Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh & Salam Sejahtera. Sudah berbulan rasanya aku tidak menghantar sebarang cerita baru ke Fiksyen Shasha. Tanpa membuang masa lagi aku akan menceritakan kembali sebuah kisah yang agak seram yang telah berlaku di kampungku pada penghujung bulan Disember tahun lepas (2017). Semoga dijadikan iktibar dan pengajaran bagi kita semua. Dengan lafaz yang suci lagi agung, Bismillahirrahmanirrahim, aku mulakan penulisan ini sebagai pembuka tirai kisah seram daripada Carlito Rocker bagi tahun 2018.
Seperti biasa sebelum aku menceritakan kejadian ataupun peristiwa yang telah berlaku itu, aku akan menjelaskan dahulu mengenai subjek utama yang telah menimbulkan masalah pada ketika itu.
NENEK KERAWANG BERTANDUK 2
Aku namakan makhluk puaka ini sebagai Nenek Kerawang Bertanduk 2 kerana rupabentuk, sifat, dan wajahnya yang jauh berbeza daripada hantu Nenek Kebayan yang pernah aku temui. Jauh berbeza maksudnya memang tiada langsung unsur persamaan yang terdapat pada diri mereka. Ia bersifat mengganggu, melakukan kekacauan, serta boleh mendatangkan penyakit kepada individu yang diganggu olehnya. Secara mutlaknya kesan gangguan tersebut adalah sama seperti yang dilakukan oleh makhluk puaka jenis lain. Ia banyak memberikan kesan buruk terhadap emosi dan fizikal mangsa tersebut. Mangsa yang diganggu kebiasaannya akan mengalami delusi, halusinasi, kesukaran untuk tidur pada malam hari (imsonia), suhu badan menjadi panas pada waktu malam, kulit terasa gatal beserta timbul ruam merah seperti terkena serangan gegata, hati menjadi tidak tenteram (takut, berdebar, resah, & panik), dan ada juga mangsa yang menjadi kurang berselera untuk makan. Adapun begitu, gangguan yang paling hebat yang boleh dilakukan olehnya adalah dengan melakukan penyamaran serta menyembunyikan mangsanya daripada penglihatan mata manusia biasa.
Ciri-ciri yang terdapat pada seekor hantu Nenek Kerawang Bertanduk 2 adalah:
Tekstur kulitnya berkedut seribu dan berwarna hitam pekat. Mempunyai 2 batang tanduk yang panjang, berhidung mancung jatuh ke hadapan, anak mata berwarna hitam, bertelinga panjang, berbadan cengkung tetapi tidak berbongkok, berambut panjang paras bahu tetapi kembang, bergigi bergerigis tajam (mempunyai 4 gigi taring), mempunyai tangan yang agak panjang, berkuku tajam, dan menutup auratnya dengan kain putih yang agak berkerawang. Daripada pandangan kasarku, kemungkinan besar dia adalah hasil kacukan daripada Pontianak, Langsuir, Nenek Kebayan, dan juga Hantu Purdah. Dia juga boleh berkomunikasi seperti manusia biasa. Badannya pula berbau agak masam. Masamnya adalah seperti bau minyak Attar yang telah dicampur dengan daun limau purut ataupun serai. Sekiranya korang semua tercium bau aroma seperti di atas, besar kemungkinan dia mungkin sedang berada di sekitar kawasan berhampiran ataupun sedang berkeliaran di sekeliling korang. Jangan terlalu membayangkan akan ciri-ciri dan bentuk fizikalnya kerana seperti yang selalu aku tekankan sebelum ini bahawa hantu puaka adalah jelmaan jin dan mereka boleh muncul di mana-mana sahaja dalam tempoh sekelip mata dan mengganggu sesiapa sahaja yang membayangkan, menyeru, ataupun memikirkan akan dirinya.
DISOROK HANTU NENEK KERAWANG BERTANDUK 2
Kisah ini adalah sebuah kisah benar, melibatkan diriku, dan terjadi di kampungku sendiri pada akhir bulan Disember tahun lepas (2017). Cuti hujung tahun yang bersambung terus dengan cuti awal tahun dimanfaatkan sebaik mungkin olehku. Hanya waktu itulah aku betul-betul dapat bersama dengan keluargaku yang tercinta. Kepulangan itu juga adalah kerana aku terpaksa menghadiri beberapa undangan majlis perkahwinan daripada sanak-saudara dan rakan-rakanku sendiri. Kesibukan kerja sedikit sebanyak telah membataskan aktiviti kehidupan seorang lelaki yang korang semua kenali dengan nama pena Carlito Rocker ini. Ayuh kita bersama-sama menerokai kisah seram ini.
Aku tiba di kampung pada waktu tengahari. Ketika sampai di rumah aku dapati tiada sesiapa pun yang berada di situ. Lalu aku menghubugi walid. Rupa-rupanya walid, umi, dan adik lelakiku sedang berada di hospital kerana melawat sahabat lamanya yang ditahan di wad akibat demam denggi. Selesai Zohor aku menghubungi sahabat-sahabat lama untuk mengajak mereka melepak di ‘port’ lepak wajib kami iaitu di warung Lebai Batman. Hanya 2 orang sahaja sahabat yang dapat menerima ajakanku ketika itu iaitu Mizi dan Zam. Tepat jam 2:30 petang aku mengambil mereka di rumah masing-masing lalu menuju ke warung kesayangan kami itu untuk memulakan proses jejak kasih akibat sudah tidak lama bersua muka kerana kesibukan kerja.
“Korang ada dapat gambar budak ni tak?” Soal Zam sambil menunjukkan gambar seorang budak lelaki yang baru sahaja diterimanya daripada group whatsapp sahabat-sahabat sekolah lama kami.
“Anak Ayie rupanya. Weh, bapaklah…Anak dia pun dah besar. Kau bila lagi Zi?” Sinisku pada Mizi sewaktu mencedok sup tulang Lebai Batman yang masih berasap ke dalam mulutku. Pergh, keenakannya tiada tandingan. Masih terasa sama seperti dahulu. Cukup membangkitkan nostalgia lama ketika kami menjadikan warung ini sebagai medan pertemuan dan ukhwah sesama kami ketika di zaman muda remaja dahulu.
“Duk tanya pasal aku…Kau pun dua kali lima jugak Aish. Kehkehkeh…”
“Kahkahkah…Chillex, belum ada jodoh lagi. Jangan terburu-buru Zi. Entah-entah silap haribulan aku jadi adik ipar kau ke…Mana kita tahu…Kan?” Selorohku diselangi gelak ketawa mereka berdua.
“Apa kes dengan anak dia Zam?” Soalku serius.
“Kes berat. Syafakallah…”
Alkisahnya begini. Anak kepada salah seorang sahabat kami iaitu Ayie telah hilang sejak dari tengahari lagi. Untuk pengetahuan semua, anaknya baru berusia 5 tahun dan kali terakhir dilihat berada di perkarangan luar tadikanya sewaktu menunggu ibunya untuk menjemputnya pulang ke rumah. Menurut guru-guru di tadika itu, mereka terlepas pandang dan menyangkakan bahawa anaknya itu sudah diambil oleh ibunya. Gerakan mencarinya sedang giat dijalankan oleh ahli keluarga, penduduk kampung, dan jiran tetangga. Bagiku kes ini adalah kes berat. Ia berpunca daripada kecuaian pihak tadika itu sendiri. Jawapan daripada guru-gurunya itu adalah klisé dan mereka seperti ingin menyelamatkan bontot masing-masing dengan memberi jawapan tersebut. Tadika itu juga tidak dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV). Setahu aku pada zaman moden yang serba canggih ini setiap pusat jagaan kanak-kanak harus dilengkapi dengan CCTV bagi tujuan pemantauan dan keselamatan anak-anak kecil yang tidak berdosa itu.
Sebenarnya aku agak tertarik dengan kes ini lalu mengambil keputusan untuk turut sama menggembleng tenaga mencari anaknya itu. Tadika tersebut memang tidak asing bagiku dan aku akui bahawa tempat tersebut agak keras kerana aku sendiri selalu ternampak kelibat-kelibat makhluk puaka yang mendiami tadika tersebut. Di bahagian belakang tadika tersebut pula terdapat kawasan tanah rizab kerajaan yang agak bersemak samun namun ia tidaklah jauh daripada rumah-rumah penduduk kampung kami. Pada mulanya aku mengajak Mizi dan Zam untuk turut serta turun padang tetapi disebabkan oleh isteri Zam yang sedang sarat mengandung dan berseorangan di rumahnya maka hanya aku dan Mizi sahaja yang berkesempatan untuk menyiasat dengan lebih lanjut tentang misteri kehilangan anak kepada sahabat kami itu.
LEWAT PETANG – TADIKA
Selepas menghantar Zam pulang, aku dan Mizi meneruskan perjalanan ke tadika tersebut. Sesampainya di situ terlihat akan kami beberapa orang penduduk kampung yang juga mempunyai matlamat yang sama seperti kami sedang duduk bersembang di sebuah gazebo kecil di dalam kawasan tadika tersebut. Setelah memperkenalkan diri, kami semua mula berbincang tentang kes yang agak pelik dan misteri ini. Pelbagai teori dikemukakan. Antaranya ialah:
- Mangsa mungkin diculik untuk diseludup ke negara jiran ataupun dibawa ke negeri lain untuk dijadikan pengemis.
- Mangsa mungkin telah tersesat dan tidak menemui jalan pulang.
- Mangsa mungkin telah terbunuh akibat kemalangan lalu mayatnya dibuang ke tempat yang jauh dari situ.
- Mangsa mungkin menjadi sasaran penjenayah yang gila seks (pedofilia) lalu penjenayah itu telah menculik mangsa dan menjadikannya sebagai hamba seks.
- Mangsa mungkin disorok oleh makhluk ghaib ataupun dibawa masuk ke kawasan penempatan bunian.
