CenCorot : Suara Siapakah?

Sudah menjadi rutin setiap malam, pondok di depan rumahku menjadi ‘port’ rasmi kami melepak. Setiap kali lepas isyak, jemaah melepak mula ramai. Seperti biasa, apabila ramai berkumpul, suasana jadi riuh dengan gelak tawa kami. Dari gurauan biasa sehingga ke gurauan kasar. ‘Sporting’. Kami memang sekepala walaupun kadang-kadang ada yang terasa hati tetapi kami cepat berbaik. Begitulah keadaannya setiap malam.

Malam ini suasana agak suram kerana sebelah petangnya hujan sehingga senja. Tambahan pula, gerai burger jiran sebelah rumah juga tutup menambahkan lagi suasana yang suram di sekitar pondokku. Pondok yang di bina abangku itu memang tiada lampu. Besarnya boleh muat dalam 7 orang. Sudah hampir 8 bulan di bina tetapi masih utuh walaupun kawan-kawanku perangainya seakan-akan beruk dewasa. Kah! Kah!

“Ambik la air sejuk satu jug. Lepak tak kan la tak ada minum-minum? Tak kan itu pun aku nak ajar?” Spontan kawanku Muk menyuruhku masuk mengambil minuman sambil membelek handphone Nokia 3310 miliknya. “Leceh! Tiap-tiap malam nak kena suruh.” Wan mencelah sambil bermain game ular dalam handphonenya yang juga Nokia 3310. Aku hanya tersengih kelat lalu bangun masuk ke dalam rumah.

“Lann..”

Belum sempat langkahku sampai ke depan pintu rumah, aku mendengar seseorang memanggilku dari arah pondok. Suaranya lembut sayup-sayup kedengaran. “Nak apa lagi?” Teriakku dari depan pintu rumah. Muka kawan-kawanku sedikit berkerut. “Bila pulak aku panggil kau?” Yang lain juga berkata begitu. “Suara siapa pulak yang panggil aku tadi? Emm..salah dengar kot.” Getus hatiku sambil melangkah masuk ke dalam rumah.

Sambil menuang air sejuk ke dalam jug, aku menoleh ke arah jam dinding. Sudah hampir pukul 11 malam. Aku tinggal di rumah itu bersama-sama dengan abang dan kakak iparku. Anaknya pula seramai 3 orang. Mereka sekeluarga keluar ke bandar untuk membeli barang keperluan harian. Mungkin sebentar lagi mereka akan pulang.

“Lan…”
“Lannn…”

Suara tadi kedengaran lagi. Sayup bunyinya. Aku tidak dapat mengecam bunyi suara siapa kerana suaranya pertama kali ku dengar. Bunyinya seakan-akan dari luar pintu dapur. “Siapa pulak nak kenakan aku ni? Kau tunggu jap. Jap lagi aku balun kau dengan raket badminton ni!” Aku fikir mungkin kawan-kawanku cuba menakut-nakutkan aku. Aku mencapai raket badminton yang di sangkut di dinding dapur lalu perlahan-lahan melangkah ke pintu.

Raket ku angkat dalam posisi sedia untuk melibas lalu ku buka pintu dapur selaju mungkin. Tetapi hampa! Tiada siapa-siapa di luar. Hanya angin dingin menerjah masuk. Bayunya lembut dan sejuk sehingga menaikkan bulu romaku. Aku sudah berkira-kira mungkin Muk ataupun Wan yang akan merasa ‘smash’ raketku di kepala mereka, tetapi tekaanku tidak mengena. Suasana yang gelap di belakang dapur membuatkan aku segera menutup pintu.

“Korang ada pergi belakang dapur aku tadi ke?” Sambil meletakkan dulang berisi air sejuk dan cawan kosong, aku meninjau sekeliling pondok kalau-kalau ada kawanku yang lain menyorok. “Tak ada pun. Dari tadi lepak sini je.” Balas Wan. “Betul ke ni? Korang jangan main-main!” Sukar untuk mempercayai kejujuran Wan yang kuat kelentong itu. “Cakap banyak pun tak guna. Kita minum duluu…” Muk menuang air sejuk ke dalam cawannya lalu di hirup dengan sekali hirupan. Nampak benar hausnya itu. Muk tidak mengendahkan soalan ku. Aku jadi bingung.

