BUNYI GIGI DI TENGAH MALAM

Selepas kejadian malam tu, kampung Sungai Tawar jadi sepi. Tak ada siapa berani lalu depan rumah Mak Som. Ada yang kata dia gila, ada yang kata dia “kena balik”, tapi yang pasti setiap malam Jumaat, mesti ada orang terdengar bunyi gigi mengetap dari arah kebun pisang.

Beberapa bulan sebelum kejadian, anak bongsunya, Ika, baru balik dari bandar. Cantik orangnya, lembut tutur katanya, tapi sejak dia balik, perangainya lain macam. Suka menyendiri, suka duduk depan cermin lama-lama, dan selalu bercakap seorang diri dalam bilik.
“Mak, Ika kawan dengan siapa?” tanya Mak Som satu malam.
Ika cuma senyum, “Kawan lama, mak. Dia duduk bawah pokok pisang belakang rumah.”

Mula-mula Mak Som ingat Ika bergurau, tapi bila setiap malam ada bau hanyir dari arah kebun, barulah dia rasa tak sedap hati. Dia pernah nampak bayang hitam tinggi, berdiri di antara pokok pisang bila azan Maghrib berkumandang. Tapi bila dia jenguk balik tak ada siapa.

Satu malam, Mak Som terdengar bunyi Ika mengetap gigi dalam bilik.
“Ketap… ketap…”
Dia buka pintu perlahan-lahan  dan nampak Ika tengah duduk depan cermin, rambut menutup muka, tangan kiri menggenggam segumpal rambut sendiri, tangan kanan pegang sikat patah.
Cermin tu kabur, tapi dalam pantulan tu… ada dua bayang.
Satu Ika, satu lagi perempuan lain pucat, mata merah, gigi tajam sampai pipi.

Esok paginya, Ika hilang. Hanya tinggal sikat patah dan kain batik yang basah dengan lumpur kebun. Orang kampung cari, tapi tak jumpa. Seminggu kemudian, Mak Som mula dengar bunyi gigi tu setiap malam dari kebun.
Dan malam terakhir, dia keluar dengan lampu suluh dan jumpa “Ika” seperti yang diceritakan orang.

Selepas kematian Mak Som, rumah tu dibiarkan kosong. Tapi sampai hari ni, orang kampung masih dengar bunyi tu kalau lalu tepi kebun pisang lepas tengah malam.
Bunyinya makin kuat bila bulan mengambang penuh…
“Ketap… ketap… ketap…”
Dan kalau kau dengar bunyi tu jangan toleh. Sebab kadang-kadang, yang tengah mengetap gigi tu bukan manusia lagi.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

LizahHazil

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.