#CarlitoRocker – ROH, QARIN, MALAIKAT, & KISAH 3 SYAWAL

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan Salam Sejahtera kepada pembaca-pembaca kisah seram di laman Fiksyen Shasha sekalian. Masih lagi dalam mood raya dan aku nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin kepada pembaca-pembaca yang setia mengikuti koleksi kisah #CarlitoRocker bermula daripada kissh PONTIANAK DI DEPANKU, SI ABANG POCONG, LANGSUIR, BUNIAN, BUNIAN(TAMADUN), HANTU ASKAR JEPUN, NAGA, & SERAM ALAM GHAIB DI BULAN RAMADHAN. Untuk edisi ini aku nak menjelaskan tentang kemusykilan yang selalu bermain di benak minda korang semua berkenaan dengan 3 jenis makhluk Allah di atas. Aku mulakan dahulu kisah ini dengan lafaz yang agung lagi suci Bismillahirrahmanirrahim.

ROH

Roh adalah rahsia Allah dan tiada satu makhluk pun yang tahu akan sebenar-benarnya tentang hakikat penciptaan roh. Ia adalah sejenis elemen yang sentiasa hidup dan tidak musnah tetapi berada di alam Barzakh. Daripada kajianku sendiri alam Barzakh berada di dimensi yang lain dan ia berbeza daripada dimensi alam ghaib. Ianya terpisah jauh dan adalah mustahil untuk melihat dan menerobos masuk ke alam tersebut bagi manusia biasa. Ianya terlindung jauh daripada norma setiap makhluk di alam semesta ini. Roh yang tergantung juga berada di alam barzakh walaupun ianya tidak diterima oleh langit dan bumi. Sebelum ini aku pernah bercerita mengenai terdapatnya jin jelmaan manusia yang rupa dan bentuknya saling tak tumpah seperti seorang manusia, berkelakuan dan bersifat seperti manusia, melakukan aktiviti-aktiviti yang sama saban hari, dan mampu untuk menyerupai seperti insan-insan yang pernah kita kenali. Semoga korang semua jangan sesekali terpengaruh dengan tipu daya mereka.

Mereka boleh muncul seperti seseorang yang kita sayangi dan mengharapkan bantuan daripada kita. Beringatlah semua kerana hakikat yang sebenarnya adalah roh sedang menjalani hukuman pra-neraka ataupun sedang melalui kehidupan pra-syurga di alam barzakh bergantung kepada amalannya ketika masih hidup. Roh yang mampu bergerak bebas tanpa sebarang halangan adalah roh para Nabi & Rasul. Contoh yang paling mudah adalah apabila seseorang itu bermimpi bertemu dengan baginda Rasulullah SAW. Mimpi itu adalah benar, roh individu tersebut berjumpa dengan baginda Rasullullah SAW dalam masa yang nyata. Ini kerana tiada satu makhluk pun waima malaikat yang boleh menjelma, menyerupai, dan mengaku bahawa dia adalah Rasullullah SAW kerana mereka tiada upaya dan tiada kuasa untuk melakukannya.

Aku pernah mendengar daripada ceramah-ceramah dakwah sebelum ini bahawa sesiapa yang pernah bermimpi bertemu dengan baginda Rasullullah SAW maka dijamin ke atas dirinya akan syurga apabila masanya telah tiba nanti. Sekiranya ada individu yang mendakwa bahawa dia pernah ternampak ataupun terserempak dengan roh seseorang yang dikenalinya maka percayalah bahawa amat mustahil untuk roh datang kembali ke dunia nyata dan menjelma di hadapan manusia. Roh terkunci rapat di dalam sebuah dunia lain.

Dunia tersebut berbeza daripada dunia nyata dan dunia ghaib yang dihuni oleh golongan jin, syaitan, iblis, dan makhluk-makhluk ghaib yang lain. Ianya seperti sebuah sel kurungan. Sel kurungan tersebut berbeza bagi setiap penghuninya. Ada yang luas seluas-luas pandangan mata, ada yang sempit sehingga bersaiz kuman, ada yang bercahaya seperti disinari cahaya matahari, dan tak kurang juga gelap gelita seperti malam yang pekat likat. Semuanya bergantung kepada amalan roh tersebut ketika masih hidup di dunia. Tiada sesiapa yang akan terlepas daripada berada di dalam sel kurungan tersebut kecuali para Syuhada, para Nabi & Rasul, dan insan-insan yang dipilih oleh Allah Taala. Aku yang sedang menulis juga bakal menuju ke sana begitu juga dengan korang yang sedang membaca coretan ini. Allahuakbar, cukupkah amalan kita semua untuk hidup di alam barzakh kelak? Korang pernah terbayang tak bagaimana saat pengakhiran kehidupan korang? Bagaimana cara kematian kita semua nanti? Bagaimanakah kesakitan sekaratulmaut yang akan menjemput kita nanti?

