Kisah benar ini berlaku ketika aku bertugas di sebuah agensi di Komtar, Pulau Pinang. Ketika itu aku belum berkahwin. Aku tinggal bersama orang tuaku di pekan T, sebuah pekan kecil di utara Seberang Perai. Sepanjang bertugas di Komtar, setiap hari aku berulang alik menaiki kereta dari rumah orang tuaku di pekan T ke tempat kerja di Komtar yang biasanya memakan masa perjalanan lebih dari sejam.
Setiap bulan Disember, Pesta Pulau Pinang diadakan di Sungai Nibong yang terletak kira-kira 8 kilometer dari ofisku. Agensi kami adalah antara agensi yang mengambil bahagian dalam Pesta Pulau Pinang yang berlangsung setiap malam sepanjang bulan Disember itu.
Bos agensi tempat aku bertugas telah mengarahkan aku mengetuai pavilion agensi kami dan memastikan ia sentiasa teratur dan menarik minat pengunjung.
Begitulah setiap hari rutin kerjaku sepanjang bulan Disember itu. Bangun pukul 5.00 pagi, bersiap, sarapan dan kemudian bergerak dari pekan T ke Komtar. Lepas kerja ofis selesai sebelah petang, aku terus bergegas ke tapak Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong pula untuk bertugas hingga pukul 12.O0 malam. Lepas pavilion ditutup kira-kira pukul 12.30 malam baru aku bergerak balik ke rumahku di pekan T. Biasanya aku sampai ke rumah orang tuaku di pekan T kira-kira pukul 1.30 pagi. Paling awal pukul 2.00 pagi baru tidur. Dan esoknya pukul 5.00 pagi sudah bangun, bersiap untuk pergi kerja pula. Memang rutin yang memenatkan!
Suatu hari seperti biasa, pukul 12.30 malam baru aku meninggalkan pavilion agensi kami di tapak Pesta Pulau Pinang untuk balik ke rumahku di pekan T.
Masuk saja ke dalam kereta, enjin dihidupkan dan aku terus memecut menaiki jambatan Pulau Pinang untuk pulang ke pekan T.
Dari jambatan Pulau Pinang aku mempunyai beberapa pilihan jalan untuk balik ke rumah. Kadang-kadang aku mengikut jalan Sungai Dua. Tapi malam itu aku pulang ke rumah mengikut jalan Kubang Semang-Penanti.
Ketika melalui kawasan perkuburan Cina Penanti, tiba-tiba lampu keretaku menyuluh sesuatu di hadapan. Bentuknya seperti sebuah bongkah putih yang bertenggek atas busut di pinggir jalan.
Ketika itu dadaku mula rasa berdebar. Itu bukan malam pertama dalam lingkungan pukul 1.00 pagi aku melalui kawasan perkuburan Cina itu. Sejak bertugas di Pesta Pulau Pinang, Jalan Kubang Semang-Penanti adalah antara jalan kegemaranku untuk pulang ke rumah pada waktu-waktu sebegitu kerana jarak perjalanannya yang lebih singkat dari jalan lain. Tapi itulah kali pertama aku terlihat ada objek pelik di antara kawasan kubur dan pinggir jalan. Selalunya pukul berapa pagi sekali pun ketika melalui jalan tepi kubur Cina tersebut keadaan sangat tenang tanpa penampakan yang mencurigakan.
Dalam jarak 20 meter menghampiri objek merupai bongkah putih itu, tiba-tiba objek itu menggelunsur turun dari busut yang didudukinya. Kemudian ia dengan pantas melompat ke pinggir jalan raya.
Ketika itu dadaku semakin berdegup kencang. Degupan kian kencang apabila semakin mendekati semakin jelas rupa bentuk objek berkenaan.
Objek tersebut tidak setinggi mana. Tingginya cuma satu meter lebih saja. Wajahnya menyerupai susuk tubuh gadis cilik yang memakai gaun labuh berwarna putih. Gaunnya sungguh labuh seperti gaun pengantin hingga meleret atas jalan raya. Kepalanya menunduk dan di atasnya terdapat segumpal rambut yang sangat panjang mengurai mencecah jalan.
Kereta yang kupandu membrek mengejut apabila objek bergaun putih itu mula melintas jalan raya. Mula-mula dia bergerak dari kanan ke kiri jalan. Kemudian dia berpatah balik ke kanan dan ke kiri jalan semula. Aksi itu berulangan beberapa kali tanpa henti.
Pergerakannya sangat laju seperti memakai kasut roda. Kakinya tidak kelihatan kerana dilindungi gaun labuh yang meleret di atas jalan. Muka objek itu tidak jelas kerana ia kelihatan menunduk dengan tubuh membongkok ditutupi rambut panjang yang meleret hingga ke jalan.
Seminit dua berlalu dan aku masih di situ. Tidak berani ke depan kerana takut berlanggar dengan objek itu. Bila kereta aku undur ke bekakang, ia mendekati aku pula. Main-main betul dia ni!
Sesekali mataku melihat cermin belakang dengan harapan ada pemandu lain yang melalui jalan itu. Jika ada pemandu lain di belakang, sekurang-kurangnya rasa gerun yang sedang melanda akan berkuranglah sedikit. Tapi aku hampa, tiada kenderaan di belakangku.
Semakin lama menunggu semakin aku tidak sabar dengan game yang dimainkannya. Mundar mandir berterusan dari kanan ke kiri, kiri ke kanan tak henti-henti.
“Auzubillah-minasyaiton-nirajeem..Allahuakbar!” itu saja ungkapan yang kuingat untuk diucap ketika itu.
Serentak dengan ucapan tersebut aku terus menekan minyak kereta menuju ke arah objek tersebut. Dalam hati berkata: apa nak jadi, jadilah!
Ketika menghampiri dalam jarak 1 meter, objek berkenaan tiba-tiba meluncur laju ke udara, diikuti oleh bunyi menderu seperti ada taufan kuat meniup di luar tingkap kereta.
Aku terus tekan minyak, menggerakkan kereta ke depan. Mataku tidak berani menoleh ke kiri dan kanan jalan, juga tidak berani menoleh ke arah atas. Cermin belakang kereta aku tolak ke atas supaya mataku tidak nampak apa-apa objek di belakang.
Aku cuma fokus memandu ke depan. Dalam hati cuma berkata: jika tiba-tiba objek itu terjun di depanku, aku tawakkal untuk melanggarnya saja. Apa nak jadi, jadilah!
Mujur juga objek itu tidak mengganggu perjalananku lagi selepas itu.
Apabila sampai dekat pekan T, barulah cermin belakang kereta aku tolak ke kedudukan normal. Aku perhatikan ke arah cermin belakang dan alhamdulillah tiada apa-apa lembaga pelik yang mengekoriku.
Sesampai di rumah, aku matikan enjin kereta.
Ketika menghampiri daun pintu, tiba-tiba bulu romaku menegak. Tengkuk juga tiba-tiba rasa meremang semacam.
Hairan juga aku. Ketika objek putih tadi melintas tak henti-henti di depanku, walaupun ada ketakutan yang luar biasa tetapi bulu romaku tidak langsung meremang. Sekarang dalam keadaan sudah selamat untuk memasuki rumah, tiba-tiba meremang pula jadinya.
Aku masuk ke dalam rumah dan menjeling jarum jam. Ah..sudah pukul 1.30 pagi rupanya. Ibu, ayah dan adik-adikku semuanya sudah tidur. Hanya ruang tamu dan dapur sahaja yang lampunya menyala ketika itu.
Sebelum masuk tidur aku ke dapur untuk mengambil segelas air. Aku masukkan air itu ke dalam gelas dan meletakkannya atas meja dapur.
Kemudian aku ke bilik air.
Ketika keluar dari bilik air untuk meneguk gelas air atas meja, aku terkejut bukan main!
Gelas yang aku letakkan di atas meja kelihatan tertiarap. Meja basah, air bercucuran melimpahi lantai.
Hairan juga aku, siapa yang meniarapkan gelas dan menumpahkan air di atas meja? Orang di dalam rumah semuanya sudah tidur. Yang belum tidur cuma kucing peliharaan kami yang asyik mengiau di ruang tamu.
Ketika aku cuba memegang gelas yang tertiarap di atas meja, aku hampir terjerit apabila gelas itu tiba-tiba terlompat-lompat di atas meja. Aku cuba memegang gelas dan menghentikan lompatannya tetapi tanganku terasa ditepis oleh seseorang.
Mataku liar memerhatikan ruang dapur seluas kira-kira 7 meter x 7 meter itu. Tapi tidak nampak sesiapa di situ. Habis siapa yang menepis tanganku tadi?
Tiba-tiba mataku terpaling ke arah rak pinggan mangkuk berhampiran meja makan. Cawan-cawan yang berada atas rak paling atas kelihatan bergoncang dan bergeseran sesama sendiri mengeluarkan satu bunyi bising apabila berlanggar. Walaupun ada gerakan kuat berlanggar sesama sendiri, anehnya semua cawan-cawan itu tidak sedikit pun jatuh ke lantai.
Jemunya…tadi ada gangguan di atas jalan raya. Kini gangguan di dalam rumah pula. Entah permainan apa yang makhluk-makhluk ini sedang mainkan?
“Orang nak kerja la esok,” kataku dengan nada lembut tapi cukup jelas, “Dah..jangan dok kacau aku lagi. Hang dan aku sama jaa, kita sama-sama makhluk Allah. Hang pi laa balik rumah hang. Aku tak kacau hang, jadi hang janganlah kacau aku. Balik ya…?”.
Mataku menatap ke arah cawan-cawan atas rak. Rasa agak kecewa kerana cawan-cawan masih bergoncangan berlanggar sesama sendiri di atas rak.
“Ikut suka hanglah”, aku bersuara dengan nada lembut, “Orang suruh balik hang masih nak main-main di sini. Aku dah nak tidur ni. Mainlah hang sorang-sorang di situ sampai puas.”
Kemudian aku ke bilik air. Aku mengambil wuduk untuk solat sunat sebelum tidur.
Ketika keluar ke dapur nampak cawan-cawan sudah kembali aman di dalam kedudukan asal. Tiada lagi goncangan, tiada lagi bunyi perlanggaran sesama sendiri.
Entiti yang aku tidak pasti apa namanya yang mengerakkan cawan-cawan tadi mungkin sudah pergi. Mungkin sudah jemu kerana permainannya tidak dilayan.
Mungkin mereka makhluk yang terperangkap dalam dunianya yang sepi tanpa hiburan, fikirku. Lalu mereka keluar mencari hiburan dengan menjadikan manusia sebagai bahan permainannya. Mereka akan kecewa dan cepat pergi jika permainanya tidak dilayan. Entah betul atau tidak teori aku tu, tak taulah!
Apapun aku bersyukur ujian Allah untukku pada malam itu sudah berakhir. Alhamdulillah.
Beberapa hari kemudian ketika berbual dengan adik perempuanku Ani, dia menceritakan dia juga pernah mengalami gangguan yang hampir serupa di dalam rumah yang kami diami ketika balik ke rumah lewat malam beberapa minggu sebelumnya.
Maknanya gangguan yang kualami dalam rumah hari itu tidak ada hubungan dengan objek putih yang kutemui berhampiran kubur Cina Penanti.
Gangguan di dalam rumah kami itu mungkin datang dari spesis lain yang mungkin tidak sekeras makhluk yang kujumpa berdekatan kubur Cina. Sekurang-kurangnya spesis yang berada dalam rumah kami itu masih boleh dipujuk dan mendengar kata!..
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Mula tu dia memang nak kaco…tapi bila dia rasa aura ghey ko sgt dahsyat walaupun dlm kelembutan. Terus dia lari tbirit2. Maafkan la dia, ye…