#emma Gara-gara Walkman

Assalamualaikum semua reader FS. Nama aku Emma. Pengalaman ini terjadi pada 8 tahun yang lepas tapi masih menghantui aku sampai sekarang. Waktu tu aku tengah belajar kat sekolah menengah agama swasta nun jauh di utara hujung sana (nama sekolah dirahsiakan). Masa tu aku tingkatan 3 yg tengah nak dekat exam PMR dah. Cerita ni agak panjang tapi memang tak boleh diringkaskan sebab takut tak faham.

Okay cerita dia macam ni.
Memandangkan masa tu minggu 1st balik asrama lepas dari balik kampung, secara tak langsung duit belanja yang diberi oleh parents kami menimbulkan rasa menjadi Orang Kaya Baru. Terdetiklah hati ni nak keluar outing menghabiskan duit yang konon tengah lebat tu. Mula2 warden iaitu Ustaz Faiz tak bagi sebab dia pun bijak tahu minggu 1st baru balik dari kampung, mesti la mak bapak kau dah beli barang kau semua complete dah.

Tapi disebabkan tak nak menguburkan hasrat jiwa muda merah pekat tu mengada sangat nak outing, aku pakat la dengan kawan baik aku si Mira ni cakap kat warden nak g beli buku rujukan kejadah apa entah sebab konon tak faham nak jawab topik susah kalau tak ada buku rujukan tu. Macam kalau baca buku teks je tetap bodoh lagi. Haaa kau nampak betapa gigihnya nak outing. Pujuk punya pujuk sampai warden tu nyampah tengok muka kitorang pegi ketuk bilik dia setiap jam, akhirnya warden tu pun bagi la kebenaran walaupun tahu dia tak ikhlas benarkan sebab sampai terkoyak buku keluar masuk Mira ustaz tu sign kemain tekan lagi hahaha. So kitorang pun pegi la lepas zohor dan beli macam2. Pen warna warni la komik Gila-gila la jam tangan baru la and yang last ni yang membawa kepada lembah kedurjanaan ni iaitu Walkman.

Haa budak zaman tu mana nak ada boleh bawak mp3 ke ipod ke. Mira la punya kepala suruh beli benda haram untuk budak asramaa tu. Aku pun naik la tanduk halimunan dan kami beli sorang satu. Kemudian, bila sedar kami ni yang tadi orang kaya baru tapi sekarang macam dah nak jadi golongan asnaf baru, kami pun balik la ke asrama. Nak dekat maghrib baru kitorang sampai.

Hora horey kami tadi mati bila sampai2 je nampak dah si warden Ustaz Faiz ni menunggu depan pagar masuk asrama.

“Hah, mana buku rujukan yang hangpa terhegeh-hegeh nak sangat tu?” tanya Ustaz Faiz sambil mata dia bulat je pandang sambil scan barang dalam beg plastik kitorang beli tadi. Walkman kami korang tak yah risau. Mira dah suggest supaya kami simpan kat tempat yang hanya aku, dia, Allah dan budak2 yang suka bawak barang haram ke asrama je tahu hahaha. Tapi masa aku pusing kat Mira, aku tengok kemain pucat mulut dia. “Takut la tu kantoi beli komik.” Getus hati aku sebab komik ada dalam beg plastik dia. Lagi satu, memang kitorang lupa pasal alasan kitorang nak outing tu sebab nak cari ‘buku rujukan’ padahal nak menghabiskan duit mak bapak je.

Pastu aku spontan jawab nak menipu ustaz, “Kami pi tengok kedai tu juai buku semua mahai2. Tak mampu nak beli, ustaz” pastu Ustaz Faiz jawab sambil kemain senget mulut sinis dia tu. “Kedai buku mana hampa pi? Kedai buku Seri Jaya tu dah seminggu tutup buat renovation.” Arghh tak guna! Memang dekat pekan yang kami outing cuma kedai buku tu je jual buku pelajaran. Kalau letak cermin depan aku time tu kalau mulut Mira pucat, mulut aku dah biru ungu dah aku rasa. Tak pernah aku kantoi camtu. Mira pun siku je aku sambil bagi sign kata mengaku je la kita tak pegi cari buku. Mira ni sebenarnya kalau bab merancang buat jahat, dia nombor 1. Tapi kalau bab terkantoi dia punya takut nak lepas diri, tu nombor 10. Stress aku tau.

Akhirnya kami pun diam dan redha je kena tazkirah Maghrib depan pagar asrama. Sebagai denda sebab kami menipu, Ustaz Faiz decide untuk mewajibkan jugak kami untuk pegi kelas prep malam. Sepatutnya kalau pelajar keluar outing, mereka dapat kelonggaran untuk tak payah pegi kelas prep malam. Malang untuk aku dan Mira, kitorang tetap pegi dengan tak sempat mandi Tambahan pulak sebab tak menyempat2 akak exco ibadah tu jerkah kitorang sebab lambat pegi surau nak solat Maghrib. Bukan dia tak tahu kitorang kena ceramah dgn Ustaz kesayangan dia tu. Nak je aku hempuk rotan yang dia pegang tu kat batang hidung dia. Badan melekit, penat semua memang menghilangkan keseronokan kami berjoli siang tadi.
Diringkaskan cerita, lepas solat isyak kami terus siap pegi prep. Masuk je dalam kelas, aku ngan Mira terus nak test kedahsyatan walkman baru tu. Tapi memang sorok2 la sebab mulut tempayan mulut murai semua ramai kat kelas ni. Tak susah nak cover sebab masing2 pakai jubah dengan tudung labuh. Berdosa pulak bila ingat haha. Masing2 excited teruja dapat dengar lagu Indon la Justin Bibir la.

Ntah bila masa aku mula tertidur. Mungkin sebab penat sangat kot bejalan. Mira sebelum aku terlelap tu nampak dia buat2 baca buku padahal dalam jubah pasang walkman hahaha. Lebih kurang pukul 11 lebih, Mira kejut aku suruh balik tido dekat dorm. Tapi masa kami nak balik tu aku pelik tengok sepanjang koridor, semua lampu kelas lain dah tutup lampu. Aku pun tanya Mira sebab pelik kenapa dah sunyi sangat. Selalu ada lagi student straight A akan study lagi. Mira cakap dia yang saja nak balik lambat sikit sebab sedap melayan channel radio apa ntah. Aku pun malas nak tanya banyak sebab masih mengantuk.

Kami pun pulang dan melangkah masuk pintu dorm.
Tiba-tiba aku sedar macam ada yang tak kena. Aku tepuk dahi. Walkman aku tertinggal bawah meja! Nak ambil esok takut kantoi pulak. Dah la tadi terkantoi dengan ustaz. Nak ajak Mira teman aku pegi ambik, aku tengok dia dah mencicit tak menahan2 bawak gayung nak ke toilet. Sakit perut katanya. Jam pukul 11.42 pm. Aku pandang bangunan kelas 4 tingkat depan asrama tu. Satu lampu pun tak menyala.

Tapi sebab tekad tak nak kantoi esoknya sebab memang arif dah aku memang tak kan mampu nak pegi sekolah awal2 pagi esok. Nak ajak kawan2 lain aku tengah gaduh ngan diorang sebab apa ntah. Lagipun ramai dah dibuai mimpi.

Aku beranikan diri pergi kelas aku dekat tingkat 2 tu. Slow and steady. Sesekali meremang jugak bulu roma ni tapi Alhamdulillah elok je aku smpai tingkat 2 tu. Suasana memang sunyi gila. Tiba2 terjun kucing hitam dari tangga tingkat 3 macam dikejar sesuatu. Tapi aku tak rasa takut waktu tu. So aku terus pergi kelas and ambik walkman tu.

Entah macam mana kepala hotak aku berfungsi, gatal pulak terdetik nak carik channel waktu tu. Dengan harapan nanti bleh naik katil sambil layan channel best2. Cari punya carik channel tu tetiba aku perasan yang ada stesen radio play lagu favourite aku. Tapi sekarang tak favourite dah la sebab kejadian malam tu. Dalam aku dengar2 tu rasa tak puas sebab line dia macam tersekat2. Ntah apa yang merasuk otak aku sampai datang keberanian nak naik tingkat 3 dengan harapan dapat line elok sikit untuk habiskan dengar lagu tu. Seorang diri. Gelap. Aku pun bengong pegi naik tingkat 3. Aku berdiri tepi tangga je. Memang pelik tapi aku tak rasa takut pun waktu tu sebab hati tengah berbunga sebab lagu tu bunyi clear sikit.

