Dusun Kecil Arwah Atok

Assalamu’alaikum dan salam sejahtera buat admin, penulis dan juga pembaca FS. Semoga sentiasa sihat dan ceria selalu. Nama aku Mat. Aku berasal dan membesar di kampung kecil di daerah Johor. Aku anak kelahiran 80-an. Zaman kecil kami dulu, kebanyakan jalan di kampung-kampung kecil masih belum berturap. Jalan kecil yang juga merupakan jalan utama penduduk kampung waktu itu cumalah tanah merah yang mana tengah-tengah jalan itu akan tumbuh rumput sebab tak kena latam oleh kaki atau tayar kenderaan. Orang kampung akan kerap mengadakan gotong-royong untuk membasmi rumput jika terlalu panjang, untuk mengelakkan rumput tu tumbuh meninggi dan menyempitkan laluan yang sedia kecil. Kalau naik basikal dan terjatuh atas tanah merah tu, memang akan ada batu-batu kecil melekat di bahagian luka. Pedihnya tak usah diceritakan. Kalau tak menangis kau memang hebat. Sama ada kau kebal ataupun kau seorang Ultraman.

Kehidupan damai dan tenang di kampung yang memang sudah sebati dengan jiwa sangat aku rindukan, apatah lagi bila aku terpaksa berhijrah ke hutan batu di ibu kota demi sesuap rezeki. Pun begitu, tak pernah aku lupakan asal usul aku walau sesaat. Baiklah, untuk kisah yang nak aku kongsikan kali ni, aku nak ceritakan pengalaman disakat sewaktu mengutip buah durian semasa cuti persekolahan bersama sepupu di dusun kecil milik arwah Atok. Tapi sebelum terlupa, aku nak ucap ribuan terima kasih kepada admin yang budiman jika kisah ini diterima untuk disiarkan buat bacaan pembaca FS. Maaf juga buat pembaca setia FS kalau cerita aku tak menepati citarasa kalian. ‘Newbies’ lah katakan ehehe. Jom kita ‘flashback’.

Sedang aku terbongkok-bongkok mengutip buah durian yang lumayan banyaknya, tiba-tiba aku berhenti dan berdiri tegak sebaik telinga menangkap bunyi sesuatu. “Abang Arip, kau dengar tak bunyi tu?” Spontan aku menegur sepupu aku sebaik telinga tertangkap bunyi tersebut. Bunyinya seolah motorsikal Honda C70 tercabut ekzos sedang dalam perjalanan dari arah jalan utama untuk ke kampung sebelah melewati jalan kecil ditengah-tengah kebun sebagai jalan pintas. Honda C70 kalau dicabut ekzos, bunyinya jadi 4 kali ganda lagi kuat dari ekzos perang budak-budak Y-suku. Memang kuat memekak bunyinya memecah kesunyian malam.

Kejadian ni terjadi masa umur aku 11tahun. Abang Apis berumur 13 tahun dan Abang Arip berusia 14 tahun. Keluarga Abang Arip tinggal serumah dengan arwah atok dan arwah nenek, aku tinggal bersama mak aku di rumah berlainan. Memandangkan kami tinggal di kampung yang sama, setiap kali hujung minggu atau cuti sekolah, pasti aku akan meminta izin arwah mak aku untuk bermalam di rumah mereka.

Waktu itu cuti sekolah dan kebetulan musim durian. Kami bercadang untuk mengutip buah durian di kawasan belakang rumah arwah atok. Kawasan rumah arwah atok dikelilingi kebun sawit, kebun getah dan belukar, dan ada satu jalan kecil serta parit yang menjadi pemisah antara lot tanah sebelah. Jalan kecil tu pula panjang. Kalau ditelusuri, boleh tembus ke kampung sebelah. Kami kutip durian tu tengah-tengah malam buta. Seingat aku, waktu dah lebih 12 tengah malam masa tu. Aje gila bak kata Ucop Wilcha. Namun itulah kami pada zaman kegemilangan budak-budak tak ada otak. “Wak Sugeng kot tu, dia nak meracik ayam hutan lah tu agaknya. Kacau dia jom. Kita sergah dia bila dia sampai kat pokok sagu ni” jawab Abang Apis si budak terejal, sepupu aku, adik kepada Abang Arip.

Bulan waktu tu agak cerah mengambang. Cahaya bulan yang terhasil agak menerangi suasana. Terangnya tak lah begitu terang, namun tak juga terlalu gelap. Hanya sedikit kelam dek kerana terlindung oleh pohonan kelapa sawit yang meninggi dan juga pokok buah-buahan tempatan beraneka jenis. Walaupun cahayanya sedikit kelam, tak sikit pun menampilkan perasaan takut untuk kami bersembunyi di sebalik pokok sagu yang besar dan tinggi tu demi menjayakan misi menyakat Wak Sugeng. Aku dan Abang Apis pun mengambil tempat masing-masing dan bersembunyi di belakang pokok sagu, kecuali Abang Arip yang malas melayan terejal adiknya. Pokok sagu ni tumbuh dekat tebing parit kecil yang sangat berhampiran dengan jalan kecil yang aku beritahu tadi.

Lampu suluh yang kami gunakan untuk mencari buah durian kami padamkan. Sambil mengekek ketawa kecil, kami membayangkan gelagat Wak Sugeng yang bakal terkejut beruk sekejap lagi. Wak Sugeng ni orang Indonesia, datang merantau ambil upah petik sawit dan kerja-kerja kebun dan tinggal di kampung kami. Dia amat rapat dengan penduduk kampung tak kira usia. Hobinya adalah memikat ayam hutan dan burung keruak (burung ayam-ayam) pada waktu malam.

Kami hayati sekali lagi bunyi tersebut. Sah, tak syak lagi ini memang bunyi motorsikal milik Wak Sugeng. “Ready Mat, Wak Sugeng dah dekat.” Arah Abang Apis. Kami pun mengambil posisi bersedia untuk menyergah orang tua ni. Tapi bila dah dekat 5 minit dalam posisi, Wak Sugeng yang kami tunggu ni tak kunjung tiba. Pada hal jarak dari jalan utama dan pokok sagu ni tak jauh pun, dalam 300 meter. Kalau nak kira dari awal mula aku menangkap bunyi motorsikal tu sehinggalah kami ambik tempat untuk bersembunyi, sepatutnya Wak Sugeng dah menghampiri kawasan pokok sagu.

Kami berdua kehairanan. Bunyi punyalah kuat, tapi tak sampai-sampai pun orangnya. Tak kan lah bawa motorsikal sambil pijak brek? “Mat, kau cuba tengok Wak Sugeng dah sampai mana.” Arah si budak terejal. Aku pun bangun dan kangkang kan kaki antara parit kecil tu untuk aku tinjau kedudukan Wak Sugeng. Aku tinjau ke arah jalan besar, tak nampak pun lampu motor. Aku alihkan arah tinjauan ke jalan menuju kampung sebelah, pun sama. Hanya pandangan kebun getah yang tebal. Langsung tak nampak kelibat cahaya lampu motorsikal. Aku patah balik ke pokok sagu untuk melaporkan informasi Wak Sugeng kepada budak terejal. “Mana ada motor lalu. Lampu motor pun aku tak nampak.” Lapor aku kepada Abang Apis. “Kau biar betul?” Budak terejal ni tak puas hati. Dia pulak yang pergi untuk meninjau. Namun sama. Tak ada langsung kelibat cahaya lampu dari motorsikal yang kami sangkakan. Tapi kali ni bunyi motor tu dah tak ada. Senyap tinggal bunyi nyamuk yang berdesing-desing di telinga aku. “Wak Sugeng masuk jalan lain agaknya. Jom lah sambung cari durian.” Ajak Abang Apis ringkas.

Bosan dan hampa sebab rancangan nak sakat Wak Sugeng gagal, kami nyalakan semula lampu suluh lalu beredar dari pokok sagu untuk join Abg Arip mengutip durian. Tapi lampu suluh kami berdua tak menyala. Kami cuba ketuk-ketuk sikit lampu suluh kami, namun tak juga menyala. “Bateri habis ke? Aku baru je rembat bateri atok siang tadi.” Getus Abang Apis. “Yang kau pegi curi bateri atok kenapa? Barang haram ni, memang mendapat!” Balas aku. Kami pun ketawa. Langsung tak terlintas dalam fikiran bahawa ada makhluk yang ingin bergurau. Yelah, walaupun masa tu kami kat dalam kebun, tapi kepala otak bengap kami fikir bahawa kami sedang berada dalam kawasan perumahan arwah atok.

Tambahan pula sinaran cahaya bulan waktu tu agak cerah. Kebun tu boleh kata port kami bermain disiang hari, juga tempat kami membantu arwah atok mengutip buah sawit dan jika tiba musimnya, kebun itu jugalah tempat kami mengutip buah-buahan tempatan untuk dijual hasilnya kepada peraih. Selalu akan ada lebihan untuk kami nikmati, tak kurang juga bahagian untuk arwah atok bersedekah. Kawasan parit sekitar kebun juga menjadi tempat kami menyauk ikan pelaga, selain aktiviti melastik burung, termasuklah bermain perang-perang bersenjatakan M-16 dari ranting kayu yang berbentuk huruf “Y’. Tak ada langsung rasa takut jika kami perlu ke kebun di malam hari dek kerana terbiasa dengan kawasan kebun di belakang rumah arwah atok.

Kami menghampiri Abang Arip yang sedang berada di bawah pokok durian yang paling besar dan paling tua antara pokok-pokok durian yang lain. Lokasinya berada di tengah-tengah kebun dan agak jauh dari pokok sagu tadi. “Apa jadi dengan Wak Sugeng? Korang buat dia masuk parit ke? Tiba-tiba senyap terus tak dengar bunyi motor dia.” Tanya Abang Arip. Tak sempat kami menjawab, tiba-tiba bunyi ‘motor’ tu kedengaran lagi. Kali ni bunyi ‘motor’ tu kat bukan dari arah jalan kecil, tapi bunyi tu seolah-olah datang dari atas pokok durian paling besar yang ditanam tengah-tengah kebun. Berlegar-legar kuat bunyi tu tepat atas kepala kami bertiga.

Serentak tu, kami tertangkap bau harum macam bau bunga kemboja, berselang dengan bau kemenyan. Sumpah, bau bunga kemboja & kemenyan tu punyalah kuat, sampai tenggelam bau durian dalam karung yang kami pikul. Kami tak berani mendongak mahupun menegur sebab tak sanggup melihat benda-benda yang tak diingini. Lagipun, sudah menjadi pantang kami untuk tak menegur kalau terbau atau terjumpa benda pelik-pelik dalam hutan atau kebun, terutama waktu tengah-tangah malam buta macamni. Pantang larang tesebut memang sudah sebati dalam diri walaupun kami dengan hantu-hantu tu kalau ikutkan tak ada beza pun. Hahahaha.

Cuma mungkin aku yang terlupa tadi, sebabnya bukan hanya bau dan penampakan je yang jadi pantang. Bunyi yang pelik-pelik pun sepatutnya menjadi serangkai pantang yang tak patut kami tegur. Orang tua-tua kata, mulut jangan celupar. “Ah sudah, bala apa pulak ni.” Aku berkata dalam hati. “Jom lah balik. Esok pagi kita sambung. Aku ngantuk lah. Guni aku pun dah berat dah ni. Jalan slow-slow je, kaki aku macam nak cramp.” Ajak Abang Arip yang sebenarnya memberi isyarat bahawa kami sedang disakat dan perlu beredar secepat mungkin. Suara Abang Arip sedikit menggigil. Ketakutan mungkin. Kami pun dengan langkah perlahan meranduk semak renek separas betis, melangkah menuju pulang ke rumah arwah atok. Jarak pokok durian besar dengan rumah arwah Atok dalam 500 meter. Tapi dengan langkah perlahan yang kami atur, ditambah dengan bunyi dan bau yang cukup aneh lagi menyeramkan suasana, terasa jauh pulak rumah arwah atok masa tu. Nak lari takut empunya bunyi dan bau lagi galak menyakat.

Jadinya, melangkah dengan perlahan adalah pendekatan berani-berani takut yang kami ambil waktu itu. Abang Apis membisu tak bercakap sepatah sejak dari pokok durian besar tadi. Tak padan dengan terejal tapi boleh tahan penakut jugak rupanya mamat ni. Bunyi dan bau masih lagi mengiringi perjalan kami. Sedikit pun tak ada tanda-tanda nak berkurangan. Makin pekat dan kuat lagi ada. Kami teruskan melangkah menghampiri kawasan pokok manggis yang ditanam sebaris melintang. Barisan pokok manggis itu menjadi landmark bahawa kami dah sangat dekat dengan rumah arwah atok.

Baru nak menarik nafas lega, tiba-tiba langkah kami terpaku. Kaku melihat daun-daun dari empat batang pokok manggis dihadapan kami seperti digegar kuat silih berganti. Macam ada makhluk yang melompat dari satu pokok ke pokok yg lain, tapi kelibat makhluk tu tak kelihatan. Yang jelas pada pandangan kami cumalah daun-daun pokok yang bergegar tu. Nak kata angin, pokok cempedak sebelah aku ni statik je tak bergerak sikit pun daunnya. Bunyi motor kapcai tadi tiba-tiba menghilang. Tapi bau bunga kemboja dan kemenyan semakin menyengat. Aku dah nak menangis waktu ni. Segala bulu yang ada kat badan ni dari tadi cering berdiri tak sempat turun, dah datang pulak musibah yang lain. Melihat aku macam nak menangis, Abang Arip memukul keras bahu aku dengan lampu suluh. Aku mengaduh dan lagi rasa nak nangis sebab kuat jugak dia pukul. Tak guna.

Namun, pada saat genting begini, Abang Arip memainkan peranan penting sebagai abang yang paling tua. Dihempas guni durian dengan bengis, menyirap mungkin dek kerana dimain-mainkan oleh makhluk yang tak nampak pada pandangan manusia biasa. “Berani tak berani sangat, takut tak takut sangat. Allahuakbar, Allahukbar!” Aik, lain macam dia punya intro azan. Abang Arip melaungkan azan sambil menghadap pokok manggis yang ada kat depan dia. Entah dari mana datang bijak aku dengan Abang Apis, kami pun melaungkan azan serentak. Aku azan menghadap pokok manggis belah hujung kiri, Abang Apis menghadap pokok yg ada di hujung sebelah kanan. Kali ni keempat-empat pokok manggis yang ada dihadapan kami semuanya bergegar dengan kuat, lebih kuat daripada gegaran sebelum ni. Abang Arip menyuruh kami terus menerus melaungkan azan, sambil dia membaca ayat kursi dan 4 qul, disertai dengan teriakan takbir sekuat hati.
“ALLAHUAKBAR!!!”

Serentak itu, goncangan yang terjadi pada pokok-pokok manggis tadi terhenti. Bau-bauan yang tadinya pekat menusuk hidung pun hilang. Tapi aku sempat merasa ada bahang angin panas menerpa muka. Aku macam terundur sedikit kebelakang dan aku dapat dengar suara menderam, macam suara harimau. Suara tu berkeliling di sekitar aku. Abang Apis dan adiknya aku perasan sudah mula melangkah kearah pintu dapur. Aku tak dapat bergerak dan bersuara. Tapi aku cuba tenang, lalu aku pejamkan mata, menadah tangan sambil mulut terkumat-kamit membaca ayat kursi 9 waqaf. Arwah atok yang mengajarkan kami ayat ini untuk kami amalkan sebagai pelindung diri. Selesai membaca, aku ludahkan di arah kiri, kanan, hadapan dan belakang, dan aku sapukan tangan dari arah kepala ke hujung kaki. Lalu suara tu pun hilang serta merta. Aku tak pasti Abang Arip dan adiknya merasakan benda yang sama. Yang aku pasti, kami sampai didepan pintu dapur rumah arwah atok dalam keadaan baju kami basah bermandi peluh.

Tiba-tiba pintu dapur terbuka luas. Ah sudah, takkan tak habis lagi? Mana pulak lari lepas ni? Takkan nak patah balik lari ke belakang rumah? Tak memasal setan tadi tu return, naya. Tiba-tiba lampu pelantar menyala, nampak arwah atok muncul kat pintu dapur. “Fuhhhh legaaa.” Serentak kami menarik nafas lega. “Wes subuh yo? (Dah subuh ke?) Aku kerungu kait mau kayak enek wong adan, tapi kok neng buri omah? (Atok dengar tadi macam ada orang azan, tapi kenapa kat belakang rumah?.” Sakat arwah atok dalam bahasa jawa sambil terkekeh-kekeh ketawa. “Rasakno, kakehan polah (Rasakan, buat pasal lagi.) Wong golek duren isuk-isuk, seng golek duren bengi-bengi ngene iki lah opo? (Siang-siang buta boleh cari durian, tengah-tengah malam macamni jugak korang pegi randuk kebun tu dah kenapa?) Kapok (padan muka). Wes, ados kono. Ojo melebu omah nek urong ados (Dah, pegi mandi. Jangan masuk rumah selagi tak mandi).” Kami bertiga pun melangkah masuk ke kolah untuk bersihkan diri. Ala kadar sudah la, takdenya nak mandi beria siap bersyampu bagai. Sekadar hilangkan peluh kat badan. Malam tu kami bertiga tak boleh tidur. Masing-masing masih teringat-ingat dan berteka-teki dengan kejadian sebentar tadi.

Keesokan harinya kami cerita kat arwah atok tentang kejadian malam tadi. Arwah atok kata dia sendiri tak pasti bunyi motor tu bunyi makhluk apa dan arwah atok tak dengar pun bunyi motor tu walaupun bunyi motor tu kuat. Pasal bau kemenyan dengan bau bunga kemboja tu arwah atok kata itu mungkin Pontianak, mungkin jembalang dan mungkin jugak pocong, dan yang menggegar pokok manggis tu mungkin mawas. Arwah atok tambah yang kitorang beruntung sebab makhluk tu semua tak munculkan diri, kalau tak lagi panjang ceritanya. Cuma arwah atok kata kami agak kental sebab biasanya orang kalau kena kacau macamni dah demam teruk. Tapi kami tak demam apa, alhamdulillah. Yang pasti, kami serik terus nak meranduk kebun tengah-tengah malam. Namun aktiviti hantu kacang masih on seperti biasa. Hahaha. Sampai sekarang bila balik kampung, tak pernah missed untuk kami ceritakan kisah ni antara kami.

Sekian saja kisah benar yang pernah aku alami. InsyaAllah jika ada kesempatan akan aku ceritakan kisah-kisah yang lain. Terima kasih sudi membaca. Jaga solat, selalu selawat. Assalamu’alaikum..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Mat
Rating Pembaca
[Total: 41 Average: 4.7]

2 thoughts on “Dusun Kecil Arwah Atok”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.