DIMINTA

DIMINTA

Assalamualaikum para pembaca Fiksyen Shasha . Aku Yush, kali ini aku akan berkongsi cerita tentang kejadian mistis yang menghantui ibuku sepanjang dia mengandung sehingga melahirkan abang ku.

Kisah ini diceritakan oleh ibu dan ayahku sendiri. Ceritanya bermula bila ibuku tengah mengandungkan abangku. Sepanjang waktu itu berbagai kejadian pelik berlaku. Menurut ayahku, ibu kerap bercakap waktu tidur bukan mengingau atau sebagainya tapi ianya seolah berkomunikasi dengan seseorang. Adakalanya ibu bercakap lemah lembut kadang seperti bertengkar dan bergaduh dan adakalanya ibu ku menangis seperti meminta sesuatu dengan “teman”nya bercakap dalam tidur itu.

Selain itu, kejadian pelik yang lain pula adalah setiap waktu maghrib ibuku selalu histeria sehinggakan tidak sedarkan diri. Ada satu ketika menurut ayahku, ibu histeria sehingga pengsan, namun ketika ibuku pengsan anggota badan dia masih bergerak seperti orang yang tengah bergaduh. Dalam masa yang sama ayahku yang cuba menenangkan ibu terpental jauh dek kerana ada “sesuatu” yang menghalanginya daripada mendekati ibuku.

Seterusnya, menurut ibuku pula, ayah dan atok ku bukan calang-calang orang dizaman mereka, ada satu ketika ayah dan atok ku cuba mencari jalan penyelesaian sekaligus ingin mencari tahu apa penyebab ibu ku seringkali berkelakuan pelik. Upacara untuk menyelesaikan masalah ibuku pun bermula, dimana ayah dan atok ku terlibat dengan pertarungan dengan makhluk yang menyerupai ibuku dan ayahku sehingga menyebabkan ayah dan atok ku kelelahan.

Selesai daripada pertarungan itu, ayahku berkata bahwa makhluk yang menyerupai ibu dan ayahku itu ingin meminta anak yang berada dalam kandungan ibuku sebab itulah ibu ku seringkali bercakap,bergaduh serta menangis ketika tidur dan seringkali histeria. Ayah dan atok ku menyangka masalah telahpun selesai selepas pertarungan itu kerana selepas “upacara” itu ibuku berkelakuan normal layaknya ibu-ibu mengandung yang lain.

Saat ibuku hendak melahirkan kejadian pelik yang lain pula berlaku, dimana selepas sahaja waktu maghrib ada satu daging mentah sebesar lengan manusia dewasa terbang kemudian memasuki rumah dan melekat di dinding, ayahku cuba mengalihkannya namun tidak berhasil. Lantas, ayahku terus menghubungi atok ku yang ketika itu masih berkerja.

Setibanya atok ku dirumah, dia langsung terkejut kerana dia yang dapat melihat makhluk tak kesat mata yang menyerupai ibu dan ayahku sedang memakan daging mentah itu dan sedang memerhatikan ibuku yang hendak bersalin pada waktu itu. Ayah dan atok ku mencuba bergabung tenaga untuk menghalang “makhluk” itu serta membuang daging mentah yang masih melekat di dinding. Menurut ayahku sewaktu dia dan atok ku berusaha menghalang “makhluk” itu tiba-tiba sahaja makhluk itu hilang dan daging itu jatuh tergeletak dilantai sekaligus mengeluarkan bau yang tidak enak

Rupanya, makhluk itu bukan melarikan diri melainkan menghilangkan diri untuk merasuki tubuh ibuku. Ibuku yang didalam bilik bertemankan seorang bidan terus mengalami histeria yang dahsyat sehingga memuntahkan d***h serta mencuba melukakan dirinya sendiri , bidan yang terkejut akan hal itu dengan pantas memanggil ayah dan atok ku. Makhluk itu semakin menjadi-jadi apabila dia memcuba memaksa ibuku menggigit lidahnya sendiri untuk mengelakkan ayah dan atokku berkomunikasi dengannya.

Atok dan ayahku kali ni tidak lagi teragak-agak apabila mereka berdua langsung mengambil keris pusaka yang di wariskan untuk mereka kemudian mereka bertarung dengan makhluk yang mengganggu ibuku.
Dipendekkan cerita selepas mereka berhasil melawan makhluk itu, mereka berdua kali ini lebih merasa kelelahan berbanding sebelumnya dan ibuku yang waktu itu hendak melahirkan abangku mengalami pendarahan yang teruk sehingga terpaksa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Selepas beberapa hari abang aku dilahirkan dan sudah dibawa pulang kerumah ada satu kejadian pelik lagi berlaku dimana atok aku yang baru pulang dari bekerja melihat abang aku sudah boleh berjalan dan mencuba untuk keluar dari rumah mujur tombol pintu cukup tinggi untuk ukuran budak yang baru lahir seminggu.

Setelah kejadian itu, ayahku berkata “makhluk” yang mengganggu ibuku itu meminta supaya abangku diberikan padanya mujur ibuku cukup kuat untuk menghalang dan ada ayah dan atokku yang membantu ibuku menghalang makhluk itu.

Sekian sahaja ceritaku kali ini, satu pesanku kepada diriku dan para pembaca , Hormatilah, sayangilah, cintailah ibu kita, kerana susah-payahnya mengandung dan melahirkan kita tidak mungkin dapat kita balas sampai bila-bila.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Yush

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 61 Average: 3.2]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.