Pengalamannya berbeza bagi setiap individu yang bergelar makhluk. Amalan dan takwa kita semasa hiduplah yang akan menentukan segalanya. Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya meremang bulu romaku apabila mengenangkan detik waktu dan cara kematianku nanti. Aku tertarik dengan sebuah petikan daripada seorang ahli sufi dan ianya berbunyi begini:

“MASALAH YANG SEBENAR-BENAR MASALAH ADALAH KETIKA JASAD KITA TELAH DIMASUKKAN KE DALAM LIANG LAHAD DAN TELAH DIKEBUMIKAN. TATKALA ITU AKAN DATANG 2 ORANG MAKHLUK ALLAH YANG MULIA IAITU MALAIKAT MUNKAR & NAKIR. KETIKA ITU LIDAH KELU TANPA BICARA, SELURUH ANGGOTA BADAN KAKU MEMBEKU, DAN NANTIKAN SAHAJA SOALAN-SOALAN DARIPADA MEREKA BERDUA. KETIKA ITU HANYA BEKALAN AMALAN DAN TAKWA SAHAJA YANG AKAN MEMBANTU KITA.” Bersediakah kita ketika itu?

Itu adalah serba sedikit penjelasan daripadaku mengenai roh. Roh telah berpindah alam dan tidak mungkin ia boleh muncul sewenang-wenangnya melawat ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan, dan jiran tetangga lalu meminta pertolongan daripada kita yang masih hidup. Walaubagaimanapun ianya tidak mustahil bagi Allah Taala sekiranya DIA yang berkehendakkan begitu. Bagi roh yang fasik, munafik, dan ingkar, mereka 24/7 memohon kepada Allah Taala agar dikembalikan semula ke dunia untuk bertaubat dan beramal tetapi perbuatan mereka adalah sia-sia sahaja kerana ketika masih hidup mereka lalai dan sering melupakan hari akhirat dan Allah Taala. Mereka terbuai dengan kemewahan, kuasa, pangkat, harta, wang ringgit, dan sibuk dengan urusan dunia semata-mata. Dikejarnya dunia yang tidak kekal lalu akhirat yang kekal ditinggal jauh daripada kehidupan mereka. Adakah kita semua juga bakal menerima nasib yang sama seperti roh-roh tersebut? Tepuk dada tanya selera.

QARIN

Secara jujurnya aku agak keliru dengan makhluk yang bernama Qarin ini kerana belum berkesempatan bertemu dengannya. Rupa, perangai, sifat, dan gayanya adalah sama seperti seorang manusia. Kadang-kadang aku terfikir adakah jin jelmaan manusia itu adalah sejenis Qarin? Kerana unsur-unsurnya yang agak sama seperti manusia. Qarin adalah sejenis jin dan setiap anak Adam memiliki Qarinnya sendiri. Aku sendiri belum pernah melihat Qarinku dan aku mengandaikan bahawa kemungkinan besar jin Qarin ghaib secara hakiki iaitu hanya mampu dilihat oleh individu-individu yang telah mencapai makam Wali, ataupun para Nabi & Rasul sahaja. Wallahualam kerana itu sekadar teoriku sahaja. Teoriku yang terakhir adalah ia sememangnya disembunyikan oleh Allah Taala daripada penglihatan kita semua atas sebab-sebab tertentu.

Malaikat

Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Sebagai seorang Islam kita juga wajib beriman dan mempercayai dengan kewujudan malaikat. Ia juga termaktub di dalam rukun iman iaitu Beriman Kepada Malaikat. Malaikat adalah makhluk Allah Taala yang suci. Diciptakan mereka daripada cahaya, lalu mereka tunduk menyembah dan berkhidmat kepada Allah Taala di dalam setiap urusan yang berlaku di seluruh alam semesta ini sebelum wujudnya makhluk-makhluk lain lagi. Setakat ini aku belum pernah melihat rupa malaikat walaupun dianugerahkan dengan pancaindera ke-6. Aku percaya akan kewujudan mereka dan aku juga beriman kepada mereka. Tanyalah kepada sesiapa yang memiliki pancaindera ke-6, aku yakin mereka juga berkeadaan sama sepertiku. Mereka juga keliru di antara kewujudan ketiga-tiga makhluk ini. Oleh sebab itu kita semua harus berpegang teguh kepada syariat dan yakinlah bahawa:

1. Roh itu adalah rahsia Allah Taala. Manusia hanya diberi sedikit pengetahuan tentangnya. Ianya hidup di dimensi lain iaitu di Alam Barzakh.

2. Qarin itu adalah sejenis jin yang telah difitrahkan untuk hidup bersama-sama dengan kita semua semenjak detik kita dilahirkan sehinggalah detik kita meninggalkan jasad dan berpindah ke alam barzakh.

3. Malaikat itu adalah makhluk Allah Taala yang sangat suci. Mempunyai peranan dan tugasan masing-masing. Tak tercapai di mata kita semua walaupun hijab kita terbuka luas seluas-luas mata memandang. Hanya para Nabi & Rasul sahaja yang pernah menyaksikan, bertemu, dan bergaul dengan malaikat. Kita hanya berpeluang untuk menyaksikan malaikat ketika saat sakaratulmaut menjelma. Ketika itu sedarlah bahawa malaikat Izrail dan sepasukan malaikat yang lain sedang menjalankan tugas masing-masing.

Tujuan aku menulis berkenaan dengan makhluk-makhluk di atas adalah untuk kita semua saling ingat mengingati tentang kematian, alam barzakh, dan hari kebangkitan kelak. Jangan terlalu fanatik dengan makhluk ghaib kerana mereka juga menerima nasib yang sama seperti kita. Mereka tidak kekal, mereka juga menghadapi saat pengakhiran yang sama seperti kita. Jangan takut pada mereka walaupun mereka sedang merenung wajah kita sekarang ini. Jangan takut pada mereka walaupun mereka sedang duduk di sebelah kita sambil menumpang membaca coretan ini. Jangan takut pada mereka walaupun mereka sedang menakut-nakutkan kita dan cuba menyakinkan bahawa mereka memang berada di sekeliling kita ketika ini kerana sesungguhnya mereka hanya ingin bergurau senda. Yakinlah bahawa Allah Taala sentiasa bersama dengan kita sepanjang masa.

Takutlah pada Allah kerana hanya DIAlah tuhan yang Maha Berkuasa dan hanya DIAlah tuhan yang Menguasai Hari Pembalasan. Kita semua adalah makhlukNya. Jin, syaitan, dan iblis juga makhlukNya. Dunia kita hanya dipisahkan oleh sebuah ruang dimensi. Kita adalah makhluk yang cukup sifat dan mempunyai jasad nyata manakala mereka hanyalah makhluk yang berjisim tetapi tidak berjasad nyata. Kita semua berasal daripada tanah, mereka pula daripada api. Tanah sifatnya lembut dan boleh dibentuk. Api pula panas membakar. Api tidak boleh memusnahkan tanah tetapi mampu merentungkannya. Maka berhati-hatilah. Api lawannya air, maka siramlah ia dengan doa dan ayat-ayat suci dari Al-Quran. Nescaya ia akan padam jua akhirnya.

Di sini aku ada sebuah cerita. Cerita yang baru sahaja berlaku pada awal Syawal yang lalu. Aku ingin kongsikan cerita tersebut bersama dengan korang semua di sini. Pengalaman yang agak unik, baru, dan cukup menginsafkan. Tanpa berlengah lagi aku persembahkan kisah yang tak seberapa ini.

CERITA 3 SYAWAL

Hari raya ketiga dan keempat yang lalu aku dan seluruh ahli keluargaku beraya di sebuah negeri di pantai timur. Seluruh kaum kerabat keluarga dan sanak saudara berada di sana. Seperti biasa kami semua akan berkumpul di rumah arwah tok wan. Jumlah sanak saudara yang semakin besar ditambah pula dengan riuh rendah mereka semua sedikit sebanyak agak merimaskan aku ketika itu. Perancangan telah dilakukan. Aku merancang untuk beraya di rumah sahabat lamaku yang terletak tidak jauh dari rumah arwah tok wan. Untuk makluman semua, sahabatku ini adalah bekas askar wataniah dan usianya sebaya dengan bapaku (54 tahun).

Pada petangnya iaitu kira-kira jam 2 petang aku memulakan langkah menuju ke rumahnya dengan hanya berjalan kaki. Suasana kampung yang agak tenang sedikit sebanyak mendamaikan hati dan kepalaku yang tengah berserabut ketika itu. Lokasi rumahnya agak tersorok di hujung kampung. Kawasan rumahnya dikelilingi oleh pokok buluh dan pokok pisang. Sesampainya di situ aku melihat rumahnya agak sunyi dan suram. Pintu rumah tertutup rapat. Salam diberi tetapi tidak bersahut. Aku cuba menghubunginya tetapi panggilanku terus masuk ke voicemailnya. Memikirkan kemungkinan dia tiada di situ aku mengambil keputusan untuk pulang semula ke rumah tok wan. Ketika melangkah keluar daripada perkarangan rumahnya aku telah tercium bau aroma daun pandan dan bunga melur di situ.

Aku memerhatikan dengan teliti di setiap ceruk kawasan rumahnya terutama di celah-celah pohon buluh dan pokok pisang untuk melihat samada terdapat kemunculan tetamu yang tidak diundang ataupun tidak. Aroma bau daun pandan dan bunga melur semakin kuat menusuk hudungku ketika itu. Mataku juga ligat mencari punca kepada bauan tersebut. Tak berapa lama kemudian aku ternampak beberapa orang budak kecil sedang berlari berkejaran di anjung tangga rumahnya. Aku tahu bahawa mereka adalah bunian. Aku biarkan sahaja dan aku menapak untuk pulang ke rumah tok wan. Telefonku berdering, sahabatku itu iaitu Pak Mie memaklumkan bahawa dia dalam perjalanan pulang dari rumah anaknya dan menyuruhku untuk menantikan kepulangannya di rumahnya dahulu. Aku berpatah balik dan berehat sebentar di atas pangkin di halaman rumahnya.

Sedang aku kusyuk memerhatikan gelagat budak-budak kecil itu bermain, muncul pula sekumpulan pemuda berjalan beramai-ramai sambil memalu kompang serta bermarhaban melintasiku. Terlihat juga beberapa orang gadis berbaju kebaya dan berbaju kurung sedang bergelak ketawa sambil memandang ke arahku dengan galaknya. Daripada gaya mereka aku cukup yakin bahawa mereka juga adalah orang bunian. Kemungkinan besar terdapat kenduri ataupun jamuan yang sedang diadakan di situ. Tanpa membuang masa aku menuju ke arah seorang pemuda di situ dan bertanyakan tentang hal yang sebenarnya sedang berlaku.

“Assalamualaikum sahabat. Apa khabar?” Aku memberikan salam sambil bersalam dengannya.

“Waalaikumsalam. Baik Alhamdulillah. Kamu siapa? Orang?” Soalan yang agak klise walaupun hakikat sebenar mereka tahu bahawa aku adalah seorang manusia.

“Ya saya.”

“Orang nama apa? Datang dari mana?”

“Panggil saya Cik Carrock je.” Sengaja aku tidak mendedahkan nama sebenarku kerana tiada kepentingan rasanya untuk aku berbuat demikian. Aku sudah berazam untuk tidak lagi menjalinkan hubungan dengan mana-mana golongan bunian ataupun jin Islam kerana ianya sudah tidak relevan dengan diriku sekarang. Pengalaman yang lampau banyak mengajarku tentang hakikat kejadian mereka dan kejadian manusia. Untuk kali ini aku sekadar ingin mengetahui punca mereka berkompang dan bermarhaban sahaja.

“Cik Carrock? Sedap namanya. Saya Kismin dari kampung sebelah sana.”

“Oh…Kismin, kamu ni dan mereka semua berkompang dan bermarhaban atas sebab apa? Ada kenduri kahwin ke?”

“Bukan kahwin Cik Carrock. Ada majlis sambutan hari lebaran di rumah datuk penghulu sana.”

“Rumah datuk penghulu? Penghulu mana?”

“Penghulu Pekan L***.”

Aku begitu musykil dan agak pelik apabila dia mengatakan tentang pekan L***. Sejak bilakah terdapat penempatan bunian di kawasan rumah Pak Mie? Sebelum ini selalu juga aku bertandang ke rumahnya tetapi belum pernah lagi terlihat kemunculan mereka. Adakah mereka semua baru berpindah ke kawasan itu ataupun aku sedang dipukau oleh mereka? Ini adalah kali pertama aku ternampak kemunculan mereka semua di situ. Aku berhusnodzon sahaja kerana memikirkan bahawa kita semua berkongsi alam yang sama dan tempat yang sama cuma dipisahkan oleh ruang dimensi yang berlainan.

Baru aku tahu bahawa mereka juga mempunyai sambutan hari raya. Sebelum ini aku hanya pernah menghadiri kenduri-kendara mereka yang bertemakan majlis perkahwinan, kenduri khatam Quran, tahlil arwah dan kenduri kesyukuran sahaja. Aku dijemput oleh pemuda tersebut untuk bersama-sama dengan mereka semua untuk ke rumah datuk penghulu kampung bunian tersebut. Aku menolaknya dengan baik kerana telah berjanji dengan Pak Mie untuk menunggunya di situ. Pada masa yang sama beberapa orang gadis berkebaya dan berbaju kurung itu seakan-akan menggodaku dan mengajakku untuk bersama-sama menghadiri majlis sambutan lebaran itu. Aku tergoda, serius aku tergoda. Paras wajah persis supermodel hampir sahaja menggugat imanku ketika itu. Aku beristighfar dan terus beristighfar.

Liritan mata mereka dan senyuman mereka mampu mencairkan perasaan setiap lelaki yang memandangnya. Aku berdiri dan berjalan ke arah jalan di hadapan rumah Pak Mie. Alhamdulillah kelibat kumpulan gadis tersebut mula menjauhi lokasiku ketika itu. Pak Mie masih belum lagi sampai. Jam sudah menghampiri 3.30 petang. Aku membakar sebatang rokok lalu berselfie di situ tanpa sebarang tujuan. Bunian-bunian tersebut sudah jauh dari pandangan mata dan bunyi kompang dan marhaban juga hanya sayup-sayup kedengaran. Budak-budak kecil yang bermain di anjung tangga rumah Pak Mie juga sudah tidak kelihatan lagi.

“Assalamualaikum!”

“Waalaikumsalam. Eh Pak Mie!” Pak Mie menegurku secara mengejut ketika aku sedang asyik berselfie seorang diri di situ.

“Maaf lambat sebab ada hal tadi. Selamat Hari Raya Aish. Wah kau ni siap pakai bunga dah macam YB melawat kampung aku tengok.”

“Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin jugak Pak Mie. Saya datang nak berayalah. Nak makan-makan dan duit raya. Hahaha.”

“Menyampah aku tengok orang lelaki pakai bunga. Serabut mata aku…”

“Bunga?”

“Tu.” Pak Mie menghalakan jarinya menunjuk ke arah dadaku.

Aku cukup terkejut kerana terdapat beberapa kuntum bunga mawar terselit kemas di dalam poket bajuku. Aku sendiri tidak perasan akan kuntuman-kuntuman bunga ini. Aku syak kemungkinan si Kismin yang meyelitnya ketika kami sedang bercakap pada awal tadi. Aku membuka telefonku dan membelek bahagian galeri. Ternyata tiada bunga mawar yang terselit di dalam poketku ketika gambar-gambar itu diambil. Kesimpulannya bukan Kismin yang menyelitkannya. Aku agak pelik dan keliru dengan kejadian tersebut. Daripada mana datangnya bunga mawar ini?

“Kau balik sini berapa hari? Family kau kat sini jugak ke?”

“Sampai esok je, diorang semua ada kat sini. Nanti datanglah rumah tok wan malam ni. Ada barbeque malam ni Pak Mie. Ajak kak Zu (Isterinya) sama.”

“Sekejapnya korang kat sini. Cuti kan panjang lagi?”

“Eish mana ada, saya lusa dah start kerja. Tahun ni cuti pendek tak macam tahun-tahun lepas.”

“Huh. Kalau camtu takpelah yang penting ada jugak cuti. Aish, jemput makan, takyah malu-malu, buat macam rumah sendiri.”

Sedang ralit bersembang dengan Pak Mie kami dikejutkan dengan suara orang memberi salam dari luar.

“Assalamualaikum…”

MISTERI & KEGILAAN KISAH 3 SYAWAL BERLAKU DI SINI

“Waalaikumsalam. Kau makan dulu Aish, aku nak tengok siapa yang datang tu.”