Ah! Malas aku nak fikirkan sangat tentang suara tadi. Aku pasti suara tadi adalah plan busuk kawan-kawanku yang memang suka bergurau kasar. Mulut puaka mereka itu memang ku masak benar. Malam ini kami hanya bertiga. Yang lain-lain masih belum nampak batang hidung.

Tidak lama selepas itu Botak tiba dengan motor kapcainya. “Bertiga je ke? Mana lagi yang lain?” Kami tidak segera menjawab. Kami sudah berpakat tadi untuk tidak melayan Botak supaya dia naik angin. Kami buat tak tahu saja. “Woi! Pekak ke? Aku pukul jugak sekor-sekor ni karang!” Botak sudah mula naik angin. Dia mengambil seekor katak yang kebetulan lalu di bawah pondok lalu mencampakkannya ke dalam pondok. Berterabur kami melompat keluar dari pondok. “Kahkahkah! Padan muka. Nak kenakan aku konon!” Botak ketawa puas. “Gurau sikit pun tak boleh ke? Leceh la botak!” Wan menyapu seluarnya yang di penuhi pasir. “Malam ni apa projek? Tadi aku lalu depan kebun Wak Tamin tengok jagung dia dah cukup masak. Jom la ambik setongkol 3 4 tongkol.” Cadangan Botak itu memang kami sangat setuju. Di antara kami berempat, Botaklah yang paling nakal. Ada sahaja idea jahatnya.

Alang-alang tengah lapar ni, kami pun berangkat ke kebun Wak Tamin yang tidak jauh dari rumahku. Hanya 10 minit jika berjalan kaki. Waktu itu hampir pukul 11.30 malam. Keadaan jalan yang lengang menambahkan lagi kesunyian malam. Bunyi cengkerik dan katak jelas kedengaran di kiri dan kanan jalan. Kami rancak berborak sambil berjalan menuju ke kebun Wak Tamin. “Jalan depan rumah Pak Bakar tu dulu pernah ada orang nampak pontianak bertenggek. Betul-betul depan tiang lampu tu. Atas pokok.” Botak menuding jarinya ke arah pokok di depan rumah Pak Bakar yang sudah tidak jauh dari kami. “Kau ni Botak. Boleh pulak cerita pasal pontianak. Kita dah la nak buat projek ni. Nanti tak pasal-pasal dia join sekali.” Muk badannya sahaja besar tetapi penakut. “Kalau dia muncul, kita ajak la sekali panggang jagung. Ramai-ramai baru best. Hahahaa!” Wan cukup lancang ayatnya. Pontianak di buat-buat main.

“Wargghhhh…” Botak sengaja menyergah membabi buta. Terkejut kami dibuatnya. “Nanti orang dengar la gila. Kita ni nak pergi tibai jagung. Sebab mulut kau yang macam ‘speaker’ ni tak pasal-pasal kita pulak yang kena tibai!” Aku menyekeh kepalanya yang botak licin itu. Terasa sedikit kasar kulit kepalanya kerana rambut telah mula tumbuh. “Hahahaha..” Wan dan Muk mentertawakan Botak. “Hehehe!” Dalam masa yang sama, aku terdengar suara lain ikut ketawa. Halus bunyinya. Aku terus melihat sekeliling. Kot-kot ternampak ‘uniform putih’. “Kau tengok apa?” Botak menegurku. “Shhhh! Kejap. Semua diam.” Kataku berbisik. Kami berhenti sebentar di hadapan rumah Pak Hassan. Rumahnya sudah gelap. Barangkali semuanya sudah tidur.

“Kenapa kau ni? Macam nampak hantu je?” Wan bersuara. “Aku dengar suara orang gelak tadi. Macam suara lelaki tapi halus.” Aku yakin kali ini bukan suara kawan-kawanku yang ketawa. Ini suara suatu entiti lain. Aku pasti! “Aku tak dengar apa-apa pun? Kau salah dengar kot.” Muk menafikan kata-kataku. “Aku pun tak dengar apa-apa.” Botak juga sama. “Betul la. Aku dengar tadi. Jelas bunyinya. Bunyi tu macam ada dekat je!” Aku tetap yakin dengan deria pendengaranku. Aku masih belum pekak. “Ah! Tak ada apa-apa lah tu. Nak takut apa. Kita ramai ni kan. Kebun Wak Tamin tak jauh dah tu. Depan tu je lagi.” Botak memang seorang yang berani. Dia tetap dengan niat jahatnya.

“Ok. Aku jalan dulu. Korang ikut belakang.” Botak mengarah. Kami akur sahaja dengan arahan Botak. Kami meneruskan langkah ke tempat di tuju. Aku masih berfikir mengenai suara tadi. Tidak tenang di buatnya. Jantungku tiba-tiba berdegup laju seolah-olah satu signal akan kehadiran entiti lain. Apabila kami melewati sebuah rumah sebelum rumah Pak Bakar, lampu jalan di hadapan rumah Pak Bakar tiba-tiba terpadam. Keadaan jalan menjadi lebih gelap. Kami mematikan langkah seketika.

“Lann..”
“Lannnnn…”
“Lannn..”

Bunyi suara memanggil namaku bermain-main di telingaku. Bunyinya sayup-sayup kedengaran datang dari segenap arah. Suaranya seolah-olah bermain di sekelilingku. Bulu romaku mulai tegak. “Kau dengar tak?” Aku mencuit bahu Botak. “Dengar apa?” Botak kehairanan. “Bunyi suara orang.” Aku sudah mula berpeluh. Suara inilah yang mengganggu aku dari rumah tadi. Rupanya suara entiti lain! Bukan suara kawanku! “Bunyi cengkerik ada la”, balas Botak. Pelik! Hanya aku yang mendengar suara ini.

“Aku nak balik la. Aku dah kecut ni!” Dalam usia remajaku ini, tahap keberanian aku sudah sampai hadnya. Gangguan suara ini membuatku tidak tentu arah. Suasana gelap di sekelilingku seolah-olah makin menghimpit pernafasanku. Aku rasa sesak, takut, panas, sejuk, semua bercampur baur!

“Kita tak jauh dah pun. Seberang rumah Pak Bakar tu je kebunnya. Kau nak takut apa? Kita kan ramai ni.” Botak cuba memujukku. “Aku tak berani la. Lagi pun dah nak tengah malam ni. Kejap lagi abang aku pun nak balik dah.” Aku cuba mencari alasan.

Triiittt…triittt…
Triitt..triittt…

Handphone Nokia 3310 ku berdering. Ada panggilan masuk. Kulihat di screen nama “Abang Long” tertera. Baru saja di sebut namanya sudah muncul. “Kau kat mana? Kenapa tak lepak kat pondok? Kau pergi merempit ke? Jangan cari pasal!” Abangku membebel kerana aku tiada di rumah. “Pusing-pusing kampung je ni. Dah nak balik ni.” Jawabku lemah. “Ok. Cepat sikit. Aku tunggu ni!” Panggilan di putuskan sebelum sempat aku membalas ok. Aku lihat jam di handphone sudah pukul 11.45 malam.

“Kan! Baru je sebut. Abang aku dah suruh balik.” Aku sedikit lega kerana tidak perlu mengikut mereka. “Ye lah. Kau nak balik pergi lah. Nanti abang kau marah pulak. Kita orang nak terus pergi kebun.” Botak bertegas. “Kau berani ke balik seorang? Nanti dengar suara orang panggil lah, orang gelak lah.” Pertanyaan Wan mengembalikan rasa seram di tubuhku. “Wan, kau temankan aku balik. Boleh tak?” Wan tidak segera membalas. Angin sejuk mula membelai kawasan itu. “Ok lah. Jom.” Balas Wan bersahaja. Botak dan Muk terus berjalan tanpa menghiraukan kami. Mungkin mereka sakit hati dengan ku kerana merosakkan mood aktiviti jahat mereka.

Tetapi ada sesuatu yang pelik di antara Botak dan Muk. Walaupun mereka sudah jauh berjalan meninggalkan aku dan Wan, aku nampak samar-samar mereka bertiga, bukan berdua seperti sepatutnya. “Jom balik.” Suara Wan mengejutkanku. “Wan, kau nampak tak tadi? Macam ada orang lain ikut dia orang sekali!” Aku memegang lengan Wan sambil berjalan. Badannya sejuk seperti tiada d***h. “Sejuknya badan kau. Kau tak sihat ke?” Wan hanya diam membisu. “Woi! Dengar tak?” Aku teriak sedikit. “Tak ada apa lah.” Itu sahaja balas Wan. Aku pun malas nak bertanya lagi. Aku sibuk memikirkan siapa yang mengikut Muk dan Botak. Dari jauh tadi ku lihat bentuk badannya persis manusia. Takkan mereka tidak perasan. Macam-macam persoalan bermain di benakku.

Dalam perjalanan balik, Wan sepatah pun tidak bercakap. Dia agak pelik. Hanya jalan menunduk bagai seorang yang pemalu. Ah! Malas aku nak fikir pasal Wan. Yang pasti aku harus dapatkan kepastian siapa yang mengikut Botak dan Muk tadi. Aku keluarkan handphone dari poket lalu menaip mesej.

‘Wei, ko dah masuk kebun tak’. Send..

Bipp..bipp..
Mesej masuk. Laju saja si Botak ni balas.
‘Dah la. Dah setel masuk dalam beg plastik. Aku tunggu dia orang kencing. Lambat pulak’.

‘DIA ORANG? Siapa pulak lagi seorang?’ Send..

Bipp..bipp..
Mesej masuk. ‘Wan dengan Muk la. Takkan dengan Wak Tamin pulak. Kau dah sampai rumahke? Berani betul kau jalan balik seorang.’

Bulu romaku tiba-tiba meremang. Aku tidak mampu untuk mengangkat mukaku berpaling ke arah ‘Wan’ di sebelahku. Aku khuatir nanti Wan akan berubah menjadi sesuatu yang aku takutkan.

“Hehehehe…Lannn…Lannnn…” Suara itu kali ini sangat jelas dari sebelahku. Aku pasti di sebelahku bukan lagi Wan kawanku tetapi entiti yang menyerupai Wan. Aku cuba untuk membuka langkah seribu, tetapi kakiku terasa berat. Aku hanya mampu untuk berjalan. “HAHAHAHAHA….” Kali ini ‘Wan’ mengilai nyaring. Serentak dengan itu badanku terasa sangat lemah. Otakku mula kekurangan oksigen. Aku sempat menoleh ke arah entiti itu yang tinggi lampai hitam legam. Wajahnya berkedut-kedut dengan matanya yang besar dan merah. Beberapa saat saja dunia menjadi gelap. Aku pitam.

Aku tersedar ke esokkan paginya. Menurut cerita abangku, kawan-kawanku terserempak denganku terbaring di atas jalan. Aku menceritakan peristiwa yang berlaku padaku tetapi hanya di balas ketawa berdekah-dekah oleh kawan-kawanku. Mereka tidak menyangka aku benar-benar di ganggu. Mulai malam itu, aku tidak lagi berani melalui jalan depan rumah Pak Bakar pada waktu malam.

TAMAT.

oleh : CenCorot

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

4 thoughts on “CenCorot : Suara Siapakah?”

  1. masa lan cakap “Badannya sejuk seperti tiada d***h. “Sejuknya badan kau. Kau tak sihat ke?” Wan hanya diam membisu. “Woi! Dengar tak?” Aku teriak sedikit. “Tak ada apa lah.” Itu sahaja balas Wan” , yang nie aku dah tau , tuu bukan si wan.. hahahaha

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.