Assalamualaikum warga FS. Sekadar kisah fiksyen hiburan di waktu santai. Watak utama dalam cerita Dendam, iaitu Anas kembali. Selamat membaca.
***************
“Tolong pakcik, nak. Kesian bini pakcik tu. Kasihanilah kami, nak.”
Pak Hasan kedengaran merayu, tanpa segan silu. Peduli apa dia dengan pandangan Pak Syukri dan Mak Seri. Dia menangis semahunya. Melepaskan apa yang terbuku di dalam jiwa.
Anas mengalih pandangan ke arah ayahnya, Pak Syukri. Serba salah. Bukan dia tidak mahu menolong tetapi itu bukan kepakarannya. Dulu, arwah ibunya Aminah bukannya dia yang rawat. Dia cuma berusaha keras membawa arwah ibunya kembali ke pangkal jalan. Selebihnya mereka menyerahkan usaha itu kepada perawat Islam yang lebih arif.
“Anas jenguk sajalah dulu. Tidak perlu buat apa-apa.” Saran Pak Syukri.
“Ya, asal saja engkau sudi menjenguk dan melihat sendiri keadaan bini pakcik, nak Anas.” Pak Hasan segera menyambut saranan itu.
Anas cuma mengangguk perlahan.
****************
Anas, Pak Syukri dan Pak Hasan disambut oleh anak gadis Pak Hasan iaitu Saleha. Riak wajah Saleha kelihatan agak cemas.
“Mak mana, Saleha?” Tanya Pak Hasan. Saleha segera menunjuk ke arah dapur.
“Mak tengah makan.”
Pak Hasan segera mengiring Anas dan Pak syukri ke dapur.
“Eh, biarlah dia makan dulu. Kita menunggu di ruang tamu saja.” Pak Syukri menolak.
“Aku hendak engkau berdua tengok.” Ujar Pak Hasan.
Anas yang mendiamkan diri sejak dari tadi segera berpesan kepada ayahnya agar membaca doa serta ayat pelindung diri. Aura negatif amat dirasai oleh Anas sejak tiba di rumah Pak Hasan. Dia hanya ingin bersiap siaga saja.
Setiba di ruangan dapur, Anas dan Pak Syukri beristighar. Isteri Pak Hasan yang dikenali sebagai Mak Munah kelihatan agak terganggu dengan kehadiran mereka namun hanya sebentar saja. Mak Munah segera kembali mengadap makanan.
“Besen nasi ke lima, ayah.” Saleha bersuara, nadanya hampir berbisik.
Anas jatuh kasihan melihat keadaan Mak Munah. Mak Munah duduk di lantai dapur dan melahap sebesen penuh nasi. Di sebelah besen berisi nasi terdapat talam berisi ayam panggang dua ekor, sudah tinggal separuh.
Mak Munah, tubuhnya tidak sepadan dengan selera makan. Bertubuh cengkung. Malah kelihatan dia bersusah payah menahan badannya yang melengkung ke belakang.
Anas kemudiannya mengajak ayahnya, Pak Hasan dan Saleha ke ruang tamu. Kelihatan Saleha menahan rasa sebak. Begitu juga dengan Pak Hasan.
“Pak Hasan, boleh tak cerita apa yang berlaku sebenarnya. Usah selindung. Anas.. nampak apa yang berpaut di belakang mak Munah.”
Riak wajah Saleha berubah menjadi hairan lalu memandang wajah ayahnya. Pak Hasan membungkam.
********************
3 tahun yang lepas.
Pak Hasan dan Mak Munah sibuk menguruskan majlis pertunangan Saleha. Saleha satu-satunya zuriat mereka bakal bertunang dengan jejaka pilihan. Bertemu jodoh di tempat kerja.
Sejam kemudian suasana menjadi agak kekok. Rombongan pihak lelaki masih belum sampai. Ditelefon juga tidak bersahut. Acara pertunangan yang sepatutnya berlangsung selepas zohor membawa ke senja. Tiada khabar langsung dari pihak lelaki. Tetamu pula beransur pulang. Bisik-bisik orang membuatkan hati mak Munah bengkak. Mukanya masam, duduk saja di sofa tidak berganjak. Saleha sudah mengurung diri di bilik. Hanya Pak Hasan yang kelihatan sibuk di depan pintu sambil memohon maaf kepada para tetamu.
Kelihatan sebuah kereta menghampiri perkarangan rumah. Panjang leher Mak Munah menjenguk ke luar. Mungkin bakal besannya yang tiba. Namun hampa. Kelihatan satu susuk lelaki yang agak tegap keluar dari kereta itu. Muka Mak Munah kembali masam, malah merah padam mukanya.
“Aku dah kata, usah sesekali engkau datang ke sini!” Tanpa memperdulikan dua orang tetamu yang masih di situ, Mak Munah bersuara. Lelaki itu hanya tersengih.
Pak Hasan segera mendekati Mak Munah.
“Khairul, apa khabar?” Pak Hasan sekadar berbasa basi. Bukan dia tidak tahu, Mak Munah dan juga Khairul, adik iparnya itu bersengketa semenjak setahun lalu. Putus persaudaraan, sanggup tidak mengaku adik beradik hanya kerana tanah pusaka.
“Aku baik saja, Hasan. Beginilah sejak Naimah dan anak-anak meninggalkan aku.”
Pak Hasan terbejat seketika bila mendengar nama birasnya itu. Bukan saja kerana nama yang disebut itu sudah meninggal dunia tetapi kerana nada suara Khairul yang tidak beremosi.
Pak Hasan segera mengiring Khairul menjauhi Mak Munah yang sudah bercekak pinggang.
“Baliklah, Khairul. Aku nak jemput engkau masuk ke rumah, engkau tengoklah kakak engkau tu. Sepatutnya Saleha bertunang hari ini, tetapi entahlah.” Pak Hasan mengeluh. “Usah keruhkan lagi. Aku harap Munah dan engkau berbaik semula. Aku tak berhenti nasihatkan Munah. Hatinya masih keras juga, Khairul.”
Tanpa memperdulikan Pak Hasan, Khairul berjalan mendekati Mak Munah.
“Aku hendak engkau rasa apa yang aku rasa, Munah. Tetapi engkau akan rasa lebih seksa dari aku. Aku tahu apa yang engkau buat sehinggakan isteri dan anak-anak aku mati!”
Khairul segera bergegas ke keretanya dan memandu pergi. Mak Munah kaku, kakinya seolah dipaku ke tanah. Pak Hasan yang kelihatan terkejut segera tidak memperdulikan Munah bila terdengar Saleha menjerit nyaring.
********************
Kini
Mak Munah bersusah payah hendak duduk di bangku yang terletak di luar dapur. Mahkluk yang berpaut di lehernya sementara kaki mahkluk itu berpijak di belakang pinggangnya membuatkan tubuhnya melengkung ke belakang. Jika dia tidak menahan badannya, tentu dia akan jatuh bergolek ke belakang.
Dia sedar ada tetamu di rumahnya. Entah siapa lagi yang dibawa suami itu. Semenjak tiga tahun lepas, bermacam jenis pawang dan bomoh dijemput oleh Pak Hasan untuk mengubat dirinya.
Mak Munah termenung sambil membetulkan posisi badannya. Mahkluk hodoh berkulit hitam itu meletakkan kepalanya di bahu Mak Munah. Hampir termuntah Mak Munah menghidu nafas mahkluk itu. Mak Munah Merenung jauh.
******************
Berang sungguh Mak Munah bila mendapat tahu tanah pusaka orang tuanya adalah atas nama adiknya, Khairul. Arwah ibunya, yang baru saja meninggal malam tadi rupanya telah meletak nama Khairul sebagai pewaris tunggal.
Hati Mak Munah diselubungi benci, lupa dengan hukum. Lupa dengan Allah. Jiwanya dipenuhi dengan hasutan syaitan. Tanpa pengetahuan suaminya, Mak Munah mencari bomoh orang asli dan melakukan perjanjian.
Perjanjian berdarah! Aku ditipu! Getus Mak Munah sambil menyerigai menahan sakit lehernya dipaut mahkluk durjana. Pinggangnya juga seakan patah ditekan oleh kaki mahkluk itu.
Mak Munah tidak berniat. Benci bagaimanapun, Khairul tetap adiknya. Naimah tetap iparnya. Qaseh dan Khazman, masing-masing 3 tahun dan 2 tahun adalah tetap anak-anak buahnya.
Tidak sekalipun Mak Munah menduga, gangguan yang dihantarnya itu telah menyebabkan kematian Naimah dan anak-anaknya.
“Tidak, bukan salah aku. Mereka mati kemalangan.” Mak Munah bermonolog. “Ya, salah aku. Polong itu melekap di cermin kereta mereka. Lalu mereka kemalangan.” Mak Munah bersuara lagi.
Kerana harta, Mak Munah terjerumus. Kerana harta, Khairul hilang pertimbangan. Dia membalas perbuatan kakaknya. Mereka terpedaya.
Semenjak tiga tahun lepas, Mak Munah didampingi mahkluk itu hanya dengan tujuan agar dia terseksa. Saleha pula tidak bertemu jodoh kerana setiap kali ada yang berkenan akan ditimpa malang. Semua kenalan menjauhkan diri dari mereka anak beranak.
Mak Munah termenung lagi. Penyesalan memang tidak berguna lagi. Mak Munah mengongoi. Mahkluk gelap itu juga turut mengongoi. Bunyinya seram menusuk ke tulang.
******************
“Khairul sudah gila.” Pak Hasan bersuara lagi. “Asyik memanggil nama arwah isteri dan anak-anaknya. Aku tidak tahu samada dia atau orang lain yang menghantar gangguan kepada Munah. Aku tidak mahu tahu.” Tanpa segan silu, Pak Hasan menangis lagi. Saleha juga mengelap air mata di pipinya.
“Pakcik, Anas cuma boleh bagi panduan amalan pelindung diri. Mohonlah solat taubat dan hajat kepada Allah. Mudahan Allah memperkenankan.” Anas bangkit dan menuju ke bilik Saleha.
“Yang ini, aku boleh bantu buang.” Anas menunjuk ke atas pangkal pintu bilik Saleha. “Itu juga.” Anas menunjuk ke siling. “Sebaiknya, selepas ini usah meminta bantuan dari pawang dan bomoh. Ini semua khadam mereka.”
Pak Syukri, Pak Hasan dan Saleha terpinga-pinga memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Anas. Kosong, tiada apa pun. Hakikatnya, Anas memandang ke arah pontianak yang sedang bertenggek di pangkal pintu dan juga polong yang duduk mencangkung di palang siling rumah.
Anas mula melaungkan azan, diikuti dengan ayat pelindung diri. Anas meneruskan dengan beberapa ayat suci. Hanyalah Allah tempat meminta. Hanyalah Allah tempat bergantung. Meraung segala mahkluk dilaknat mendengar kebesaran Allah. Kerdil sungguh keupayaan mahkluk ciptaan Allah.
Mahkluk yang berpaut di leher Mak Munah juga meraung. Mengelupur Mak Munah menahan sakit. Saleha yang sedar akan keadaan Mak Munah segera mendapatkan ibunya. Pak Hasan membontoti Saleha, manaka Pak Syukri tetap tidak berganjak. Dia ingin menemani anaknya dan bersiap siaga.
Saleha menangis semahunya. Ibunya, walau pernah derhaka dengan Allah tetaplah ibunya jua. Keadaan Mak Munah sangat memilukan. Mak Munah terbaring di atas lantai. Kepalanya hampir menyentuh bahagian belakang pinggangnya. Kaki Mak Munah mengeletak tidak berhenti. Nampaknya mahkluk itu memaut leher Mak Munah dengan kuat dan kakinya juga menekan punggung Mak Munah dengan sehabis daya. Mahkluk itu kesakitan namun tidak mahu melepaskan Mak Munah.
“Lepaskan dia. Pulanglah kepada tuanmu.” Tiba-tiba Anas muncul dari belakang mereka. Mahkluk itu memandang Anas dengan tajam. “Sudahlah. Takut kepada Allah.” Mahkluk itu terbejat mendengar nama yang Maha Agung.
Anas menyambung membaca ayat-ayat Allah. Allah yang duduk di kursinya, penguasa seluruh alam. Mahkluk itu dengan segera melepaskan Mak Munah lalu mencicit lari sebelum hilang dari pandangan mata.
Pak Hasan dan Saleha segera mendapatkan Mak Munah yang kelihatan amat lesu. Cengkung tubuh dan wajahnya membuatkan Mak Munah kelihatan amat tua. Pak Hasan mencempung Mak Munah lalu masuk ke dalam rumah.
Saleha segera membisikkan syahadah ke telinga ibunya tidak berhenti-henti. Bunyi di kerongkong ibunya menandakan dia nazak. Mak Munah akhirnya menghembuskan nafas. Terlepas dari seksa dunia. Urusan di akhirat, biarlah Allah yang menghakiminya.
Anas dan Pak Syukri kembali ke rumah dalam diam. Banyak ulah manusia yang boleh dijadikan teladan dan pengajaran. Semoga dosa-dosa mereka yang telah meninggal dunia diampuni oleh Allah. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita jua. Bisik hati Anas.
“Ayah, jangan lupa doa pelindung diri.” Ujar Anas pendek. Dia tidak mempunyai keinginan berkongsi dengan ayahnya apa yang dilihat semasa meninggalkan rumah Pak Hasan. Dari cermin sisi keretanya, Anas melihat mahkluk berkulit hitam itu berjalan seperti gaya orang capik menuju ke rumah Pak Hasan. Namun mahkluk itu cuma berlegar di luar. Tidak dapat masuk ke dalam rumah. Rumah itu sudah dipagar oleh Anas. Mahkluk itu, tidak akan masuk ke dalam rumah selagi tidak diizinkan oleh Allah.
Tamat.
Penulis.
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Semoga kita kembali ke sisi Allah, banyak pengajaran,
Best!
Best!
9/10
10/10
11/10 cerita mcm ini baru best
BEST… !!!!!
Kisah maya dah tadak ka ? berbulan menunggu
*************** (BERBINTANG2 SAYA BAGI)..
BESTT
terrbaikk
Pipah suka!
Best