Di kolej itu.

Assalamualaikum semua, aku sudah lama juga mengikuti page ini. Selama ini aku hanyalah ‘silent reader’ sahaja. Tapi, akhir-akhir ini aku terasa untuk berkongsi pengalaman yang telah aku lalui bersama teman-teman di sini.

Kisah ini telah lama berlaku, awal tahun 90an yang lalu. Waktu itu aku mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke sebuah institusi pengajian tinggi di utara Malaysia. Kursus yang aku ambil itu bertaraf sijil, jadi bermakna aku akan belajar di situ untuk tempoh enam bulan saja.

Selesai pendaftaran, pada siang hari, malamnya kami pelajar baru dikumpulkan untuk diberikan taklimat oleh pihak pengurusan kolej. Ketika itulah kami diberitahu bahawa kolej yang menjadi penempatan kami itu, sebenarnya baru sahaja dibuka semula. Sebelum ini ia telah lama ditutup. Tidak dinyatakan apakah punca ia ditutup sebelum ini, cuma kami diingatkan supaya menjaga tingkah laku kami dan jangan terlalu galak.

Kemasukan pelajar yang agak ramai pada sessi pengajian itu, memaksa pihak pengurusan untuk membuka semula kolej tersebut. Semua pelajar perempuan yang baru mendaftar ditempatkan di kolej itu. Mereka juga memaklumkan bahawa mereka telah mengambil langkah-langkah yang sepatutnya sebelum membenarkan kami tinggal di situ.

Sebetulnya, waktu itu, aku dan kawan-kawan tidak begitu mengambil berat sangat perkara tersebut. Walaupun sudah mula tersebar desas desus mengenai apa yang kononnya telah berlaku di kolej itu sebelum ini, kami yakin dengan tindakan yang telah diambil oleh pihak kolej, insya Allah tiada apa yang akan berlaku.

Kolej ini berupa dua barisan rumah teres dalam keadaan selari. Dan, bahagian dapurnya saling mengadap antara satu sama lain. Antara kedua barisan rumah teres ini ada satu lorong berumput. Setiap rumah ini ada dua bilik, lengkap dengan ruangan dapur. Dan, di setiap rumah ini ditempatkan sepuluh orang pelajar. Empat orang dalam setiap bilik dan dua orang lagi diruang tamu. Aku dapat katil dibilik belakang, bermakna bilik aku ini mengadap bahagian belakang barisan rumah yang satu lagi.

Permulaannya semuanya baik-baik sahaja. Kami pun semakin terlupa pesanan malam taklimat itu. Zaman-zaman itu, muzik heavy metal menjadi kegilaan remaja. Walaupun kami ni perempuan, tapi ada saja yang minat dengan muzik tersebut. Rumah kawan sekelas aku, memang suka sangat pasang radio kuat-kuat. Dengan muzik heavy metal pula, bunyinya tu sampai ke pondok pengawal sana. Sudah beberapa kali ditegur, tapi perkara yang sama tetap berulang.

Satu pagi, seperti biasa aku menunggu kawan aku itu untuk ke kelas bersama-sama. Tapi hari tu dia agak lambat dari biasa, bila ditanya kenapa katanya dia kehilangan kasut. Kasut yang selalu disusun diluar rumahnya itu, pagi itu berterabur semuanya. Kami pelik juga, tapi menganggap mungkin ada yang saja nak bergurau. Tapi rupa-rupanya itulah permulaannya.

Semenjak dari itu, sikit demi sikit, kami mendengar macam-macam cerita. Kami cuba untuk kekal positif. Mungkin gossip semata. Tapi, bila kawan serumah aku, yang duduk di bilik depan memberitahu kami katilnya digoyang semasa dia tidur. Kami sudah mula rasa seram. Katil dua tingkat itu digoyang seperti buaian katanya.

Pada suatu malam, aku merasa sakit perut yang teramat. Aku yakin, mesti aku nak ‘datang bulan’ sebab dah memang waktunya. Aku turun dari katil, ambil pad dan aku kejut kawan di katil bawah. Aku minta dia teman aku ke tandas. Masa tu aku pasti sangat yang kawan aku ini bangun dan mengikut aku. Sampai ke lorong untuk ke dapur, tandas berada di dapur, aku berhenti sekejap sambil membelek kain batik yang aku pakai. Kemudian aku disapa dari belakang oleh kawan aku tadi. “Ada apa? ” soalnya, aku tak menoleh pun, “ada d***h!” Aku jawab. “Jom teman aku” aku kata lagi. Aku pun terus ke tandas menyelesaikan apa yang patut.

Bila aku keluar dari tandas, kawan aku tadi tak ada pun. Aku pelik, sebab tadi aku yakin dia ikut aku. Aku cepat-cepat ke bilik dan aku lihat kawan aku itu masih tidur lagi dalam posisi yang sama masa aku kejut dia tadi. Esoknya, bila aku tanya pasal kejadian malam itu, dia menafikan yang dia ada bangun dan mengikut aku ke tandas. Jadi, siapa yang ikut aku semalam?. Suara siapa yang bertanya tu?

Hari demi hari semakin banyak cerita-cerita penghuni kolej kami ini terkena gangguan. Macam-macam cerita dan macam-macam versi. Seram memang seram, tapi hidup mesti diteruskan. Di rumah kami pula, selepas kejadian yang aku kena pada malam itu, semuanya baik-baik sahaja.

Hinggalah pada suatu hari ni, Kak Pah, kawan serumah aku dari bilik depan, ajak aku untuk ‘stay up’ pada malam itu. Kak Pah ini pelajar Diploma, seharusnya dia lagi banyak benda untuk belajar berbanding aku. Sebab, aku pun ‘free’ jadi, aku pun setuju untuk teman Kak Pah pada malam itu.

Meja untuk belajar disediakan di ruang tamu, tapi kami memilih untuk ‘stay up’ di bilik aku. Di dalam bilik tiada meja dan kerusi, jadi kami belajar sambil meniarap di atas lantai diantara dua katil bertingkat. Kawan-kawan sebilik aku semuanya tidur. Suasana memang sunyi pada masa itu.
Tiba-tiba aku terdengar seperti bunyi pasir disimbah di atas bumbung betul-betul di atas kami. Aku pandang Kak Pah, Kak Pah pandang aku. Confirm! kami dua-dua mendengar bunyi yang sama. Seperti yang aku nyatakan sebelum ini, dibelakang bilik aku ni ada satu lorong berumput. Jadi, mana datangnya pasir ini?

Bunyi itu berulang berkali-kali. Aku dan Kak Pah dah keras menjadi patung. Masa itu kami dah duduk, dah tak meniarap lagi. Senyap membisu, tak tahu nak buat apa. Dalam ketakutan itu, bunyi pasir tu berhenti, diganti pula dengan bunyi cakaran di tingkap. Kami punya terkejut sampai berpelukan kami berdua. Tingkap itu betul-betul disebelah kami. Tingkap itu dipasang dengan jaring besi. Dan, bunyi cakaran itu seperti benda yang tajam mencakar atas jaring besi. Bunyinya itu sangat kuat dan cakarannya sangat laju. Aku memang takut sangat pada masa tu, “Kak Pah…. apa tu?” Ketar-ketar aku tanya Kak Pah. “Syuhhhh!… baca Ina, baca… ” kata Kak Pah. Kami masih mengeletar dan berpelukan. Aku tak tahu nak baca apa, lintang pukang semua ayat  yang aku baca. Rasa lama sangat kami dalam keadaan itu.

Hinggalah kawan sebilik aku, Hapisah, terjaga “Eh korang tak mau tidur lagi ke?” tanyanya. Sebaik sahaja Hapisah ber suara, bunyi cakaran tadi terus berhenti. “Aku tutup lampu ni ya?” kata Hapisah lagi. “Ha… tutup… tutup ” balas aku dan Kak Pah. Hapisah terus tutup lampu, kebetulan suis lampu betul-betul disebelahnya, dan dia terus sambung tidur.

Aku dan Kak Pah dah lega dah masa tu. Kami berbaring semula diatas lantai. Tiba- tiba kami dengar bunyi yang sangat bising dari dapur. Seperti semua barang-barang di dapur itu dibaling-baling. Allahurobbi rupanya gangguan ini belum berakhir. Kebetulan pula pintu bilik aku terbuka, dan ia terus menghala ke dapur. Kami punyalah takut, pejam mata rapat-rapat sambil baca apa-apa saja ayat yang terlintas dikepala. Kami tak sedar bila masanya kami tertidur.

Bangun saja subuh itu, kami terus ke dapur, kami nak tengok keadaan di dapur. Elok saja semuanya, barang-barang tersusun seperti biasa. Kami saling berpandangan, memang sah kami kena ganggu malam tadi.

Kemudian, aku perasan di lengan aku ada tatoo. Tatoo dari dakwat pen warna biru. Rupa-rupanya semalam semasa kami berpelukan ketakutan tu, Kak Pah ada memegang pen, disebabkan dia menggeletar, jadi, dia dah buat satu tatoo yang tak tentu arah coraknya atas lengan aku. Adoi la Kak Pah, dari rasa seram dah rasa lawak pula, tak pasal-pasal aku bertatoo.

Semenjak itu, semakin banyak cerita pelajar-pelajar yang diganggu. Bila tiba hujung minggu, pelajar- pelajar yang berasal dari utara akan beramai-ramai balik ke rumah masing-masing. Makanya tinggallah kami saja yang berasal dari jauh ni. Pada masa itu juga ada seorang pelajar yang berhenti secara tiba-tiba. Katanya dia pun terkena gangguan, tapi aku tak tahulah betul atau tidak. Selepas dia berhenti tu, aku ada terjumpa dia di luar, lepas bertanya khabar, aku cuba tanya betul ke sebab dia berhenti kerana diganggu, tapi dia cuma senyum saja.

Menyedari keadaan semakin tak keruan pada masa itu, pihak kolej telah mengeluarkan arahan supaya diadakan bacaan yassin pada setiap malam. Setiap ahli rumah perlu berkumpul dan membaca yassin yang akan diadakan serentak pada pukul 10 malam (kalau aku tak silap, dah lupa dah). Dan, setelah selesai bacaan yassin ini, pihak kolej akan menghantar kuih muih ke setiap rumah. Lama juga kami melakukan rutin ini sehingga keadaan kembali tenang semula.

Ini adalah satu pengalaman yang tak akan aku lupakan sampai bila-bila. Enam bulan di sana macam-macam yang terjadi tapi tetap ia meninggalkan satu kenangan yang indah dalam hidup aku ini.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment