Ini pertama kalinya saya menceritakan kisah ini di platform Fiksyen Shasha, harap semua pembaca tidak bosan dengan cerita saya ini.
Saya merupakan anak ke-3 daripada 4 adik beradik, ada seorang adik lelaki, tapi sewaktu kejadian itu saya masih anak bongsu berumur lingkungan 5 tahun ,mempunyai kakak sulung serta seorang abang. Saya sangat rapat dengan abang kerana jarak umur kami paling dekat iaitu 3 tahun sahaja, manakala jarak umur saya dan akak beza 9 tahun.
Dipendekkan cerita, saya dan abang bagaikan belangkas kemana saja kami berada, tetap bermain bersama. Suatu hari, seingat saya ketika itu waktu cuti sekolah, kami hanya duduk rumah bermain di dalam kawasan rumah sahaja.
Waktu itu zaman kami tiada gajet canggih, tiada telefon pintar jadi kami hanya bermain dam ular, catur, kad uno, jutaria dan permainan tradisional.
Setibanya waktu petang, kami mengambil keputusan untuk bermain congkak di dalam bilik. Dek kerana leka bermain, kami tidak perasan sudah masuk waktu maghrib. Sewaktu itu, mama, ayah serta kakak saya sudah bersiap untuk menunaikan solat Maghrib, manakala kami masih bermain congkak. Bunyi biji congkak jatuh satu persatu “tok, tok, tok” bergema dalam keheningan. Semakin larut waktu maghrib semakin kami leka dan seronok bermain congkak.
Dalam kelekaan bermain, telinga kami tetap peka dengan bunyi sekeliling, oleh kerana ruang tingkat bawah tiada siapa hanya ada kami berdua sahaja. Tiba-tiba kami terdengar bunyi seolah-olah ada orang lain juga yang sedang bermain congkak bersama kami. Bunyi “tok… tok… tok” itu kedengaran jelas, sedangkan biji congkak kami sudah pun habis digerakkan. Suasana bilik yang mula gelap ditambah dengan angin malam yang menyusup masuk membuatkan bulu roma kami meremang.
Bunyi yang pada mulanya sayup-sayup kedengaran, kini semakin jelas. Sewaktu itu kami terus berhenti bermain congkak. Rasa takut semakin menyesakkan dada, seolah-olah ada sesuatu yang sedang memerhati kami. Jantung mula berdegup kencang dan tangan yang memegang congkak terasa bergetar tanpa sebab.
Kami pasti bunyi tersebut datang dari depan pintu tandas. Antara tandas dan bilik kami itu hanya dipisahkan dengan dinding yang mempunyai satu tingkap sesar, jadi bayangkanlah memang dengar jelas bunyi tersebut datang dari arah tandas.
Kami ingin bangun dan lari ke tingkat atas, namun kaki seakan terpaku ke lantai. Keberanian langsung tiada, mungkin kerana fikiran kami yang masih kecil, dibayangi ketakutan kalau-kalau “hantu congkak” itu mengejar. Dengan tubuh yang menggigil, kami hanya mampu merangkak perlahan dan menyorok di bawah tingkap, menahan nafas sambil menunggu saat “dia” berhenti bermain.
Kami ingin bangun dan lari ke tingkat atas tapi tiada keberanian dek kerana kami masih kecil dalam fikiran kami takut kalau dikejar “hantu congkak” itu. Jadi kami hanya duduk dalam bilik menyorok bawah tingkap dan menunggu sehingga “dia” berhenti bermain congkak. Dalam ketakutan, telinga kami menangkap suara mama, ayah dan kakak sedang menuruni tangga menuju ruang tamu. Namun, sebaik sahaja mereka turun tingkat bawah, suara itu lenyap begitu sahaja ,sunyi, sepi, seakan-akan tidak pernah wujud.
Bila akhirnya kami nampak wajah mama, ayah dan kakak di ruang tamu, tanpa berlengah kami terus menceritakan segala yang baru saja terjadi. Reaksi mereka jelas terkejut, namun dalam nada serius mereka menasihati kami sepatutnya berhenti bermain dan menunaikan solat terlebih dahulu. Pesan mereka lagi, jangan sekali-kali bermain congkak ketika masuk waktu Maghrib. Kemudian saya dan abang bergegas mengambil wuduk dan menunaikan solat Maghrib. Sejak malam itu, congkak tersebut kami simpan rapat tidak pernah disentuh lagi hingga ke hari ini. Malah, saya sendiri tidak akan bermain congkak walaupun kepunyaan orang lain, kerana bayangan peristiwa itu masih menghantui fikiran saya.
Pengajarannya cerita saya ini ; solatlah awal waktu jangan lengahkan dengan hal dunia.
Begitulah cerita saya, untuk pengetahuan ini memang cerita sebenar bukan rekaan. Untuk pengetahuan semua, banyak lagi kisah seram yang saya alami, kalau ada kelapangan saya akan kongsikan, Terima kasih semua sudi baca cerita saya.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit