Disapa bunyi aneh di Jepun

Hi semua, assalamualaikum.

Selama ini saya hanyalah silent reader sahaja dekat FS tetapi bila terbaca pasal Ghost Month yang tengah berlangsung sekarang, teringin pula mahu berkongsi pengalaman waktu tinggal dekat Jepun dulu. Pengalaman ini tidaklah seseram mana pun tetapi sekiranya disiarkan oleh admin, terima kasih saya ucapkan.

Dekat Jepun pun ada jugak ghost month ni, tapi dekat sana dipanggil Obon festival. Obon ni berlangsung pada bulan Ogos, dimana kemuncak perayaan tersebut adalah seminggu pada pertengahan bulan Ogos ni. Namun begitu, tarikhnya sentiasa berubah-ubah mengikut Kalendar Lunar. Konsepnya sama, pada waktu tersebut nenek moyang atau saudara-mara yang telah meninggal akan balik semula ke dunia untuk menjenguk anak dan cucu mereka.

Jadi, ahli keluarga yang masih hidup ni akan berkumpul beramai-ramai, bersihkan kubur bersama dan berdoa untuk si mati, kiranya menunjukkanlah kepada si mati bahawa keluarga yang dia dah tinggalkan tu masih dalam keadaan yang baik-baik sahaja dan masih mengingati dia. Tapi bukan semua juga hantu yang balik ni nak jumpa family dia, ada juga yang berdendam dan sengaja merayau. Yang menjadi hantu pengacau ni, sama ada tiada sesiapa yang mendoakan dia selepas mati atau kematiannya berakhir dengan tragedi tragis.

Ini pun berdasarkan apa yang diberitahu oleh kawan jepun saya lah, dan dia pun ada cakap, ini hanya untuk yang percaya sahaja. Memandangkan masa dah moden dan generasi muda sekarang yang semakin terbuka, mereka hanya meneruskan sahaja tradisi yang sedia ada, disamping menunjukkan rasa hormat kepada nenek moyang mereka.

Nak dijadikan cerita, saya dan kawan serumah saya, kak Icha akan berpindah ke rumah baru. Memandangkan jarak rumah tersebut tidaklah jauh mana dengan rumah lama kami, hanya 10 minit berjalan kaki, kami mengambil keputusan mengangkat barang kami sedikit demi sedikit. Memandangkan pagi adalah waktu bekerja, kami melakukannya di malam hari. Selain tidak mahu dilihat orang, sekaligus tidak mahu menyusahkan sesiapa untuk membantu kami memandangkan barang kami tidaklah banyak mana pun.

Serba sedikit tentang tempat yang kami tinggal ni, ianya adalah sebuah perkampungan kecil di Wakayama. Agak terceruk jugaklah, nak pergi pekan terdekat pun ambil masa 20 minit kalau naik kereta. Kalau naik kereta api, mahu 30 minit juga baru sampai. Biasalah, tempat macam ni penghuninya kebanyakan terdiri dari orang-orang tua. Orang muda yang ada pun boleh dikira dengan jari. Jadinya bila dah pukul 7 malam ke atas, semua rumah pakat tutup semua lampu. Orang merayau atau lepak tepi jalan pun tak ada langsung, yang tinggal hanyalah lampu jalan. Tapi kira bernasib baik juga, lampu jalannya terang benderang, bukan macam dekat kampung saya. Mahunya lampu, tiangnya pun tak ada….

Kami bercadang mengambil masa tiga malam untuk memindahkan barang kami. Satu trip, satu hari. Laluan yang kami lalui ni berjajar dengan trail kereta api, berjarak lebih kurang 80 meter dari trail tersebut dan hanya dihadang oleh rumah-rumah kampung yang berjarak-jarak. Di sebelah seberang trail tersebut pula hutan kecil yang berbukit. Tapi tak nampak macam hutan pun sebab masih ada rumah dekat situ dan ada orang tinggal. Cuma yang hutan tu dekat bahagian atas bukit tu saja.

Jadinya, berbekalkan troli pinjam daripada stor rumah lama, pukul 7:30 bermulalah kerja-kerja memindahkan barang tersebut. Hari pertama, semuanya berjalan lancar. Pukul 9 kami dah gerak balik ke rumah lama semula. Tetapi, sebaliknya pada hari kedua. Hari kedua kami bermula lambat, pukul 8 baru bergerak dari rumah lama. Terleka agaknya menyusun dan mengemas barang-barang, kami baru tersedar waktu tu jam telah menunjukkan pukul 11. Oleh kerana futon kami masih lagi di rumah lama dan rumah baru tersebut belum ada tilam, kami terpaksa juga kembali semula.

Kami berjalan santai sambil menolak troli kosong. Perasan juga malam tu agak sejuk padahal masih di musim panas,

“Sejuk ya kak malam ni”
“Nak masuk autumn dah kut…”
“Okaylah tu, dahlah peluh belum kering lagi ni, penat kerja siang tadi pun belum habis lagi, kena suhu macam ni seronok juga hehe”
“Selalunya lambat lagi masuk autumn ni. Selalu pertengahan bulan September baru nak sejuk. Awal pula kali ni. Oh iya, peti sejuk dengan mesin basuh bila sampai Siti”
“Katanya esok”
“Alah esok akak busy pula”
“Takpa, esok kalau dah sampai, saya minta excuse kejap balik rumah received barang-barang tu”

Tengah kami asyik bersembang tu, tiba-tiba ada bunyi pelik dari arah seberang trail kereta api tu. Bunyinya tersangatlah aneh, dia bunyi haiwan tapi tak dapat nak pastikan bunyi apa, bunyinya macam bunyi monyet tapi macam juga bunyi burung. Mulanya kami tak endahkan sebab selalu juga ternampak monyet dan rusa lalu di laluan seberang trail tersebut tetapi makin lama bunyinya makin bersahutan. Sudah tu bergema pula disebabkan suasana yang sepi. Saya mula pandang kiri kanan melihat sekeliling. Risau juga orang sekitar terganggu dengan bunyi tersebut yang sememangnya berpunca disebabkan benda tersebut ternampak kami.

“Siti jalan cepat sikit jom”

Saya pandang sekilas kak Icha di sebelah kanan, lengan saya dah dia peluk, mukanya pun dah mula cuak. Bunyi tu pula makin lama makin kuat dan benda tu macam makin mendekat. Anjing rumah di kiri kanan pun dah mula menyalak. Bila part terdengar bunyi tu betul-betul macam dekat belakang kami, saya tiba-tiba rasa marah sangat dengan benda tu sebab tersangatlah bising. ‘Macam tak pernah nampak manusia’, detik saya dalam hati. Saya genggam tuala kecil yang saya bawa dan nak toleh ke belakang dengan niat nak libas benda tu. Belum sempat pun saya menoleh, kak Icha dah tahan dan paksa saya paling ke depan semula.

“Ih dia bising sangatlah kak”
“Siti jangan tengok, nanti dia kejar!”

Bila dengar perkataan ‘kejar’ tu, automatik saya teringat dekat b*bi hutan. Tengah terbayang dia kejar orang macam dalam movie tu, tiba-tiba saya berpeluh dingin. Yang tadinya paling berani macam nak bertumbuk dengan benda tu, tiba-tiba jadi penakut. Yang hairannya bunyi benda tu pun berubah. Tadinya masa saya tengah marah tu bunyinya seakan mengajuk, sekarang bila dah takut, bunyinya macam nak menyerang pula. Bila tengok kak Icha dah makin tunduk sambil cakap,”Siti cepat! Siti cepat!”, saya pula dengan bayangan b*bi hutan tengah menyondol, apalagi,

“KAK ICHA LARI!!!”

Terkangkang-kangkang kami berlari sambil sorong troli kami. Dah lah troli tua, satu roda sebelah kanan tak nak berputar, satu sebelah kiri pula skrunya longgar. Habis bersimpang siur kami berlari. Yang tak tahannya tu, troli tu pulak tak nak ditinggal. Alih-alih sanggup dipikul, dahlah berat hahahha. 10 minit tapi rasa macam 30 minit perjalanan. Dahlah berlari, payah betul nak sampai. Dengan pikul trolinya lagi. Termengah-mengah kami bila sampai rumah lama, nasib baik bila dekat pintu pagar tadi bunyi benda tu dah macam menjauh. Masing-masing tak berani toleh belakang, bila dah masuk rumah barulah teratur sikit pernafasan. Tapi masing-masing tergelak bila tengok muka masing-masing pucat,

“Siti tau, waktu saya ajak siti jalan cepat sikit tu saya baru teringat yang minggu ni start obon”

Terkesima saya, baru teringat tarikh hari tu, 13 Ogos. Tak terfikir langsung pun pasal obon, asyik terbayang disondol b*bi saja saya. Cis kak Icha, dia dah tahu awal, tapi tak signal langsung pun dekat saya. Sempat juga saya menjenguk ke luar tingkap, tapi tidak ada pula tanda-tanda ada rumah yang penghuninya terbangun. Seolah-olah bunyi bising benda tadi dan bising kami berlari tidak berlaku pun sama sekali. Bunyi aneh benda tu dan bunyi anjing menyalak pun tak kedengaran langsung.

Esoknya, kerana risau memikirkan apa pula yang akan berlaku malam nanti, kami akhirnya sepakat meminta tolong rakan sekerja kami yang mempunyai kereta untuk bawakan barang yang tersisa dan berpindah petang tu juga. Selepas selesai pindah dan kemaskan barang dalam rumah baru, barulah masing-masing mengadu sakit kepala dan sengal badan. Tak dapat pula nak pastikan berpunca daripada mana; penat berpindah ataupun kejadian malam kemarin.

Waktu ni baru setahun kami menetap di kampung tu. Walaupun ianya tahun ke-4 kak Icha di Jepun, tetapi tahun-tahun sebelumnya dia bekerja dan tinggal di daerah lain. Bagi saya pula, itulah genap setahun saya bekerja di Jepun dan masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan perubahan sekeliling. Syukur jugaklah ada kak Icha yang ajar dan bagitau apa yang patut.

Sekarang dah tiga tahun kejadian tu berlaku dan sepanjang tiga tahun ini, kami masih lagi menggunakan laluan yang sama memandangkan itu adalah laluan utama. Alhamdulillah syukur, walaupun kadang kala terpaksa menggunakan laluan tersebut pada waktu yang sama dengan kejadian hari itu, tetapi kami tidak pernah lagi mendengar atau terdengar akan bunyi aneh tersebut. Tertanya juga, tapi niat untuk mencari tahu itu tidaklah begitu tinggi. Kadang kala ada benda tu lebih baik kalau kita tidak mengetahuinya bukan? Mungkin juga pada hari kejadian itu adalah sebagai tandanya menyambut kedatangan kami sebagai orang baru di kampung itu, Wallahualam (hanya Tuhan yang mengetahui).

Daripada kejadian itu, walaupun tidak dapat dipastikan punca bunyinya; samada binatang ataupun makhluk ghaib, ianya sedikit sebanyak menjadi iktibar kepada diri saya. Memandangkan saya adalah orang luar yang mempunyai pegangan dan kepercayaan sendiri, pada mulanya saya menganggap itu hanyalah tradisi masyarakat setempat. Tapi setelah apa yang berlaku, ianya membuatkan saya sedar, dimana pun kita berada, walaupun berbeza agama dan tradisi, ianya bukanlah menjadi sesuatu penghalang untuk kita menghormati kepercayaan orang lain.

Siti.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment