#D.Writer- APA SALAH AYAHKU?!

Assalamualaikum Fiksyen Shasha dan Selamat Sejahtera buat para pembaca a.k.a peminat setia FS. Terima kasih FS sudi menyiarkan kisah aku, D.Writer (tu pun kalau terpilih, hehe). Ini kisah pertama aku olahkan berdasarkan pengalaman sendiri. Percaya atau tidak terserah dekat korang. Untuk kisah pertama dekat FS pasal ayah aku sendiri. Peristiwa ni buatkan aku sendiri naik darah dekat seseorang yang sanggup berbuat sebegitu rupa dekat ayah aku.

Ayah aku sekarang tak ada kerja. Hanya mengharapkan hasil tanaman sawit dan kebun sayuran. Terkadang hobi ayah pergi memburu di hutan walau untuk sekali sebulan. Hasil buruan cukup untuk mengisi perut dan rezeki wang untuk membayar sewa rumah. Usaha ayah tak henti-henti nak berikan nafkah buat keluarga walau zaman sekarang ni zaman gst, zaman semua itu ini tak halang ayah daripada mencari rezeki halal. Haa. Panjang intro pasal ayah aku. Haha. Ok, kita start cerita pulak.

Kita pergi merantau kembali alam zaman persekolahan menegah aku, 6 tahun yang lepas. Aku lupa waktu tu aku tingkatan berapa. Masa tu, aku tinggal dekat sebuah kampung. Mendiami sebuah rumah kecil agak usang. Atap rumah pun kalau ribut memang nak terbanglah jawabnya. Bilik cuma satu. Ruang tamu pun kecil. Dapur pun sangatlah kecil. Korang pandai-pandailah bayangkan sendiri. Tapi, syukur ada tempat berteduh walau ruangnya agak sempit untuk empat orang beranak.

Satu malam tu, ayah aku macam kena ‘serang’. Dia tengah sedap-sedap tidur, tiba-tiba boleh pulak dia menjerit tak tentu pasal. Mak aku time tu pun terkejut dek teriakan ayah. Korang pun tahukan macam mana kalau lelaki melolong teriak bagai. Boleh roboh satu rumah. Apatah lagi rumah waktu tu kitaorang tinggal. Haha! Aku time tu, masih mamai. Nyenyak tidur katakan. Tak tahu apa jadi dekat ayah. Tapi, boleh aku gagahkan mamaiku untuk bangun duduk sebentar.

Sambil menggosok mata, dapat aku lihat mak memapah ayah keluar menuju ke ruang tamu. Ayah masa tu memang tak boleh berdiri mahupun berjalan. Memang berheretlah jawabnya kan. Aku hairan, apa kes ayah aku cenggitu. Tapi, aku tak tahu lagi masa tu. Aku hanya perhatikan dorang. Kot ayah sakit perut sampai tak boleh berdiri. Anggapan aku jer. Mak nampak sibuk pergi masak air panas. Pergi buat teh panas. Konon nak legakan perut ayah. Tapi, ayah masih melolong kesakitan. Tangannya tak lekang memegang bahagian atas perut. Kalau diperhatikan betul-betul bukan bahagian perut dia tapakkan tangan. Tapi, di bahagian dadanya. Aku hairan. Ayah mana ada sakit apa-apa. Jauh sekali!

Waktu tu, jam terasa lambat nak menuju pagi. Sepanjang malam sampaikan azan subuh berkumandang pun ayah tak henti-henti meraung kesakitan. Terkadang meneriak melolong bagaikan orang gila. Sampaikan air mata lelakinya keluar menanggung sakit. Aku tak tahu hendak buat apa. Mak pulak sekian cara dah ubati ayah. Tetap sama sampailah mentari naik ke pagi hari. Aku tak pergi sekolah dek keadaan ayah yang nampak teruk. Tangannya kekal menapak dekat dada. Aku hairan dan pelik. Kalau benar sakit takkan berjam-jam, kan?

Mak aku dah buntu nak buat apa. Mak aku pergi telefon nenek. 15 minit macam tu, nenek sampai. Mak dan nenek pergi memapah ayah menuju ke klinik. Yang peliknya, bila doktor check boleh pulak dia cakap ayah tak ada sakit?! Haiyo!!! Nenek kemudian cau pergi dan kembali 10 minit bersama seorang lelaki. Tampak umurnya seperti dalam lingkungan 50-an cam tu. Nenek menceritakan apa yang ayah alami. Aku gelarkan dia, Tok. (p/s; Tok ni seorang haji. Pengamal perubatan kampung berasaskan Islam) Tok mengangguk faham. Dia merenung sebentar ayah yang tampak semakin lemah menahan sakit sendiri. Dia menaris nafas dan menghembus sesaat kemudian.

Bibir Tok mulai terkumat-kamit. Dimulai dengan bacaan al-fatihah dan beberapa surah membuatkan ayah sedikit tenang. Tok kemudian mengeluarkan sebilah pisau lipat dari begnya. Nampak masih berbungkus kemas sepertinya baharu saja dia beli agaknya. Mulutnya kembalit terkumat-kamit membaca sesuatu. Nenek menghulurkan sebotol air mineral kepada Tok, lalu pisau lipat tadi dicelup ke dalam air mineral tadi. Tok memberikan kepada ayah. Perlahan-lahan ayah meminumnya. Usai air itu mengalir ke dalam tengkuknya, seminit dua kemudian ayah kembali normal. Tiada lagi raungan kesakitan ayah kedengaran. Syukur! Tok merenung ayah.

“Orang ni, cuma hendak menguji seseorang. Tapi, dek tempias perbuatannya engkau pun terkena sama. Siapa orangnya biarlah Allah sahaja yang tahu. Jangan dibalas. Biarlah Allah menghukumnya dikemudian hari. Pisau ni, jangan tinggalkan sama sekali. Andai sesuatu datang hendak menguji engkau lagi, akan ada getaran dipisau ini (bunyi seperti cicak). Percaya akan kuasa Tuhan, pasti engkau akan dilindungi oleh Maha Esa. Biarlah selebihnya Allah uruskan. Sebelum tidur selawatlah ke atas Nabi.”

Itulah kata-kata Tok kepada ayah. Ayah diam tidak berkata apa. Dia hanya mengangguk lemah. Walau hanya beberapa jam dapat aku perhatikan jauh kurusnya ayah tika itu. Betapa dahsyatnya benda itu menguji ayah. Sampainya hati! Selesai berubat, ayah kelaparan tahap dewa. Sepinggan nasi belum konfirm kenyang. Aku gembira melihat ayah kembali sihat.

Namun, gembira itu tidak berpanjangan. Selang beberapa tahun (tahun lepas) kami berpindah ke rumah baru. Tak tahu aku nak mulakan bagaimana, tapi sesudah ayah pulang dari berburu boleh pulak aku perasan sesuatu dekat ayah. Kakinya (xingat kaki sebelah mana), nampak mengecil sebelah. Mulanya ingatkan tak ada apa-apa. Tapi, pagi tu sewaktu ayah hendak pergi ke kedai. Sesuatu seperti mencucuk lemak kaki ayah. Namun, menjelang tengah hari ayah balik dengan keadaan semakin parah. Sedikit tempang ayah berjalan. Tika itu, semakin kecil kaki ayah. Sebelahnya pula normal seperti biasa. Kata ayah, seperti ada yang mencucuk-cucuk tapak kakinya. Sakit!

Esoknya ayah pergi berubat. Kali ini, tiga orang perubat kampung mengubati ayah. Katanya, seseorang menghantar benda dituju kepada ayah. Usai berubat, salah seorang mereka berkata.

