DERHAKA

Jam di dinding menunjukkan tepat 3 pagi.

Hatinya runsing bila kemahuan si anak untuk memiliki sebuah kereta idaman terpaksa ditolak mentah-mentah. Mengamuk si anak tak dapat menerima hakikat.

“Duit peninggalan arwah Tok dengan arwah ayah tu mak terpaksa simpan untuk beli rumah baru. Bukan mak berkira dengan…”

“Sudahlah, mak! Lebih baik mak hidup seorang diri tanpa anak tanpa sesiapa!” Bentakkan si anak membuatkan airmatanya gugur.

Mungkin terlalu kecewa dengan ketegasannya. Lalu si anak membawa rajuk berhari-hari. Sejak hari itu dia hanya tinggal sendirian bertemankan aku. Juga bertemankan airmata dan keluh kesah yang berpanjangan.

Namun sebagai seorang ibu, setiap hari dia tetap memasak juga untuk menanti si anak pulang menjamah dengan lahap seperti sewaktu anak itu masih bersekolah. Impian si ibu tidaklah tinggi melangit, cuma agak sukar untuk menggapainya.

Suatu hari, anaknya itu pulang. Namun pulangnya hanya seketika. Rasa amat terkilan kerana disisih dan ditinggal sepi tanpa pesanan. Si anak hanya pulang lewat jam tiga pagi untuk membersih diri, lalu keluar semula sebelum waktu subuh. Begitulah dari sehari ke sehari.

Pernah beberapa kali dia mencuba mengetuk pintu untuk bertanya khabar serta mengajak anaknya makan walau secubit masakannya.

“Man. Buka pintu ni, nak.”

Tiada sepatah kata pun yang dibalas melainkan lemparan buku menghempas ke muka pintu. Bertaburan barang di dalam kamar anaknya sebagai protes. Remuk berkecai hati seorang ibu.

Lalu si ibu membawa hati nan luka masuk ke kamar. Bermandikan airmatalah hingga ke subuh. Bila dijengah kembali ke dalam kamar anaknya, hanya sebuah kamar bisu tanpa penghuninya. Hancur luluh hati tak terkata.

Suatu hari ketika hujan lebat membasahi bumi, saat aku merengkok baring di atas sofa usang berusia empat belas tahun…

Krieeekkkkk…..

Cahaya halilintar menyilaukan mata. Sekujur tubuh yang basah menolak kasar daun pintu yang tak berkunci. Dia pulang bersama botol kaca di tangan kiri.

Terhuyung hayang mencari tempat untuk melabuhkan punggungnya. Aku tersentak bila dia hampir menghenyakkan badan di atas kepalaku! Cis, busuk!!

Melompat aku menuruni sofa dengan omelan di hati. “Dasar anak tak berguna!”

“Ya Allah, anak aku! Apa ni, Man?!!”

Aku berlalu pergi, berdiri di samping pintu dapur sambil memerhati. Luluhnya hati si ibu. Teriakannya ditelan oleh suara guruh berdentum di luar sana.

Anakmu itu telah jauh tersesat di alam keseronokan bersama sahabat kiriman neraka. Bertabahlah wahai ibu. Aku tak sanggup melihat si ibu meratap di sisi anak pemabuk yang telah hilang kewarasan diri.

Setelah matahari tegak di atas kepala, anak itu bangkit kerana dikejutkan oleh dua sahabat tak berguna. Diajak keluar untuk memulakan kerja. Dengan hati yang berat ibunya melepaskan pergi anak yang tidak lagi mendengar kata.

.

.

.

Selepas sebulan si anak menghilangkan diri. Tatkala dia muncul semula, dia telah pun bekerja di sebuah pusat snooker atas budi baik sahabat kiriman neraka.

Si ibu cuba memendam rasa. Cuba menahan kata dari mengguris hati si anak. Bimbang nanti anaknya akan pergi lagi lantas meninggalkan dia sendirian.

Seburuk apa pun si anak, ibunya tetap memohon doa agar Sang Pencipta berikan perlindungan dan permudahkan urusan si anak.

Tibalah suatu malam, tepat jam 12 dikala si anak pulang dihantar oleh sahabat tak berguna walau satu sen, tin air dihulur dengan senyuman lebar.