Tapi.. tiba2 telinga aku tangkap bunyi walkman tu macam wayar dalam dia tengah shot dan macam tengah terbakar sikit. Mula2 ingatkan line tak okay so aku berjalanlah sampai ke tengah koridor tingkat 3 tu. Jalan punya jalan aku pun stop. Elok je aku stop bejalan, lagu sialan tu pun stop play jugak. Dalam hati ni geram sebab tak habis dengar lagu tu tapi tak sempat nak geram lama2 baru aku tersedar betapa sunyinya keadaan koridor masa tu.
Tadi tak sedar la dah sedap kemain kuat volume walkman tu pasang. Aku macam baru tersedar ke hidupan realiti. Sayup2 dengar bunyi kucing mengiau. Terus berdiri bulu roma aku. Kaku. Tak tahu nak buat apa. Macam tak pernah berjalan guna kaki ni. Peluh dah mencurah2 tapi kaki aku still kaku.

Lepas lebih kurang 2-3 minit yang aku rasa macam 2-3 jam, baru la ada kekuatan nak pusing badan untuk turun ke tangga tadi. Elok aku pusing, nun hujung kat koridor sana, ada bayangan budak perempuan pakai baju warna putih kekuningan ataupun off white tengah berdiri sambil pandang arah aku. Muka dia aku tak nampak sebab jauh. Aku cuma pandang tapi otak aku tak boleh digest apa benda tu. Lama dia kat situ dan aku pun tak berkelip pandang dia.

Akhirnya aku pun mengelipkan mata aku buat pertama kalinya lepas aku nampak budak tu. Elok aku bukak mata yang sekelip mata tu, budak tu hilang dah. Aku rasa lega hanya Allah yang tahu. Tapi perasaan aku berubah bila aku perasan ada sesuatu kat kaki aku. Aku toleh ke bahagian bawah kaki aku perlahan2 dan rupa2nya budak tu tengah peluk paha aku sambil mendongak tersenyum. Sampai sekarang aku ingat muka dia. Mata sepet tapi hitam semua tak ada putih. Rambut paras bahu tapi kusut. Muka dia bulat. Pastu aku dah tak ingat apa2 dah. Aku pengsan on the spot.
¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬———————————————————————————————————–
Aku terjaga dan aku rasa kepala aku sakit sangat. Mesti korang ingat aku bangun dan dikelilingi ustaz2 dan kawan2 sambil tanya aku kenapa kan. Tapi tu semua hanya angan2 korang2 je. Sebab bila aku bangun, aku berada di sesuatu tempat yang gelap gelemat tak nampak apa pun. Di sinilah jam tangan yang aku beli masa outing tadi mencurahkan baktinya sebab jam tu ada lampu. Korang tahu apa yang aku nampak? Jam menunjukkan jam 3.20 pagi!! ” Tak guna! Kenapa tak bangun waktu dhuha ke zohor ke ishhhh.” Aku membebel sorang2. Tiba2 aku nampak ada cahaya dari bawah pintu yang aku agak lampu jalan dari luar. Lega rasanya.

Aku cuba berdiri tapi tak sempat menegakkan badan kepala aku dah terhantuk sesuatu di atas. “Tempat apa ni rendah sangat?” Aku menyoal diri sendiri dan aku menyesal sangat perbuatan aku tu sebab ada suara lain yang menjawab, “Tak tahu”. Aku dengar2 je suara tu terus aku berjalan menunduk pergi ke arah cahaya bawah pintu tu dan aku terus sepak pintu kecik tu. Aku berjaya keluar. Aku pusing dan korang tahu aku terperangkap kat mana? Aku terperangkap dalam bilik stor bawah tangga bangunan kelas kat tingkat bawah tu. Aku rasa nak menangis bila nampak jalan utama asrama dan aku pergi ke tengah jalan.

Tapi nasib tak menyebelahi aku bila tak ada satu manusia pun kelihatan. Aku rasa badan aku lemah sangat. Pak cik guard la jadi mangsa makian aku sebab dia tak ada kat pondok dia. Makan gaji buta. Dalam larat tak larat tu, aku raba2 kepala aku dan aku baru perasan tudung labuh aku dah hilang entah kemana. Rasa macam nak masuk balik bawah tangga tu. Biasa la budak sekolah agama kan. Biar nampak hantu, jangan nampak aurat hahaha. Tapi aku kalah juga dengan husnuzon semua lelaki kat muka bumi ni dah dibuai mimpi .

Aku berjalan perlahan pegi la sampai depan pagar asrama aku tu tau2 pagar kunci pulak . Aku dengan berjubah nak kena memanjat pulak pagar tu dah la tak larat nak mampus. Sepanjang aku berjalan aku perasan yang angin kuat semacam. Tapi aku abaikan. Badan aku semua rasa berbisa dan sengal2. Tengah aku panjat pagar tu macam Ninja Warrior, aku rasa ada sesuatu langgar aku dari belakang sampai aku tergolek ke dalam bahagian asrama. “Ciss nak tolong aku panjat cakap je la tak payah la tolak2.” Aku cakap dalam hati je sebab tak berani nak cakap lepas kejadian setan menyampuk tu.

Aku memang panas hati waktu tu tapi takut pun iye jugak. Lepas jatuh terus aku bangun berlari macam Usain Bolt menuju ke arah dorm aku kat tingkat 1 sambil tengok belakang nak tengok apa yang tolak aku. Tak ada apa. Nothing.

Tak sempat nak sampai depan tangga asrama, mata aku gatal tgok di koridor dorm tingkat 2 ada satu lembaga putih pandang arah aku secara statik. Aku terpaku. Kaki aku berhenti melangkah. Terasa ada sesuatu di belakang aku yang turut berhenti sebab ada deruan angin yang seolah-olah turut berhenti di belakang. Tiba2 lembaga putih tadi tu berundur dengan laju dan hilang dari pandangan.

Aku tak pikir apa terus gagahkan kaki naik tangga dengan harapan selamat. Aku sempat habiskan naik tangga tingkat 1 dan aku tak selamat pun. Tiba2 aku dengar bunyi dari arah atas tangga. Aku toleh. Ya Allah dugaan apa niii! Aku nampak sekujur badan senang cerita poCONG tengah bergolek antara satu tangga ke satu tangga ke arah aku. Air mata aku merembes. Aku lari masuk dalam dorm. Nasib pintu tak kunci. Aku bukak semua lampu dengan harapan kawan2 aku at least si Mira la bangun dan tanya keadaan aku ke ape ke, tapi hampeh. Semua tidur mati terkangkang.Nak je aku himpap sorang2.

Tapi sebab tak larat aku terus naik katil dan nak paksa pejamkan mata. Elok aku nak lelap mata, lampu yang terang benderang tadi terpadam semuanya. Tak guna! Gelap gelita. Air mata aku yang dah nak kering tadi basah balikk. Peluh pun sama. Mana taknya, bukan lampu je terpadam. Kipas pun berhenti memusing.

Aku baru perasan dari tadi aku tak berzikir ke selawat ke baca ayat kursi ke. So aku nak la bukak mulut baca ayat kursi. Baru nak bukak mulut baca bismillah, dah ada suara lain yang baca. Tapi lain macam suaranya. Aku macam kenal suara ni. Aku angkat kepala pusing 180 darjah and aku perasan Mira kat katil sebelah aku yang tengah baca ayat Qursi. Aku ragu2 gak betul ke tak ni Mira. Takut benda lain pulak. Pastu aku perasan badan Mira terhingguk2 macam tahan nangis. Aku cuba panggil nama dia.

“Mira, oo mira”. Tiga kali aku panggil baru dia pun angkat kepala pelan2 dan cakap. ” Hang ka tu Emma? Betoi ka hang ni Ma?”. Tanya Mira sambil suara kemain sengau sebab menangis. Aku pun jawab la ye. Terus Mira peluk aku and menangis kuat2. Aku dah la ragu2 lagi Mira ni orang ke kuntilanak ke sebab banyak sangat penampakan malam ni aku nampak. Tapi lepas aku dengar dia peluk aku sambil mulut tak putus2 baca ayat2 al-quran, aku yakin tu Mira. Kami berpelukan lama jugak untuk tunggu sampai Subuh. Tapi tengok jam lampu raya aku tu baru pukul 4.33 am. Lambat lagi nak subuh.

Last2 aku agak dalam pkul 5 camtu aku tertidur dengan Mira sambil berpelukan. Erat sangat kami peluk sampai kalau kena tangkap waktu tu memang kena cop LGBT. Tapi lena aku tak lama sebab aku rasa ada sesuatu yang basah dekat jari kaki aku. Aku tahan mula2 tapi lama2 rasa pedih pulak. Aku cubit perut Mira. Kuat jugak aku cubit tapi dia tetap tak bangun. Aku try curi2 tengok kaki aku sambil mata buat2 pejam konon beralih posisi tidur.

Terbeliak mata aku bila ada seekor kucing hitam tengah jilat sambil gigit2 ibu jari kaki aku . “Eh, ni kucing hitam tadi ni.” Aku yakin. Aku gerak-gerakkan kaki aku kuat2 tapi makin kuat pulak kucing puaka tu gigit aku. Kucing tu besar saiznya dari kucing2 lain. Sebelah mata dia aku agak buta sebab terperosok jauh ke dalam. 3 minit kemudian lampu terpasang semula. Kipas pun berfungsi balik. Kelegaan yang hanya Allah sahaja tahu. Kucing hitam tadi pun hilang dibawah cahaya terang. Aku pelik sebenarnya sebab tadi keadaan gelap gelita plus kucing tu hitam tapi mata aku nampak rupa kucing tu kemain jelas lagi. Tapi aku biarkan je la sebab dah terang balik. Jari aku masih basah dan berdarah dengan luka halus. Sah tadi bukan halusinasi.

Mira tetap dengan dengkuran dia. Cis tak guna punya kawan. Tak lama lepas tu bangun lah roommate2 aku yang lain untuk pergi mandi pagi. Aku nak mandi tapi terlalu berat badan aku nak bangun.

Tapi tak lama aku boleh lelap mata sebab dengar suara petir ketua bilik aku datang bising2 tanya aku dari mana dengan rambut penuh tanah dan jubah aku tak bersalin. Aku pun tak tahu dari mana tanah2 tu datang. Tanah merah pulak tu. Aku hanya mendiamkan diri sampai akak tu fed up and dia pegi kejut yang lain bangun.

Mira pun bangun sekali dan pandang aku. Aku nak tanya dia apa jadi tapi dia potong dulu cakap nanti siang sikit baru sembang balik hal tu. Kami pun pergi mandi dan pergi ke surau sementara tunggu azan subuh. Memang kebiasaannya begitu. Sambil tunggu azan tu aku cakap kat Mira, “Wei Mira, satgi kat kelas hang habaq tau pasaipa hang nangis tadi.” Aku sebenarnya pelik kenapa aku yang nak tanya Mira macam2 padahal aku yang menghadap macam2 malam tadi.
Jawapan Mira lepas tu membuatkan aku rasa nak terjun bangunan masa tu jugak. Korang tahu Mira cakap apa? Dia jawab. “Pi kelas pala otak hang harini hari Jumaat,”. Baru aku sedar sekolah kat Kedah ni Jumaat dah cuti. Kalau aku tahu tak ada la aku beriya bergadai nyawa pergi ambik walkman tu malam tadi. Mungkin sebab mamai sangat kot semalam sampai tak perasan. Ehh baru aku perasan walkman aku dah lesap. Entah kat mana la dia.

Biarkan lah. Aku dah tak nak dengar walkman dah.

Habis solat subuh dengan sujud sejadah semua, aku dan Mira ke dewan makan. Tapi masing2 tak makan pun sebab nak dengar cerita masing2.

Mira cakap lepas dia balik dorm dari toilet, dia nampak aku dah tidur sambil tekup muka dengan bantal. Dia biarkan je la. Pastu dia kata lepas semua roomate dah tutup lampu, dia pasang la walkman konon feeling2 tidur sambil dengar lagu. Tiba2 walkman dia nyanyi satu lagu yang macam tengah membaca mantera Jawa. Dia terkejut pasti terus dia bukak walkman tu dan nak kejut aku. Dia kata masa pusing nak kejut aku tu dia nampak aku tengah duduk macam bertapa. Tapi terapung! Pastu dia perasan yang rambut aku time tu panjang sampai lepas bawah punggung padahal rambut aku paras dada je waktu tu. Terus dia ditindih. Lama sangat katanya sampailah aku balik bukak lampu tu baru setan yang menindih dia tu hilang. Dengan ‘aku’ pun hilang. Dia tak berani nak bukak mata sebab nampak ada lembaga rambut bertanah masuk bilik. Padahal tu aku.

Aku menelan liur. Mira tanya keberadaan aku tapi aku berdalih dengan cakap yang aku ada tumpang bilik lain sebab aku tahu minah ni memang jenis lemah semangat. Walaupun aku tahu Mira tak percaya, sebab aku kawan dengan dia je, mana ada kawan dgn budak bilik lain. Mira pun tak memaksa.

Aku takut sangat nak jalani hari2 seterusnya kat sekolah ni. Aku berharap supaya aku demam ke apa ke macam orang lain selalu kena lepas jumpa hantu. Untung2 boleh balik kampung. Tapi aku sihat walafiat jugak ishh haha. Mira yang demam tapi dia tak balik sebab kampung dia jauh. Dia selalu balik naik bas sebab ayah dia hanya ada motor. Aku happy la sebab ada peneman tidur.

Pagi tu satu asrama kecoh dengan 2 khabar angin. Satu, pak guard jumpa Walkman dekat koridor tingkat 4 sekolah. Macamana boleh ada kat situ aku tak tahu sebab aku pasti aku hanya naik sampai tingkat 3.

Yang kedua, sorang kakak form 6 yang nak pergi tahajud kat surau nampak kelibat perempuan berpakaian hitam berlari dalam kawasan asrama. Rupa-rupanya kelibat putih yang aku nampak tu kakak form 6 tu la tengah bertelekung nak pegi solat. Kesian dia kena usik. Aku ketawa kecil di dalam hati. Tapi ketawa aku tak lama bila ada sambungan cerita dari kakak form 6 tu yang mengatakan dia nampak kelibat perempuan berpakaian hitam tu sedang berlari beriringan dengan seorang budak berbaju putih kekuningan di belakangnya!

Itu sahaja dari aku.Sekian.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

19 thoughts on “#emma Gara-gara Walkman”

  1. haha, sempoi ceta hg, syiok kak baca. kak pun besa kena cam hg, dah nmpk leh pulak usyar lama2 sebab polos punya pasai xtau yang rupanya nmpk hantu, lepas 3 hari baru demam.

    Reply
  2. Hmm selalunya bab2 roket brg ni org simpan dlm ‘tut’..iksh tak kan kot..berat kot walkman tu..hmm boleh jd kot..

    Reply
  3. aku tergelak bila dia cakap mira tak jadi bangun sebab nampak lembaga rambut bertanah masuk bilik hahahahaha mane la ko pegi sampai betanah rambut. aku syak walkman dilarang kat sekolah tu sebab ade kes macam ko ni selalu terjadi. sebab tu dilarang dengar walkman….

    Reply
  4. Ok. Yg ni best sbb bdk setan tu siap paut peha lg. Pastu kena alih jauh dr tmpt asal. Mcm ni sheramm.. hahahahahahahahaha…….!

    Reply
  5. Such an amusing story-teller. Cerita yang menakutkan, dan dalam masa sama penuh dengan unsur humor. Penulis yang digemari. Kalau ada lagi cerita nanti kongsilah ya.

    Reply
  6. nasib aku lg malang bwk hp je mst kantoi..dh kantoi tu smpai tamat sekolah xdpt2 hp tu.aku xtau la uztazah tu jual ke saja buat stok kenangan dkt rumah

    Reply

Leave a Comment