“Dalam senyum pun dia boleh sindir menyindir. Mungkin disebabkan itulah”- Jenazah Jadi Seberat Batu.

Kisah ni dah lama dah berlaku. Sekitar awal tahun 2000 di negeri Terengganu. Di dalam kampung saya waktu itu ada seorang makcik ni yang berusia sekitar 60an, dia hidup sendirian setelah kematian suaminya lebih dua puluh tahun yang lalu. Hanya beberapa kali dijenguk anak-anak lelakinya yang seramai 4 orang datang ke rumah. Keempat-empat anak lelakinya sudah berumahtangga, dan semua sudah mempunyai kediaman sendiri.

Walaupun anak-anaknya mahu ibu mereka berpindah tinggal dengan mereka secara bergilir, tetapi si ibunya itu yang dikenali sebagai Hajah Tijah tetap berdegil dan tidak mahu meninggalkan rumah pusakanya.

Orang kampung kenal dengan Hajah Tijah, seorang yang jarang bergaul dan banyak memerap di dalam rumah sahaja.

Orang cakap mulut Hajah Tijah ni leser skit. kalau bercakap pedih-pedih anak telinga ini mendengarnya. Dalam senyum pun dia boleh sindir menyindir. Mungkin disebabkan itulah orang kampung dan jiran jiran tidak berapa nak rapat dengannya.

Sampai satu masa, dia diberitakan terkena serangan angin ahmar yang membuatkan separuh badannya lumpuh dan mukanya menjadi herot. Sehinggakan hendak makan dan minum pun terpaksa disuapkan oleh anak menantunya.

Hajah Tijah menemui penciptaNYA setelah beberapa bulan terlantar sakit. Atas permintaan anak sulungnya, dia mahu ibunya dikebumikan berdekatan dengan kampung yang didiami anak sulungnya itu sendiri. Kiranya dia tidak mahu berjauhan dengan arwah ibunya, kalau boleh kubur ibunya itu dekat dengan tempat tinggalnya.

Berita akan kematian Hajah Tijah itu sampai ke pengetahuan arwah abang long saya. Dia berkawan baik dengan salah seorang anak arwah Hajah Tijah. Pada hari arwah dibawa naik ke rumah anak sulungnya, saya dan abang long saya ada di halaman rumah anak sulung Hajah Tijah.

Saya dan Abg Long saya tiba sedikit lewat di rumah anak sulung Hajah Tijah, rasanya sekitar lewat 6 petang. Jadi kami tak sempat hendak membantu apa yang patut. Abg Long saya juga agak keberatan untuk naik ke dalam rumah. Dia hanya naik seketika dan menjenguk dari luar beranda tanpa mahu menjejakkan kaki ke dalam rumah anak sulung Hajah Tijah itu. Dia melihat empat anak lelaki Hajah Tijah sedang memikul pengusung yang membawa jenazah ibunya menuju ke bilik air untuk dimandikan dan dibersihkan.

Untuk pengetahuan semua, arwah Hajah Tijah merupakan seorang wanita yang bertubuh kecil molek, tidak berisi dan tidak juga tinggi. Boleh dikatakan ketinggiannya sekitar hampir lima kaki sahaja dan berat badannya mungkin dalam 40-50kilogram sahaja. (Perkiraan kasar)

Menurut cerita, ketika 4 anak lelaki Hajah Tijah sedang mengusung jenazah ibunya menuju ke bilik air rumah kampung milik anak sulungnya itu, keempat-empat anak lelakinya bersusah payah dan mengeluarkan sehabis kudrat untuk mengangkat jenazah ke bilik air untuk dimandikan.

Terlepas dari mulut salah seorang anak lelaki Hajah Tijah satu perkataan yang amat jujur, tetapi membuatkan hadirin yang hadir terdiam kelu.

Salah seorang anak lelaki Hajah Tijah yang sama-sama mengusung jenazah ibunya itu terlepas cakap dan didengari oleh abang long saya.

“Berat mayat mak! Berat macam batu!” Rungut salah seorang anak lelakinya tanpa menyedari ucapannya itu telah didengari orang lain.

Ada kemungkinan kerana dia terlalu penat mengusung jenazah ibunya itu sehinggakan dia terlupa situasi dia mana dia berada. Luahan anak lelakinya itu dipersetujui oleh tiga lagi anak lelakinya yang sama-sama mengusung jenazah ibunya itu. Peluh di wajah masing-masing bagaikan baharu sahaja selesai bermain badminton selama tiga set tanpa henti layaknya.

Korang tahu tak? Saya menulis cerita ini pun hati saya dilanda rasa tak sedap. Dub dab dub dab…! Bukan saya nak mereka reka perasaan ini, malah waktu saya sedang menaip ini, saya sedang memasang surah Ar-Rahman di sebelah saya. Kenapa saya rasa tak menentu apabila cuba menceritakan kisah ini? Sebab saya memang ada di lokasi kejadian dan ini adalah kisah benar.

Namun waktu itu saya tak naik ke dalam rumah. Saya lebih selesa berada di halaman rumah anak sulung Hajah Tijah sambil berzikir. Cuba menenangkan perasaan.

Waktu semakin menjengah ke senja, hati saya pada hari itu juga dilanda perasaan tidak enak. Abang long saya juga sudah berada bersama-sama dengan saya dan orang kampung yang lain di halaman rumah. Kawasan rumah anak sulung Hajah Tijah dipenuhi dengan pokok-pokok yang menjulang tinggi. Ada pokok durian, pokok kapas dan pokok yang rata-rata semuanya tinggi-tinggi.

Waktu hampir gelap, hati saya pada waktu itu semakin tidak menentu. Resah, dan sesekali saya menoleh ke kiri dan kanan tanpa tujuan. Tiba-tiba abang long saya menegur saya apabila dia melihat mulut saya terkumat-kamit seperti membacakan sesuatu. Ya, waktu tu saya sedang membacakan tiga Qul berulangkali. Cuba menenangkan perasaan sebenarnya.

“Dee… Mu ada rasa menda-menda ke?” Soal abang long dalam loghat Terengganu.

“Rasa dok sedap hati.” Luah saya jujur.

Memang senja itu saya berasa amat rimas dan hangat seperti angin langsung tidak mahu bertiup mendinginkan debaran yang sedang mrlanda. Malah detak di dada saya seperti ingin menyatakan sesuatu, seperti ada sesuatu yang tidak kena. Tetapi saya tak dapat meneka apa dia sehinggalah abang long saya mengambil tempat di sebelah saya.

Kemudian abang long perlahan-lahan menyuruh saya mendongak memandang ke arah pohon kapas yang bersebelahan dengan pokok itu ada sebatang pokok yang sudah m**i, hanya tinggal ranting sahaja.

Saya melihat, tetapi tak ada apa-apa yang dapat ditangkap oleh retina mata saya. Kemudian saya menoleh dan bertanya kepada abang long saya.

“Ada mende long?”

“Dok napok ke?” Tanya abang long lagi bersama senyuman kecil.

“Mende? Dok napok. Mata acik bukannya buleh napok benda ghaib.” Tingkah saya. Saya memang tahu abang-abang saya memang dianugerahkan Allah sesuatu yang boleh dikatakan mampu melihat sesuatu di sebalik mata. Terutama abang long saya.

“Ce mu tengok betul-betul dengan mata hati mu.” Kata abang long.

Saya diam dan merenung sahaja di puncak pokok m**i itu. Mungkin abang long fikir saya memang tak nampak agaknya, lantas dia dengan perlahan-lahan membisikkan sesuatu dekat telinga saya. Seperti tidak mahu didengari oleh orang lain.

“Arwah makcik Tijah ada bertenggek di hujung pokok m**i tu!” Kata abang long.

“Allahuakbar!” Ucap saya perlahan.

Bulat mata saya, serta merta bulu roma di belakang leher saya mengembang sehingga dirasakan naik ke kepala. Patutlah dari tadi lagi hati dan naluri saya langsung tidak sekata dan tidak enak. Memang ada secuit perasaan takut mulai memanjat ke dada. Tetapi abang long perlahan-lahan menitipkan pesanan.

“Baca ayatul Qursi. Selawat, baca tiga Qul. Jangan berhenti.” Pesannya.

Saya pun turuti apa yang dipesannya. Perasaan seram itu berlalu apabila azan Maghrib berkumandang dari masjid yang berdekatan. Terus hilang rasa seram dan tidak sedap hati. Demi ALLAH, memang rasa menyesal pulak ikut abang long menziarahi jenazah Hajah Tijah.

Pesan abang long lagi kepada saya.

“Balik rumah, basuh kaki. Baca ayatul Qursi dan terus masuk mandi dan solat.”

Saya hanya mengangguk kecil. Tidak sampai dua minit selepas azan Maghrib selesai berkumandang, abang long saya mengajak saya pulang. Tanpa bertangguh, saya turuti sahaja abang long saya itu.

Sebelum sampai ke kereta, abang long menguntum pesanan lagi buat saya.

“Jangan sebut, jangan bercerita apa-apa pasal ini. Bimbang ‘dia’ ikut kita. Benda ini tahu, bila kita tahu dia ada.” Pesan abang long.

Kami pulang dan kami berbual topik cerita yang lucu dan ada juga topik sukan. Sedaya upaya kami mengelak daripada berbual apa yang kami rasai di perkarangan rumah anak sulung Hajah Tijah sebentar tadi.

Saya tak pasti, apakah amalan yang diamalkan oleh Hajah Tijah sehinggakan jenazahnya begitu berat untuk dipikul anak-anak lelakinya yang tegap dan muda-muda itu. Sedangkan tubuh arwah kecil sahaja. Dan sememangnya saya amat tidak selesa setiap kali ada sesuatu yang tidak diundang hadir memerhati. Mujurlah hijab saya masih terjaga, saya tak taulah satu hari nanti kalau-kalau hijab saya boleh terkuak dengan sepenuhnya, mau pengsan saya.

Abang long saya masih tenang, walaupun dia mampu melihat sesuatu yang tidak dapat saya lihat. Kini abang long saya juga sudah kembali kepada ALLAH SWT. Peristiwa ini akan terpahat di dalam ingatan saya sampai bila-bila. Terutama apabila abang long saya menerangkan bagaimana rupa arwah ketika dia terpandang di puncak pokok yang sudah m**i itu. Ya, saya tidak akan lupa.

Saya nak tidur dulu. Ayatul Qursi akan menjadi peneman saya malam ini. Seram wehhh…!

Al fatihah buat arwah abang long saya.

– oleh Saidee Nor Azam.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 48 Average: 4.5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.