“Bagaimana? Hendak aku kembalikan kepadanya? Atau menghantar lebih daripada yang dia hantar dekat engkau? ”

“Kembalikan sahaja. Selebihnya biarlah Allah yang tentukan.” Begitu lembut hati ayah memaafkan si pelaku. Aku kagum. Namun, tetap tidak berpuas hati. Sekali lagi ayah aku menjadi mangsa. Selang beberapa bulan, menjadi mangsa itu tidak berakhir begitu sahaja. Sakit beberapa tahun lepas kembali lagi menyerang ayah.

Tika itu, aku di bandar. Dalam pukul 3 pagi macam tu, telefon aku nyaring berbunyi. Mak? Aku angkat dalam keadaan mamai. Lantang kedengaran raungan ayah di belakang. Membuatkan mataku segar bugar serta-merta. Mak menceritakan apa yang berlaku. Segera aku mandi kemudian memecut balik ke kampung.

Sampai di rumah, seperti 6 tahun lepas teriakan ayah bergema seluruh ruang. Tika itu, pisau lipat yang diberi Tok kedengaran seperti bunyi cicak. Aku mengetap bibir lalu aku buang pisau itu ke sudut rumah. Hatiku bagaikan api hendak menyumpah itu ini. Sabar! Kemudian, mak dan aku memapah ayah menuju ke kereta. Aku segera membawa mereka menuju ke rumah Tok. Biarlah orang tengah tidur ke apa, janji ayah aku tak kesakitan macam tu. Bertuah hariku pabila Tok membuka pintu walau tika itu azan baharu sahaja habis berkumandang. Tok menjemput kami masuk menunggu sementara dia usai sembahyang subuh. Walau berada di rumah orang, teriakan ayah tetap bergema garang. Semakin lama semakin kuat. Lantang!

Selang beberapa minit, Tok muncul. Tok duduk bersebelahan dengan ayah. Mulutnya segera terkumat-kamit. Telapak tangannya kemudian menapak belakang badan ayah menepuk perlahan. Serta-merta tiada lagi kedengaran suara kesakitan ayah. Diam! Tok menyambung kembali. Aku hanya memerhati ayah. Tampak lemah rupanya. Kesian! Siapa pula kali ini?!

“Kalini, aku hantar balik barang dia. Biar dia rasakan apa yang kau alami. Berhati-hati dengan orang sekeliling engkau. Tak semua berhati mulia seperti malaikat. Terkadang wajah suci namun hatinya penuh iblis. Setiap makanan dan minuman jangan sebarangan kau tinggalkan lagi.” Tok bersuara usai habis bacaannya.

“Siapa Tok yang menghantar benda tu lagi dekat aku Tok?” Ayah bertanya.

“Seseorang yang hampir dengan engkau. Yang mungkin engkau kenal dan rapat. Seperti aku katakan sebelum ini, tak semua manusia berhati malaikat. Sama ada dia dengki mahupun benci pabila syaitan membisik, kawan atau tak memang dia takkan peduli lagi. Lepas ni, jangan terlalu mudah percayakan manusia. Jangan pulak terlalu prasangka. Percakapan mahupun perbuatan hendaklah dijaga. Kot dalam diam seseorang tu mudah tersentuh hati…”

Aku hanya diam mendengar. Manusia sebegitu banyaknya yang wujud. Tidakkah dia terfikir akan azab Tuhan dikemudian hari? Siapa orang itu masih misteri. Tok enggan memberitahu siapa. Hatiku geram tidak berpagar. Melihat ayah menanggung setiap satu kesakitan yang tidak diminta membuatkan marah manusiaku meluap. Mujur iman terkawal dek kesabaran ayah menghadapi setiap satu ujian. Alhamdulillah, sehingga kini tiada lagi kes sebegitu rupa menguji ayah lagi. Moga dijauhkan benda-benda sebegitu rupa. Amin.

2 thoughts on “#D.Writer- APA SALAH AYAHKU?!”

Leave a Comment