Melihatkan tin air itu si ibu gelisah duduk di samping meja makan. Anak yang diberi didikan agama sejak kecil, bila dewasa dia memilih untuk melalui kehidupan yang sesat. Ibu mana tidak kecewa?

Setiap hari dia menanti kepulangan si anak. Setiap hari juga dia masakkan lauk kegemaran si anak ketika kecil hingga remaja. Doanya semoga anaknya itu kembali ke pangkal jalan.

“Mak hari-hari masak untuk Man, tak pernah Man makan…,” bergetar suara si ibu.

“Man dah kerja, mak. Nak merasa makanan sedap dekat luar tu. Mak masak, mak makanlah!” Keras nada suaranya.

Aku membiarkan ibu dan anak berdua itu terus melayan perasaan masing-masing. Si ibu menatap lauk yang dingin tak disentuh anaknya. Si anak pula berasa dirinya sedang terbang di atas awan.

“Apalah salahnya Man makan masakan mak. Manalah tahu esok lusa mak m**i…,” tersekat butir katanya bila si anak lemparkan topi di atas mukanya.

“Baik mak sedekah lauk-lauk mak dekat surau! Man tak lalu nak telanlah!” dia bingkas dari sofa.

Anak bujang berusia 26 tahun itu menghempas pintu kamar dengan wajah tak bersalah. Membiarkan si ibu mengesat airmata dengan hujung kain telekungnya.

“Sampai hati Man. Mak tak ampunkan Man kalau mak m**i!” Menggigil suara si ibu sambil mengesat airmata.

Sepuluh minit kemudian

Kamar si bujang berdegang-degung bagai nak runtuh. Lagu hardrock menemani Razzman yang keletihan. Tin biru bergambar harimau ditogok dengan lahap.

Jantung si ibu tiba-tiba terasa dicengkam! Sakit tak terkata hingga suaranya tersekat-sekat. Dahinya mulai berpeluh, seluruh badannya pula mengejang.

“Arkkk… Man… Man….,”

Tangan kanan si ibu menekan dada yang perit. Tangan kirinya pula memegang leher yang terasa sempit dan sukar bernafas. Lauk di dalam pinggan terhempas ke lantai.

Aku berlari merapati si ibu berhati malaikat itu. Cuba menjerit, namun meja makan yang tumbang bersama tubuh tua si ibu hampir menghentam tubuhku.

Pelita kecil ikut tercampak lalu berderai di atas simen. Apalah dayaku untuk membantu ibu tua? Tubuh kecil ini hanya mampu berlari keluar menuju ke arah rumah Kak Sarahwati jiran baik hati.

Di dalam kamar Razzman. Matanya layu setelah kesan arak menguasai diri. Kepalanya berat, badannya tidak terkawal lagi. Sedikit demi sedikit matanya terpejam.

Tiba-tiba Razzman mendengar suara ibunya berteriak di segenap udara.

“Man! Keluarlah Man!”

“Anak mak… Allah… Man!!!”

Rintihan dan jeritan ibu Razzman berulangkali memanggil namanya.

“Apa lagilah si tua tu buat?!”

Lalu dia bingkas dari pembaringan dengan hati yang panas membara. Razzman pulang untuk berehat sementara menunggu sahabat kiriman neraka datang menjemputnya.

Namun rehatnya diganggu oleh seruan seorang ibu yang menyayanginya setiap waktu.

“Hoi! Mak!!”

Di luar kamar, segenap ruang sunyi dan sepi. Lampu tidak terpasang walau satu pun. Biasan sinaran bulan mengambang membantu Razzman mencari di mana perempuan tua yang melahirkan dia itu berada.

Ruang tamu. Kemas dan rapi seperti selalu. Cuma suasananya begitu suram. Dipalingkan wajahnya ke arah meja makan. Di situ sering terletak lauk masakan ibu tua yang tak pernah disentuh.

Ruang makan yang kecil itu tidak seperti selalu. Entah ke mana pergi set meja makan lapuk yang menunggu masa untuk roboh? Kaki meja yang hampir tercabut kerana pernah disepak kakinya ketika dia bengang dengan si ibu yang kerap bertanya bilakah dia akan makan makanan yang terhidang.

“Jangan tambah serabut kepala aku boleh tak?” Kerana kalah dalam pertaruhan bola, Razzman pulang membawa amarah.

“Mak teringin tengok Man makan masakan mak. Inilah hajat mak sebelum mak m**i,”

Aku yang bersandar di tepi tong gas berasa sebak melihat wajah kedut seribu itu merenung Razzman dengan seribu pengharapan.

Harapannya cuma dibalas dengan satu sepakan ke kaki meja. Bergoyang meja, apatah lagi mangkuk berisi ikan pari masak asam pedas, sepinggan nasi dan juga satu jag air sirap.

“Man…,” si ibu tua memeluk jag air.

“Kalau nak m**i, tak payah berhajat-hajat. Buang masa betullah mak ni!”

Haish, anak tak berguna! Kau biarkan mak kau menangis di depan rezeki. Allah laknat anak seperti kau, Razzman!

Hairan pula Razzman kerana dia berputar-putar di dalam rumah itu tanpa menemui pintu! Langsung tiada jalan keluar untuknya. Separuh gila Razzman meraung memanggil ibunya.

“Mak! Man nak keluar!”

“Mak mana? Tolonglah Man… tolong Man!”

Sayangnya jeritan Razzman tidak membantu apa-apa. Tiada sesiapa pun mendengar jeritannya… kecuali ibu yang melahirkan dia itu.

Setiap malam ketika jarum pendek dan panjang terhenti di angka 12, rintihan dan jeritan Razzman akan berulang kali bergema di udara. Menerjah ke gegendang telinga si ibu.

“Man, maafkan mak.” Ibu tua tidak sanggup mendengar suara anak kesayangannya merintih setiap malam.

Apa sebenarnya berlaku pada malam Razzman pulang dihantar sahabat kiriman dari neraka?

Kebakaran maha dahsyat yang memusnahkan rumah pusaka peninggalan datuk Razzman telah menggemparkan seluruh penduduk di kampung itu.

Aku berlari dalam api yang mulai menyambar dinding kayu sempat menarik perhatian Kak Sarahwati yang sedang membuang sampah di depan rumah.

Melihatkan api semakin menelan sebahagian dinding rumah usang itu, Kak Sarahwati berlari memanggil beberapa orang jiran menyelamatkan ibu tua yang pengsan akibat serangan jantung.

Api hanya dapat dipadamkan seketika di bahagian pintu depan untuk mengeluarkan ibu Razzman. Setelah dibawa keluar ibu tua itu, jiran-jiran bersepakat membawanya ke hospital.

Kerana tidak kelihatan motorsikal Razzman di luar rumah, tidak seorang pun menyedari Razzman tertidur setelah meneguk air kencing iblis di dalam kamar. Kerana lelaki itu kerap pulang jam tiga pagi atau pun waktu subuh.

Tragedi itu meragut nyawa Razzman. Razzman m**i kerana sesak nafas. Lalu tubuh badannya dibakar api yang mengganas sehingga rentung.

Tinggallah aku termenung merenung rumah yang musnah ditelan api. Di hari kejadian bomba tiba lewat kerana berlaku kemalangan lori simen dan beberapa buah kereta yang menghalang bomba tiba lebih awal.

Begitulah nasib seorang anak yang menderhakai ibunya. Rohnya tak pernah aman. Malah tidak diterima bumi. Berlegar-legarlah roh Razzman di dalam tapak rumah pusaka yang terbakar hangus.

“Padan muka kau, anak derhaka!” Terbit rasa gembira di hati.

“Tam, mari kita balik.” Ibu Razzman memanggil aku dalam nada pilu.

Kami mula melangkah menuju ke arah rumah baru ibu Razzman yang baru siap dibina dengan duit peninggalan arwah datuk dan ayah Razzman.

“Tak merasalah kau duduk rumah batu!” Aku mengejek dalam hati.

“Tam jalanlah cepat. Hari ni ibu masak lauk kambing untuk Tam,”

“Nyiauu,” jawabku.

“Selamat tinggal, anak derhaka!”

Nota Panda : Watak AKU dalam cerita seram kontot ini adalah saka peliharaan arwah datuk Razzman yang menumpang di dalam tubuh seekor kucing berbulu hitam. Sekadar cerita penyedap rasa. Maaf jika ada kekurangan dari penulis tak punya nama.

Sekian.

Terima kasih.

Penulis: Cik Panda

Rating Pembaca
[Total: 13 Average: 4.9]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.