Dendam Selepas Keguguran

Ina merupakan seorang kerani yang bekerja pada 8 pagi hingga 5 petang dan membuat kerja separuh masa dari jam 6 petang hingga 10 malam. Ekonomi yang agak teruk pada zaman sekarang memaksanya untuk membuat dua kerja dalam satu masa.

Kerja separuh masanya membuatkan Ina terpaksa pulang lewat. 10 malam baru dia boleh menutup kedai. Dia bekerja di kedai menjual barang kecantikan di sebuah pusat membeli belah.

“Aduh, hari ni kena tutup lambat pulak. Tiba-tiba ramai pulak customer nih…” Ina mengomel sendirian.

Majikannya meminta Ina pulang lewat sedikit kerana dia tidak cukup tangan melayan pelanggan yang memenuhi kedai mereka.

Jam sudah melangkau ke 10.30 malam. Ina melambaikan tangan pada majikannya dengan senyuman yang terpaksa. Dia tidak suka balik begitu lewat kerana laluan untuk ke rumahnya sunyi setelah ditutup kerajaan untuk memaksa orang ramai lalu di jalan yang baru. Ina terpaksa menguatkan mentalnya dan melajukan motor dibawanya ketika melalui laluan sunyi itu.

“Hish, mana datang sawang ni? Jalan luas… kenapa muka aku rasa macam ada sarang labah-labah melekat? Ke rambut aku ni terkeluar dari tudung nih?” Ina membebel kecil sambal menguis mukanya kerana terasa ada ‘helaian rambut’ beralun di mukanya.

Tiba-tiba terdapat hembusan angin dari arah depan. Sungguh wangi bauan tersebut. Bunga melati barangkali.

“Ah sudah… ada pulak yang mengacau nih.” Ina mempercepatkan lagi motornya. Dia sedar dia sedang diusik. Apabila sampai ke rumah, Ina sudah kalut membuka pintu. Kuncinya seakan-akan degil seperti tidak mengizinkannya masuk ke rumah.

“KLIKKK!”

Lega hatinya dapat juga buka pintu yang berkunci itu. Sudahlah mak dan ayahnya keluar membeli makanan. Terpaksa dia harungi sendirian. Dapat saja kakinya melangkah ke dalam rumah, wangian bunga melati yang mengikutnya bertukar menjadi bau hanyir seperti bau bangkai.

“BAMMM!” Ina terus menghempas pintu dan termenung seketika. Tidak lama selepas itu mak ayahnya pulang. Dia sedikit lega. Tidak sanggup mahu duduk sendirian di rumah papan kepunyaan arwah atuknya.

Ina memberitahu maknya apa yang terjadi keesokkan harinya. Mak Ina menyuruhnya berhenti kerja malam supaya tidak berulang lagi perkara yang sama. Orang tua-tua dulu kata andai sekali kena bermakna ada yang berminat. Mujur majikannya bersetuju dan tetap akan membayar gaji selama mana dia berkerja.

***

Di pejabat tempat Ina bekerja…

“Ina! Malam ni kitorang salesman ada makan ramai-ramai dekat kedai Abang Meor. Jomlah join!” Ajak Karim.

“Takpelah abang. Saya malas keluar malam. Cukuplah sekali kena acau,” adu Ina kepada Karim sambil membuat muka sedihnya itu.

“Balik kerja nanti kamu tunggu aku dengan seseorang yang boleh berubat. Janganrisau. Orang tu kamu kenal. Jumpa dekat kedai mamak depan t,” kata Karim lagi meninggalkan Ina terkebil-kebil.

Loceng menunjukkan habis kerja telah menjerit. Dia memakai helmet sambil termenung dan masih berkira-kira mahu jumpa atau sebaliknya. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.

“Kitorang ada dah dekat sini. Tengah tunggu kamu. Jangan terus balik pulak!” Terus Karim menekan punat ‘end call’ walaupun belum mendengar sepatah perkataan pun dari Ina. Ina terus memulas ‘throttle’ motornya menuju ke tempat yang dijanjikan.

“Lahh… Abang Mus ke? Buat saya saspen jelah Abang Karim ni,” jerit kecil Ina melihat Abang Mus yang merupakan pekerja di pejabat yang sama.

“Mus, hang tolong tengok adik ni. Kot lah ada apa-apa dekat dia,” kata Karim pada Mus.

“Hmm… Ina, ada orang mengantar benda dekat kamu. Kamu tak sedar ke belakang badan kamu rasa berat? Benda tu bertenggek di bahu kamu. Rambut mengerbang. Tua dah. Buruk rupanya,” Mus menerangkan kepada Ina. Ina kelihatan terkejut. Namun mulutnya terkunci untuk meluahkan rasa di hatinya.

“Macam ni lah. Esok malam aku datang rumah kamu. Aku tolong pagarkan rumah kamu dan tolong kamu berubat. Aku ikhlas tolong,” kata Mus lagi menenangkan sedikit keresahan hati Ina.

Karim dan Mus turut berpesan kepada Ina supaya malamnya dia perlu banyak bersabar kerana dia akan diganggu. Setelah minum dan bersembang kosong, mereka bertiga beransur pulang. Ina meminta diri dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka.

Malam telah menjelma. Kata-kata Karim memberi kesan pada Ina. Dia berasa seram sejuk memikirkannya. Baru sahaja dia ingin melelapkan mata…

“KRIEEKKK… KRIEEKKK…”

Ngilu sungguh telinga Ina mendengarnya. Hilang langsung rasa mengantuknya yang baru dia rasai tadi. Bunyi cakaran dinding papan di sisi katilnya memecah kesunyian malam. Ina masih ingat pesan mereka. Dia cuba mengabaikan bunyi tersebut. Sekali lagi dia cuba melelapkan mata. Baru lebih kurang 30 minit Ina dibuai mimpi…

“TUP!.. (5 saat) TUP!.. (5 saat) TUP!..”

Pandai pula makhluk tersebut menyakitkan hati Ina. Ina mula menyumpah di dalam hatinya kerana dia terasa sangat mengantuk. Tetapi dipaksa untuk berjaga. Bunyi tingkap biliknya pula seperti dibaling batu. Entah dari mana datangnya keberanian Ina, dia membuka tingkap dan menyumpah seranah pada yang mengganggu tidurnya.

“Aku nak tido lah gila! Hang nak main pun gi sana jauh-jauh! Kawasan ni beso! Aku penat! Aku nak tido. Jangan sampai aku mencarut pulak!” Teriak Ina tanpa memikirkan apa yang bakal berlaku.

Tiba-tiba Ina terlihat bungkusan ‘gula-gula’ berwarna putih lusuh di sebalik pokok besar di tepi biliknya itu. Nasibnya baik kerana pocong itu tidak muncul tepat di mukanya. Kalau tidak, entah apa yang akan terjadi padanya. Pocong atau nama manjanya gula-gula kerana berbungkus seperti gula-gula. Bunyinya manis tetapi tidak pada rupanya. Rupanya hodoh. Gelap biji matanya terperosok ke dalam tengkorak. Kulitnya bercarik-carik hingga menampakkan isi dagingnya yang lembik dan terkulai. Terdapat beratus ulat mayat bergerak-gerak di dagingnya.

Ina bergegas menutup tingkapnya.

Dia berlari ke bilik mak dan ayahnya kerana sudah tidak tahan diganggu. Ayahnya, Pakcik Talib tidur di ruang tamu kerana tidak mahu anaknya berasa tidak selesa. Walaupun bunyi cakaran, bunyi guli di atas siling, Ina tetap dapat melenakan dirinya kerana letih dengan kerjanya di pejabat hari ini kemudian diganggu pula dengan makhluk tidak diundang. Mujurlah esoknya hari cuti minggu.

Kesokkan malamnya, Mus datang ke rumah Ina bersama keluarganya. Mereka sangat ramah dan sanggup membantu meringankan kerja ayahnya. Dua anaknya membantu merembas lada hitam dan garam di dalam rumah dan di sekitar. Mus pula menyediakan limau nipis dan sintok untuk Ina mandi serta menghilangkan rasa bisa di badan. Kemudian dia ‘memagarkan’ rumah Ina. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Mereka dua keluarga berkumpul di dalam rumah menikmati juadah yang disediakan keluarga Ina.

“Sebenarnya Ina, ada yang marahkan kamu atas kata-kata kamu. Jadi lepas ni berjagalah. Siapa yang buat kamu jangan ambil tahu. Kadang orang yang paling kita percaya yang sangat-sangat bahaya. Benda tu tertanam di sebelah nuh. Dekat dengan pokok pisang. Biarkan je sebab benda tu dah tak berfungsi. Seperkara lagi. Ada saka yang nak kan kamu. Yang bau wangi tu antara salah satu petanda dia dekat dengan kamu. Kalau keturunan kamu ada saka, cubalah buang..” Terang Mus dengan panjang lebar sebelum meminta diri untuk pulang. Dipesan juga supaya Ina mandi dengan cara yang betul dan perlu dilakukan selepas dia balik. Cara perubatan Mus serasi dengan keluarga Ina. Alhamdulillah Ina tidak lagi diganggu.

Selepas dua tahun kejadian itu…

Ina dan Farid akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Ina tinggal di Perak manakala Farid di Perlis. Walaupun mereka jauh di mata namun tidak memutuskan semangat mereka untuk bersama. Pertemuan Farid dan Ina setahun yang lalu ketika berkonvoi motosikal kapcai di Perlis membuatkan Farid jatuh hati dan sanggup menunggu walaupun tahu Ina sudah berpunya ketika itu. Jodoh itu rahsia Allah. Akhirnya mereka akan bersatu tidak lama lagi.

“Sayang… sementara abang dekat sini, and semua persiapan dah settle. Kita pergi rumah family kawan abang. Dia selalu datang servis keta kat abang. Nama dia Abang Man. Kadang bagi upah pun lebih dari apa yang abang mintak.” Farid memberi cadangan.

“Sayang ikut je. Lagipun baju, kelengkapan, semua dah siap. Dah alang-alang kita keluar ni boleh la kite ke sana. Lagipun Klebang tak jauh mana. Biar sayang drivekan memandangkan abang asyik drive je. Dah la baru sampai dari Perlis semalam.” Ina memberikan senyuman manis pada bakal suaminya.

Sampai sahaja di sana kelihatan seorang perempuan tua dan anak perempuannya seperti menunggu ketibaan kami. Mereka mengalu-alukan kedatangan kami. Terang Farid pada Ina mereka adalah keluarga Abang Man.

“Abang Man sibuk sikit. Kamu pun datang tak bagitahu makcik dulu. Tiba-tiba call kata lagi 20 minit nak datang hantar kad kahwin. Makcik suh Fatin sediakan air teh dan gorengkan nugget. Terima kasih tolong tengokkan anak makcik ni. Kadang tolong amikkan barang dekat kolej Fatin kat Perlis nuh. Terpaksa tunggu kami datang rumah pulak amik barang sume tu. Susahkan Farid dan famili pulak. Apa pun tahniahlah, nak kawin dah kamu. Tak sangka makcik.” Panjang lebar Makcik Kiah bercakap tanpa menghiraukan Ina. Yang dipandang hanya Farid sahaja!

“Fatin ni tak reti nak keluar sana sini. Fatin pandai masak. Fatin cantik. Fatin itu… Fatin ini… Apa ni abang? Dari kita sampai hingga la nak balik. Pujian pada anak dia je melambung. Abang pergi tolong apa kenapa tak bagitahu Ina sebelum ni? Abang tak sedar ke makcik tu kenan dekat abang? Eloklah kan, pergi tolong anak dara orang? Apa lagi korang buat hah? Kalau korang nak bersama, silakanlah. Ina Tarik diri. Mudah. Abang tak payah pening fikir nak pilih sape.!” Ina menghamburkan kata-kata marahnya ketika di dalam kereta sebaik sahaja sejengkal kereta dinaiki mereka meluncur dari rumah Makcik Kiah.

“Sayang tak percaya abang ke? Abang tak pernah curang. Jangan samakan abang dengan ex-ex sayang, OK? Abang tak kisahlah apa makcik dan Fatin tu fikir. Abang tolong sebab abang terhutang budi dengan Abang Man. Lagipun Abang tak hensem. Dari dulu tak ada orang nak tau. Kalau ada pun nak duit abang je. Fatin tu cantik. Mustahilah dia nak abang. Tapi abang pun pelik jugak kenapa sayang nak abang. Hehe. Abang rasa sayang fikir lebih sebab cemburu ni. Sudahlah… jangan menangis, ya?” Pujuk Farid setelah melihat Ina mula menggugurkan air mata. Mereka berdua bertemu mata dan tersenyum.

Hari yang ditunggu tiba. Mereka selamat diijabkabulkan. Dari jauh terdapat sepasang mata yang kelihatan tidak puas hati. “Siaplah kau Farid. Kau buat mak dan adik aku berkenan kat kau. Kau buat baik macam kau nak deme. Sekarang kau nikah dengan orang lain? Perempuan ni pun satu hal. Siaplah kau! Aku sekeluarga akan buat kau merana Ina sampai kau akan melepaskan Farid sendiri!” Man mendengus lalu beredar dari majlis itu.

Tiga bulan berlalu. Ina takut bercampur gembira. Dia sudah lewat kedatangan haid selama dua minggu. Dia akhirnya mengambil keputusan untuk membuat ujian air kencing menggunakan ‘pregnancy test kit’. Keputusannya positif. Dia mengambil keputusan untuk menunggu kepulangan suaminya. Walaupun sudah berkahwin mereka mengambil keputusan untuk berjauhan dahulu sementara menunggu kewangan mereka stabil.

Sehari sebelum kepulangan Farid, Ina merasa sakit pada perutnya. Ada cecair keluar dari celahan kemaluannya. Dia dengan segera pergi ke bilik air. Ina bertenggong untuk memudahkannya melihat apa sebenarnya yang keluar.

“BLURPPPP…”

Tiba-tiba gumpalan darah yang besar-besar keluar dari kemaluannya. Dia panik namun dia cuba selidik dengan harapan itu darah haid. Kata orang walaupun mengandung tak mustahil darah haid masih turun. Ina terlihat dua kantung seperti telur ikan. Ina tahu. Dia keguguran lalu menangis semahunya di dalam bilik air.

Esoknya Ina memberitahu Farid yang mungkin dia gugur namun tidak diberitahu keputusan air kencing yang dibuat sebelum ini. Sesampai sahaja dia Perak, Farid terus membawa isterinya ke hospital untuk memeriksa kesihatan Ina. Kata doktor Ina tidak mengandung. Ina terkejut. Permainan apa yang terjadi. Dia yakin ada yang tidak kena. Perut yang sakit ditahan sahaja dan dikatakan pada Farid perutnya sudah baik.

Sebulan berlalu namun Ina masih tidak keruan memikirkan apa yang terjadi. Perutnya pula kerap sakit. Pedih dan ngilu rasanya. Lebih sakit dari wanita yang menghadapi senggugut. Dia merahsiakan segalanya dari Farid kerana dia tahu Farid tidak percaya pada alam yang lagi satu. Ina dapat merasakan yang keluarga Makcik Kiah ada kaitan dengan apa yang terjadi. Begitulah hebatnya firasat seorang wanita yang seperti detektif lagaknya.

Hari minggu seperti biasa Farid pulang ke pangkuan isterinya untuk melepaskan rindu. Dia membawa Ina berjalan ke Pasar Loken untuk mencari patung Hello Kitty yang menjadi koleksi isterinya itu. Entah macam mana mereka berdua terserempak dengan Makcik Kiah dan Fatin.

“Amboi… Lepas kahwin dah tak kenal makcik ke Farid?” Tiba-tiba Makcik Kiah menahan mereka. “Ni dah ada isi ke belum?” Tambah Makcik Kiah.

Farid yang tidak senang dengan soalan itu terpaksa juga menjawab yang rezeki belum ada. Muka Ina sudah berubah menahan kecewa kerana dia tahu soalan itu hanya untuk menyakitkan hatinya. Sebaik sahaja makcik Kiah mendengar jawapan Farid dia tersenyum puas lalu meleretkan matanya ke arah Fatin. Kedua mereka tersenyum puas. Fatin pula memandang Ina dari kepala ke kaki berulang kali. Sudahnya Farid yang sedar keadaan tegang menarik Ina dan meminta diri.

“Abang… sayang tak sedap hati. Sayang tahu abang tak akan percaya pada firasat sayang. Tapi ada tak kena dari pandangan deme tadi. Seolah-olah ada merancangkan sesuatu,” Ina cuba meraih kepercayaan Farid.

“Abang tahu sayang. Sayang pernah cerita dekat abang tentang Abang Mus kan? Apa kata esok kat pejabat sayang tanya kat dia? Abang tak dapat nak temankan sayang. Petang ni abang kena balik Perlis. Ada kerja perlu disiapkan,” Farid memberi cadangan pada isterinya. Ina bersetuju dan mereka mula berbual kosong seperti biasa. Rindu benar Farid untuk mendengar celoteh isterinya.

Esoknya Ina terserempak dengan Mus di pejabat. “Abang Mus, hari tu saya ada terserempak dengan seseorang. Sebelum kahwin saya memang dah rasa tak kena bila berjumpa deme untuk hantar kad. Saya risau deme antor benda bukan-bukan pada saya. Lagipun saya pernah gugur sebelum ni. Tapi doktor kata saya tak mengandung,” terang Ina.

“Apa yang kamu cakapkan tu betul. Kalau boleh elakkan diri dari berjumpa deme. Kalau nak aku tolong, tunggu suami kamu ada sekali. Dia pun terkena. Ada yang kenankan suami kamu,” jawab Mus. Ina memberikan senyuman dan berkata yang dia akan berbincang dengan suaminya.

Hari berganti hari. Ina masih tidak menyatakan apa-apa keputusankepada Mus. Apatah lagi memberitahu pada suaminya. “Kalau aku minta tolong Abang Mus, confirm dia cuma buangkan aje. Dia tak akan tolong balas balik. Kalaulah aku ada saka yang hebat macam dalam TV tu. PERGH… Bestnya! Mampos korang aku kojekan. Aku pun dah tak lalu asyik orang je hanto ke aku. Aku tak kenal korang. Suka hati nak bunuh kandungan aku,” getus hati Ina sendirian di dalam bilik.

***

Pada malamnya, dia melihat seseorang putih pakaiannya dan bersih wajahnya.

“Hai manusia. Aku saka dari keturunan datuk moyangmu. Adakah kamu ingin bantuan aku? Aku sudi melenyapkan pembunuh anak-anakmu dari muka bumi ini. Dengan syarat kamu menerima aku sebagai khadammu. Aku berjanji aku tidak akan menuntut apa-apa darimu. Andai kamu bersetuju, kamu sebut sahaja di hati kamu apa keinginan kamu. Dan saat itu aku akan menjadi khadammu.”

Ina terjaga dari mimpinya. Entah macam mana hati Ina menyatakan dia terlalu ingin melihat pelakunya mati terseksa dan hati mereka dirobek keluar kerana mereka tidak layak memilikinya!

***

Pihak polis menemui dua kujur mayat di dalam rumah mangsa sendiri. Seorang lagi pengsan berhampiran mayat-mayat itu tapi tangan dan badannya penuh dengan darah. Pihak mereka buntu kerana amat mustahil untuk ‘manusia’ melakukan kekejaman tersebut. NGERI! Hanya itu yang terlintas di dalam akal fikiran mereka.

Mayat tersebut seperti dipatah dua. Belakang kepala bertemu buku lali. Perut pula dirobek-robek sehingga terburai isi dalamnya. Usus mangsa seperti sengaja ditarik-tarik keluar. Badan penuh dengan cakaran yang amat dalam sehingga menampakkan daging mangsa. Kuku pula pecah seperti mencakar-cakar lantai mungkin kerana tidak tahan menanggung kesakitan ketika diperlakukan begitu. Ketiga-tiga mangsa jantungnya hilang. Dirobek keluar tanpa ada belas kasihan. Bau mayat amat meloyakan. Hanya bau hanyir darah yang memenuhi sekeliling rumah mangsa. Ya… Darah memercik sehingga ke siling, dinding dan lantai di tempat kejadian. KEJAM!

“HAHAHA! Puas hati aku! Aku tak pernah nak ganggu hidup korang, tapi disebabkan korang berusaha menghancurkan rumah tangga aku, bunuh kandungan aku, aku terima kehadiran saka yang sudah lama ingin berdamping dengan aku! Aku sudah melakukan segala apa yang boleh untuk tidak menerima, namun terima kasih pada korang membuat aku lebih kuat demi menuntut kematian anak kembar aku! Dendam aku kini terbalas! Anak-anakku, lihatlah manusia-manusia itu! Janganlah kau ikut jejak mereka kelak!”

“ALLAHUAKHBAR!” Ina tersedar dari mimpinya. Dia mengerling jam di dinding. Baru pukul 3pagi. Sangkaannya dia sudah terjaga selepas bermimpi sesorang berjubah yang menggelar dirinya saka. Rupanya ianya mimpi di dalam mimpi. Ina bangun dan terus mengambil wuduk untuk melakukan solat hajat dan mengucapkan syukur kerana dia masih belum menjadi ‘pembunuh’.

***

“Berita hari ini, 2 mayat telah ditemui meninggal dalam keadaan yang amat mengerikan di rumah mangsa sendiri disyaki dibunuh oleh anak lelakinya. Mangsa merupakan ibu dan adik pelaku. Namun pelaku masih bingung dan tidak membuat pengakuan atas pembunuhan terbabit…”

Hehehe… mahu sakiti saya? Tunggu balasan anda…

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

42 thoughts on “Dendam Selepas Keguguran”

    • Xkan nak kena ada ending ina n farid pon hidup aman bahagia ataupon ina kna gnggu dgn saka dia sampai gila?sikit2 sudah ler…nk panjang baca novel laaa..😂😂

      Reply
    • Bro.. Promote kat fb je la.. Sedih pula aku tgk tiap story ada komen promote page kau.. Bukan x bole promote.. Bole but slow down la skit..

      Reply
      • btw bro, jangan sedih. its ok. gua penulis yg baru nak merangkak dan tengah kumpulkan pembaca yg minat baca ceita2 gua. so gua kena berusaha sendiri. FS ni was the first place yg published my stories so i promote my blog here. our “business” is different so i feel tak “potong jalan” FS. FS publish cerita from people yg submit their story and gua buat blog sendiri and just submit my stories. so its very different

        btw, cam gua cakap before this, i’ll stop promoting my blog on here and will look for other ways to promote

        thanks for your concern👍🏼

        Reply
  1. Abang Mus? Dia kan tahu in ada saka..takkanlah dia tak tegur ina sebab terima saka tu? Farid macam mana pula? Kan dia pun terkena?

    Sambung sikit lagi writer. Tergantung sangat ni.

    Reply
  2. Best…tapi bergantunglah..bak kata Haqeem Rosli ‘tergantung sepi’..entah betul ke tak nama penyanyi tu..tapi nk tau juga apa yang terjadi kai Ina

    Reply

Leave a Comment