Kesemua teori di atas adalah logik dan rasional, namun dengan serba sedikit pengalaman yang ada aku ingin menggunakan teori terakhir itu sebagai opsyen pertama. Walaupun sesetengah daripada korang mungkin akan beranggapan bahawa aku mempunyai fikiran yang kolot tetapi itu adalah cara pertama yang seringkali digunakan olehku sekiranya berdepan dengan kes anak-anak yang hilang secara mengejut. Ada masanya berhasil dan ada masanya tidak. Kadar nisbah bagi kes kehilangan yang melibatkan makhluk ghaib adalah dalam lingkungan 1:50,000 sahaja. Sekiranya tidak berhasil maka serahkan sahaja pada pihak polis kerana mereka lebih tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Bagiku apa yang penting adalah berusaha. Jangan hanya duduk berdiam diri tanpa membantu. Jadi tidak ada salahnya untuk cuba membantu walaupun harapan yang ada hanyalah senipis kulit bawang. Jangan jadi sekadar pemerhati ataupun sekadar menunggu peluang. Jadilah penggerak dan agen perubahan. Kejayaan tidak akan datang bergolek lebih-lebih lagi di zaman moden yang serba mencabar ini.
Baiklah, berbalik kepada cerita yang hendak disampaikan. Tadika itu dibina berkonsepkan seperti rumah kampung lama di mana ianya adalah sebuah bangunan kayu yang mempunyai ruang kosong di bawahnya. Begini maksudku. Ia bercirikan rumah kampung lama di mana lantainya adalah lantai papan dan di bawah lantai tersebut terdapat ruang kosong bagi tujuan penyimpanan barang ataupun kawasan rehat di bawah rumah. Ia tidak berdinding kecuali terdapat sebuah stor kecil di situ. Oh ya, sebelum aku terlupa. Mangsa dikenali dengan nama Azim. Aku memulakan pencarian dengan pembacaan surah 3 Qul disusuli pula dengan memanggil nama penuhnya berbintikan nama ibunya dalam bilangan ganjil. 3 kali kami bertawaf mengelilingi kawasan tadika itu namun tiada sebarang petanda yang menunjukkan bahawa dia disorok oleh makhluk-makhluk puaka yang berada di situ. Terdapat agak banyak kehadiran makhluk puaka di situ. Mereka mungkin adalah penghuni asal yang sudah lama bertapak di situ. Ada yang berkawal di atas bumbung, ada yang bermain-main di atas buaian, gelongsor, dan jongkang-jongkit. Manakala di bahagian penjuru belakang pagar tadika itu pula terdapat seekor mawas besar yang aku kirakan bersaiz seperti sebuah bas yang hanya memerhatikan gelagat kami berdua semenjak dari mula lagi. Aku berlagak biasa tidak mengendahkan kehadiran mereka. Prinsipku mudah – AKU TAK KACAU KAU, KAU JANGAN BERANI KACAU AKU dan aku tahu bahawa kita semua berkongsi alam yang sama cuma dibezakan oleh lapisan dimensi yang berbeza. Aku kemudiannya menuju ke ruangan bawah tadika dan berhenti di hadapan pintu stor itu. Mizi ditugaskan untuk berjaga-jaga di perkarangan hadapan tadika.
Aku ternampak 2 orang budak kembar dan seekor kelawar besar tergantung di dinding luar stor itu. Wajah kedua-dua budak itu mirip seperti wajah Azim. Dengan pantasnya aku memanggil mereka berdua bagi sesi kawat cam. Tujuan aku berbuat demikian adalah untuk memastikan samada kedua-duanya adalah jelmaan jin yang menyerupai fizikal Azim ataupun salah seorang daripada mereka adalah empunya diri yang sebenar.
“Assalamualaikum Muhd Azim binti ######. Mak awak tunggu kat luar tu.” Sapaku pada mereka berdua.
3 kali aku memberi salam dan bertanyakan soalan yang sama namun tiada sebarang jawapan yang diterima. Maka aku mengandaikan bahawa kedua-duanya adalah jin jelmaan manusia. Mereka mungkin sedang melakukan penyamaran ataupun sekadar ingin memperdayakan pandangan mataku. Untuk lebih kepastian aku memanggil Mizi untuk datang ke situ secepat mungkin.
“Apahal Aish?” Soalan pertama yang terpacul dari mulutnya.
“Takdelah, cuba kau tengok kat stor tu, pintu tu memang bentuk macam tu ke?” Soalku mengumpan dirinya supaya dia melihat ke arah pintu stor tersebut. Sekiranya dia ternampak salah seorang daripada budak kembar itu maka terhurailah segala kemusykilan yang membelenggu di jiwa, sekiranya tidak maka ia hanyalah jelmaan jin semata-mata kerana aku seorang sahaja yang perasan akan kewujudan mereka berdua.
“Pintu tu memang bentuk macam tu. Takkan bentuk piramid pulak?”. Maka semuanya sudah terang lagi bersuluh bahawa aku telah dipermainkan.
Kami kemudiannya melakukan pencarian di kawasan tanah rizab kerajaan itu. Di situ juga terdapat puluhan jelmaan makhluk puaka yang sedang bermaharajalela. Korang namakan sahajalah. Daripada spesies jerangkung, hantu raya, jembalang tanah sehinggalah membawa kepada haiwan jadian – SEMUANYA ADA. Tanah yang terbengkalai lama serta dipenuhi belukar boleh menjadi sarang kediaman bagi makhluk-makhluk puaka ini. Bagi sesiapa yang mempunyai tanah kosong, bangunan kosong, ataupun kediaman kosong yang sudah lama tidak berpenghuni maka aku sarankan agar korang semua untuk luangkan masa dengan membuat lawatan berkala dan memagarnya dengan ayat-ayat suci sekerap mungkin bagi mengelakkannya daripada didiami oleh pendatang-pendatang haram ini. Banyak kemudaratan yang boleh timbul di kemudian hari sekiranya dibiarkan begitu sahaja.
SELEPAS MAGHRIB – KEDIAMAN AYIE
Hatiku kuat mengatakan bahawa Azim masih hidup dan dia berada tidak jauh daripada kawasan kehidupannya. Memang aku dapat rasakan dia disembunyikan oleh sesuatu. Dalilnya kerana jelmaan 2 orang budak kembar yang mirip dengannya yang aku temui di tadika itu.
Aku menghubungi Ayie dan memaklumkan tentang hajat kami untuk ke rumahnya. Syukur kerana dia dan ahli keluarganya dapat menerima kedatangan kami. Sesampainya di sana aku berjalan-jalan di sekitar rumahnya dan mengulangi proses yang sama seperti yang telah aku lakukan di tadika itu. Hujan lebat tiba-tiba sahaja turun membasahi bumi. Kami berdua berehat sebentar di beranda sambil membincangkan perihal yang menimpa keluarganya. Aku memohon kebenaran daripada Ayie untuk masuk ke dalam bilik Azim. Kebiasaannya kawasan di dalam rumah dan bilik mangsa adalah tempat terakhir yang akan aku singgah untuk membuat carian. Setakat ini tiada sebarang penampakan makhluk puaka samada di bahagian luar ataupun di dalam rumahnya itu. Aku kemudiannya masuk ke dalam bilik Azim.
Mataku tertancap di sudut bilik itu. Aku dapat mengesan kehadiran seekor makhluk puaka. Ia menyorok di sebalik almari baju. Jarakku dengan jarak almari itu adalah di dalam lingkungan 7 kaki. Aku ternampak tanduk panjang terjulur keluar melepasi ketinggian almari baju itu. Kini aku berhadapan dengan seekor makhluk puaka yang belum lagi dapat dikenal pasti ras keturunannya. Aku belum lagi melihat dirinya dalam bentuk sebenar. Aku memberanikan diri lalu berjalan menuju ke sudut bilik yang menempatkan almari baju itu. Sambil aku berjalan sambil itulah aku mencuri pandang melihat rupa bentuknya yang sebenar. Ketika berdiri berhampiran dengan makhluk puaka itu aku terdengar jelas rintihan suara daripada seorang budak kecil.
“Nak keluar, nak keluar. Abang nak keluar. Abah! Abah kat mana! Mama!” Rintih budak tersebut.
Aku mendiamkan diri, sengaja tidak menjawab panggilan daripada ‘budak’ itu. Aku belum pasti samada budak itu adalah Azim ataupun jelmaannya semata-mata.
“Bala betol, mana kau pergi Muhd Azim binti ######.” Aku kononnya sedang bermonolog sendirian dengan suara yang lantang dan kuat supaya ‘budak’ itu perasan bahawa namanya sedang dipanggil olehku.
“Abang kat sini. Abang nak keluar! Abang nak keluar! Abah, mama…Abahhh…” Kali ini aku terdengar pula dia menangis dan bunyi seperti kaki menghentak lantai.
Betul firasatku. Azim berada di situ. Hatiku kuat mengatakan bahawa ‘budak’ itu adalah Azim yang sebenar. Kali ini aku berdiri bertentangan dengan hantu puaka itu. Ya Allah. Ciri-ciri fizikalnya agak mengerikan. Tidak menampakkan langsung unsur-unsur seekor Nenek Kebayan. Ia lebih mirip kepada seekor jembalang yang merbahaya. Aku masih lagi berpura-pura tidak perasan akan kewujudannya. Aku merendahkan badanku lalu berlakon seolah-olah sedang mencari sesuatu di atas lantai. Ketika itulah aku ternampak Azim. Dia duduk bersila betul-betul di bawah kangkang hantu puaka itu. Kaki hantu puaka itu dirapatkan menyebabkan dia terperangkap di situ.
Aku memanggil Ayie lalu mengarahkannya untuk mengambil wudhu dan beberapa barangan lain yang diperlukan untuk menyelesaikan segala masalah yang sedang menimpa keluarganya itu. Manakala ahli keluarganya yang lain aku arahkan untuk tunggu di kawasan beranda sahaja. Mizi pula aku tugaskan untuk berjaga-jaga di luar bilik.
“Ayie, kau pergi amik air sembahyang dulu pastu datang semula kat sini.” Arahku kepadanya.
“Kenapa?”
“Alah kau pergi jelah. Jangan banyak tanya. Bawak garam kasar dan lada hitam sama. Taruk dalam mangkuk besar.” Arahku lagi.
“Macam serius je kau ni? Kenapa ni?”
“Memang kes seriuslah! Satu lagi, bawak air putih ataupun air mineral sebotol.”
“Banyaknya barang yang kau pesan! Nak buat apa?” Selorohnya tanda memprotes.
“Kau ikut je cakap aku. Pergi sekarang Ayie. Aku ni kawan kau, kita naik sama-sama, jahanam sama-sama. Ingat tu, please!” Tiba-tiba sahaja dada terasa sebak apabila aku terlafazkan moto keramat kumpulan lama kami. {HIDUP SAMA-SAMA, NAIK SAMA-SAMA, JAHANAM SAMA-SAMA, SENANG SAMA-SAMA, LAPAR SAMA-SAMA, MAKAN SAMA-SAMA, MENANGIS SAMA-SAMA, KETAWA SAMA-SAMA, MATI SAMA-SAMA}
“Arrr. Ok, kau tunggu jap.”
Tak lama kemudian dia datang semula berserta dengan barang-barang yang telah dipesan itu. Aku kemudiannya berbisik kepadanya lalu menyuruhnya untuk menutup mata.
“Sekarang aku nak kau jangan terkejut, chillex, dan bukak mata kau slow-slow. Ingat tu. Ada faham?” Soalku sambil mengurut-ngurut kepalanya.
“InsyaAllah. Aku faham.”
“Aku nak kau janji dulu. Kau mesti chillex dan bertenang je. Janji ok?”
“Janji!”
“Bukak mata kau sekarang.”
“Takde apa-apa pun.”
Aku menghalakan tanganku ke arah sudut yang menempatkan almari itu.
“Apa benda tu?” Soalnya kehairanan.
“Kau rasa?”
“HANTU?”
Aku mendiamkan diri sambil tersenyum.
“Weh, hantu ke?”
“Ya.”
“Aduh. Aku tak nak tengoklah benda-benda macam tu Aish! Kau ni gila arr, apa kena dengan kau ni?”
“Nanti kau tahulah sebabnya. Kan aku dah pesan tadi. Chillex. Ada faham?”
“Weh, itu suara anak aku. Suara Azim tu.” Ketika itu barulah dia faham akan tujuan murniku itu. Aku memberi isyarat supaya bertenang dan jangan bertindak melulu.
Aku mula membaca surah Al-Fatihah, ayat Qursi, surah 3 Qul, ayat ke 56 daripada surah An-Nisa, dan juga ayat ke 57 daripada surah Al-Ankabut lalu menghembus nafasku ke dalam mangkuk yang telah diisikan dengan campuran garam kasar dan lada hitam itu. Biasanya aku hanya akan membaca ayat Qursi, surah 3 Qul, dan lafaz kalimah Allah Hu sahaja tetapi kali ini aku menukar strategi dengan menambah bacaan Al-Fatihah berserta potongan ayat daripada surah Al-Nisa dan Al-Ankabut. Korang semua jangan salah faham kerana sebenarnya setiap ayat, surah, dan doa yang dilafazkan dengan betul waima seringkas ‘AUZUBILLAHIMINASYAITANNIRRAJIM’ sudah mampu untuk membuatkan golongan jin kafir serta iblis kecut perut dan panas ketika mendengarnya. Syaratnya adalah lafaznya harus jelas dan ditujukan khas kepada jin ataupun hantu puaka itu secara langsung (face to face). Selebihnya tawakal dan serahkan jiwa 100% kepada Allah Taala. Garam kasar dan lada hitam adalah medium yang sememangnya mampu melemahkan dan mencederakan mereka.
Sesudah itu aku memberi arahan kepada Ayie untuk menarik anaknya yang berada di bawah kangkang hantu puaka itu sejurus sahaja aku merenjis campuran garam kasar dan lada hitam yang telah ditahbiskan dengan ayat-ayat suci tersebut.
“Ok bro. Are you ready bro?”
“Dah. Jom!”
“HIDUP SAMA-SAMA, MATI SAMA-SAMA. Jom!” Dengan begitu bersemangatnya kami berjalan menghampiri hantu puaka itu.
“1, 2, 3. Sekarang!”
Aku membaca lafaz kalimah Allah Hu berulang kali sambil merenjis-renjis campuran medium tersebut. Tatkala itu juga hantu puaka itu berteriakan dan mengaum seperti seekor harimau yang sedang bertarung dengan musuhnya. Satu rumah dikejutkan dengan teriakan yang cukup dasyat itu. Azim selamat ditarik keluar tetapi berada di dalam keadaan lemah dan kebingungan. Aku memanggil Mizi untuk masuk ke dalam bilik dan menemani 2 beranak itu.
“Zi, kau bukak air botol kat atas meja tu pastu simbah atas muka anak dia tu sekarang jugak.”
Sementara itu aku cuba untuk berinteraksi dengan hantu puaka itu.
“Kenapa kau amik budak tu?”
“Lepaskan aku…”
“Kau jawab dulu…”
“Lepaskannnn akuuuuuuu!”
“Tak nak menjawab erk. Kau tunggu.”
