Dua Sempadan

Negara Aldoria

Igor dan Devrik memacu laju kuda hitam itu ke hutan Frostier. Rancangan jahat mereka berjaya apabila anak panah beracun yang ditebak Igor berjaya menembusi jantung Raja Rhelasia ketika baginda sedang mengambil angin petang di perkarangan istana. Askar yang berkawal di pintu masuk taman larangan istana segera mengerumuni jasad baginda sejurus selepas dia rebah ke tanah, namun lelaki tua itu telahpun mati dengan kesan anak panah terpacak di dadanya.

Devrik membuang baju pengawal istana yang menjadi pakaian rasminya sejak tujuh tahun lalu. Ya, tujuh tahun dia mengintip, memerhatikan setiap rutin dan gerak geri Raja Rhelasia. Mereka menyusun strategi licik untuk menumbangkan kerajaan di bawah pimpinan Raja Rhelasia. Bukan mudah menjadi pengintip dan tali barut raja. Baginda sentiasa dikawal ke mana-mana sahaja hatta di ruang kamar tidur sekalipun. Cubaan pertama mereka lebih sembilan tahun dahulu gagal tetapi mujurlah dia dan Igor berjaya melepaskan diri. Waktu itu mereka masih mentah, darah muda remaja membuak tamak. Siapa yang tak mahu menjadi golongan bangsawan diraja? Mereka tak perlu bersusah payah bekerja membanting tulang seumur hidup! Dan atas dasar itu, mereka bersepakat mahu menjatuhkan pemerintahan Raja Rhelasia.

Devrik menarik nafas yang terasa mengah. Mereka berjaya akhirnya! Tiada siapa akan tahu anak panah itu milik siapa! Rancangan licik mereka tidak berjaya dihidu sesiapa.

“Kita berhenti dulu di sini!”

Igor bersuara, melaung sedikit melawan deru angin yang bertiup seiring kuda itu berlari. Devrik diam tidak menjawab namun larian kudanya diperlahankan. Mereka membelok ke arah sebuah gua yang agak terlindung di dalam hutan tebal Frostier itu. Tali kekang kuda-kuda itu ditambat di sebatang pohon kayu Elder yang tinggi.

“Lepas ni apa?” Devrik merenung muka Igor yang dibasahi peluh.

“Tunggu khabar dari dia.”

Igor melabuhkan duduk di sebuah batu yang ada di dalam gua kecil itu. Devrik tersandar di dinding gua. Dia tergelak kecil.

“Kita berjaya bunuh raja!” Laungnya puas.

*******

“Aku tak nak!”

Rydan mendengking marah. Gila apa nak ajak dia masuk ke alam sebelah sana!

“Rydan..tolonglah..mungkin…mungkin ada sesuatu pada kau yang boleh bantu kami! Chanuques takkan buka pintu sempadan untuk sembarangan orang. Kan?”

Livrose merenung makhluk bertopi itu. Makhluk itu hanya mendengus setuju.

“Hahaha..no way! Aku hidup di dunia sebelah sini! Rumah aku, kerja aku..”

“Lepas apa yang jadi, kau masih ada kerja ke?” Soal gadis itu, sinis.

“Aku boleh cari kerja lain!” Rydan menyambung laju.

“Kau kan ada magik, tukarlah si pembunuh tu jadi labu ke apa…ha! Lagipun kaum kau pun ada kebolehan jugak kan? Aku ni manusia biasa je kot! Kebolehan aku rakam gambar je. Ke kau nak aku rakam gambar raja yang dah mati tu?”

Livrose menerpa Rydan. Tangannya diangkat tinggi ke udara, bersedia untuk menyerang lelaki itu. Rydan yang tergamam mengundur dua tapak ke belakang. Dia sedar jenakanya sudah keterlaluan kali ini.

“Jangan kau berani ejek raja kami! Ikut aku, atau aku betul-betul sihirkan kau jadi labu!” Gadis itu bersuara tertahan-tahan. Rydan telan liur.

“Sorry…fine! Aku ikut! Tapi dengan satu syarat.” Rydan mengangkat kening, mencuba nasib.

“Apa..”

“Kita bertolak esok, boleh? Sekarang dah malam ni. Badan aku dah letih. Aku perlukan rehat, kau pun sama.”

Rydan menjelaskan dengan penuh berhati-hati. Perempuan ni bukan boleh kira angin dia! Livrose merengus kencang. Membentak. Tapi ada benarnya apa yang dikata lelaki itu. Mereka perlu berehat dan mengumpul tenaga dahulu, sebelum masuk ke sana.

“Esok pagi, kita bertolak.”

Livrose mengumam. Dia berjalan menuju ke arah banir pohon rendang yang menaungi mereka lalu duduk di situ. Badannya disandar pada batang pokok itu. Rydan mengeluh lega. Dia membuka jaketnya, dilipat jaket itu lalu diletakkan di atas tanah. Dia berbaring dengan jaket itu dijadikan bantal di kepalanya. Matanya merenung bintang yang memenuhi langit malam itu.

“Liv…” Dia mengumam lembut.

Livrose membuka mata, menoleh ke arahnya. Menunggu butir kata seterusnya dari lelaki itu.

“Maafkan aku…ya?”

Rydan bersuara. Dia masih kekal melihat bintang-bintang nun jauh di angkasa. Gadis itu hanya mengangguk walaupun dia tahu Rydan tak melihatnya.

******

Livrose terjaga setelah terasa pinggangnya dicuit. Dia mengecilkan mata, mencari siapa yang mencuitnya sehinggalah dia terlihat makhluk Chanuques itu tadi sedang memegang satu ranting kayu.

“Ada apa..?”

Livrose bertanya perlahan sebelum menguap kecil. Matanya masih lagi mengantuk.

“Dia dah lari.”

Chanuques itu mengunjuk ke arah tempat Rydan berbaring tadi, yang kini kosong tanpa kelibat lelaki itu. Livrose melopong. Rasa kantuknya hilang serta merta.

“Kenapa kamu tak halang dia?”

Livrose bertanya tegas. Makhluk penjaga hutan itu tidak pernah tidur sepanjang hayatnya, jadi sudah tentu dia menyedari cubaan Rydan melarikan diri.

“Aku dah buat dia sesat.”

Chanuques itu menderam. Livrose tersengih lebar! Padan muka, nak lari sangat kan?

*********

Rydan menarik nafasnya yang terasa mengah. Sudah tiga kali dia berpusing di tempat yang sama. Puas dia merayau mencari denai yang selalu dilaluinya di hutan itu, dan setiap kali itulah dia akan kembali semula ke pohon yang telah tumbang ini. Rydan mendengus geram. Tanggannya dicekak ke pinggang, meninjau arah yang belum dicubanya. Hutan itu luar biasa sunyi di waktu malam. Tiada langsung bunyi unggas atau cenggkerik. Bagaikan bisu ditelan gelap pekat malam.

Bunyi gemersik dedaun yang diselak menyentak lamunan Rydan. Dia menoleh ke belakang. Livrose ke? Matanya dikecilkan merenung tumbuhan Lynwood yang jelas ada pergerakan di belakang rimbunan daunnya. Rydan mengundur ke belakang. Seekor serigala sebesar singa dewasa muncul di balik pokok itu. Rydan tergamam. Kakinya terasa dipasak ke tanah. Kaku tak bergerak. Serigala berbulu putih itu bergerak ke arahnya. Hidungnya bergerak-gerak mencium udara. Kenapalah dia tak duduk sahaja dengan Livrose! Rydan mendesis halus, menyesali perbuatannya.

Serigala itu terus berjalan lambat-lambat ke arahnya. Rydan pejamkan mata sebelum merebahkan dirinya ke lantai hutan! Buat-buat mati! Itu sahaja yang dapat difikirkan. Dia takkan mampu berlari menyelamatkan diri dengan keadaan kakinya yang mengeletar teruk seperti ini.

Serigala itu mendekat. Menghidu badannya. Rydan menahan nafas. Peluhnya terasa merenik di dahi. Rydan dapat merasakan dengusan hangat haiwan itu di mukanya sebelum lidah haiwan itu menjilat-jilat pipinya seperti seekor anjing yang mahu bermanja dengan tuannya.

Rydan membuka mata, dia mendongak melihat serigala itu yang masih menjilat wajahnya manja. Entah kenapa, Rydan yakin yang serigala itu tidak akan mencederakannya. Spontan tangannya diangkat, menghalang serigala itu dari terus menjilat wajahnya dan ketika tapak tangannya menyentuh buluan selembut baldu tersebut, badan serigala itu bercahaya terang. Rydan melopong tidak percaya dengan apa yang sedang dialaminya!

‘Kalau haiwan tu ada pertalian dengan aku, badannya akan bercahaya!’ Kata-kata Livrose terngiang semula di telinganya!

Negara Aldoria

Ivsaar berlari mencicit laju ke selatan hutan Frostier. Lariannya di bawa menuju ke arah denai yang mengunjur ke sebuah terowong tanah yang kecil. Dia terhenti seketika mengambil nafas, sebelum berlari semula melalui terowong tanah itu menembusi satu kawasan lapang yang dipenuhi pokok-pokok besar tinggi menjulang. Di setiap dahan pokok itu, bergayutan bentuk-bentuk bulat bercahaya yang diperbuat daripada tumbuhan Argyreia Nervosa yang telah disihir. Ivsaar menghela nafasnya yang terasa semput di hujung kerongkong. Berita kemangkatan Raja Rhelasia perlu disampaikan pada elf-elf lain di kampungnya.

Dia mengeluarkan trompet yang tersangkut di seluarnya lalu ditiup kuat. Bunyi trompet itu membingit, mengejutkan elf yang sedang tidur nyenyak di dalam rumah masing-masing. Ivsaar menunggu penuh sabar apabila kaumnya mula bangun dan menjenguk ke bawah dari rumah mereka. Elf-elf itu saling mencuit bahu masing-masing. Jelas bertanya dan hairan kenapa mereka dikejutkan secara tiba-tiba dari tidur yang lena.

“Raja….Raja Rhelasia..dah mati!”

Ivsaar melaung. Suaranya terasa tersekat di halkum. Sukar mempercayai Raja yang paling dihormati itu maut di tangan bajingan pembunuh. Bunyi dengungan suara tidak percaya kedengaran dari atas sana sebelum elf yang jantan meniti dahan pokok yang menunjang rumah kecil mereka, menderu berpusu-pusu turun ke lantai hutan tempat Ivsaar sedang mendongak berdiri. Mereka mengerumuni Ivsaar untuk kepastian sementara di atas sana, esak tangis elf betina mula kedengaran.

“Betul ke Ivsaar?”

Grixo, elf yang paling tua di antara mereka bertanya. Suara tuanya menderam kasar. Ivsaar mengangguk.

“Ya..aku dari kampung VestFold.Makhluk gergasi di banjaran Tuvver dah merusuh.”

Ivsaar menjelaskan. Bunyi bisikan dan dengungan semakin kuat.

“Siapa…siapa yang membunuh raja??!” Satu suara melaung geram.

“Pembunuh berjaya melarikan diri! Pengawal istana dikerah mencari pembunuh secepat mungkin.”

“Mungkin gergasi-gergasi tu yang membunuh raja! Mereka dah lama berdendam sejak Raja Rhelasia mengambil alih tampuk pimpinan!”

Satu suara menjerit marah diikuti suara-suara bersetuju elf yang lain.

“Tunggu dulu..macam mana mereka boleh masuk ke sini? Bukankah raja dah haramkan kawasan kampung dan hutan dari dijajah mereka? Sumpahan Thaiv patutnya melindungi kawasan larangan mereka!” Satu suara lain pula membantah.

“Sumpahan Thaiv, terlerai bila Raja Rhelasia mangkat.” Grixo menjelaskan.

“Raja dibunuh dengan anak panah beracun!”

Ivsaar menyambung. Kali ini dengungan suara elf-elf itu membingit.

“Panah beracun?”

“Apa yang pengawal buat?”

“Musuh dalam selimut..”

Bisikan andaian bertebaran. Grixo memegang dadanya. Langkah kaki tuanya di bawa ke banir pokok. Dia duduk di situ. Ivsaar mendekati penghulu kaumnya itu perlahan-lahan.

“Kita…dalam bahaya. Peperangan akan menjengah..”

Kata-katanya terhenti di situ. Ivsaar merenung mata tua itu yang mula berkaca. Benar, negara Aldoria akan berantakan!

**********

Istana Jauregia, Negara Aldoria. (Sehari sebelum kemangkatan Raja)

Fiona menatang dulang berisi buah-buahan segar hutan itu lalu berjalan melewati lorong berbatuan lava diterangi barisan obor yang marak menyala. Dia membelok ke satu selekoh. Dua ekor patung serigala yang mengapit kiri kanan sebuah pintu kayu oak dihampirinya. Fiona berdehem sedikit. Patung serigala itu berpaling ke arahnya lalu menyebut perkataan ‘buka’. Pintu kayu itu berkeriut terbuka sendiri. Fiona melangkah masuk ke dalam. Langkah kakinya dibawa ke arah pengawal yang bertugas di dalam kamar diraja itu.

“Buah-buahan segar untuk santapan tuanku..”

Dia menjelaskan. Badannya dibongkokkan sedikit dan dulang yang ditatangnya diangkat tinggi ke atas supaya pengawal itu dapat melihat dengan lebih jelas. Pengawal itu membelek buah itu seketika, sebelum mengambil sebiji beri Bobule yang masak ranum itu ke dalam mulutnya. Fiona diam tidak berkutik. Memang begitu selalunya. Sebarang makanan untuk santapan diraja akan diuji dahulu oleh pengawal sebelum di sajikan kepada raja untuk mengelak sebarang cubaan meracun baginda dari pihak musuh.

“Letak di sana.”

Pengawal itu mengumam tegas. Fiona mengangguk sebelum melintasinya. Dulang berisi buah-buahan segar itu diletakkan di atas meja bulat di sisi katil bertiang empat itu. Fiona keluar dari kamar diraja itu lalu berjalan melewati lorong berbatuan lava yang diterangi obor itu semula. Langkah kakinya dibawa ke tangga yang mengunjur ke ruang dapur di bawah tanah.

“Dah siap Puan Dovva.”

Fiona memberitahu apabila kelibat perempuan gempal itu berjalan melintasinya.

“Bagus. Grego bercuti hari ini..boleh kamu beri gandum tu pada kuda di kandang?”

Puan Dovva menepuk bahunya. Fiona mengangguk. Guni berisi gandum itu dibimbitnya keluar. Dia berjalan ke bahagian belakang istana tempat kuda-kuda peliharaan raja ditambat. Bau busuk najis kuda menerjah hidungnya. Fiona melangkah berhati-hati melalui lopak air di atas tanah. Hujan lebat yang turun petang tadi membuatkan persekitaran di sekitar kandang kuda itu agak berlecak. Dia hampir mahu menolak pintu kandang itu apabila sayup-sayup terdengar suara bisikan seseorang di dalam.

“….aku uruskan…”

” ..kami mahu wang pendahuluan..”

Fiona meletakkan guni gandum yang dibimbitnya ke tanah. Perlahan-lahan dia menghampiri dinding pemisah antara kandang kuda itu dengan padang rumput datar di luar. Fiona cuba mengintai dari situ. Kelibat itu agak terlindung di balik rumput jerami yang tinggi menimbun. Dia menjengket sedikit, cuba mengintai siapa di dalam kandang itu. Bunyi uncang wang emas dibaling dan bergemerincing disambut seseorang kedengaran.

” Ambil tu dulu. Esok, aku nak raja bangsat tu mati!” Satu suara lain membalas.

Fiona tersentak! Imbangan badannya tidak stabil lalu dia jatuh dengan bunyi berdebuk kuat ke tanah. Bunyi itu mengejutkan mereka yang berada di dalam kandang kuda.

“Pengintip!”

Fiona bangun lalu kelam kabut melarikan diri dari situ. Gaunnya yang labuh menyukarkannya untuk berlari dengan lebih laju. Nafasnya terasa mencungap. Hujung gaunnya dikotori lumpur dan tanah. Rambutnya yang panjang terbuai ke belakang mengikut rentak lariannya direntap kasar. Fiona menjerit ketakutan. Tangannya memegang rambutnya yang disentak ke belakang.

“Siapa yang hantar kau!?” Suara itu menderam kasar.

“Tak..ada..aku cuma..”

Belum sempat dia menghabiskan kata, pipi kanannya ditampar kuat. Fiona mula menangis.

“Tak guna!”

Lelaki itu meludah mukanya. Pipinya sekali lagi ditampar. Darah merah pekat mengalir di tepi bibirnya.

“Dia dah dengar semuanya!”

Suara yang lain mendengus marah.

“Tolonglah…aku janji..”

“Hapuskan dia!”

Suara yang ketiga mendesis. Fiona menggeleng laju. Tapak tangannya disatukan, merayu dikasihani. Sebilah pisau belati keemasan ditikam ke perut gadis itu. Fiona melopong kesakitan. Matanya merenung tiga wajah kejam di depannya sebelum dia rebah ke tanah.

“Apa yang patut kita buat dengan mayat dia?”

“Humbankan ke penjara bawah tanah! Biarkan dia mereput di situ!”

Suara yang memberi arahan bunuh itu tadi menderam puas.

Hutan Geirangerjford, Norway.

Rydan duduk menyentuh kepala serigala putih itu perlahan-lahan lalu tapak tangannya mengusap bulu selembut baldu itu. Kata-kata Livrose terngiang semula di mindanya. Tak mungkin dia ada kaitan dengan negara di sebelah sana. Dia manusia biasa! Dilahirkan dan dibesarkan di dunia sebelah sini. Mungkin kerana terlalu dipengaruhi cerita dari mulut gadis itu, otaknya jadi tak betul sekarang. Mata biru serigala itu merenungnya lembut. Rydan kekal diam begitu sehinggalah secara tiba-tiba dia diacukan mata lembing yang tajam di depan mukanya. Serigala putih itu ghaib bagaikan silauan cahaya. Hutan yang tadinya diterangi cahaya dari serigala putih itu mulai bergelap semula.

Di hadapannya kini, seekor makhluk aneh berkepala manusia dan berbadan kuda sedang mengacukan lembing betul-betul di depan batang hidungnya. Rydan telan liur. Tadi chanuques, serigala dan ini?! Ini haiwan apa pula?!

“Bangun!” Makhluk itu bersuara tegas.

Rydan mengundur sedikit ke belakang, lalu bangun perlahan-lahan. Kedua tangannya di angkat bagai pesalah yang ditahan polis. Setelah berdiri begitu, barulah dia sedar makhluk itu betina. Rambutnya panjang mengurai, telinganya berhujung runcing, dan ia bertanduk dua.

“Jalan ke depan!”

Makhluk itu mendesis. Lembing yang dipegangnya di acah rapat ke dada Rydan. Rydan menurut pantas. Mereka berjalan lebih jauh ke dalam hutan. Bunyi sahutan unggas dan burung hantu mulai kedengaran. Sesekali Rydan menoleh ke belakang, berharap makhluk itu ghaib, atau terleka supaya dia boleh melarikan diri namun setiap kali itulah, belakang badannya akan ditujah dengan lembing yang dipegang walaupun tidak sampai melukakan.

“Berhenti…”

Makhluk itu bersuara setelah agak lama mereka berjalan. Dia mundar mandir di kawasan yang agak lapang itu sebelum menghentak lembingnya ke tanah sebanyak dua kali. Lantai hutan terasa bergegar dengan hentakan lembing makhluk itu. Sayup-sayup kedengaran suara bersahutan dari jauh.

“Auhhuuuuhh….!!!”

Makhluk betina di belakangnya berbunyi kuat seperti menyahut bunyian sayup-sayup itu. Rydan menunggu, dengan debar pada jantungnya melantun tak terkawal. Seketika kemudian kedengaran berpuluh-puluh bunyi telapak kaki kuda berlari menghentak tanah menuju ke arah mereka. Makhluk-makhluk itu, berpuluh ekor kesemuanya, mengelilingi Rydan dengan lembing di acu padanya. Rydan mengundur beberapa tapak ke belakang. Peluhnya terasa merenik di dahi membayangkan dirinya dipanggang hidup-hidup!

“Jangan…dia tawanan kita, tapi dia bukan musuh!” Makhluk betina tadi bersuara lantang.

“Dia manusia, Caballo!”

Satu suara menengking marah pada makhluk betina bernama Caballo itu. Suara-suara lain ikut menyokong. Mereka mengangkat lembing tinggi ke udara. Caballo berjalan ke depan Rydan. Tangannya diangkat, isyarat menghentikan sahutan tidak berpuas hati kaumnya.

“Perang yang terjadi di Aldoria berpunca dari kaum yang kita agung-agungkan! Manusia ini diutus ke sini untuk membantu kita! Ramalan Miento takkan tersasar!”

Caballo melaung dengan suara kuat. Bisikan suara dari mulut ke mulut kedengaran mendesis. Rydan telan liur. Cakap pasal aku ke? Diutus apanya aku tengah sesat ni! fikirnya keliru.

“Errrr…maaf lah mencelah..tapi, aku bukan utusan siapa-siapa. Aku sesat je sebenarnya.”

Rydan menjelaskan. Bibirnya disengihkan selebar mungkin, buat-buat ramah! Caballo menghampirinya perlahan-lahan. Rydan telan liur, cuak! Makhluk itu menundukkan sedikit kepalanya, matanya merenung mata Rydan, tajam.

“Miento takkan pernah tersilap!” Caballo mengeluarkan suara di sebalik detapan giginya.

“Sia…pa..?” Rydan bertanya takut-takut.

“Peramal mistik.”

Satu suara halus menyahut pertanyaan Rydan. Rydan menoleh ke situ. Makhluk itu lebih kecil saiznya jika dibandingkan dengan Caballo dan yang lain. Dia juga makhluk betina. Rambutnya diikat tinggi ke atas dan kepalanya dihiasi lingkaran daun.

“Apa pun..kita mesti serahkan dia pada Miento!” Caballo menyambung.

“Apa yang buat kau fikir, dia yang disebut dalam ramalan Miento?”

Salah seekor makhluk itu mara ke depan, bersuara meminta kepastian. Dengungan suara mengumam ragu, mempertikaikan tindakan sembereno Caballo mulai kedengaran. Rydan berjaya mengawal dirinya dari berlari mengucapkan terima kasih pada makhluk yang bertanya soalan itu tadi.

“Manusia biasa, mampu melihat jelmaan Verdos?”

Caballo bertanya tenang. Serentak dengan itu, ngauman teruja dan kagum kedengaran dikalangan mereka.

“Sekarang, kita serahkan dia pada Miento!”

Caballo bersuara lantang. Makhluk-makhluk lain yang tadinya teragak-agak, kini mula bersuara gegak gempita, menyokong! Lembing mereka dihentak berkali-kali ke tanah. Sekali lagi Rydan merasakan lantai hutan yang dipijaknya bergegar. Caballo menyauk Rydan dengan sebelah tangannya lalu badan lelaki itu diletak di atas belakang badannya yang berfizikal kuda. Kelam kabut Rydan memegang pinggang Caballo ketika makhluk itu mengangkat dua kaki depannya ke atas, menjulang lembingnya ke udara sebelum berlari menderu mendahului yang lain ke dalam gelap pekat hutan.

**********

“Tak ada pun! Dah empat kali kita berpusing di sini!”

Livrose membentak geram. Dia melabuhkan duduk di atas sepohon pokok Hazel yang telah tumbang. Chanuques yang setia mengekorinya dari belakang ikut sama berhenti.

“Kau cakap dah sesatkan dia…kenapa kita tak jumpa pun dia?”

Livrose mengecilkan mata, mempersoalkan tindakan Chanuques itu.

“Sumpahan keliru hanya berkesan ke atas manusia. Kalau dia berjumpa makhluk dari alam sana, sumpahan tu dah tak berkesan lagi!”

Chanuques itu menderam. Livrose tersentak. Dia mendadak bangun. Bagaimana jika benar Rydan berjumpa makhluk lain??

“Rydannnnnnn!!!!”

Dia menjerit memanggil nama lelaki itu. Kakinya kembali melangkah mencari Rydan. Hutan itu kekal sunyi. Tiada sebarang tanda kelibat Rydan di mana-mana. Mereka berjalan melalui pohon-pohon Birch dan Ash yang merendang. Cahaya kelip-kelip menemani langkah longlai Livrose menjejak Rydan. Setelah hampir setengah jam berjalan tanpa arah tujuan, Livrose melabuhkan punggung di atas rumput hutan. Kakinya dibengkokkan, dan dia menekap mukanya ke lutut.

“Fikir Liv, fikir..kemana dia pergi? Apa yang patut aku buat!?” Dia mengumam sendiri. Mukanya diangkat pantas apabila dia terfikirkan sesuatu!

“Kau mesti ada cara macam mana nak kesan dia,kan? Kau penjaga hutan, kau mesti tahu sesuatu!” Livrose mendesak.

Dia merenung makhluk Chanuques itu dengan pandangan merayu. Chanuques itu hanya mengeluarkan bunyi menderam sebelum menggeleng. Livrose mengetap bibir. Wajah Rydan terlayar di mindanya.

***************

Mereka sampai di sebuah kawasan lapang yang berbatuan putih seperti marmar. Rydan melopong. Sepanjang dia bekerja sebagai photographer hutan, dia tidak pernah langsung melintasi tempat ini mahupun mendengar tentangnya. Makhluk-makhluk itu kemudiannya masuk ke dalam sebuah gua yang dilitupi tumbuhan Ivy yang menjalar di muka pintunya, jelas terlindung dari pandangan luar. Mereka masuk lebih jauh ke dalam, dan Rydan dapat menangkap deruan air terjun nun jauh di depan. Lorong gua itu diapit dengan dua longkang kecil di kiri dan kanan laluannya. Cahaya biru dari air yang mengalir sepanjang laluan itu menerangi langkah makhluk-makhluk itu. Gua itu semakin melebar ke dalam sehinggalah mereka tiba di satu kawasan lapang yang diterangi cahaya bebola kristal berwarna ungu yang tergantung di tengah ruangan lapang tersebut. Makhluk-makhluk itu berhenti. Caballo menurunkan Rydan.

“Inez, beri dia makan.

Dia memberi arahan pada makhluk dengan lingkaran daun di kepalanya itu. Inez mengangguk sebelum berlalu pergi. Rydan melopong melihat binaan batu putih yang menakjubkan itu. Tak terjangkal dek akal, bagaimana makhluk-makhluk itu boleh membina binaan mengkagumkan sebegini. Memang manusia biasa sepertinya tidak akan perasan gua itu jika dilihat dari luar. Benar-benar terlindung dan terpelihara. Air yang jernih sebiru Sapphire mengalir tenang melalui lekuk-lekuk batuan yang berkilauan seperti kristal, lalu menyusur tenang ke dalam sebuah kolam berbatuan putih di bawahnya. Rydan melutut di sisi kolam tadahan air itu. Dia menceduk air itu dengan tangan kanannya, lalu mula minum dari telapak tangannya. Seharian berjalan di dalam hutan, dia betul-betul dahaga!

“Nah..makanlah.”

Inez, makhluk yang agak kecil itu tadi mengunjuk sebakul penuh buah-buahan segar pada Rydan. Rydan mengambil sebiji epal lalu terus mengigitnya rakus.

“Mana yang lain?” Dia menyoal apabila menyedari hanya ada dia dan Inez di situ.

“Bersidang, Miento akan muncul.” Inez menjelaskan.

“Kenapa kau tak ikut?” Rydan mencapai sebiji lagi epal merah.

“Caballo minta aku tunggu di sini..jaga kau.”

“Dengar sini Inez, aku bukan utusan. Aku cuma sesat dalam hutan ni! Boleh tak kau beritahu kaum kau tu, yang aku hilang atau…haa! cakap je aku curi-curi keluar dan dimakan singa!”

Rydan berbisik perlahan-lahan lalu bangun. Makhluk ini nampak naif dibandingkan kaumnya yang lain dan dia juga tidak memegang sebarang lembing. Mungkin, dia sempat melarikan diri sementara yang lain sedang bersidang, Rydan menelah sendiri. Inez menggeleng.

“Tak..tak boleh. Kau perlu kekal di sini.”

Inez menghalang laluannya. Rydan mendengus geram.

“Hanya disebabkan ramalan bodoh tu, kau terus percaya ke?” Rydan hilang sabar.

“Manusia biasa takkan boleh melihat Verdos!”

“Apa masalahnya kalau aku nampak dia??! Mungkin kebetulan! Otak aku dah tak betul agaknya sebab percaya sangat cakap Livrose tu!” Rydan mula meradang.

“Jadi betul, kau nampak dia kan?” Inez bertanya. Suaranya kedengaran teruja.

“Ya, dan aku sentuh dia..apa pun..” Rydan tidak jadi meneruskan ayat apabila Inez mengeluarkan bunyi termengkelan seperti tercekik sebiji epal.

“Kau…sentuh…Verdos!??” Inez membeliakkan matanya memandang Rydan.

“Ya! Apa yang peliknya? Kau pun boleh sentuh dia kalau kau mahu! ” Rydan menjawab jengkel.

“Tak ada sesiapa yang boleh sentuh Verdos kecuali Xerox, raja kami terdahulu. Kami cuma boleh merasa kehadirannya. Verdos menghilangkan diri ratusan tahun yang lalu, selepas baginda yang mulia Xerox, mangkat. Kau, manusia pertama yang menyentuhnya!”

Kali ini, giliran Rydan pula tergamam!

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

15 thoughts on “Dua Sempadan”

    • Kat atas pun ada admin tulis fb penulis

      Nur Arfah Radzi

      Ada 3 tajuk dlm fb dia kan. Mimpi Kita, Rumah Agam Lama Jalan Duldagi & Dua Sempadan.

      Reply
  1. Sambung cepat weeeiiii…
    Die keturunan Raja Xerox ke…???
    Aduuiii saspens sgt dh ni…

    Ade sebakul buah-buahan dan ko cume amik EPAL…???
    Deeyyy…
    Amikla buah yg rare sket…
    Epal tu cliche sgt lah…

    Reply
  2. kak yulie..hahaha sebab dia kan dari dunia kita. epal je yang dia nampak ‘selamat’ utk dimakan.yg lain dia xkenal buah apa ??

    Reply
    • Akk rase akk ni seorg yg psiko arr…
      Sbb selalunye akk akn lbh berminat dgn buah yg pepelik atau mknn exotic…
      Huhuhuhuuu…
      Klu org soh beli buah utk hantaran, akk plg bosan bile nk kena beli epal…
      Pdhal epal ar yg cantek dan murah kan…

      Klu g cameron ke, pasar tani kat temerloh tepi sungai tu ke, akk mmg mencarik2 buah yg ntah pape x penah jmpe…
      Kan bagus klu akk yg dihulur sebakul buah-buahan tu…
      Hehehehehee…

      Reply

Leave a Comment