku: RM××.××. Ms balik ni ada siapa di rumah? Anak ada tak?
Ms Yong: tak tau lah dia ada atau sudah keluar. Alahhh. Dia tak ada pun mau takut apa. Rumah sendiri kan.
Aku: ye lah, selagi tak ganggu, buat biasa saja lah ye Ms.
Ms Yong: ye lohh.. “mereka” pun ada saja di mana-mana. Kita saja tak nampak. Ayyoo kalau mau cerita, banyak lah. Tapi “mereka” tak kacau kita, kita buat tak tau saja lah. Ok lah, saya balik dulu. Sudah malam.

Maka, berakhirlah perbualan kami pada hari itu.

Tentu korang pernah ternampak di tepi-tepi jalan ada lilin besar di bakar, ada makanan-makanan di letakkan, ada bendera segi tiga bertulisan cina berkibaran kan. Ada sesetengah tempat pula, ada pentas persembahan nyanyian dan tarian dari gadis-gadis genit cina berpakaian seksi yang menghiburkan dengan lampu sorot berwarna warni berpancaran. Ada kerusi di depan pentas disediakan. Tapi, jangan duduk di situ pula. Sila hormati “mereka” yang maukan hiburan. Kesian juga kalau “mereka” takde tempat duduk. Nah, berkemungkinan bulan itu sudah masuk Bulan Hantu. Maka berjaga-jagalah. Mana tahu “rezeki” korang boleh bergembira bersama “mereka” tanpa korang sedari dari mana asal “mereka” berada. 😊

Disclaimer: ini adalah kepercayaan bagi kaum cina. Sebagai masyarakat negara majmuk, tak salah jika kita mendengar dan berkongsi cerita kepercayaan antara kaum yang lain. Anggap saja itu sebagai hiburan semata. Di dalam agama Islam sendiri, beriman dengan perkara ghaib antara ayat yang banyak disebut di dalam al-Quran.
Malah ia juga terkandung dalam rukun iman. Cuma dalam kalender Islam, tiadalah istilah Bulan Hantu. Sekian..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Nor
Rating Pembaca
[Total: 81 Average: 4.1]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.