Aku lihat seorang lelaki warga emas dalam lingkungan 70-80 tahun sedang memasuki rumah Pak Mie dengan gaya yang penuh elegan. Dia memerhatikan segala benda yang terdapat di dalam rumah itu. Matanya merenung tajam ke arahku. Aku sungguh tidak selesa. Pak Mie menjemputnya untuk makan bersama denganku di meja makan.

“Kalau tak keberatan boleh saya tahu pakcik ni siapa?” Soal Pak Mie tersenyum ke arah lelaki tua itu.

Lelaki tua itu terkebil-kebil matanya sambil terus merenung wajahku. Aku menundukkan kepala ke bawah kerana berasa tidak selesa dengan perlakuannya itu.

“Pakcik ni datang dari mana?” Soal Pak Mie lagi. Tiada sebarang jawapan yang diterima.

Pak Mie menghulurkan pinggan kepada lelaki tua itu. Lelaki tua itu memandang pula wajah Pak Mie dengan maksud tersendiri.

“Pakcik jemput makan. Semua ni isteri saya yang masak. Zu, keluar kejap…” Pak Mie memanggil isterinya.

Pak Mie berjalan menuju ke dalam biliknya. Aku pula ditinggalkan bersendirian bersama dengan lelaki tua itu. Aku mula berbicara untuk memecahkan kejanggalan di antara kami.

“Pakcik jemput makan. Nasi Tomato ni memang sedap.” Pelawaku kepadanya.

Lelaki tua itu diam seribu bahasa. Dia berdiri lalu duduk di sebelahku. Aku semakin tidak selesa. Aku mula menghantar WhatsApp kepada Pak Mie.

Pak Mie, siapa dia orang tua ni? -Aku-

Aku pun tak kenal, kak Zu kau tengah bersiap ni. Mungkin dia kenal kot. -Pak Mie-

Cepat sikit keluar, saya tak tahan ni, dia duk kat sebelah saya, dia tengok je saya makan. Saya tanya soalan dia tak jawab… -Aku-

Jap. -Pak Mie-

Lega aku apabila melihat Pak Mie dan kak Zu keluar dari bilik mereka ketika itu.

“Pakcik apa khabar?” Soal kak Zu.

Lelaki tua itu terus mendiamkan diri. Kali ini wajah kak Zu pula yang ditenungnya. Aku dan Pak Mie menahan sengih kami. Aku mula mengesyaki bahawa lelaki tua itu mempunyai masalah jiwa. Usai makan aku meminta kebenaran untuk menumpang solat Asar di rumahnya. Selesai saja solat aku melihat lelaki tua itu masih berada di situ. Kali ini Pak Mie, kak Zu, dan lelaki tua itu masing-masing merenung wajah sesama sendiri dengan penuh serius. Peristiwa itu agak lucu lalu aku mengambil keputusan untuk turut serta memerhatikan wajah lelaki tua itu.

Entah apakah masalah yang dialami oleh lelaki tua ini. Aku mengeluarkan sekotak rokok John lalu mengambilnya sebatang dan menghisapnya di situ. Lelaki tua itu pula mengeluarkan gulungan rokok daun dari kocek seluarnya lalu menghisapnya di situ. Oleh sebab tidak tahan dengan bau asap rokok, kak Zu beredar dan menonton TV di ruang tamu. Tinggallah kami bertiga di situ. Untuk memecah kesunyian aku bersembang dengan Pak Mie seperti biasa tanpa menghiraulan kehadiran lelaki tua tersebut.

“Pak Mie, Zaid apa khabar sekarang?”

“Dia camtulah. Tak lama lagi nak jadi bapak budak dah tu…”

“Beruntunglah Zaid…Muda-muda lagi dah nak jadi ayah, saya jugak yang bujang lagi.”

“Eleh, kau tu yang memilih sangat. Hidup kalau memilih tak ke mana jugak. Sampai bila Aish?”

“Belum ada jodoh lagi Pak Mie. Doa-doakanlah saya sama. Kedai Pak Mie bukak bila?” Pantas aku menukar topik perbualan kerana topik jodoh dan kahwin adalah sebuah topik yang paling aku benci, bosan, dan merimaskan.

“Lepas raya enam baru bukak balik.”

“Hah raya enam?” Lelaki tua itu tiba-tiba bersuara. Ekspresi wajahnya begitu terkejut.

“Ya pakcik. Kedai makan saya bukak lepas raya enam nanti. Pakcik makanlah. Jangan tengok saja makanan tu. Tak baik buat macam tu depan rezeki.” Nasihat pak Mie kepada lelaki tua itu.

“Haaa. Aku makan aku makan.”

Dicedoknya makanan penuh sepinggan. Dia memakannya dengan penuh rakus seperti harimau yang sedang kelaparan. Kami berdua hanya mampu memerhatikan gelagat orang tua itu mentekedarah makanan.

“Air air….Air air.” Aku menghulurkan segelas air kosong kepadanya. Tetapi dia dengan kurang sopannya mencapai sejug air sirap yang berdekatan dengannya lalu meminumnya melalui jug itu. Betapa pelahap dan dasyatnya orang tua ini. Aku menarik Pak Mie keluar dan bersembang dengannya untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai lelaki tua itu.

“Pak Mie takkan tak kenal langsung orang tua tu?”

“Manalah aku nak kenal. Tengoknya pun tak pernah. Tup tup dia datang tadi. Takkan aku nak halau dia balik?”

“Saudara mara dari jauh kot? Mungkin Pak Mie terlupa. Biasa jadi kes-kes macam ni…”

“Masalahnya aku tak pernah tengok dia sepanjang aku hidup kat sini. Kau faham?”

“Erkk…Faham. Saya ada satu cara.”

“Camne?”

“Kita amik gambar dia pastu viralkan…Nak tak?”

“Boleh jugak camtu.”

Kami berdua masuk semula ke dalam rumah dan menuju ke ruang makan. Lelaki tua itu kelihatan sangat kotor dan tidak terurus. Korang bayangkanlah sisa nasi dan lauk boleh terselit di celah rambut, misai, dan dalam lubang hidung. Betapa gelojoh dan pelahapnya lelaki tua itu menyantap makanan. Mulutnya berserabai dengan kuah gulai dan sambal. Aku menyuruh Pak Mie untuk membantu membersihkan lelaki tua itu tetapi dia enggan berbuat demikian kerana kotor, jijik, dan geli. Aku hampir termuntah apabila melihat keadaan lelaki tua itu. Aku menyuruh kak Zu untuk mengambil gambar kami bertiga. Aku duduk di sebelah kiri manakala Pak Mie di sebelah kanan lelaki tua itu. Usai gambar diambil aku terus menghantarnya ke group keluarga dan saudara maraku. Mereka semua tidak mengenali gerangan lelaki tua itu. Pak Mie juga sama sepertiku. Tiada sesiapa yang mengenali lelaki itu. Gambar tersebut menjadi bahan jenaka seluruh sanak saudaraku dan pelbagai teori mengarut dikemukakan oleh mereka tentang perihal lelaki tua itu. Sekali imbas wajahnya yang berserabai dengan sisa makanan itu saling tak tumpah seperti guru kung fu mabuk kepada Jackie Chan dalam filem Drunken Master. Ketika aku dan Pak Mie rancak bersembang, lelaki tua itu bersuara semula.

“Tetamu harus dirajakan, bukan dihina dan dikutuk. Aku datang bersebab, bukan kosong…”

“Ha?” Aku dan Pak Mie ternganga kehairanan.

“Apa maksud pakcik?” Soalku.

“Ada orang suruh aku datang ke sini tengok waris keturunan dia…”

Bulu romaku dah meremang ketika ini. Apa yang aku fikirkan adalah mungkin lelaki tua ini adalah hantu raya ataupun saka.

“Siapa yang suruh kau datang ke mari?” Soal Pak Mie dengan muka yang agak serius.

“Kawan aku…”

“Siapa kawan kau?”

Dia diam. Aku menghampiri Pak Mie. Aku berbisik padanya dan mengatakan bahawa mungkin hantu raya yang sedang menjelma ketika itu.

“Aku tanya ni, siapa kawan kau? Aku bukan waris keturunan dia!”

“Kawan aku cikgu Zul tu…” Dia bersuara.

“Cikgu Zul mana ni? Aku tak kenal sesiapa yang bernama cikgu Zul?”

“Cikgu Zulhilmi.”

“Aku tak kenal.”

Sementara itu aku dan kak Zu memerhatikan sahaja gelagat mereka berdua bersembang dari jauh. Aku memerhatikan dengan teliti susuk badan lelaki tua tersebut. Aku dapat rasakan bahawa dia adalah seorang manusia, tiada langsung ciri-ciri seekor hantu raya ataupun sebarang makhluk dari alam ghaib. Aku beranggapan mungkin lelaki tua ini telah tersilap rumah ataupun dia mengalami kecelaruan minda yang melampau.

“Aish, jom ikut aku ke rumah kawan dia, dia tak habis-habis cakap aku ni waris cikgu Zul.” Pelawa Pak Mie dengan tegasnya.

“Pakcik pergi bersihkan kekotoran kat muka dan tangan pakcik kat sinki sana pastu ikut kami ke rumah kawan pakcik tu.” Ujarku sambil menunjukkan arah sinki tersebut.

Pakcik itu mula memperkenalkan dirinya ketika berada di dalam kereta Pak Mie. Namanya adalah Pok Wel dan dia menegaskan bahawa sahabatnya iaitu cikgu Zulhilmi yang menyuruhnya datang untuk melihat keadaan warisnya iaitu Pak Mie. Setahu aku arwah ayah dan arwah Pak Mie telah lama meninggal dan amat mustahil mereka membela saka. Apa pula kaitan cikgu Zulhilmi dengan Pak Mie?

“Berhenti, berhenti, depan tu rumah cikgu Zul…” Arahnya pada Pak Mie.

Aku melihat Pak Mie dan dia juga melihatku dengan penuh kebingungan.

“Rumahnya kat mana Pok Wel?” Soalku.

Kawasan tersebut adalah kawasan semak samun dan terdapat sebuah pondok buruk yang hampir menyembah bumi di situ.

“Cikgu Zul duduk kat situlah.” Jelas Pok Wel.

“Biar betul Pok Wel?” Soalku lagi.

“Ya.”

Kami bertiga turun daripada kereta dan berjalan menuju ke pondok itu. Suasana lewat petang yang kelam membuatkan kawasan itu kelihatan begitu menyeramkan. Aku ternampak satu lembaga bersaiz bangunan satu tingkat berada di sebelah pondok itu. Di atas bumbung pondok itu terdapat 3 ekor jembalang yang berupa seperti beruk tetapi berkepak seolah-olah sedang berkawal di situ. Salam diberi, pintu pondok terbuka dengan sendirinya. Aku mengendap dan menyuruh Pak Mie dan Pok Wel berdiri beberapa langkah di belakangku. Kedengaran suara seorang lelaki yang agak garau mempelawa kami bertiga untuk masuk ke dalam.

“Masuklah. Aku kat dalam ni. Rumah orang miskin memang macam ni.”

Pak Mie mengajak kami untuk masuk ke dalam pondok tersebut. Aku hanya menurut permintaannya itu kerana aku juga ingin mengenali siapakah gerangan yang berada di dalam pondok itu.

“Wel, yang mana satu waris aku?” Soal lelaki berkaca mata yang sedang duduk bersila di situ.

“Yang hitam tu.” Jawab Pok Wel.

Kami semua bersalam dengan lelaki itu. Masing-masing mula memperkenalkan diri sendiri.

“Saya rasa kita takde hubungan apa-apa kot cikgu Zul.” Terang Pak Mie kepada lelaki yang bernama cikgu Zulhilmi itu.

“Kamu ni anak kepada arwah Awang Talib kan?” Soalnya lagi.

“Ya saya. Macam mana cikgu boleh tahu nama ayah saya?”

“Aku ni sepupu kepada arwah mak kau. Kira pangkat aku jatuh sebagai ayah sepupu kau. Memang kita tak pernah kenal sebab aku bukan tinggal di sini dulu.”

“Macam mana cikgu Zul boleh tahu kat mana saya tinggal ni? Si Pok Wel ni apa pulak hubungan dia dengan cikgu Zul?”

“Aku ni walaupun hidup merantau, asal usul tanah tempat aku dilahirkan takkan aku lupa. Dia ni kawan lama aku. Dah berpuluh tahun tak jumpa last-last terjumpa pulak dia kat sini. Itu yang aku mintak tolong dia.”

“Cikgu Zul tinggal di sini sorang diri ke? Keluarga ada kat mana?” Soalku sambil memerhatikan gelagat seekor hantu buncit bertoceng berbaring mengadap cikgu Zul.

Aku dapat rasa cikgu Zul langsung tidak tahu tentang kewujudan makhluk-makhluk puaka yang bersarang di pondoknya itu. Aku hanya berlagak biasa kerana mereka tidak mengacau kami. Berkemungkinan besar mereka adalah penghuni asal pondok tersebut.

“Saya tinggal sendiri je kat sini. Keluarga semua kat Sabak Bernam. Ni saya datang ke sini pun sebelum bulan puasa lagi. InsyaAllah minggu depan dah nak balik ke Sabak Bernam.” Terangnya ringkas.

“Cikgu Zul tahu ke ni pondok siapa?” Soalku lebih lanjut.

“Ni tanah peninggalan mak saya, 4 ekar tanah kebun ni saya bercadang nak tukar syarat jadi tanah lot. Itu yang saya beria sangat nak cari waris keturunan yang ada kat sini untuk tengok-tengokkan tempat ni bila saya takde nanti.”

“Oh fahamlah saya sekarang ni cikgu Zul. Saya ingatkan apa benda tadi.” Jawabku kelegaan.

“Rozmie, saya harap awak jangan salah faham pada saya.”

“Eh, takdelah cikgu Zul, saya sebenarnya terkejut dan tak sangka saya ada lagi waris selain daripada adik beradik dan saudara mara yang lain…”

“Mintak maaflah cara perkenalan kita pelik tak macam orang lain.”

“Takde apalah cikgu Zul. Alang-alang dah ada kat sini apa kata cikgu Zul duduk je sementara waktu kat rumah saya. Boleh kita kenal dengan lebih lanjut lagi. Lagipun adik beradik saya dan saudara mara yang lain pun mesti nak kenal jugak dengan waris jauh yang diorang tak pernah jumpa ni. Apa pendapat cikgu Zul?” Pelawa Pak Mie.

“Alhamdullillah, insyaAllah boleh, tapi lepas Maghriblah sebab saya nak kemas barang dulu.”

Aku cukup kagum dengan cikgu Zul kerana dia sanggup tinggal berseorangan di dalam pondok yang penuh dengan makhluk puaka itu. Sekiranya dia nampak apa yang aku nampak nescaya dia tidak akan sanggup untuk tinggal di situ.

Kami berempat solat Maghrib berjemaah di situ. Ketika surah Al-Fatihah dibacakan pada rakaat yang kedua, aku dengar dengan jelas suara beberapa makhluk ghaib lain iaitu orang bunian/jin Islam turut sama menyebut amin dengan kuat. Begitu juga ketika doa dibacakan. Selesai sahaja berdoa aku ternampak beberapa orang jemaah yang berjubah putih berada di belakangku. Mereka semuanya masih muda dan jelas terpancar aura positif di wajah mereka.

Hantu buncit bertoceng itu telah berbaring di luar pondok dan tersenyum menyeringai menampakkan barisan gigi taringnya yang tajam ke arahku. Seluruh kawasan tersebut perlu dipagar dengan ayat-ayat suci untuk menghalau segala makhluk puaka yang bermaharajalela di situ. Kami berempat bergerak meninggalkan pondok buruk itu pada tepat jam 9 malam. Kisah di sebalik kejadian pada siang hari di rumah Pak Mie itu sebenarnya telah dirancang awal lagi oleh Pok Wel. Rupa-rupanya Pok Wel hanya berlakon seperti orang gila hanya untuk menguji kesabaran Pak Mie. Serius aku kagum dengan lakonannya itu. Sebenarnya dia adalah seorang bekas dekan bertaraf Doktor (Dr.) di sebuah universiti awam di Johor. Sungguh aku kagum dengan lakonannya. Lakonannya penuh berisi. Betul katanya, tetamu harus diRajakan, bukannya dihina dan dikutuk.

Aku mempelawa mereka semua termasuk kak Zu untuk berbarbeque di rumah tok wanku pada malam itu juga. Gambar yang diambil pada waktu siangnya itu telahku jelaskan semuanya kepada seluruh ahli keluarga dan sanak saudaraku. Kesemua mereka terkejut dan tercengang apabila mengetahui fakta sebenar di sebalik rupa Drunken Master Pok Wel itu. Peristiwa 3 Syawal itu banyak mengajarku erti kesabaran, penghormatan, kasih sayang, dan semangat persaudaraan sesama manusia. Dalam tempoh satu hari pelbagai kejadian aneh yang aku telah tempuhi dan pelajari. Sesungguhnya pengalaman itu akanku simpan di dalam ruang memori ini sehingga ke akhir hayat. Nasihat-nasihat daripada Pak Mie, Cikgu Zulhilmi, Dr. Pok Wel, dan kak Zu akan aku aplikasikan dalam kehidupan yang semakin mencabar ini. Terima kasih Ya Allah kerana telah mempertemukanku dengan insan-insan yang mulia lagi hebat ini. Alhamdulillah.

Nasihatku pada korang semua adalah jangan sesekali menilai seseorang itu berdasarkan luarannya sahaja. Kadang-kadang yang cantik itu tidak semestinya cantik dalamannya, yang buruk pula tidak semestinya buruk dalamannya. Jangan mudah menjatuhkan hukum ke atas seseorang, jalankan kajian dan siasatan dahulu sebelum mensabitkan kesalahan ke atas mereka. Orang-orang tua biasanya diam-diam ubi berisi, kata-kata dan perbuatan mereka kebanyakannya berkias dan penuh dengan maksud yang tersirat. Perhatikan perbuatan mereka dan belajar untuk mentafsir rahsia yang mereka dedahkan secara halus itu. Oh ya sebelum aku terlupa aku ingin jelaskan tentang misteri berkenaan dengan kuntuman-kuntuman bunga mawar itu. Aku mengesyaki bahawa kuntuman-kuntuman bunga mawar itu telah diselitkan oleh gadis-gadis bunian ketika Pak Mie baru sampai di rumahnya itu. Ketika aku sedang mengambil gambar di langit, kepalaku mendongak ke atas lalu pada waktu itulah kuntuman-kuntuman bunga mawar itu diselitkan. Mungkin. Wallahualam. Adakah ini yang dinamakan cinta? Uwerkkkkk. Hahaha. Semoga kita bertemu lagi di edisi yang akan datang dan sekali lagi aku mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin. Jazzakallah Khaira Khatiro. Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh & Salam Sejahtera. Sekian, terima kasih.

-CarlitoRocker2017-

Carlito Rocker

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 3.3]

19 thoughts on “#CarlitoRocker – ROH, QARIN, MALAIKAT, & KISAH 3 SYAWAL”

  1. nk tya kes sy ni plak tgh jerang airkt dpur pastu ttdo. bgun tkjut sb xttp air. bila bgun tgk air dh ditutup api n xda org pun kt rmh. soalannya siapa ttp? nk kata air melimpah n api terpadam xleh jgk sb suis dapur tu mmg off. xda bau gas jgk. adakah qarin/pjga rmh yg tlg pdm? sb sy pnh dgr jga stiap rmh ada pnjaga. tgs dia jaga rmh..dia xkcau pghuni. dia jaga rmh..

    Reply
  2. assalammualaikom.memang tak pernah bosan baca cerita carlitorocker.saya dapat timba ilmu.ada pengajaran.memang bermanfaat.

    Reply
  3. kompius dengan cite ko ni cuu…awal perenggan ko kata org tua tu masuk dengan gaya elegen…pertengahan plak ko kata dia kusut masai sampai nasi terselit kat janggut….ke, nek je yg kompius..

    Reply
    • Nenek kebayan
      Apa yg cu fhamin dri, cerita carock ni, awal tu kemas lg pakcik tu,lepas mkan tu sngaja pak cik tu mencomotkan dirinya..

      Reply
      • ohh begitu ke? baiklaaa….nek bayang kan camtu je laa ye….thanks cu…mlm ni nek dtg dlm mimpi kamu…zasssssssss….!

        Reply
  4. Nasihatku pada korang semua adalah jangan sesekali menilai seseorang itu berdasarkan luarannya sahaja. Kadang-kadang yang cantik itu tidak semestinya cantik dalamannya, yang buruk pula tidak semestinya buruk dalamannya. Jangan mudah menjatuhkan hukum ke atas seseorang, jalankan kajian dan siasatan dahulu sebelum mensabitkan kesalahan ke atas mereka. Orang-orang tua biasanya diam-diam ubi berisi, kata-kata dan perbuatan mereka kebanyakannya berkias dan penuh dengan maksud yang tersirat. Perhatikan perbuatan mereka dan belajar untuk mentafsir rahsia yang mereka dedahkan secara halus itu.

    Sy setuju sgt2 dgn kenyataan ini…..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.