Diganggu di Kampung

Assalamualaikum kepada semua dan pembaca FS. Terima kasih buat team FS kerana menyiarkan kisah pengalaman seram saya.

Ketika itu saya berumur 20 tahun di mana saya sedang melanjutkan pengajian saya di Universiti Teknologi Mara Arau, Perlis. Pengalaman saya bermula semasa cuti semester, saya tidak bercadang untuk pulang ke rumah keluarga saya yang hanya terletak di Kedah. Saya telah mengambil keputusan untuk pulang ke rumah keluarga saya yang terletak di Mata Ayer, Perlis. Memandangkan rumah itu dan UiTM hanya mengambil masa perjalanan dalam 10-15 minit sahaja. Untuk pengetahuan pembaca, rumah keluarga saya di Perlis itu tidak berpenghuni dan jarang sekali kami kunjungi, hanya sewaktu perayaan sahaja kami sekeluarga akan pulang untuk beraya di situ kerana rumah nenek dan juga rumah sepupu saya terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumah kami itu. Saya bercadang untuk menghabiskan masa cuti saya di rumah itu.

Waktu petang hari, saya membuat panggilan pada sepupu perempuan saya (Zira) supaya mengambil saya di kolej kediaman UiTM Arau. Saya diberitahu oleh Zira tentang sepupu lelaki saya (Nizam) dan juga kawan-kawan Nizam (Zack & Izany) turut ikut bersama kerana mereka bercadang untuk pergi makan di kedai selepas mengambil saya di kolej. Saya mula mengemas baju-baju saya untuk dibawa pulang bersama, tidak banyak, hanya satu beg sahaja. Selesai solat maghrib, Zira sudah berada di bawah kolej kediaman dan saya naik ke kereta. Zira yang memandu, manakala Nizam, Zack dan Izany berada di seat belakang. Saya mengambil tempat duduk di bahagian depan.

Untuk keluar dari UiTM, kami harus melalui satu kawasan hutan yang mempunyai pokok-pokok yang tinggi dan gelap gelita. Saya masih tidak merasakan apa-apa yg pelik dan kami meneruskan perjalanan keluar dari UiTM dan singgah di kedai makan untuk mengisi perut yang sudah berbunyi. Ketika di kedai makan, saya sedar kelakuan Zack berbeza dari sebelum ini. Zack sebelum ini seorang yang ceria, bercakap banyak, suka gelak dan riuh, tetapi malam ini sedikit berbeza bila mana dia hanya berdiam diri sambil matanya memandang ke arah kereta kami naiki tadi. Saya tidak hiraukan dia dan beranggapan mungkin dia mempunyai masalah.

Selesai makan, kami pn bergerak pulang ke rumah. Kami sampai di rumah sekitar jam 10.30 malam. Saya mengajak Zira untuk menemani saya tidur di rumah keluarga saya yang sudah beberapa bulan tidak berpenghuni tapi masih tetap dibersihkan oleh makcik saya dan segala bil api, air mahupun astro tetap dijelaskan bayarannya oleh ayah saya yang berada di Kedah.

Nizam dan Zack tidur di rumah nenek saya, manakala Izany pulang ke rumah sendiri yang terletak tidak jauh dari rumah kami. Saya dan Zira memilih bilik utama yang mempunyi bilik air dan astro. Kami menonton astro sehingga jam menunjukkan pukul 12 dimana kami sudah mula mendengar bunyi yang kurang menyenangkan di luar tingkap bilik itu. Bunyi seperti seretan selipar berjalan diluar tingkap, bunyi angin meniup daun pokok kelapa, bunyi seperti buah kelapa jatuh ke tanah tetapi berulang ulang kali. Kami buat tidak endah sahaja dan terus menonton TV seperti biasa. Zira sudah pn terlelap selepas kejadian itu, dia pun tidak banyak bercakap dan kini tinggal saya seorang yang masih tidak boleh tidur dan terus menonton TV sehingga lah pukul 2.30 pagi. Mata saya dah mula layu dan hampir menutup mata tetapi telah dihalang oleh sesuatu bunyi yang amat kuat di bahagian dinding bilik kami. Dinding itu menghubungkan antara bilik tidur kami dengan dapur, dinding itu memang nipis. bunyi kuat itu seolah ditendang kuat dari arah dapur dan seolah tidak memberi peluang saya untuk tidur.

Saya sudah merasa lain, bulu roma meremang dan saya berpeluh walaupun bilik itu sudah dipasang penghawa dingin. Saya berasa amat takut dan cuba untuk kejut Zira bangun tetapi badan saya tidak dapat bergerak. Zira hanya tidur bersebelahan saya, tetapi tangan saya mahupun kaki saya tidak langsung dapat menyentuh Zira. Saya sukar untuk bernafas dan merasakan ada sesuatu seperti lembaga hitam besar berdiri di belakang saya dan memerhatikan saya. Peluh badan saya menahan takut, saya pejam mata dan membaca ayat Al-Qursi berulang ulang kali sehinggalah saya tertidur.

Esok pagi, saya terjaga dan terus memandang ke arah dinding yang ditendang kuat semalam. Saya kejut Zira tidur. Saya masih belum menceritakan apa yang terjadi semalam. selepas bersiap, saya menceritakan kepada Zira apa yang terjadi. Rupa-rupanya Zira sudah merasakan sedang diperhatikan ketika bunyi-bunyi pelik diluar tingkap lagi. Oleh sebab itu jugak, dia masuk tidur awal. Kemudian kami berdua kluar dari rumah dan menuju ke rumah nenek saya dan berborak dengan Nizam & Zack. Kami berdua menceritakan kisah semalam kepada mereka berdua. Ketika itulah, baru Zack membuka cerita. Dimana dia sudah nampak “dia” berdiri di sebalik pokok sewaktu kami berlima lalu di kawasan hutan pada waktu maghrib dalam UiTM. Apa yang lebih mengejutkan kami, “dia” ikut kami dan duduk di bahagian sipi bonet kereta. Ketika kami singgah makan pun, “dia” masih duduk di atas kereta tidak berganjak. Kata Zack, “dia” berambut sangat panjang dan kusut-masai, baju putih bertompokan d***h. Saya dah meremang ketika itu, terus saya memanggil nenek dan atok saya dan memberitahu perkara sebenar yang terjadi. Nenek dan atok pergi ke rumah dan memasang radio bacaan surah Al-Ruqyah, Al- Qursi, 3 Qul dan ayat2 suci yang lain.

Malam itu saya tidur di rumah Zira yang terletak beberapa langkah sahaja dari rumah keluarga saya itu. Keesokkan harinya saya membuat keputusan untuk pulang ke Kedah kerana takut untuk tinggal di rumah itu lagi.

Sekian. Maaf jika cerita saya tidak seseram mana, tapi itu lah pengalaman seram saya yang pernah saya alami.

Assalamualaikum.

Kongsi kisah anda: https://fiksyenshasha.com/submit

sharifah

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

8 thoughts on “Diganggu di Kampung”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.