Aku mendekati Ayie lalu menghasutnya untuk membalas dendam kepada hantu puaka yang telah menyorokkan anaknya itu. Pada mulanya dia enggan tetapi setelah aku berulang kali memberi kata-kata semangat dan motivasi dia akur menuruti arahanku. Aku faham kerana itu adalah kali pertama dia melihat kewujudan hantu puaka secara langsung. Aku hanya ingin memberikannya peluang untuk membalas dendam sementara aku masih berada di situ.
“Kau masuk dulu, kau lenjan dulu. Aku follow.” Jelasku dalam keadaan berani-berani takut. Sejujurnya aku bukanlah begitu berani sangat tetapi disebabkan ia melibatkan nyawa seorang anak kecil yang juga anak kepada sahabatku sendiri, hatiku menjadi panas mendidih, adrenalin meningkat naik, dan semangat untuk membalas dendam itu berkobar-kobar.
“Aku nak lenjan. Tapi kalau dia balas dendam camne?”
“Kejap lagi dia blah. Dia takkan kacau korang dah.”
“Kau biar betul?” Soalnya dalam keadaan was-was.
“Betul.”
“Nenek tanduk muka rentung woi! Aku tanya sekali lagi. Kenapa kau sorok budak tu?”
“Dia yang ngikutin aku, dia yang ingin berteman denganku…” Jawapannya itu hanya memanaskan telinga aku. Kedengaran jelas bahawa makhluk puaka ini bukan berasal daripada Malaysia. Loghatnya lebih menjurus kepada loghat Indonesia.
“Huh menjawab pulak orang tua kertuk ni! Aku sekeh kau nanti!”
Ketika itu Ayie ketawa terbahak-bahak melihat perlakuanku.
“Dah yang kau tanya, dia jawablah. Kau ni punya sengal daripada zaman dulu membawak ke sekarang. Hahaha..”
“Ayie kau masuk sekarang!”
Apa yang aku boleh katakan adalah Hantu Nenek Kerawang Bertanduk 2 itu hampir lunyai dikerjakan oleh Ayie. Aku hanya menampar sekali dua disusuli dengan merenjis tawar campuran garam kasar dan lada hitam itu berulang kali. Ayie pula berkelakuan seperti seorang ahli ‘kickboxing’ yang sedang naik syeikh. Dia tanpa rasa segan silu dan rasa bersalahnya telah membelasah warga emas bertanduk dari alam ghaib itu tanpa sebarang belas kasihan.
“Wah kau, mentang-mentanglah aku kasi chance.” Selorohku sambil memerhatikan sebuah pertarungan epik yang boleh diibaratkan sebagai ‘Match of The Century – MAN Vs. BEAST’.
“Bismillahirrahmanirrahim. Aku akan lepaskan kau wahai nenek tua. Tetapi bersyarat.”
“Errr errr…” Dia masih lagi mampu berdiri walaupun mukanya sudah terkopak dan herot akibat dibelasah oleh Ayie.
“Kau pulang ke tempat asal. Kau tinggalkan kawasan ini dan kau bersumpah yang kau takkan kacau budak tu, keluarga dia, dan seluruh keturunan dia lagi. Boleh?”
“Errr errr…Err…”
“Sekiranya kau ingkar, laknat Allah atas kau kekal sepanjang masa.”
“Errr…Errr errr.”
“Kau setuju atau tidak?”
“Errr errr errr…”
Aku merenjis lagi campuran garam kasar dan lada hitam itu kerana dia masih belum lagi memberi sebarang kata putus. Ngaumannya semakin lemah impak daripada pukulan Ayie berserta dengan renjisan hasil campuran daripada garam kasar dan lada hitam itu.
“Ampunkan aku GUSTI, AKU SETUJU! AKU SETUJU! Tidak bisa lagi aku gangguin kalian semua. Bebaskan akuuuu sekarang. Bebaskan. Ya ampun…” Teriaknya lemah.
“Namaku bukan GUSTI ngok! Kau panggil aku CarRock faham?”
“Errr errr err ya bisa…”
“Ikut aku sekarang.” Aku belum lagi melepaskan ikatan yang telah aku lakukan kepadanya. Walaubagaimanapun dia masih lagi mampu untuk mengapungkan dirinya. Walaupun telah tercedera teruk, melecur, serta muka terkopek lagi barai, dia bernasib baik kerana tanduknya tidak patah. Sekiranya patah maka kemungkinan besar dia bakal dinobatkan sebagai seekor HKU (Hantu Kurang Upaya).
Aku mengiringinya keluar daripada kawasan kediaman Ayie. Ikatan itu aku lepaskan. Aku menatap wajahnya untuk kali terakhir sebelum dia terbang pulang ke tempat asalnya. Dalam keadaan yang serba harmoni dan tenang itu, aku terlupa untuk bertanyakan tentang asal usul dan keturunannya. Jujur aku katakan bahawa itu adalah kali pertama aku melihat hantu puaka berupa bentuk seperti itu. Mungkin ada orang lain yang pernah bertemu ataupun bersua muka dengan makhluk berkenaan, tetapi seperti yang telah aku jelaskan di atas, itu adalah pengalaman pertamaku bersuai kenal dengannya. Oleh sebab itulah aku namakan hantu puaka itu sebagai HANTU NENEK KERAWANG BERTANDUK 2. Segala-galanya telah selesai.
BAGAIMANA AZIM BOLEH DISOROK OLEH HANTU PUAKA TERSEBUT?
Menurut kata Azim, ketika sedang menunggu kedatangan ibunya, dia ternampak seorang wanita cantik memanggilnya beberapa kali di luar tadika itu. Wanita cantik itu telah memberikannya sebatang gula-gula besar. Aku andaikannya sebatang Lolipop. Wanita cantik itu telah membawanya berjalan-jalan ke sebuah taman yang dipenuhi dengan budak-budak kecil yang sebaya dengannya. Taman itu berwarna-warni, ditumbuhi dengan pelbagai jenis pokok dan bunga-bunga yang cantik lagi harum. Di situ juga terdapat ramai lagi wanita cantik persis wanita itu. Dia sempat berkenalan dengan beberapa kenalan baru dan bermain-main dengan mereka. Disebutkan beberapa nama namun nama-nama itu berbunyi agak pelik dan klasik. Suasana di taman itu jauh berbeza daripada taman-taman yang pernah dijejakinya. Dia menikmati aiskrim, gula-gula, dan pelbagai jenis coklat yang tidak pernah dia temui di alam nyata.
“Tapi, abang takut masa dengar uncle panggil abang. Takut…” Tutur manja daripada seorang budak kecil yang baru berusia 5 tahun.
Ketika aku memberi salam dan memanggil namanya itulah dia tersedar dari lamunan mimpi dan khayalan yang berkemungkinan:
- Wujud (Dia terjebak masuk ke alam bunian/jin).
- Tidak wujud (Dia sekadar bermimpi/mindanya telah dipermainkan oleh hantu puaka itu).
- Wujud di antara Tidak Wujud (Dia di bawah pengaruh DADAH).
Aku sendiri tidak dapat merungkai perkara yang sebenarnya telah terjadi kepadanya. Apa yang pasti ia akan menjadi sebuah kenangan manis yang mungkin tidak akan terpadam daripada benak memorinya. Persoalan bagaimana dia boleh berada di dalam biliknya sendiri masih menjadi tanda tanya pada kami semua. Hanya Allah Taala sahaja yang tahu segalanya. Wallahualam.
“Ayie, sebelum aku terlupa. Kang naya pulak hidup kau nanti.”
“Kau tutup mata…Chillex…Chillex…”
LEWAT MALAM – MATA YANG MENGANTUK
Setelah selesai semuanya, kami berdua pun berundur diri untuk pulang ke rumah. Awal pagi nanti aku harus bergegas ke rumah Mak Ngah kerana anaknya akan bersanding dan sudah menjadi kewajipan kepadaku selaku anak saudaranya untuk turut serta membanting tulang mengerah tenaga untuk membantu apa yang patut bagi kelancaran majlis perkahwinan tersebut. Ternyata masa betul-betul mencemburuiku.
Aku memberhentikan kereta di sebuah simpang. Simpang ke kanan menghala terus ke kawasan perumahanku manakala simpang ke kiri adalah jalan untuk menuju ke rumah Mizi. Mataku agak berat untuk memandu akibat keletihan. Energi negatif yang dihasilkan oleh hantu puaka itu telah membuatkan badanku terasa begitu letih dan mengantuk.
“Zi, kau tidur jelah kat rumah aku malam ni. Lepak-lepak lu.”
“Tak boleh Aish, aku dah seharian keluar ni. Nanti bising pulak orang tua aku.”
“Alah, bukan selalu aku balik sini. Kau kan…Kita kan, hmm…”
“Aku apa?”
“Abang ipar…”
“Banyaklah kau punya abang ipar!”
“Zi, aku mata betul-betul rabak ni. Kalau kau nak balik aku boleh hantar tapi sendiri mau ingat…”
“Ingat apa?”
“Takut benda tadi menyinggah ikut kau pulak. Kah kah kah…”
“#######”
Sampai di sini sahaja kisahku pada edisi ini. Edisi pertama di tahun keduaku bersama dengan Fiksyen Shasha. Sedar tak sedar sudah masuk tahun kedua aku menjadi pembaca, pengikut, dan penulis sambilan di blog seram ini. Kepada pembaca-pembaca baru selamat berkenalan aku ucapkan dan kepada pembaca-pembaca lama selamat bersua kembali. Setiap kisah yang aku ceritakan adalah kisah yang sememangnya berlaku pada diriku. Aku ingin mendidik para pembaca semua supaya tidak merasa takut kepada ‘MEREKA’ kerana ‘MEREKA’ juga adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah Taala. Mereka juga makan, minum, bergosip, berhibur, dan berkeluarga. Mereka juga boleh mengalami kesakitan, kecederaan, dan juga mati. Pendek kata sama sahaja seperti kita semua. Kita semua hanya dipisahkan oleh ruang dimensi yang berbeza. Andaikata ada jodoh, InsyaAllah kita akan bertemu lagi di edisi yang seterusnya. Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh, Salam Sejahtera, & Jazzakallah Khairo Khotiro.
-Carlito Rocker 2018-
hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
lama siut xtimbul
mmg best bro..keep it up!! tulis lagi ..mmg sempoi lah
best sangat……ada lg tak story2 yg lain???
memang boleh nampak ye? agaknye kalau datang rumah saya memang boleh nampak banyak la kot generasi puaka tu. Kalau dah memang depa stay dari dulu kat situ sejak zaman tok nenek memang tak boleh dihalau ye? Sebab ada yang penah ditegur supaya balik sebab dah nampak depa kat situ. Macam mana kalau nak buang pendamping sedangkan kita tak minta dan tak tahu pun kewujudannya tapi ada yang nampak follow kaum keluarga macam mana ye? Sebab tok dulu ada khadamnya.
Kesian budak budak kecik
besttt
cita carlito rocker tak pernah tak seram. memang makan masa nak recover haha
“HIDUP SAMA-SAMA, NAIK SAMA-SAMA, JAHANAM SAMA-SAMA, SENANG SAMA-SAMA, LAPAR SAMA-SAMA, MAKAN SAMA-SAMA, MENANGIS SAMA-SAMA, KETAWA SAMA-SAMA, MATI SAMA-SAMA”
Ini dah macam bukan moto. Dah macam motosikal kau tau tak .lol
welcome back. best.
Seronok betul dapat juga baca artikel dari Carlito bro….
Cerita dan kisahnya memang sangat-sangat menarik meskipun dibaca jam 2 pagi ker,3 pagi ker atau 4 pagi…..
fuhhh Semua cerita Saya dah khatam macam dalam Tread,Cari.my …
Dammerung….
tapi yang ni Pengalaman sendiri macam Tamar Jalis dan Datuknya …..
Hebat dan Lejen …..
Harap ada banyak lagi Garapan dari Bro Carlito……
Aduh.. Terubat rindu nk baca cerita #carlitorocker.. Mmg best.. Xpernah mengecewakan..
best cite carlito
Gaya penulisan yg kemas. sgt bgus
#cumel
Sanggup aku baca story hang walaupun mataku juga rabak mengantuk. Thumbs up!!
Dia tanpa rasa segan silu dan rasa bersalahnya telah membelasah warga emas bertanduk dari alam ghaib itu tanpa sebarang belas kasihan.
*lol.hahahahaa
Cerita tuan Carlito memang padu sebab tuan boleh describe mcmana rupa hantu laknatullah tu. Terigt sy dgn sorg lg insan istimewa yg dikurniakan kelebihan mcm tuan. Gaya penceritaan pun lebih kurang sama dgn style tuan. Ilahkhatibrani namanya
Kan….
Bagus cara penyampaiannya
kemaen lama menyepi
carlitto… nenek tu macam sama dengan wewe gombel je.. sinteron pernah buat cerita ni
Wewe Gombel atau juga disebut Nenek Gombel adalah sebuah istilah dalam tradisi Jawa yang berarti roh jahat atau hantu yang suka menculik anak-anak, tetapi tidak mencelakainya. Konon anak yang diculik biasanya anak-anak yang ditelantarkan dan diabaikan oleh orang tuanya. Wewe Gombel biasanya akan menakut-nakuti orang tua si anak atas sikap dan perlakuannya kepada anaknya sampai mereka sadar. Bila mereka telah sadar, Wewe Gombel akan mengembalikan anaknya.
Aku rasa mcm lebih kurang je dgn nenek tua yg aku pernah mimpi. Mimpi tu mcm real gila. Aku nmpk dia pandang aku dari luar rumah n cara pandang mcm marah sgt. Benda ni jd dkt rumah makcik aku dkt kelantan. Aku selalu jugak mimpi rumah makcik aku tu. Mimpi mcm, aku ronda2 keliling rumah tgk keadaan rumah. Lepas tu mesti aku bgn dan termenung. Dulu masa kecik aku selalu main dkt area yg aku nmpk nenek tu. N one day tetiba ibu jari kiri aku membengkak n berdenyut yg amat. Sejak dari tu aku sakit sampai la sekarang. Sakit yg doctor taktau punca n takde ubat lagi dalam dunia iaitu SLE. System lupus atau org panggil autoimmune disease. Immune aku serang organ2. Right this moment tgh serang buah pinggang kdg2 jantung. Mak aku puas paksapergi berubat tp mcm2 alasan aku bg. Taktau la knp. Aku mmg nk sgt pergi berubat tp rasa sgt lala berat n mls yg teramat.
hye carrock! welkambek!
wow giler best cerita ni..x tau nk komen ape..salute to writter! gentleman habis..
Salam.Pengalaman tuan Carlito Rocker memang best. Bertuahlah tuan dgn sifat berani dan yakin diri yang tuan miliki. Tak sabar tunggu cerita pengalaman tuan lagi berdepan dgn makhluk ghaib nih.
Best
Hantu Kurang Upaya (HKU)😅
Aku pernah terlintas nak jadi macam kau jugak carlo.. Nak bantu orang.. Tp entah lah.. Aku tak pasti mampukah aku? Beranikah aku? Huhu.. Apapun terima kasih atas selitan tips dan ayat-ayat surah tu CarlitoRocker
nasib baik budak tu dijumpai selamat
Encil.boleh rawat orang x?